Saturday, June 20, 2009

MUNCUL KEMBALI (232) - DIKEMASKINI

Nota: tulisan ini dihantar untuk pertimbangan siaran sebuah akhbar harian arus perdana

Malaysia tidak perlukan lebih dari dua parti politik Melayu

MEMBACA dakwaan Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) di akhbar harian arus perdana hari ini bahawa keengganan pemimpin tertinggi Pas berunding dengan Umno berhubung isu kerajaan perpaduan kerana takut kepada DAP dan PKR menjadikan semacam ada suara ghaib berbisik di telinga dan mendorong saya untuk memberi respon bukan sahaja demi kepentingan gelanggang politik negara, tetapi juga demi agama, bangsa dan negara tercinta.

Kalau benarlah itu yang menjadi punca, sebab dan kerananya, maka jelaslah bahawa Pas yang diasaskan oleh orang Umno yang berpendidikan agama bagi memberi teguran dan peringatan membina kepada Umno menggunakan pendekatan agama, kini sedang disampah-sarapkan oleh peranan yang dimainkan oleh pemimpin atau tokoh yang telah terpesong dan tersongsang jauh dari matlamat dan tujuan penubuhan Pas.

Malah kalau demikianlah hakikatnya mahu tidak mahu orang Pas kena perakukan bahawa Pas telah 'patah reng' oleh keterkatupan pemikiran ahli dan penyokong parti itu yang menentang gagasan kerajaan perpaduan yang pada asasnya baru pada peringkat mahu dibincangkan dan belum tentu ianya akan direalisasikan setelah melalui proses perbincangan oleh tokoh-tokoh yang tentu tidak dangkal pemikirannya.

Pas takut kepada DAP dan PKR bermakna secara tidak langsung akan menampakkan kepada umum bahawa Pas umpama todak telah begitu 'dawas' dan sanggup ditodak oleh anak seluang atau pun oleh 'anak bunga air' yakni spesis ikan yang saiz badannya tidak lebih dari sebesar lidi nyior.

Kalau benar begitu bermakna Pas juga umpama ular tedung yang sudah hilang bisa dan tercabut taring serta boleh dijadikan barang pertunjukkan oleh penjual ubat di kaki-kaki lima.

Sepatutnya kalau ibarat penghuni rimba, Pas 'lah yang kena menduduki takhta maharaja di rimba kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR), bukannya parti itu yang kena berstatus kelas parti tempelan atau berkelas segenggam garam yang tidak mungkin mampu memasinkan air di sebatang sungai atau umpama sesudu gula yang tidak mampu memaniskan air selautan.

Bagi saya Pas adalah sebuah parti yang ada kekuatan tersendiri selepas Umno. Kalau tidak, masakan ianya masih wujud dan ada pengaruh dan penyokong setelah berusia 55 tahun.

Oleh itu perlu apa Pas kena 'tunduk menguku' tanda takutkan DAP dan PKR yang saya rasa banyak bergantung kepada aura Pas dalam mendapatkan sokongan orang Melayu. Tanpa Pas berapa kerat sangatlah orang Melayu akan sokong DAP dan PKR.

Malaysia yang saiznya serta saiz penduduknya yang tidak sebesar mana, pada pendapat saya, tidak memerlukan lebih daripada dua buah parti politik Melayu sebagai bangsa utama dan bangsa ketuanan bagi negara warisan nusa ini kerana kalau semakin banyak parti politik Melayu diwujudkan, maka semakin banyaklah keretakkan dan saling kecam mengecam sesama Melayu berlaku di kalangan orang Melayu.

Selain dari Umno dan Pas, saya tidak nampak peri mustahaknya penubuhan parti-parti Melayu lain lagi, malah penubuhan parti politik Melayu selain dari Umno dan Pas untuk orang Melayu bukannya menjadi satu keperluan kepada orang Melayu di negara ini, terutama di Semenanjung.

Orang Melayu patut berusaha memulihara dan membina kekuatan, kemantapan dan kedewasaan Umno dan Pas sebagai parti politik Melayu yang telah sedia ada dan cukup berpengalaman sebagai parti politik di negara ini.

Kalau tidak yakin dengan perjuangan Umno orang Melayu kena masuk Pas dan kalau tidak berkenan pada Pas, masuk Umno. Kalau kedua-duanya tidak memikat hati, jadi saja orang atas pagar, yakni berkecuali.

Itu lebih baik bagi kepentingan agama, bangsa dan negara daripada membanyakkan pinggan-mangkuk menaja dan menyokong penubuhan parti-parti politik Melayu sebagai parti-parti serpihan Umno atau Pas.

Orang Melayu kena percaya bahawa kewujudan parti lain selain dari Umno dan Pas ketika kedua-duanya masih releven untuk menjadi pilihan orang Melayu hanya akan menyumbang kepada memecah-belah dan melemahkan orang Melayu sahaja.

Apatah lagi kalau parti yang ditubuhkan itu pula bersifat untuk membantu seseorang indivdu mencapai impiannya menjadi perdana menteri atau untuk menunjukkan bahawa ianya ada pengaruh dan penyokong yang besar, sekaligus dia kononnya kena diberikan perhatian dan keistimewaan dalam kepemimpinan.

Bagi saya parti pembangkang atau parti kerajaan sama-sama memainkan peranan yang penting demi untuk kepentingan agama bangsa dan negara.

Pembangkang yang kuat akan membentuk kerajaan yang kuat juga, bila pembangkang lemah kerajaan juga akan 'patah reng' dan tidak bermaya. Pembangkang adalah pil perangsang kepada parti kerajaan.

Sayugia diingat dan diperingatkan bahawa yang pasti, menjadi kerajaan tidak semudah menjadi pembangkang dan belum tentu kalau kerajaan yang ada ditumbangkan untuk menjadi pembangkang dan pembangkang diberi mandat jadi kerajaan, maka pembangkang yang diberi mandat sebagai kerajaan mampu mempertahankan rekod kemajuan, keamanaan dan kestabilan yang sedia ada, apatah lagi untuk mengatasi rekod yang telah dicapai.

Untuk tujuan dijadikan dibukti, bolehlah dirujuk negeri-negeri yang berkerajaankan pembangkang bagi peringkat pusat, sejauh dan sebanyak mana kelebihannya berbanding dengan negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan yang turut berkuasa di pusat.

5 comments:

Anonymous said...

Mat ST Kg Sireh said...

Oloshhh dgn man man botok kena bedil dalam blog meli, kawe rasa man botok akan buwat satu blog baru utk counter back demo, beringat sikit li. Kalu dia dak pandai buka akaun blogspot nih mat st ada. kek keh keh

Abuzar said...

Kalau PAS "patah reng". UMNO ada. Apa susah. sistem dua parti .. pilih hok mana suka. demokrasi. Jangan tangkap Ikut Suka Aku (ISA) sudah lah ... >>>

Haji Saat Pasir Mas said...

Kalu takdok buat saloh dan tunjuk meto bakpo nak kena ISA. Dalam dekat 30 juta rakyat Malaysia, berapo orang jah hak kena ISA. Kalau dari dekat 30 juta rakyat, 15 juta atau 20 juta kena ISA baru nampak kerajaan jahat. Apa yang kita rakyat biasa tau dengan apa yang pihak berkuasa tau tentang orang yang kena ISA tak sama. Pihak keselamatan kawe yakin profesional dalam tugas mereka, kita rakyat biasa hanya buat andaian

bukan HAji MAT PasirMAs said...

kpd Haji Saat Pasir Mas..

lani ore duk pertikai ISA bukan sebab sikit atau ramai hok kena igak..sbb x adil..zalim..kawe guna mantik demo balik, kalau dah betul salah, dakwa je ikut akta/undang yang ada..yg duk tahan tanpa bicara tu apasal...hukum Islam kan ada...hangg gigit Islam, INsyaAllah setel semo prob..semol matter bagi kawe ISA ni ..clah kuku je beb...

MAT PMAS said...

pada Kekanda Li..

ambo baru 30thn..peringkat anak kalih pada Kekanda..xpolah ambo bbaso kekanda...

the point of view Kekanda meme menarik...tp x semo ambo setuju..

ambo berpendapat maudhuk penulisan kekanda seolah2 semo hak TGNA buat akhir2 ni salah blako..dan semacam ada agenda UMNO-BN je...maaf kalau pandangan ambo tersasar

ambo bukan pemyokong kedua2 parti...bagi ambo parti bukan matlamat, hanyalah alat/jln saja

...1 lagi ambo sgt berminat dgn gaya penulisan Kekanda..ada jgk simpan niat nak jadi penulis..tp agak2 mcm x berbakat je...ade masa mai lah tubik minum air di Lubok Jong / LAti....