Monday, June 22, 2009

MUNCUL KEMBALI (236)

Tafsiran al-Quran oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk


KETIKA Rasulullah s.a.w. masih hidup, pentafsiran ayat-ayat tentang sesuatu hukum yang terkandung dalam al-Quran disandarkan kepada perkataan, perbuatan, taqrir dan jawapan baginda terhadap pertanyaan dan kemusykilan para sahabat terhadap perkara-perkara yang mereka kurang jelas dan tidak dapat menangkap maksud sesuatu ayat al-Quran.

Tafsiran yang berasal dari Rasulullah s.a.w. disebut ‘Tafsir manquul’.
Selepas kewafatan baginda, maka hilanglah tempat rujukan agung dan umat Islam terpaka bergantung kepada tahap pemilikan ilmu, tahap keimanan, ketakwanan dan keladuniannya kalangan bukan nabi dan rasul lagi kerana sudah tidak ada ada nabi dan rasul selepas Nabi Muhammad s.a.w.

Jadi rujukan utama untuk lebih memahami tentang hukum-hukum yang tidak dijelaskan dengan jelas oleh al-Quran, terpaksalah bergantung kepada hadis peninggalan Rasulullah s.a.w. dan mereka yang ‘alim khususnya pada zaman kita ini yang mana para ‘alim ulamak adalah merupakan pewaris para anbia’.

Ketika awal kewafatan baginda, masalah itu tidaklah ketara sangat kerana masih terdapat ramai lagi para sahabat yang sezaman dengan baginda, tetapi selepas kematian sahabat-sahabat yang sezaman dengan baginda, maka timbul pelbagai golongan termasuklah yang menerima dan menolak tafasiran di kalangan para sahabat dan para tabi’in yang menggunakan hasil pemikiran mereka masing-masing dengan mereka berijtihad dalam menetapkan maksud sesuatu ayat di samping menggunakan hadis-hadis Nabi.

Hal ini (menggunakan pemikiran sendiri/berijtihad) mereka lakukan kerana mereka mengetahui tentang hal-hal yang berhubungan dengan bahasa Arab, mengetahui tentang sebab-sebab sesuatu ayat diturunkan, mengetahui adat istiadat Arab Jahiliyah dan mengetahui cerita-cerita Israilliyyat dan sebagainya.

Contohnya ayat ‘Ath-Thuur’ dalam ayat ke 63 surah al-Baqarah, ditafsirkan dengan berbeza. Mujahid ‘Atha’ bin Rabah menatfsirkannya dengan ‘gunung’ yakni terangkum sebagai ungkapan umum sedangkan Ibnu Abbas mentafsirkan ‘Gunung Thuur” yakni nama khas bagi sebuah gunung tempat Nabi Musa berdialog dengan Allah s.w.t.

Ada sahabat yang dan tabi’in yang tidak mahu mentafsirkan al-Quran menurut ijtihad mereka seperti Said bin Musayyab ketika ditanya tentang penafsiran ayat-ayat al-Quran dengan ijtihad, beliau dengan tegas menjawab: “aku tidak akan mengatakan sesuatu tentang al-Quran. Ianya adalah suatu kesempurnaan yang terang lagi nyata”.
Sayugia diketahui bahawa cerita-cerita Israiliyyat ialah berita yang berasal dari orang Yahudi dan Nasrani.

Kaum Muslimin banyak mengambil cerita dari Israiliyyat ini kerana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pernah berkata: “Bila dikisahkan kepadamu tentang Ahli Kitab, janganlah dibenarkan dan jangan pula didustai”.

Maksudnya supaya kaum Muslimin menyelidiki terlebih dahulu tentang kebenaran-kenenaran cerita yang dikemukakan oleh Ahli Kitab sebelum mengambil pegangan dan pendirian untuk menolak atau menerimanya.

Ahli tafsir

Pentafsir al-Quran yang yang terkenal termasuklah sahabat yang empat iaitu Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar Al-Khattab, Sayyidina Usman Affan dan Sayyidina Ali bin Abi Talib.

Sahabat-sahabat yang paling banyak diambil riwayat dari mereka ialah Sayydina Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas’ud dan Ubayy bin Ka’ab manakala yang paling kurang orang mengambil riwayatnya ialah Zaid bin Thabit, Abu Musa al-Asy’ari, Abdullah bin Zubair.

Para tabi’in yang paling banyak mengambil riwayat Ibnu Abbas (Abdullah bin Abbas) ialah Mujahid ‘Atha’bin Rabah (27-114 Hijrah), ‘Ikrimah (25-105 Hijrah) dan Sa’ad bin Zubair (45-95 Hijrah) yang mana mereka adalah merupakan anak murid kepada Ibnu Abbas. Imam Syafe’i, Bukhari dan imam-imam yang lain banyak mengambl riwayat daripada Mujahid ‘Atha’ bin Rabah.

Iman Bukhari banyak mengambil riwayat Ikrimah yang berasal dari suku Barbar Afrika Utara serta bekas budak suruhan Ibnu Abbas yang mana setelah dimerdekakan, beliau terus berguru dengan Ibnu Abbas sebagai keseinambungan kepada pengambilan riwayat.

Di antara para tabi’in yang banyak mengambil riwayat dari Ibnu Mas’ud (Abdullah bin Mas’ud) ialah Masruq bin Ajda’ - seorang yang zuhud keturunan Arab Bani Hamdan yang menetap di Kufah, kemudian Qatabah bin Di’aamah, seorang orang Arab yang tinggal di Basrah dan merupakan seorang yang berpengetahuan luas tentang syair-syair, bari peperangan Arab Jahiliyah dan pakar dalam salsilah bangsa Arab.

Ketika itu belum wujud lagi kitab-kitab tafsir dan penghasilan kitab tafsir hanya mula bertunas pada tahun 104 H. Mujahid ‘Atha’ bin Rabah mati pada tahun tersebut di samping ramai lagi para tabi’in mati dan umat Islam semakin hilng tempat untuk merujuk.

Dari kebimbangan umat Islam akan hilang sumber rujukan itulah, maka wujudnya para tabi’i yang menghasilkan kitab-kitab tafsir seperti Sufyan bin Uyainah, Yazid bin Harun, Al-Kabi, Muhammad Ishak, Muqtil bin Sulaiman, Al-Waqini dan lain-lain.

Penulis tafsir paling terkenal adalah Al-Waqini (meninggal dunia pada tahun 207 H), disusuli dengan Jarir Atattabari (mati pada tahun 310 H). Tafsir Jarir adalah tafsir mutaqaimin yang paling besar sampai ke tangan generasi sekarang bernama Jaami’ul Bayam. Para penfasir yang terkemudian banyak mengambil dan mengutip (cedok) tafsir Jarir.

Selepas Islam meluaskan sayapnya ke daerah-daerah yang berkebudayaan lama seperti Parsi, Asia Tengah, India, Syria, Mesir, Ethopia dan Afrika Utara, maka berlakulah pertembungan kebudayaan Islam yang masih sederhana dengan kebudayaan lama yang sudah diolah dan berkembang dengan amat pesat.

Sejak waktu itu kaum Muslimin mula mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh pemilik kebudayaan itu dan kaum Muslimin pun mula belajar ilmu logikal, ilmu falsafah, ilmu perundangan, kedoktoran dan sebagainya sehingga dalam beberapa waktu sahaja mereka memiliki dan membukukan ilmu-ilmu gaya bahasa, ilmu keindahan bahasa dan segala hal yang berkaitan dengan keindahan ilmu bahasa.

Perubahan itu menimbulkan pula perubahan dalam penyusunan dan pemikiran tentang kitab-kitab tafsir.

Ahli-ahli tafsir tidak lagi hanya mengutip riwayat dari sahabat, tabi’in dan tabi’it sahaja tetapi mula bekerja menyelidik, meneliti dan membandingkan apa-apa saja yang dikerjakan oleh orang yang terdahulu dari mereka.

Para musafir juga mula mentafsirkan gaya bahasa, keindahan bahasa, tatabahasa di samping mengolah dan mentafsir ayat-ayat al-Quran sesuai dengan ilmu pengetahuan dan tahap kecendeikawanan yang mereka miliki dan semacam berlaku pertarungan keilmuan, kesarjanaan dan kekecendekiawanan.

Hasilnya lahirlah pelbagai kitab tafsir yang dikarang dari prospek yang juga pelbagai iaitu:

* Golongan yang mengerjakan penafsiran al-Quran dari segi gaya bahasa dan keindahan bahasa. Yang menyusun kitabnya dari prospek ini ialah Az-Zamakhsrai dalam kitab tafsir Al-Kasysyaaf, kemudian diikuti oleh Baidhawi.

* Golongan yang mengerjakan penafsiran al-Quran dari prospek tata bahasa yang kadang-kadang mereka menggunakan syair-syair Arab bagi mengukuhkan lagi pendapat mereka seperti Az-Zajjad dalam kitab tafsirnya berjodol Ma’aanil Quran, Al-Waahadi dengan kitab berjudul Al-Basiith, Abu Hayyaan Muhammad bin Yusuf al-Andalusi dengan kitab tafsirnya bertajuk Al-Bahrul Muhiith.

* Golongan yang menitik-beratkan perbahasan mereka dari segi kisah dan cerita-cerita yang berasal dari orang Yahudi dan Nasara, malah kadang-kadang berasal dari kaum Zindik yang ingin merosakkan Islam.

Dalam menghadapi tafsir yang seperti ini sangat memerlukan penelitian dan pemeriksaan oleh kaum Muslim sendiri. Yang paling terkenal dalam menghasilkan kitab tafsir dari prospek ini ialah Ath-Tha’labi, kemudiannya ‘Alaaudin bin Muhammad Al-Baghdaadi (mati tahun 741 H). Tafsir Al-Khaazi juga termasuk dalam golongan ini.

* Golongan yang mengutamakan penfasiran ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hukum: menetapkan hukum-hukum fikh. Penafsiran dari prospek ini dilakukan oleh Al-Quthubi dengan kitab tafsirnya berjudul Jami’ Ahkaamul Quran, Ibnu Araby dengan kitab tafsir Ahkkamul Quran, Al-Jashshaash dengan kitab yang juga berjodol Ahkmaul Quran dan Hasan Shddiq Khan dengan kitab Naiful Maraan.

* Golongan yang menfasirkan ayat-ayat al-Quran yang berhubung dengan sifat-sifat Allah dan penafsir yang terkenal menafsirkan ayat-ayat al-Quran dari prospek ini ialah Azr-Razi (meninggal dunia pada tahun 619 H) dengan kitabnya berjodol Mafaa’tihul Ghaib.

* Golongan yang menitik-beratkan penafsiran kepada isyarat-isyarat Allah yang berhubungan dengan ilmu suluk dan tasyawwuf seperti kitab At-Tasturi susunan Abu Muhammad Sahl bin Abdullah At-Tasturi.

* Golongan yang hanya memperkatakan lafaz al-Quran yang gharib (yang jarang terpakai dalam perkataan sehari-hari) seperti kitab Mu’jam Ghariibil Qur’an karangan Muhammad Fuad Abdul Baaqi dari Syahih Bukhari.

Di samping itu masih terdapat kitab-kitab tafsiran:
1. Tafsiran Aliran Mu’tazilah
Kitab karangan tokoh-tokoh ilmuan dari aliran ini sangat banyak. Tetapi yang sampai kepada generasi sekarang sangat terhad jumlahnya seperti kitab Majjalisusy Syairiff al-Murtadha. Menurut pendapat sebahagian ahli tafsir, kitab berkenaan benafaskan Syi’ah Mu’tazilah. Kumpulan tafsir ini sekarang dicetak di Mesir dengan nama Amali Al-Murtadha.

2. Tafsir Aliran Syi’ah
Kaum Syi’ah banyak menghasilkan kitab-kitab tafsir. Tafsiran mereka ditujukan kepada mengagung-agungkan Ali dan keturunannya, penghinaan terhadap Abu Bakar, Umar, Usman dan sebagainya. Mereka berani melakukan ta’wil yang jauh sekali untuk kepentingan aliran mereka.

Penafsiran al-Quran era ketamaddunan, era perang keilmuan, kesarjanaan dan kekecendekiawanan memuncak bermula pada akhir abad ke 19 hinggalah ke zaman ini kerana dunia dan manusia berdepan dengan revolusi ketamaddunan yang sangat laju.

Ekoran dari runtuhnya keangungan kerajaan Islam, maka penganut Islam yang sentiasa menjadi mangsa penindasan dan penjajahan bangsa barat yang anti Islam telah mula bangkit kembali.

Di mana-mana pun mereka merasakan agama diperhinakan, dirosak dan dinodai dengan menjadikan kebudayaan yang bercanngah dengan Islam bagi merenggangkan umat Islam dari agama mereka serta dari al-Quran sebagai kitab rujukan mutlak.

Ekoran dari itu wujud tokoh-tokoh yang berjuang melalui pelbagai cara dan saluran termasuk dalam bentuk penghasilan kitab bagi menyedarkan umat Islam supaya terus berada dalam Islam dan menjadikan Islam sebagaimana yang dimahukan oleh Allah dan Rasul-NYA.

Induk kebangkitan bermula di Mesir dan di sana muncullah tokoh-tokoh seperti Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh, di Pakistan dan India muncul Sayyid Ahmad Khan dan turut merebak ke Kepulauan Melayu dan muncul H.O.S. Cokroaminoto dengan Syarikat Islamnya, kemudian K.H. Ahmad Dahlan yang terkenal dengan Kumpulan Muhammadiyahnya dan K.H. Hasyim dengan Kumpulan Nahdatul Ulama dan A. Hasan dengan Persatuan Islamnya.

tab tafsir al-Quran yang muncul pada era kebangkitan semula Islam ini antaranya ialah tafsir al-Manar tulisan Rasyid Ridha, tafsir Mahaasinut ta’wil susunan Jamaluddin Al-Qasimi, tafsir Jawahir oleh Thanthawi dan banyak lagi kitab-kitab tafsir.

Penghasilan kitab-kitab tafsir di Kepulauan Melayu adalah bersandarkan cedokkan dari kitab-kitab berbahasa Arab dan ia berkembang di Indonesia tetapi tidak berapa ketara di Semenanjung Tanah Melayu walaupun banyak terdapat ulamak-ulamak besar di Pattani, Kelantan dan sebagainya .

No comments: