Tuesday, June 23, 2009

MUNCUL KEMBALI (239) - DIKEMASKINI

kerajaan perpaduan: Minat terhadap Umno/BN akan melonjak, kencenderungan terhadap Pas/PR akan menjunam

BARISAN Nasional (BN), apatah lagi Umno yang merupakan parti terbesar orang Melayu yang juga tunggak kepada BN, tidak akan lemah kerana kerajaan perpaduan gagasan Presiden Pas, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang tidak menjadi kenyataan oleh hadangan dari dalam parti yang dipresideninya sendiri.

Saya sederap pandangan, pendapat dan pendirian dengan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN bahawa BN tetap berupaya mentadbir negara tanpa konsep kerajaan perpaduan.

Umno/BN tidak perlu meletakkan reputasinya pada status hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong berhubung dengan isu kerajaan perpaduan.

Kepercayaan Perdana Menteri bahawa Pas ikhlas dalam menggagaskan kerajaan perpaduan adalah sebagai tanda bahawa Umno/BN mengamalkan sikap terbuka untuk berbaik sangka dengan sesiapa sahaja yang berhajat mahu berkerjasama.

Bila penggagasnya sendiri menyertai pimpinan Pas menolak gagasan itu menyusuli keputusan menolaknya yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat (PR), maka semua pihak kena menghormati keputusan itu dan pada masa yang sama berhak pula menilai kualiti kepimpinan Pas serta sejauh mana jangka hayat PR itu di persada politik negara sesuai dengan amalan demokrasi.

Saya yakin para pemimpin Umno, terutama Dato' Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno tidak akan menitiskan walaupun sekadar setitik air mata kesedihan atau pun sampai tidak berselera makan berbulan-bulan lamanya kerana kerunsingan apabila kerajaan perpaduan yang digagaskan oleh pimpinan tertinggi Pas tidak menjadi kenyataan.

Juga para pemimpin Umno tidak akan ketawa terbahak-bahak kalau pun gagasan itu menjadi realiti kerana syarat yang dikenakan oleh pemimpin yang lebih rendah dari Dato' Seri Haji Hadi yang menuntut jawatan menteri-menteri tertentu sebagai syarat pembentukkan kerjasama membuktikan bahawa ada semacam kekemarukkan untuk menjadi menteri di kalangan pimpinan Pas/PR.

Syarat yang dituntut secara tidak langsung boleh mewujudkan pelbagai kekusutan, malah tidak mustahil seandainya gagasan itu menjadi kenyataan, akan timbul ketegangan sesama Umno dan juga di kalangan parti-parti komponen sekiranya apa yang dituntut dipenuhi atas alasan apa sekali pun.

Ertinya walaupun agak janggal apabila pihak yang menggagaskan kerajaan perpaduan menolak gagasannya sendiri tanpa sempat pun dibawa ke dalam perundingan sama ada akan dilihat releven atau sebaliknya oleh pihak yang akan mempertimbangkan gagasan itu, mahu tidak mahu pasti ada hikmahnya apabila ditakdir ianya ditolak, setelah berlaku pertembungan dan ketidak-sealiran serta ketidak-sejaluran pendapat sesama sendiri.

Bagaimanapun hikmah paling besar di sebalik ribut dalam cawan berhubung isu itu walaupun dalam tempoh masa yang singkat tetapi agak tenat dan mencemaskan, memberi peluang kepada rakyat negara ini mendapat maklumat dan mengenali sikap serta perilaku para pemimpin dan tokoh-tokoh besar kepada parti-parti politik di negara ini.

Berdasarkan maklumat yang mereka perolehi secara langsung atau tidak langsung, maka dapatlah mereka mula membuat penilaian, timbang-sukat dan hitung-kira dari sekarang dalam memuktamadkan keputusan untuk memberi mandat kepada parti mana pada pilihanraya umum ke-13 nanti, malah ianya juga akan mempengaruhi keputusan Pilihanraya Kecil Dun Manek Urai yang akan berlangsung dalam tepoh terdekat.

Bagi saya, dengan apa yang berlaku behubung isu kerajaan perpaduan, bukan sahaja Umno/BN akan terus diberi mandat pada pilihanraya umum ke-13 tetapi kemenangan yang akan dicapai nanti akan melebihi 2/3. Keyakinan dan minat umum terhadap Pas/PR akan menjunam teruk, sebaliknya minat terhadap Umno/BN akan melonjak.

Setidak-tidaknya Selangor akan berjaya dikuasai Umno/BN semula, di Perak Umno/BN akan menang dengan majoriti 2/3 manakala Kedah dan Kelantan kalau pun Umno/BN gagal merampasnya, Pas akan dapat terus menjadi kerajaan dengan 'majoriti sakit' sahaja kecuali sekiranya Pas tidak ada kaitan dengan PR.

Di Pulau Pinang DAP akan terus mantap kerana majoriti bangsa yang mendominasi parti itu tidak sama cara bermain politiknnya dengan orang Pas khususnya dan orang Melayu seluruhnya amnya.

Saya juga merasakan PR tidak akan mampu bertahan sehingga pilihanraya umum ke-13, pakatan tidak resmi part-parti pembangkang itu akan retak dan seterusnya terbelah kerana ianya dibangunkan tanpa tapak dan sktruktur yang benar-benar kukuh dan meyakinkan.

Akhirnya di antara ketiganya akan berlumba-lumba untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno/BN atas kesedaran bahawa untuk menjadi sebuah kerajaan negeri yang lebih baik dari kerajaan negeri yang sebulu dengan pusat bukan seperkara yang mudah sebagaimana mudahnya menjadi pembangkang.

3 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum
benarkan saya untuk memberi pandangan
saya sebagai pengundi yang sudah lama menyertai PAS ingin menyatakan bahawa saya sebagai penyokong PAS tidak akan menukar halian yang telah lama saya pilih .Saya memilih PAS adalah kerana saya tidak suka memilih pemimpin yang lain dari Alim ulama yang terang-terang menampakkan sifat orang yang tidak boleh dipercayai untuk menjaga negara dan kepentingan rakyat.Dah 50 tahun dah bermacam cerita dan bukti menampakkan betapa tidak boleh di angkat menjadi pemimpin.Nabi telah menyatakan cara cara memilih pemimpin.Cuma kita yang harus merenung bagaimanakah wajah pemimpin yang akan memimpin kita nanti.Kalau orang itu kuat agama maka ke arah agamalah yang kita akan dipimpin.Tapi kalau terang-trang kearah maksiat takkan kita nak pilih lagi.Orang tua tua ada berkata kalau tak ada gading tanduk pun berguna juga.Jadi kalau tak ada orang yang betul betul alim, orang yang menuju ke arah itu adalah pilihan terbaik kita.Ulama adalah pewaris nabi.Lagi satu saya ingin beritahu perjuangan orang PAS bukan untuk kebendaan dengan bnyak pembangunan tapi sosial tergadai.Kalau nak banding harta apalah yang ada melainkan kepuasan dalam perjuangan.Sekian terima kasih..
Wassalam

pemudacakna said...

Assalamualaikum,
Saya amat menyokong tulisan Abe Meli. Orang yang tak suka dengan tulisan Abe Meli ni adalah orang yang terkatup pemikirannya dimana apa saja yang dibuat dan dinyatakan oleh pemimpin sokongannya betul belaka.
Saya harap Abe Meli terus menulis dan mudah-mudahan tulisan Abe Meli berguna untuk menegakkan kebenaran demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
Wasalam.

Anonymous said...

Sapuan UPPKN said...

Bagus abg lii tulisan dan pandangan abang lii utk terus membela tanah air dan membela LUBANG AIR