pemuda Pas ajak Pemuda Umno berwacana
Bukti perbezaan tahap pemimpin generasi baru dengan generasi klasik
DARI segi resam kejadian makhluk, termasuklah makhluk bernama manusia, yang muda tempoh hayatnya akan lebih lama dari hayat kalangan yang sudah tua walaupun memang ada yang muda lebih dulu mati dari yang tua.
Lazimnya yang muda akan merancang pelbagai rancangan untuk memastikan perjalanan hidupnya akan bertambah selesa sesuai dengan peningkatan usia dan petambahan jumlah tanggungan di samping akan dipastikan ada bekalan untuk masa tua.
Manakala orang sudah tua pula, apatah lagi bagi yang hidup pada usia subsidi, yakni yang berusia 63 tahun ke atas, mereka sudah tidak tertarik untuk membuat persediaan, apatah lagi bagi mengumpul kekayaan dalam bentuk harta benda.
Yang paling menjadi harapan ialah kalau pun sudah sampai ajal, biarlah mati dalam keadaan beriman dan akan masuk syurga walaupun dianya bukan beragama Islam yang mana syarat untuk layak masuk syurga itu sendiri sebenarnya kena terangkum antara Islam, iman dan taqwa.
Kerana itulah bila kita ke masjid, surau atau madrasah, yang paling ramai, yang paling rajin bersembahyang sunat, yang lebih lambat tinggalkan masjid dari sekalian jemaah, termasuk lebih lambat daripada imam, bilal dan siak masjid sendiri adalah mereka yang berusia subsidi walaupun ketika usia mudanya, kalau singgah di masjid pun barangkali kerana mahu guna tandas, bukannya kerana mahu berjemaah.
Demikian halnya bila melihat tanggapan orang Pas terhadap Umno. Sangat ketara perbezaan tahap pemikiran antara generasi baru dan generasi klasik dalam parti itu. Ini adalah kerana kedua-duanya mempunyai keperluan yang berbeza dalam berparti politik dan berpolitik.
Golongan klasik semacam melihat Umno seolah-olah terlalu najis yang barangkali tidak suci kalau pun disamak sebagai kewajipan menyamak jika tersentuh babi atau anjing dalam keadaan basah. Pas dianggap suci dan Umno dianggap kotor, Pas dianggap Islam manakala Umno dianggap anti Islam.
Sehinggakan muzakarah bagi membolehkan Pas dan Umno berhujah secara rasional dan profesional menggunakan kepala dan dada yang lapang ditolak oleh golongan klasik Pas yang mahukan diadakan debat membabitkan lawan dari tokoh yang tidak sepadan terhadap isu yang dicabar untuk diperdebatkan.
Seolah pada golongan klasik tidak timbul walaupun cuma sekelumit kebimbangan kalau-kalau apa yang dipercayakan bahawa Pas itu Islam dan Islam itu Pas berkemungkinan tidak selari dengan Islam sebagaimana yang disangkakan dan Umno yang dilabelkan sebagai anti Islam oula ada kemungkinan pelabelan itu tidak tepat.
Tetapi tidak demikian halnya dengan golongan muda sehingga bersedia mengajak, malah surat sudah pun dihantar, untuk berwacana dengan Pemuda Umno yang mana ajakan itu telah disambut dengan penuh positif tanpa prejudis oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno sendiri.
Pada saya alasan yang diberikan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan Tantawi tentang tujuan wacana itu bagi mengelak dari berlakukanya kekeliruan, timbulnya fitnah dan salah maklumat yang terima oleh orang ramai, tentunya tentang perjuangan Umno dan Pas, adalah sangat rasional dan profesional lagi bijkasana.
Kesediaan Pergerakan Pemuda Umno yang menyambut baik ajakan sebagaimana yang dinyatakan sendiri oleh ketuanya, Khairy Jamaludin, bahawa inisiatif Ketua Dewan Pemuda Pas itu adalah perkembangan besar ketika usaha untuk mengadakan perbincangan antara Pas dan Umno di peringkat pusat diganggu rakan-rakan dalam pakatan pembangkang, membuktikan bahawa Pergerakan Pemuda Umno berprasangka baik terhadap Pas.
Mudah-mudahan wacana Pemuda Pas-Pemuda Umno bukan sahaja akan benar-benar menjadi kenyataan tetapi ianya akan belangsung secepat mungkin dan akan disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen tv utama di negara ini bukan untuk mencari siapa yang menang dan siapa yang kalah tetapi untuk mencari kaedah-kaedah yang akan memastikan agama, bangsa dan negara mendapat faedah dan labanya.
Wednesday, July 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment