Monday, July 6, 2009

MUNCUL KEMBALI (261) - DIKEMASKINI DAN PEMBETULAN EJAAN

Bukan masanya untuk ajar pengundi Manek Urai

MUNGKIN kepada kebanyakan pengundi kawasan dewan undangan negeri atau parlimen di negara ini, mereka hanya berpengalaman mengundi sebanyak 12 kali kerana pilihanraya umum di negara ini baru berlangsung sebanyak 12 kali.

Tetapi kepada seramai 12,293 pengundi di Manek Urai, termasuk 25 pengundi Pos, mereka bakal menimba pengalaman mengundi dan berpilihanraya kali ke-13 pada 14 Julai ini sebagaimana yang dialami oleh para pengundi di kawasan-kawasan yang wakil rakyat juga mati atau letak jawatan.

Pengalaman yang lebih banyak akan menjadikan pengundi kawasan terbabit lebih bijaksana dalam membuat pertimbangan. Oleh itu adalah sangat silap strategi kalau tukang kempen parti-parti yang bertanding cuba mahu mengajar pengundi di kawasan berkenaan supaya memilih parti dan calon untuk diberi undi.

Sama ada Pas yang mempertahankan kerusi kawasan N41 Manek Urai mahu pun Umno yang mahu pengundi di kawasan berkenaan mengalih selera supaya merela boleh bezakan antara berada di bawah wakil rakyat Pas dengan wakil rakyat Umno, pada pendapat saya masing-masing kena mengelak dilihat sebagai cuba mengajar para pengundi.

Sebaliknya masing-masing kena berusaha meyakinkan para pengundi tentang kemunasabahan memberi kemenangan kepada parti yang benar-benar releven untuk mereka dan bukannya parti yang hanya asyik beretorik.

Misalnya Pas kena yakinkan pengundi kenapa mereka kena kekalkan kemenangan Pas, apakah kerana Pas mampu memenuhi segala keperluan mereka sebagai pengundi atau pun kerana mereka seronok, yakin dan selari dengan tanggapan Mursyidul Am Pas adalah betul bahawa Umno sama dengan komunis dan ajaran sesat Ayah Pin.

Juga apakah kerana mereka boleh diyakinkan bahawa Pas memperjuangkan Islam dan Umno pula menolak Islam yang mana Pas barangkali perlu memberi dalil berhubung dengan dakawaannya.

Bila menolak Islam maknanya pimpinan, ahli serta penyokong Umno tidak sembahyang, tidak akan dirikan masjid, sebaliknya akan robohkan masjid yang didirikan oleh Pas yang memperjuangkan Islam, malah akan menutup segala lubang dan peluang untuk kebangkitan Islam.

Kalau Umno menolak Islam, al-Quran, kitab-kitab hadis dan kita-kitab karangan alim ulamak muktabar akan dilarang dibawa masuk ke negara ini atau dibakar. Pelajar perempuan yang datang ke sekolah dengan berpakaian menutup aurat akan digantung sekolah, dilarang masuk kelas.

Oleh kerana seramai 12,192 pengundi di Manek Urai adalah Melayu bergama Islam dan hanya 56 orang Cina, 28 orang India dan 12 bangsa-bangsa lain yang pastinya tidak Islam, maka Umno juga kena meyakinkan bahawa selain dari sebagai parti yang berkuasa pada peringkat pusat ia berkemampuan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan, parti itu juga kena meyakinkan pengundi bahawa ianya tidak menolak Islam sebagaimana yang didakwa oleh Pas.

Umno kena memberikan fakta tentang parti itulah sebenarnya yang berusaha mengembangkan syiar Islam bukan sahaja pada peingkat negara tetapi juga para peringkat serantau dan dunia, malah parti itu belum pernah meroboh masjid yang dibina oleh Pas, malah masjid yang ada di negara ini dibina oleh Umno, bukannya oleh Pas

Mencaci cerca calon, apatah lagi oleh para penceramah atau tukang kempen dari luar Kelantan dan dari luar Kuala Krai amnya, apatah lagi dari luar Manek Urai khususnya tidak akan membantu memberi advantage kepada calon-calon yang bertanding, sebaliknya ia akan menjadi umpama menggali lubang untuk timbus diri calon yang dijulang dengan jengkaut milik calon yang dicerca.

Saya yakin pengundi Manek Urai tidak akan tertipu oleh saiz lilitan serban, ketajaman bahagian atas kopiah, kelabuhan jubah dan kepanjangan janggut pada pilihanraya kali ini. Mereka juga tidak akan melihat caci cerca dan maki hamun lawan sebagai suatu bentuk kempen yang bermoral dan selari dengan Islam kerana ramai juga orang Manek Urai yang tamat belajar di universiti timur tengah.

Bagi saya, siapa yang lebih celupar akan ditolak manakala siapa yang mampu bersabar dan tidak membalas cacian dan makian dengan cacian dan makian juga, maka parti itulah yang akan diberi mandat.

Harus diingat walaupun Manek Urai dianggap ulu, tetapi tukang-tukang kempen jangan membuat kesimpulan para pengundi otodoks, berfikiran terkatup, kurang ilmu dan jahil kerana orang Manek Urai yang lebih bijak, lebih berilmu dan lebih alim dari tukang kempen tidak cukup jari tangan dan jari kaki untuk dihitung jumlahnya.

Kebanyakan penduduk Manek Urai berasal dari bandar dan kerana mempunyai pemikiran yang terbuka dan berpandangan jauh, mereka sanggup berhijrah untuk mengumpul kekayaan dengan membuka ladang getah, ladang buah-buahan dan usaha-usaha lain yang melibatkan mereka bebudi kepada tanah, menjadikan kocek mereka lebih berisi berbanding dengan mereka yang bermastautin di bandar dan pekan.

Secara peribadi saya berpendapat, berdasarkan kepada perkembangan semasa, termasuk tingkah laku dan kekeceluparan Mursyidul Am Pas, kalau parti itu mampu mempertahankan Manek Urai adalah sesuatu yang amat luar biasa tetapi kalau Umno menang ianya adalah sesuatu yang memang patut.

Bagaimanapun segala-galnya bergantung kepada 12,293 pengundi yang terpaksa akur kepada apa yang telah terskrip oleh suratan dan takdir-Nya. Saksikanlah ceramah-ceramah tukang kempen sebagai suatu bentuk hiburan yang tidak selalu datang.

Apa pun keputusannya nanti, biarlah segala ketidak-satu-paduan hanya dalam tempoh kempen sahaja, selepas selesai pilihanraya orang Manek Urai kena kembali hidup aman damai dan penuh persefahaman atas semangat Manek Urai dan tunggu datangnya edah pilihanraya akan datang untuk kembali bertelagah sebagai adat berpilihanraya.

6 comments:

Gemulah Abang Ya Daging said...

Adik li yang abg Ya sayangi, kalu betul seperti yang adik katakan UMNO akan menang, nih abang ya akan belanja adik li makan percuma di KEDAI RAIS selama setahun (1 Tahun) mulai UMNO menang di MAnek Urai nanti. Sama-sama kita tunggu dan lihat

Anonymous said...

Adoh! kempen yang halus. Mesti ada peluang jadi wakil rakyat UMNO dalam PRU akan datang

Anonymous said...

SESIAPA YANG MENANG TAK PENTING....YANG PENTING IALAH..., MASYARAKAT BOLEH HIDUP AMAN BAHAGIA, MAKMUR, DAPAT CARI MAKAN UNTUK MEMBESARKAN ANAK-ANAK DAN ANAK DAPAT PELAJARAN AGAMA DAN AKADEMIK DENGAN BAIK....KELUARGA DAPAT MENGHASILKAN ANAK YANG BERKUALITI DAN BERIMAN....PEMIMPIN MESTI MENYEDIAKAN PELUANG ITU KEPADA RAKYAT....., KERAJAAN MENYEDIAKAN PELUANG KEPADA RAKYAT UNTUK MEMPELAJARI AGAMA SECARA FORMAL DAN INFORMAL... BARULAH KITA TIDAK MENGHASILKAN MASYARAKAT YANG MISKIN DALAM SEGALA BIDANG.

pemudacakna said...

Berkaitan dengan Pilihan Raya di Manek Urai saya bersetuju dengan rencana Abe Meli. Kempen bukan untuk ajar pengundi kerana kempen tidak membawa kesan apa-apa kepada pengundi yang bertaraf 'penyokong totok'.
Bagi pengundi sebegini kalau ia kata HIJAU, sebut BIRU pun dia marah. Mungkin begitulah sebaliknya.
Ini adalah kerana penyokong ini menggunakan KATA HATI yang sudah terpendam lama untuk membuat pilihan.
Jadi untuk memperkesankan, kempen hendaklah ditujukan kepada penyokong ATAS PAGAR kerana penyokong inilah sebenarnya yang menggunakan AKAL FIKIRAN untuk memilih sama ada BIRU atau HIJAU.
KEBIJAKSANAAN berkempen menentukan kemenangan mana-mana parti yang bertanding.
Parti yang memiliki JENTERA YANG JUJUR YANG SANGGUP BERKORBAN UNTUK PARTI juga akan mempengaruhi pengundi. Jika mempunyai JENTERA YANG NAK DUIT SAJA TAPI TAK SANGGUP BERKORBAN nescaya akan kecundang akhirnya.
Kempen hanya sekadar merayakan pilihan raya. Kalau tak ada kempen tak seronoklah pilihan raya.
Maka berkempenlah ................

Waklolok said...

Jangan buat andaian setakat jumpa beberapa orang yang kita kenal. Adakah mampu untuk kita tanya setiap penduduk Manik Urai. Kalau kita masuk dalam kelompok UMNO mestilah dia jawab akan menang, takkan lah dia nak jawab UMNO akan kalah.

Ahli Pas Sejak Tahun 1978 said...

Encik Waklolok!
Andaian yang dibuat tidak lebih dari andaian. Abdaiabn bukan mutlak sifatnya. Betul ke tidak belum tentu.
Sama ada Pas kata akan menang atau Umno kata akan menang, semuanya andaian belaka. Bukannya hasil ditanya setiap orang pengundi, Umno juga tidak tanya setiap pengundi, Pas juga tidak tanya setiap pengundi.
Hak kita kena percaya, segala-galanya telah terskrip dalam suratan dan takdir-Nya (pinjaman kata Abe Li)