Kalau tak dapat pahala dapat dosa
HARI ni lambat sikit kemas-kini blog. Lepas Jumaat saya ke Seri Tujuh, memacing ikan bbuluh. Dapat jugalah dalam tiga kilo. Bubuh tiga mata kail, tiga ekor sekali dapat.
Seronok jugak. Walaupun ikannya kecil tetapi jumlahnya banyak. Kalau tunggu nak dapat ikan siakap, kadang-kadang tunggu dari pagi sampai petang selama sebulan pun, jangankan nak berekor-ekor, satu ekor pun tak dapat.
Takut bini buat bising kerana asyik bertumas mengail tapi ikannya tak dapat, terpaksalah dibeli ikan sangkar, dirosakkan bibirnya nampak macam kena kail. Itu antara kerenah kaki pancing yang bukan takutkan bini tetapi bini tidak berapa takutkan suami.
Mengail ikan bbuluh akan sentiasa dapat, tak cukup tangan dibuatnya. Kalau ada di kalangan penjenguk blog ni mahu menimba pengalaman memancing ikan bbuluh, marilah ikut join sekali tanpa mengira fahaman politik.
Walaupun agak berdukacita kerana penerbitan akhbar dan majalah terpaksa dihentikan buat sementara manakala perniagaan besi buruk (beli kereta untuk dilupuskan) Mr Lim @ Tong yang urus sepenuhnya, tetapi ada keseronokkan juga menikmati hidup sekarang kerana ada masa untuk saya memancing dan mencerik burung.
Cuma hobi memukat tarik tidak dapat diteruskan kerana ianya memerlukan tenaga yang ramai. Paling kurang pun lapan orang. Hasilnya lumayan. Rakan-rakan yang selalu ke Seri Tujuh memukat tarik ada yang sudah mati dan ada pula yang tengah sakit.
Buka email sekejap tadi, ada yang minta saya ulas melalui blog saya betul ke undi Pas dapat pahala sebagaimana yang dikatakan oleh Mohd. Amar anak gemulah Pok Nik Lah.
Mohd. Amar (Mohd Amar Nik Abdullah adalah exco kerajaan negeri Kelantan), Pok Nik Lah atau Nik Abdullah Arshad adalah tokoh Pas yang bertanggungjawab membawa Tok Guru Nik Aziz ke dalam Pas.
Saya boleh ulas tetapi kena diterima hakikat bahawa saya bukan ulamak, belajar agama pun tidak sampai ke Mesir atau mana-mana negara Arab, sampai ke India atau Pakistan pun tidak.
Saya akan memberi pandangan berdasarkan pengetahuan agama yang saya perolehi kerana sejak sebelum mumayyit lagi saya sudah ikuti kuliah-kuliah agama di madrasah depan rumah gemulah tokcik dan mokwa saya di Rong Chenak di samping saya banyak membaca kitab-kitab lama.
Dulu madrasah berkenaan penuh dengan jemaah para ustaz dan tok lebai memberi kuliah setiap malam, malah Allahyarham Dato' Haji Muhammad bin Nasir pun memberi kuliah sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Sayangnya madrasah berkenaan kini sudah tidak sesemarak dulu lagi. Kadang-kadang orang yang bang, yang jadi imam dan yang jadi jemaah hanya orang yang sama (seorang).
Ramai anak kampung yang dah belajar hingga ke negara-negara Arab tetapi semuanya tinggalkan kampung, jadi imam di masjid di KL dan sebagainya.
Bila saya kata saya boleh ulas tetapi kena diterima hakikat bahawa saya bukan ulamak, belajar agama pun tidak sampai ke Mesir atau mana-mana negara Arab, sampai ke India atau Pakistan pun tidak, maknanya jangan mudah terima hujah dan ulasan saya tanpa merujuk kepada al-Quran dan Hadis sebagai rujukan mutlak.
Saya setuju undi Pas boleh pahala kalau Pas betul-betul berparti politik secara Islam dan tidak terkadas dengan hukum hakam walaupun hanya sebesar hama miskipun untuk apa tujuan dan muslihat sekali pun.
Berpolitik secara Islam antaranya tidak boleh prejudis, tidak boleh sakitkan hati orang, apatah lagi mengkafirkan lawan yang diketahui bahawa lawan juga beragama Islam tetapi dikafirkan hanya kerana tidak separti dengan kita.
Betul-betul Islam bukan sekadar dalam berpolitik tetapi cara bersosial, berkomunikasi, bersuami isteri, berpoligami, bekerja (sama ada makan gaji, berniaga atau bekerja sendiri), makan minum, tidur bangun, melakukan hubungan jenis dengan pasangan yang dinikahi dan sebagainya mesti betul dan tidak berkadas dengan Islam.
Bukan sahaja mengundi Pas tetapi kalau undi Umno pun dapat pahala sekiranya calon yang diberi undi menenuhi ciri-ciri yang dituntut oleh Islam.
Undi Pas kerana dalam nama penuhnya ada Islam pun berdosa kalau kerana undi yang diberikan, orang Pas yang diberi undi jadi riak, angkuh, sombong dan bongkak sehingga sanggup kafirkan sesama Islam yang tidak separti.
Yang sah berdosa adalah kalau undi DAP yang terang-terang menentang Islam. Kalau Umno dianggap ada unsur-unsur kekafiran kerana banyak perbuatan mungkar di dalamnya, harus diingat yang melakukannya bukan Umno secara total tetapi individu-individu tertentu dalam Umno.
Demikian juga dengan Pas, hanya kerana Tok Guru Nik Aziz secara individu dilihat tinggi tahap ilmu amalnya, maka tidak boleh Pas dianggap suci sedangkan tokoh-tokoh lain dalam parti tidak banyak beza dengan tokoh-tokoh Umno.
Apakah kalau Tok Guru Nik Aziz tiba-tiba masuk DAP misalnya, DAP akan jadi suci? Oleh itu dalam memberi undi jangan bergantung kepada kepimpinan atau keanggotaan dan sokongan kepada sesuatu parti, sebaliknya kena melihat kepada individu yang diberi undi sama ada amalan hidupnya selari dengan Islam atau tidak.
Bagi saya memberi undi kepada wakil rakyat Pas yang berpoligami yang menipu isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat juga boleh mendatangkan dosa dan bersubahat kerana kalau tidak diberikan undi dan kalau tok wakil Pas tidak menjadi tok wakil, tak mungkin tok wakil berkenaan berpoligami dan terpaksa berbohong dengan isteri atau isteri-isteri.
Memang betul poligami halal tetapi menipu atau menyorok dari pengetahuan isteri yang sedia ada akan mendatangkan dosa kerana menipu.
Kesimpulannya, dalam hidup kita di dunia ini ada dua sahaja yang akan kita perolehi terhadap apa yang kita buat sama ada akan mendapat pahala atau dosa tanpa mengira kita orang Umno atau Pas!
Friday, July 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Pada pemahaman saya, sesiapa yang mengatakan PAS itu ISLAM dan ISLAM itu PAS dan menganggap kalau tak masuk PAS maka tak Islamlah ia, maka itu adalah satu pandangan yang SALAH di sisi AQIDAH dalam ISLAM.
Islam adalah AGAMA dan PAS adalah PARTI POLITIK adalah dua ungkapan yang berbeza. ISLAM adalah AGAMA CIPTAAN ALLAH dan PAS adalah sebuah PERTUBUHAN POLITIK CIPTAAN MANUSIA. CIPTAAN ALLAH dan CIPTAAN MANUSIA adalah jauh berbeza. Hanya orang yang berfikir dengan AKAL dan IMAN tahu bezanya. Janganlah berfikir dengan kata hati yang TAKSUB kerana keputusannya mungkin tidak tepat kerana telah dipengaruhi oleh hasutan SYAITAN. SYAITAN boleh menggoda hati manusia, tetapi SYAITAN akan kalah dengan IMAN yang ada dalam hati manusia.
Maka bila memberi pandangan, gunakan AKAL yang dipengaruhi oleh IMAN dan bukannya dipengaruhi SYAITAN.
Tidak ada agama yang benar melainkan ISLAM dan tidak ada tuhan yang benar melainkan ALLAH.
Sdr MKJ kata...
... Kesimpulannya, dalam hidup kita di dunia ini ada dua sahaja yang akan kita perolehi terhadap apa yang kita buat sama ada akan mendapat pahala atau dosa tanpa mengira kita orang Umno atau Pas!
...........................................
Bagaimana melayu DAP, melayu PRM, melayu PSM, melayu PPP, melayu Gerakan, melayu PBS, melayu PBB, melayu PKM (CPM.. musa ahmad, rashid maidin, abdullah cd, ..) .. janganle dok kutuk, keji, dakyahkan, isa, lawan ... mereka jugak sembahyaang seperti melayu UMNO? seprti juga PAS.
Tapi yang beza antara PAS dengan yang lain2 tu ... adalah .. POLITIK ISLAM Vs POLITIK SEKULAR.
Politik Islam berpaksikan ideologi ciptaan Allah; Islam - Aqidah & Syariahnya.
Politik sekular berpaksikan ideologi cipta manusia - Ghairul Islam (unIslamic)- cth: Nasionalisme, Kapitalisme, Liberalisme, Sosialisme, Komunisme, Pragmatisme, Feudalisme, Monarki, Diktator ....
Sudah pasti berjuang, berkempen, berkorban, mengundi dengan keimanan & keikhlasan ... untuk tegak & pertahankan tauhid, Islam, politik Islam akan mendapat PAHALA!
Manakala berjuang & mengundi yang apa2 bukan berlandaskan roh Islam -GHAIRUL ISLAM (UNISLAMIC), ..itu bercanggah dengan syarak ... jalan nafsu & syaithan .. terserahlah hukumannya kepada Allah yang maha mengetahui & adil ....
Post a Comment