Monday, July 27, 2009

MUNCUL KEMBALI (294) - DIKEMASKINI

Tolak Umno terima kerajaan pusat: bolehkah roh dan jasad dipisahkan?

TIDAK pelik bagi saya kalau Mursyidul Am Pas, Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kata 'pergi jahanam dengan Umno!' yang membawa maksud kebenciannya yang amat sangat kepada Umno dengan alasan beliau tidak pernah menyatakan Pas pernah mahu bekerjasama dengan Umno. Yang ingin bekerjasama adalah antara kerajaan negeri pimpinannya dengan pusat.

Bukan setakat perkataan 'pergi jahanam dengan Umno', 'tetapi perkataan 'menatang' dan perkataan-perkataan yang lebih kesat sering digunakan oleh Menteri Besar Kelantan itu tetapi tetap dianggap manis dan harum oleh pendukung dan penyokong Pas yang taksub.

Umno tidak perlu ambil kisah tentang itu kerana parti itu tidak akan lebur kerana seranah dan tidak akan subur kerana julangan sesiapa. Yang kena diberi tumpuan ialah meneruskan segala agenda dan pastikan setiap apa yang dirancang dan dilaksanakan disukai rakyat.

Yang rakyat tidak suka kena ketepikan dulu walaupun untuk jangka panjang ianya barangkali amat berfaedah kepada rakyat dan negara. Tunggu bila rakyat boleh faham baru laksanakan supaya tidak timbul percanggahan dengan keyakinan rakyat.

Barangkali Dato' Nik Aziz lupa bahawa Umno sebagai parti tulang belakang yang memerintah dipusat adalah merupakan roh kerajaan pusat sekarang. Mana mungkin keduanya dipisahkan. Bolehkah kerajaan Kelantan sekarang dipisahkan dari Pas?. Apakah kerajaan Kelantan sekarang bebas dari bayangan Pas?

Menolak Umno bermakna menolak kerajaan. Jangan samakan seperti mana hukum berkaitan dengan kura-kura dan penyu: telurnya halal dimakan tetapi ibunya tidak boleh dimakan oleh orang Islam menjadikan orang Siam kepelikan jadinya kerana mereka bukan pakar hukum hakam kenapa telur halal dimakan tetapi ibunya tidak.

Jangan kerana itu, maka Kerajaan Pas Kelantan mahu hanya bekerjasama dengan kerajaan pusat tetapi tidak pelahap bekerjasama dengan Umno. Sayugia diketahui bahawa Perdana Menteri dan Presiden Umno serta Pengerusi Barisan Nasional adalah orang yang sama.Kentut Perdana Menteri pun bau Umno.

Kerana diberi mandat atas nama Umno/BN maka wujudnya Kerajaan Umno/BN, mana mungkin dalam mahu bekerjsama dengan kerajaan pusat, Umno mahu ditolak tepi. Bukan parti yang menguasai kerajaan. Kalau Perdana Menteri membelakangi Umno, bukan pembangkang yang akan sembelih, sebaliknya Umno 'lah yang akan sembelih dan lapah beliau.

Sebenarnya kacau juga fikiran saya jadinya dengan kenyataan terbaharu Dato' Nik Aziz, celaru untuk mencari ke mana hujung jatuh putar-belit dan putar ranggasnya yang sya yakin ada tujuan politik supaya beliau dan Pas dilihat suci dan Umno dilihat kotor, Umno ibarat telah dilumur dengan cat TOLAK ISLAM oleh beliau.

Bagaimanapun kecelaruan fikiran saya ternoktah ekoran penjelasan secara tidak langsung oleh seorang kakitangan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dalam perbualan secara tidak langsung dengan saya awal pagi tadi.

Dari perbualan itu saya boleh nampak kenapa Dato' Nik Aziz kelihatannya berbelit dan berputar-ranggas dalam menghulur salam dengan kerajaan pusat tetapi dalam masa yang sama menolak sebarang kerjasama dengan Umno kerana menganggap parti itu menyimpang dari Islam.

Pun begitu beliau seakan lupa bahawa DAP yang menjadi rakan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) jauh lebih menyimpang dari Islam berbanding dengan Umno. Rakyat diboleh dibuta-bolekan mata dan hati mereka tentang itu, kecuali bagi mereka yang telah ditutup dengan gam ketaksubanisme.

Juga sukar untuk dipastikan apakah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keahliannya terdiri dari pelbagai bangsa dan anutan agama lebih Islam dari Umno yang hanya dianggotai orang Melayu beragama Islam.

Dari perbualan secara tidak langsung dengan kakitangan MPKB itu juga saya mendapat info secara tidak langsung kononnya Kerajaan Kelantan sekarang menghadapi masalah kewangan yang kronik.

Cukai cemukai dan kenaan kompaun terpaksa dinaikkan dengan tinggi sekali dalam usaha untuk memastikan keperluan pengumpulan wang mencapai target.

Kalau dulu kompaun cuma RM30, kini naik ke angka RM150. Gara-gara binaan bangunan tambahan pada premis tanpa kebenaran MPKB yang mana nilai pembinaannya sekitar RM1,000 sahaja misalnya, kenaan dendanya kini sehingga RM10,000. Kalau tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan, akan dikenakan penalti lagi.

Tindakan terhadap para peniaga juga agak ganas, adakalanya pada waktu malam pun dilancarkan gerakan meroboh permis perniagaan atau binaan yang dibuat tanpa kebenaran MPKB, termasuk yang dibina di atas tanah milik pembina sesebuah premis itu sendiri.

Kakitangan MPKB itu juga mendakwa ramai yang merungut dengan tindakan MPKB sekarang kononnya lebih teruk daripada pada era pemerintahan Umno/BN dulu, malah kononnya sama ganasnya dengan Yahudi di Palestin.

Kononnya jua, kalau ikutkan atas nilai kemanusiaan, kakitangan MPKB yang terlibat dalam mengambil tindakan terhadap para peniaga tidak tergamak untuk menyempurnakan arahan tetapi dengan rasa berat hati terpaksa juga kena ikut perintah pihak atasan.

Menurut kakitangan MPKB itu lagi, kerana masalah kewangan yang kronik juga menyebabkan kerajaan negeri bersungguh-sungguh menuntut royalti minyak walaupun hakikat dan dari sudut undang-undangnya belum tentu lagi Kelantan berhak mendapat royalti yang dituntut itu.

Kononnya sikap suka berbelanja lebih besar lagak dari kemampuan sebenar bagi menunjukkan bahawa kerajaan negeri dibawah kepimpinan sekarang tidak pernah mengalami masalah kewangan kerana keupayaan luar biasa peneraju mentadbir perjalanan kerajaan menjadi antara faktor Kerajaan Kelantan kini menghadapi masalah kewangan yang sangat kronik.

Kadar premium bagi mendapatkan hakmilik tanah juga dikatakan melambung tinggi ratusan kali ganda menyebabkan kebanyakan pemohon yang meneroka tanah kerajaan yang sudah ditanam dengan pokok buah-buahan atau getah, tidak mampu membayarnya.

Kononnya gara-gara masalah kewangan yang kronik, Kerajaan Negeri Kelantan cuba memindahkan bebanan itu kepada rakyat dengan kenaikan cukai dan nilai kompaun serta premium di samping pelbagai taktik dan teknik pemungutan derma dirangka dan dikerangkakan.

Kononnyadan faktor itu jugalah yang telah menyebabkan keputusan pilihanraya kecil Manek Urai mencatatkan keputusan di luar jangkaan Pas dan ianya dijangka akan menjadi bom jangka yang akan meleburkan Pas di Kelantan pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Juga kononnya yang menjadi kebimbangan Kerajaan Kelantan sekarang adalah kalau-kalau masalah kewangan kronik yang dihadapinya sekarang sampai ke pengetahuan rakyat terbanyak dan tembelang sebenar kerajaan akan terselongkar.

Jika apa yang sedang berlaku bocor ke pengetahuan rakyat, Kerajaan Pas Kelantan boleh tumbang pada pilihanraya umum ke-13 nanti dan akan mengambil masa yang panjang untuk kembali berkuasa semula ekoran pendekatan yang digunakan oleh Umno/BN sekarang semakin memikat hati rakyat.

Benarkah apa yang didakwakan itu? Hanya Kerajaan Kelantan yang lebih tahu di samping Allah jua Yang Maha Tahu. Yang pasti masa dan keadaan akan tentukan segalanya. Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Dalam pada itu, sebelum mengundurkan diri dari posting kali ini, saya ingin memberi respon kepada komen yang dihantar melalui posting MUNCUL KEMBALI (293) sebagaimana berikut:

Anonymous said...
Masih beretorik sebenarnya Meli ini. Apa sangat yang tuan tahu pasal kerja-kerja kerajaan UBN ini?Melainkan retorik sepenuhnya demi mengekalkan kuasa. Saya faham perasaan tuan yang marah sangat dengan Pas bermula dengan Pas Kelantan. Umpama 'ditelah mati mak, diluah mati bapa'. Nak sokong berasa kecil hati, tak nak sokong sebab sayang.
July 27, 2009 9:26 PM
Post a Comment

Sebagaimana yang udah acapkali saya tegaskan, saya bukan orang parti politik tetapi dunia politik bukan baru bagi saya. Tidak ada sebab untuk saya marah atau sayangkan Pas atau pun Umno.

Bila saya memberi komen dan pandangan, saya tidak akan letakkan kepentingan politik di depan. Ianya lebih bersifat pandangan peribadi saya semata-mata supaya mana yang baik diteladani manakala yang tidak baik disepadani.

Saya tidak pernah bekerja dengan kerajaan persekutuan tetapi saya banyak membaca mengenainya, saya juga memerhati dan mengikuti perkembangannya.

Saya pernah berkeja dengan akhbar harian yang taukehnya adalah tokoh Umno, yakni Setiausaha Agung Umno sekarang (Dato' Tengku Adenan Tengku Mansor) dan akhbar itu pernah saya (sebagai ketua biro) gunakan untuk propaganda Pas kerana sebelum saya dipelawa kerja dengan agensi kerajaan Pas Kelantan, saya amat kagumi parti itu.

Sepanjang bertugas dengan agensi berita dan akhbar sama ada sebagai stringer atau kakitangan tetap, saya kena ambil tahu tentang semua kementerian.

Saya bukan sahaja hafal nama menteri, timbalan menteri dan juga setiausaha parlimen tetapi juga nama-nama ketua setiausaha dan ketua pengarah bagi setiap kementerian dan jabatan.

Malah nama presiden, timbalan presiden, setiausaha, majlis kerja tertinggi serta ketua pemuda dan wanita kena dihafal. Begitu juga dengan ketua perhubungan, ketua-ketua bahagian, ketua wanita dan pemuda di negeri tempat saya bertugas dihafal selain dari nama pengarah jabatan dan pemimpin NGO.

Saya pernah bekerja dengan Kerajaan Pas Negeri Kelantan. Kerana itu berbanding dengan mereka yang melihat dari luar, saya yakin saya lebih tahu apa yang berlaku dalam kerajaan, apa yang bagus dan tidak bagusnya.

Walaupun perjawatan saya adalah atas nama perlantikan politik tetapi saya dijemput bekerja atas nama profesionalisme saya dalam bidang kewartawanan, bukan kerana saya orang kuat parti politik. Kerana itu saya tidak telan semua yang terhidang sebagaimana kakitangan yang dilantik atas nama politik.

Justeru itu bila saya buat teguran, bukan bermakna saya mahu merosakkan dan meleburkan sebuah kerajaan atau mana-mana parti politik tetapi saya mahu supaya kalau dirasakan teguran saya ada kebenarannya, maka baikilah kelemahan.

Kalau dirasakan teguran saya tidak terpakai-gawai, lupakan. Sebagai seorang yang diberi bakat dan kerajinan menulis, saya kena gunakan bakat dan kerajaninan saya itu untuk membuat teguran. Kalau tidak saya akan ditanya di akhirat nanti.

Yang saya rasa patut ditegur mungkin pembaca tulisan saya rasa tidak patut dan begitulah sebaliknya. Kerana itu saya tidak paksa buah fikiran saya diterima. Hanya yang selari dengan al-Quran dan Hadis sahaja sepatutnya yang diterima, kalau yang bercanggah, kena tahok buang.

Saya tidak pernah benci dan juga tidak pernah sayangkan Pas atau Umno kerana saya tidak ada keperluan untuk menyayangi atau membencinya.

Pas tak betul saya tegur, Umno tak betul pun saya tegur. Pujian rasanya tidak perlulah, bila tidak ditegur maknanya 'tidak tegur' itu adalah pujian dalam diam.

Akhir-akhir ini saya banyak tegur Pas kerana saya nampak Pas banyak berkadas dengan matlamat asal penubuhannya. Saya ada maklumat dan sejarah penubuhannya.

Saya juga tegur Tok Guru Nik Aziz kerana saya nampak beliau sering melakukan kesilapan yang boleh rosakkan Pas bagi jangka masa panjang jika tidak ditegur dan disedarkan dari buaian rasa beliau bernilai tinggi di mata umum dan apa pun yang dilakukan dan dicakapkan tidak ada yang berani kata NO atau LAT, semuanya akan YES atau NA'AM.

Mana mungkin beliau boleh menilai sendiri buruk atau baik dirinya, tindak tanduk dan apa yang beliau ucap dan lakukan. Kerana itu selain dari melantik barisan exco, beliau melantik pegawai-pegawai bagi membantunya untuk meminimakan kesilapannya pada mata umum, apatah lagi dari sudut hukum hakam.

Malangngnya orang yang diharap akan menegur dan mengingatkan dengan penuh gentleman, membiarkan sahaja beliau dengan kesilapan-kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.

Barangkali kerana masing-masing alah roma sedangkan dalam Islam, alah roma tidak patut berlaku kerana baginda Rasulullah s.a.w. sendiri pun ditegur oleh para sahabat bila dirasakan baginda melakukan kesilapan.

Baginda tidak marah dan tidak pun kata 'MU SAPO NAK TEGUR AKU' sambil mendabik dada tentang kenabian dan kerasulannya yang maksum. Sebaliknya mana-mana teguran dan pandangan membina, baginda terima pakai.

Sebengkeng-bengkeng Umar Al-Khattab yang mana syaitan dan iblis pun mengelak dari terserempak dengannya kerana kebengkengannya pun boleh terima pandangan walaupun dari seorang perempuan yang lemah.

Akhirnya, ingin saya tegaskan bahawa bila membaca tulisan saya, jangan membaca dengan warna mana-mana parti politik kerana saya menulis bukan kerana mahu mencari faedah, laba dan keuntungan politik kerana saya bukan orang parti politik.

Tulisan berupa pandangan saya tidak boleh diterima sebagai betul tanpa merujuk kepada mereka yang lebih cerdik kerana sebagai manusia biasa, saya akan terdedah kepada melakukan pelbagai kesilapan dan ketidak-tepatan tanggapan dan pemahaman.

Insyaallah walaupun saya tidak hafal Quran dan tidak fasih berbahasa Arab, namun dalam menulis, saya akan pastikan al-Quran terjemahan serta Terjemahan Hadis Sahih Muslim Jilid I,II,III dan IV serta Terjemahan Hadis Sahih Bukhari Jilid I,II,III dan IV sentiasa berada di meja tulis di samping pelbagai kitab, termasuk kitab jawi.

Saya boleh menulis dan membaca jawi dengan baik, malah setiap catatan, termasuk sepanjang bertugas sebagai wartawan, saya buat catatan dengan tulisan jawi.

12 comments:

Anonymous said...

Salam..

Saudara,
Molek juga kalau saudara nak korek cerita pasal tapak tanah KB Mall.. Difahamkan orang Islam (Melayu) menawarkan harga yang tinggi untuk tanah tu, tapi tidak dipersetujui..

Tetapi, bila The Store Berhad (KB Mall) berbangsa Cina mahu membeli dan harganya lebih murah dari Melayu tadi.. dipersetujui pula.

Dan yang menyedihkan.. KB Bazar 'hidup segan mati tak mahu'. Dikatakan KB Bazar tu dimiliki oleh MPKB-BRI. Ia (KB Bazar) dinilai dengan harga yang cukup tinggi. Mungkin untuk 'cover' sesuatu...

Dulu di Tingkat 3 Kb Bazar, pemilik2 kedai komputer sama-sama mahu jadikannya seperti Lowyat atau Digital Mall, tapi seorang demi seorang terpaksa menutup kedai masing2 di KB Bazar kerana tiada pelanggan (rasanya xsampai setahun).

Huse Muse

denaihati said...

begitulah manusia yang USAHA POLITIK sungguh-sungguh sebab mereka fikir POLITIK akan membawa kejayaan dunia akhirat....gitu juga orang-orang PAS yakin sangat USAHA atas politik boleh membawa ke syurga....

uop said...

Belum lagi tanah tapak TESCO! Semakin tergadai nampaknya.

pemudacakna said...

Sudah sampai masanya untuk kita menilai sama ada pengucapan Tok Guru adalah pengucapan ulamak sebenar atau ulamak politik!

Anonymous said...

Saya rindu menuggu saudara MELI KAPAK JANGAK menulis sesuatu menegur UMNO dan pemimpin pemimpin nya. Tegur saja tentang judi, arak , penghapusan tulisan jawi, pemimpin UMNO yang menggumpul harta yang tak terkata banyaknya.

Kalau saudara Meli berbuat begitu saya akan hormat pada saudara. Tidak berbuat begitu menyebabkan saya was was tentang keikhlasan saudara yang mengatakan saudara tidak berat sebelah.

Anonymous said...

Sdr.kritik PAS memang hebat. Kawe nak bui kes kecik saja. Baru ni kawe kelik kelate. Depan kawe pak sepupu kawe (tok ngulu UMNO) kecek deras dalam telefon nak cantas penerima bantuan budok sekolah yang ayahnya oghe PAS. Itu baru pangkat tok penghulu. Lagi besar lain hebatlah sepeletnya.
Sdr. ada pengalaman kerja dengan kerajaan PAS banyaklah hok dale demo tahu.
Kawe ada pengalaman kerja di Mindef. Setingkat tinggi dari pejabat Najib semasa dio jadi menteri pertahanan. Nak tahu rahsia puok2 jahat rasuah ni kenolah saing dengan bahagian kewangan, bahagian tender, bahagian odit dalam. Tapi tokleh cerita nanti tak pasal2 masuk gok.
Demo marahkan Nik Aziz (PAS_ dan kawe marahkan Najib (UMNO) serilah tu. Demo tulih gapo pun kawe tak hirau. Janji sokong PAS. Demo cuma sayang PAS belum tentu sokong PAS. Hari2 dok nujum semoga PAS terbalik kuang.
Tentang tanah tergadai senang saja jawab... Genting tu sapa punya? Ada pulau dah jadi milik tauke Cina. Di KL pun oghe Melayu apalah sangat. Chow Kit dah tergadai kepada oghe Indonesia.

Anonymous said...

Tolong Cik Meli komen tentang aduan Pakatan mengenai wang 500 ribu habis dibelanja dalam tempoh dua bulan. SPRM tak usik pun batang tubuh orang BN. Apakah mereka termakan budi sehingga tergadai body?
Kalau Cik meli boleh kupas benda2 macam ni barulah hebat. NI dok. Kalu seberang sana..oh tak ada kes. Kalu sebelah sini... kita siasat berdasarkan aduan.
Jadi Cik Meli oi... buat habis beras saja kalau jadi penulis politik berat sebelah. Hentam dua-dua lagi best. Masa pangkah rahsia masing-masing.

Abubakarkayugetah said...

Kalau demo baca posting MUNCUL KEMBALI (295) anda akan dapat maklum bahawa sekitar penghujung tahun 1990-an hingga ke sekitar tahun 2000, Meli banyak bedal Umno. Siap tulis, terbit dan edar buku sekali.
Sekarang Meli bedal Pas pulak, pasti Meli ada sebab tersendiri. Meli tulis lagu mana pun dia bukan gi ambil beras rumah demo nak makan dan nak buwi makan anak bini.
Kalau baca blog pro Pas dan PR sangat teruk. Hentam kromo, tanpa mengira fakta dan prosedur menulis.
Untuk tanggung hidup, Meli beli sanggup jual besi buruk. Kawe tahu dia sangat berprinsip orangnua. Ada ke rekod Meli pernah minta balak?.
Gu kawe royat, bila ditanya Meli tak malu ke dia jadi bangsat jual beli besi buruk? Katanya Meli jawab apa nak dimalukan kerana tarafnya lebih rendah dari besi buruk, baginya nilainya lebih rendah dari sekilo besi buruk.

Anonymous said...

Soal ada prinsip baguslah. Nak hidup keno kerja. Jual besi buruk ko. Jual telor ko.

Kawe mari KL tahun 79. Kelik raya dan musim ngundi. Kawe pun tak minta gapo dengan kerajaan PAS. Start kerja gomen dulu terima gaji 295.00. Kalu bersandarkan minta benda dan bila takleh lalu nak marah tak patutlah.

Cuma kawe sayangkan PAS. Bukannya PAS tak ada salah dan belok tapi kita kena pelihara parti yang perjuangkan Islam.

UMNO pun Islam juga tapi ada tafsiran sendiri. Banyak tunduk dengan tekanan dan ugutan. Banyak hora-hora .. heboh sana heboh sini. Pantang berkumpul yang dihulur adalah nyanyian dan hiburan. Budak2 muda yang seluar koyak, tindik pusat, pakai subang telinga dan hidung sukalah macam ni.

Budak tino yang nampak monggang sukalah macam ni. UMNO kena buat benda ni sebab nak cari undi masa. pilihanraya.

PAS pun tak dinapikan sibuk sangat berpolitik. Sampaikan nak buat usrah dan perkuatkan saf pun takdak masa. Bila akhbar perdana pancing pendapat berebut buat kenyataan. Huru hara ahli dibuatnya. Patutnya tutup pintu terus dengan akhbar suruhan UMNO. Saya pun dah lama tak baca suratkhabar tsb.

Kawe dok kerja dengan kerajaan selalu dengar bakpo rasuah payah nak hapus. Oghe bawah akan kata "kita make sikit jah, oghe atas lagi besar. Menteri lagi banyak." Nak tolak dakwaan ini payoh juga.

Contohnya dlm buku laporan odit yang dicetak oleh percetakan negara banyak dedahkan tentang penyelewengan PPRT. Ta[i ada dakwaan dibuat atas mereka yang terlibat?

Cik Meli kena ingat 'jahat-jahat' PAS masih ada pempimpin yang sanggup tinggal di rumah kayu sekerat batu sekerat walaupun bergelar MB. Mereka hidup ikut sukatan pendapatan bukannya bergantung pada komisyen kapal selam, helikopter dan lain-lain.

Jadi isu Cik meli gi minta beras rumah sapa-sapa tak timbul. Kawe pun kalu habis pitih kena ikhtiar cari dengan kerja.

Blog pro PAS hentam kromo.. betullah tu. Tapi semale Utusan Malaysia - penyebar fikiran rakyat - minta maaf dengan Tuan Guru kerana sengaja salah lapor (ngaku tak sengaja). Itu nak panggil gapo - hentam kromo atau hentam hati hitam busuk kelat?

Kawe tak musuh dengan UMNO. Ini hanya masalah pegangan politik saja. Ada saing kawe pangkat besar di kalangan UMNO. Bila demo turun ke KL demo ajak jumpa. Biasalah kalau kita tanya dia akan jawab, "Aku pergi juga di ... baru-baru ni, buat-buatlah ada tugas, sebenarnya untuk kempen pilihanraya. Sepuluh hari sepuluh harilah aku buat tuntutan tugas luar." Tengoklah buat kerja kempen UMNO tapi claim duit rakyat.
Benda-benda macam ni UMNO kena ajar ahlinya dan kakitangan kerajaan yang lain. Buatlah tntutan betul-betul atas dasar kerja. Hidup barulah berkat. Dapat 10 ringgit, Tuhan tunjuk jalan lagu mana nak belanja. Ini dalam kepala macam mana nak tambah duit. Kena rebut projek.. cantas orang yang mampu. Last... stadium siap setahun runtuh.

Abuzar said...

Kemudian Allah menghinakan mereka di hari kiamat, dan berfirman: "Dimanakah sekutu-sekutu-Ku itu (yang karena membelanya) kamu selalu memusuhi mereka (nabi-nabi dan orang-orang mukmin)?" Berkatalah orang-orang yang telah diberi ilmu: "Sesungguhnya kehinaan dan azab hari ini ditimpakan atas orang-orang yang kafir.".( S. an-Nahl : 27)

Sesungguhnya orang-orang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah serta memusuhi Rasul setelah petunjuk itu jelas bagi mereka, mereka tidak dapat memberi mudharat kepada Allah sedikitpun. Dan Allah akan menghapuskan (pahala) amal-amal mereka.(S. Muhammad : 32)

Keris Berulu Kopiah Pak Haji said...

Dulu memang Pas bagus, tidak ada nynayian dan sebagainya. Tapi sekarang majlis Pas dah dihiasi dengan nyanyian, dah mula beri buah tangan untuk tarik kehadiaran pada majlis-majlis yang diadakan.
Barangkali kerana intulah Meli tegur Pas. Banyak yang dulu Pas kecam bila Umno buat, sekarang Umno sendiri buat.

Keris Berulu Kopiah Pak Haji said... said...

Keris Berulu Kopiah Pak Haji said... (ULANGHANTAR DENGAN PEMBETULAN)
Dulu memang Pas bagus, tidak ada nynayian dan sebagainya. Tapi sekarang majlis Pas dah dihiasi dengan nyanyian, dah mula beri buah tangan untuk tarik kehadiaran pada majlis-majlis yang diadakan.
Barangkali kerana intulah Meli tegur Pas. Banyak yang dulu Pas kecam bila Umno buat, sekarang PAS sendiri buat.