Jarang ditanya apa sumbangan kita kepada negara tetapi banyak yang ditagih dari negara untuk kita
ESOK kita semua menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke-52, jarang kita yang merupakan anak-anak merdeka bersedih, sebaliknya rata-rata kita bergembira dan lagha kerana tidak berpengalaman hidup sengsara sebelum merdeka dan juga tidak berpengalaman dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara.
Tetapi kepada mereka yang berpengalaman hidup dibawah belenggu penjajah dan terlibat pula dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, lazimnya ulangtahun kemerdekaan menyebabkan air mata mereka akan mengalir, tertutama apabila mendengar laungan merdeka.
Mereka sedih bercampur gembira. Sedih mengenangkan hidup sukar dan diperhambakan dibawah cengkaman penjajah dan pengalaman pahit sebagai pejuang kemerdekaan, manakala mereka gembira pula kerana sejak 52 tahun merdeka, negara sentiasa aman, maju dan makmur.
Sebenarnya tidak ada negara yang mampu mencapai rekod kejayaan Malaysia, apatah lagi mengatasi dari sudut pembangunan dan kesejateraan rakyat serta keamanan dan keharmonian rakyatnya walaupun terdiri dari pelbagai kaum dan pelbagai anutan agama.
Ketika negara-negara jiran berdepan dengan huru-hara dan perang saudara, Malaysia tetap stabil sama ada dari sudut ekonomi, politik, keamanan dan perpaduan serta keharmoninan hidup rakyat majmuknya.
Memang ada cetusan kekacauan bersifat ribut dalam cawan yang dilakukan oleh kalangan yang jarang bertanya apa sumbangan, jasa dan bakti mereka kepada negara, sebaliknya asyik menagih sumbangan negara kepada mereka kerana tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang diterima dan dirasai.
Walaupun hidup di bawah rimbunan pelbagai subsidi, termasuk subsidi bahan bakar, gula dan pelbagai barangan lagi, namun masih tetap tidak tahu bersyukur. Pada pendapat saya golongan yang tergamak mengadakan perhimpunan/demonstrasi haram tanpa mengambil kira kemungkinan imej negara akan tercemar di mata dunia adalah kerana mereka bukan sahaja terlalu selesa tetapi juga terlalu sangat dimanjakan.
Masing-masing tidak berpengalaman hidup sengsara dibawah cengkaman penjajah dan tidak tahu tentang betapa sukarnya perjuangan menentang penjajah demi kemerdekaan negara sehingga ada yang terpaksa masuk hutan angkat senjata dan dilabel pula sebagai petualang negara sehinggakan walaupun negara merdeka, mereka terpaksa menjadi pemastautin negara asing.
Bagaimanapun adalah sesuatu yang membanggakan apabila pihak yang diberi mandat memerintah negara tidak pernah lemah semangat untuk melakukan yang terbaik kepada negara, termasuk sentiasa merangka dan mengkerangkakan pelbagai rancangan untuk terus memajukan negara dan mensejahterakaan rakyat. Antaranya dengan mewujudkan pelbagai amanah saham sehingga ada unit-unit saham yang dipercumakan kepada pelajar ijazah pertama di pusat-pusat pengajian tinggi.
Yang paling baru kerajaan akan membantu menambah pendapatan kira-kira 40 peratus rakyat negara ini yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan di samping kerajaan juga akan menyelesaikan sepenuhnya masalah kemiskinan tegar yang melibatkan kira-kira 44,000 penduduk bandar dan luar bandar di seluruh negara pada penghujung tahun depan.
Shubungan dengan itu sempena ulangtahun kemerdekaan ke-52, marilah sama-sama kita kurangkan penagihan sumbangan negara kepada kira tetapi kita kena sentiasa bertanya apa sumbangan yang telah, sedang dan akan kita berikan kepada negara.
Bentuk sumbangan pula tidak semestinya dalam bentuk harta benda, tenaga atau buah fikiran, cukuplah kalau kita mengelak dari terlibat dalam mencetuskan pelbagai kerenah yang boleh menjejaskan imej negara.
Cuba dapatkan maklumat tentang kesengsaraan rakyat Kemboja misalnya kerana terlibat dalam perang, juga kesengsaraan rakyat Iraq, Palestin, Afghanistan, Khasmer dan sebagainya gara-gara perang. Juga cuba dapatkan maklumar tentang Thailand dan Indonesia yang kerap berlaku pertukaran kerajaan.
Pasti kita akan merasa sangat bertuah menjadi rakyat Malaysia dan kita akan merasakan betapa khianatnya kita terhadap negara jika melibatkan diri dalam perhimpunan/demonstrasi yang kerananya boleh menyebabkan imej negara tercalar di mata dunia dan sekali gus boleh menakutkan pelabur untuk datang melabur.
Saturday, August 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment