Tauliah
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
"Umar! Jika engkau sebagai khalifah menggunakan tatacara pemerintahan yang menyimpang dari apa yang dihalalkan oleh Allah dan Rasul-Nya, jika engkau membelakangi rujukan suci lagi mutlak yakni al-Quran dan hadis, aku bersumpah atas nama Allah dan Rasul-Nya, pedang inilah yang akan aku gunakan bagi mememnggal lehermu!"
Ketegasan si tempang yang meletakan hujung mata pedangnya pada leher Umar Ibnu al-Khattab pada hari sahabat yang terkenal dengan garangnya sehinggakan iblis dan syaitan pun mengelak dari terserempak atau berselisih jalan denganya sebagaimana yang disebut dalam satu kuliah Maghrib oleh seorang ustaz muda di masjid tempat dia sembahyang jemaah setiap waktu terngiang-ngiang di telinga Wan Qalbu Al-Hassad.
Kononnya si tempang bertindak sedemikian dan perlakuannya itu telah memeranjatkan hadirin yang lain dengan hunusan pedangnya apabila Umar yang pada hari perlantikannya sebagai khalifah kedua selepas kematian Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq itu meminta supaya beliau disokong dan diberi kerjasama selagi beliau memerintah selari dengan hukum hakam dan kemahuan Allah dan rasul-Nya.
Sebaliknya beliau meminta agar dia ditegur, termasuk dengan mata pedang, jika didapati beliau melakukan kesilapan walaupun kecil. Semua orang kena mengutamakan kepentingan Islam dan umatnya melebihi kepentingannya sebagai khalifah.
Para panglima perang menghunus pedang hampir serentak bagi memastikan pedang merekalah yang yang menamatkan riwayat si pincang yang dianggap telah berkurang ajar dan mengaibkan khalifah itu.
Bagaimanapun tindadakan mereka itu telah dihalang oleh khalifah, malah panglima-panglima itu kononnya telah dijerkah oleh khalifah. Juga Umar dikatakan sangat marah dengan reaksi para panglima perang itu.
Sebaliknya Umar telah memuji keberanian si pincang yang tidak segan silu,yang tidak merasa takut dan rendah diri untuk memberi amaran kepada khalifah kerana dia mahu pastikan khlalifah melaksanakan pemerintahan secara Islam ‘sengoti’.
Bagi Umar selagi ada umat Islam seperti si pincang itu, selama itulah sinar syiar Islam tidak akan malap, sebaliknya akan terus menyinar dan gemerlapang. Islam akan lemah, malap dan tidak bermaya kalau wabak, sindrom dan fenomena bodek, malu mata dan membiarkan mereka yang menjadi pemerintah berbuat apa sahaja dan sekalian rakyat jelata cuma tahu angguk dan tidak berani geleng walaupun apa yang dibuat oleh seseorang pemimpin terang-terang bercanggah dengan hukum hakam serta menyimpang dari nilai-nilai kemanusiaan.
"Yang akan memusnahkan umat Islam bukan orang kafir, bukan syaitan dan iblis tetapi ulamak-ulamak bisu. Ini saya yang kata, bukan Sayyiddina Umar Al-Khattab Rodiallahu-anhu. Yang saya sebut tadi pun bukan cakap ajuk Sayyidina Umar tetapi ayat gubahan saya. Sayydina Umar cakap Arab" tegas ustaz muda itu yang khabarnya telah ditarik tauliah/kebenaran memberi kuliah kerana kelantangannya.
Ustaz muda itu kini dikatakan sedang sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi.
Terbukti bukan mudah untuk berdakwah secara salafiah, secara yang tidak terikat dengan kena mengambil kita kepentingan tertentu agar apa yang dikuliah, disyarah dan menjadi isi dakwah tidak menyinggung mana-mana pihak.
"Boleh awak kencing dalam tempurung?"
Wan Qalbu Al-Hassad sedikit tergamam, bukan kerana dia disuruh kencing dalam tempurung oleh imam masjid tempat dia sembahyang berjemaah setiap waktu membuatkan dia tergamam tetapi kerana nada suruhan imam itu agak kasar, menyakitkan hati dan menyinggung perasaan.
Lebih-lebih semasa nenyuruhnya, imam siap dengan muka masam mencuka sekali walaupun dia seorang yang banyak tersengih dan cara cakapnya santun. Gemulah bapanya dulu pernah bagi penumbuk rakan sendiri sampai bersembur darah hidung hanya kerana sapaan rakannya menggunakan bahasa yang kurang tepat.
Kejadian itu belaku di depannya ketika dia masih budak. Gemulah bapanya seorang pejuang bahasa yang cepat pongoh dan ringan tangan serta kaki. Silap sikit cepat sangat bagi penampar, hulur penumbuk dan sepak terajang. Kebetulan gemulah bapanya ada kepadaian bersilat dan tomoi siam.
Gara-gara salah eja satu huruf, bapanya pernah tumbuk seorang anggota polis yang mengeluarkan surat beranaknya, Wan Qalbu Al-Hassad. Kerana perbuatannya itu bapanya terpaksa merengkok dalam lokap kerana mencederakan penjawat awam.
Walaupun telah ditulis pada kertas ejaan nama yang dimahukan, namun anggota polis berkenaan entah sengaja atau tidak telah menukar huruf ‘Q’ dengan ‘K’ menyebabkan maknanya lari daripada ‘jiwa raga’ kepada ‘anjing’.
Qalbun atau qalbu adalah bahasa Arab yang bermakna ‘jiwa raga’ manakala kalbun atau kalbu maknanya ‘anjing’. Kerana pertukaran makna disebabkan kesilapan huruf itulah membuatkan bapanya mengamuk.
Macam mana pun akhirnya ejaan namanya dibetulkan semula dan melalui proses yang sukar dan lama. Pun begitu dalam namanya tetap ada nama haiwan, yakni Al-Hassad yang membawa maksud ‘singa’.
Wan Qalbu Al-Hassad bermakna ‘jiwa raga singa’. Sama ada bapanya sedar atau sengaja memilih nama itu sebagai lambang kebengkengan, sukar untuk dia pastikan kerana bapanya sudah lama mati untuk ditanya tujuannya.
Sebelum bapanya mati ibunya tidak pernah pula ceritakan tentang amukan bapanya di balai polis kerana kesilapan ejaan namanya itu. Dia sendiri pernah dimarahi gemulah bapanya kerana mengeja ‘nikmat’ yang kononnya membawa makna ‘laknat’.
Ejaan yang betulnya adalah ‘ni’mat’ yang membawa makna sedap atau sejahtera. Dalam bahasa Arab ianya dieja nun-ya-ain-min-ta, bukannya nu-ya-kaf-min-ta.Gemula bapanya mahu dia bercakap ikut ejaan Arab bagi perkataan Arab yang dimelayukan supaya tidak berubah makna kerana sebutan yang tidak tepat.
Mujurlah walaupun namanya lambang kebengkengan dan kegarangan, dia tidak bengkeng macam gemulah bapanya, mungkin dia ikut perangai ibunya yang sentiasa ‘cool-down’ dan tersengih.
Kalau perangainya ikut macam gemulah bapanya, dahi imam tentu dan bertelur kena penumbuknya kerana ajuan pertanyaan imam agak kasar, menyakitkan hati dan menyinggung perasaan.
"Buat apa kencing dalam tempurung?"
"Telek muka awaklah"
"Telek muka guna cerminlah. Kenapa nak guna air kencing dalam tempurung. Imam ni betul ke tidak ni?"
"Awak tu yang tak betul"
"Apa yang tak betulnya saya?"
"Kepala"
"Kepala saya?"
"Ha ah, kepala awak tak betul"
"Di mana tak betulnya kepala saya ni?"
"Bentuknya memang betullah. Tak ada cacat celanya"
"Imam ni yang mana betul ni. Sekali kata kepala saya tak betul, sekali kata betul pula"
"Isi kepala awak tu yang tak betul"
"Ya ke?"
Imam merengus, tunjuk bengis.
"Apa yang tak betulnya isi kepala saya?"
"Kalau isi kepala awak betul, tak ‘kan awak sanggup nak tegur Mahaguru"
"Dia buat silap, kena tegurlah. Bagi saya menegurnya adalah fardu kifayah. Kalau saya atau tak ada sesiapa tegurinya, tak peringatkan dia, kita semua akan berdosa"
"Awak tu siapa, Mahaguru tu siapa"
"Dia orang, saya pun orang"
"Orangnya dia tu macam mana dan orangnya awak pula macam mana"
"Maksud imam?"
"Cukup ilmu ke awak nak menegurnya. Macam mana kalau yang awak kata silapnya tu sebenarnya betul?"
"Saya pun mengaji juga. Cuma saya tak berjanggut dan tak berserban. Saya boleh tau mana yang betul dan mana yang tak betul. Saya pun banyak kitab, baca terjemahan al-Quran dan Hadis"
"Bagus kalau macam tu"
" Rasanya saya patut beritahu imam walaupun mungkin imam dah tau"
"Apanya yang awak kata patut beritahu tu?"
"Ilmu, iman dan takwa sebenarnya bukan bergayut pada janggut, uakn terbungkus dalam lilitan serban, bukan tersorok dalam jubah"
"Maksud awak?"
"Ramai orang silap"
"Apanya yang silap?"
"Silap tanggapan. Silap kefahaman, silap andaian dan persepsi"
"Saya tak faham"
"Ramai orang percaya bila berjanggut, berjubah dan berserban, maka alim dan waraklah, maka tinggilah tahap iman dan takwa seseorang. Malah, orang yang berkopiah pun dianggap lebih alim, lebih Islamik dari orang bersongkok, apatah lagi orang yang tidak berkopiah atau bersongkok langsung, akan dianggap jahil teropong"
"Saya masih tak faham"
"Kerana Mahaguru berstatus mahaguru yang distatuskannya sendiri pada asalnya demi kepentingan politik yang dianuti, kerana dia berjanggut, berjubah dan berserban dengan ekor serbannya sampai mencecah punggung, maka bagi imam, saya yang berseluar jeans dan berkemeja T ni tak layak untuk menegur kesilapan Mahaguru"
"Memanglah. Mahaguru tu alim orangnya. Cakap dan perbuatannya memenuhi ciri-ciri Islamisme"
"Tetapi dia bukan nabi"
"Saya tak kata dia nabi"
"Tetapi menganggap apa yang dia cakap dan perbuatannya betul belaka samalah seperti menabikannya kerana yang cakap dan perbuatannya betul belaka hanya nabi yang maksum. Sebagai manusia biasa, Mahaguru juga tidak bersih dari melakukan salah dan silap"
"Saya tau"
"Tapi imam tak pernah berani menegur kesilapan Mahaguru, sekali gus samalah seperti mengakui bahawa apa yang mahaguru cakap dan buat, betul belaka. Secara tidak langsung samalah seperti memberhalakan Mahaguru"
"Pada awak apa yang tak kenanya mahaguru?"
"Dia kata ayat al-Quran berjumlah 6,666"
"Dah memang ayat Quran 6,666 ayat"
"Terbukti imam juga hanya ikut apa yang orang lain cakap tanpa cuba untuk membuat kajian sama ada apa yang dicakapkan itu betul atau silap"
"Ramai yang kata ayat al-Quran berjumlah 6,666 ayat"
"Tak hairan apabila munculnya tokoh macam Mahaguru, maka apa yang Mahaguru cakap dan buat diterima sebagai betul belaka, malah ada yang melabelkan Mahaguru sebagai keramat."
"Bukan keramat tapi mulut masin"
"Bagi saya ianya bersifat memBERHALAkan sesama manusia dan boleh merosakan akidah"
Imam melurut janggut yang sudah banyak berwarna putih dari hitam.
"Imam tau ‘kan surah-surah al-Quran yang sebanyak 114 surat, 30 juzuk dan kira-kira 1.2 juta huruf itu terbahagi kepada dua bahagian"
"Surah Makkiyyah dan Madaniyyah?"
"Tau pun"
"Saya pun mengaji"
"Imam tau ‘kah surah Makkiyyah ada 4,780 ayat"
"Tak perasan pula saya"
"Surah Madaniyyah pula ada 1,456 ayat"
"Itu pun saya tak perasan"
" 4,780 + 1,456 jumlahnya 6,236. Dari mana lagi datangnya 430 ayat kalau dikatakan ayat al-Quran mengandungi 6,666 ayat. Ini fakta. Al-Quran kitab suci dan rujukan mutlak. Umat Islam sengoti kena mesra al-Quran?"
"Kerana itu awak mau jumpa Mahaguru dan mau menegur apa yang awak katakan kesilapannua?"
"Ada banyak lagi pekara yang perlu saya tegur dan peringatkan. Kononnya mencerca dan berkata buruk kepada seseorang individu dibolehkan, walhal mencerca dan memburukan orang lain adalah tidak halal".
Imam mengeluh panjang.
"Malah ada banyak lagi pekara yang bersifat mensamatarafkan Allah dan rasul-Nya dengan kita manusia di samping disamatarafkan Islam dengan badan siasah yang dianuti menjadi bahan sebutan dan syarahan Mahaguru. Semuanya tu boleh rosakan akidah dan menjadi fardu kifayah kepada kita untuk menegur dan memperingatkannya"
"Maksud awak?"
"Kalau dibiarkan tanpa ditegur dan diperingatkan, bukan sahaja Mahaguru yang sebut dan lakukannya berdosa tetapi kita yang membiarkannya tanpa ditegur dan diperingatkan juga akan berdosa sama. Bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah, saya akan laksanakannya"
"Boleh berani ke awak?. Mahaguru boleh tahan juga bengkengnya"
"Biar dia marah kerana semarah mana pun dia, tidak akan memberi sebarang bekas. Yang saya takut ialah kalau Allah marah"
"Kalau awak rasa apa yang awak buat tu betul, buatlah. Saya mengaku saya tak berani"
"Sikap imam ni boleh menyebabkan semakin hari akan bertambahnya jumlah umat Islam yang sanggup memBERHALAkan sesama manusia dan sudahnya umat Islam akan semakin terpisah dari amalan hidup sebagaimana yang termaktub dalam fardu ain dan fardu kifayah apabila akidah dah punah"
Dia tidak sempat untuk terus menjelaskan apa yang patut dijelaskan apabila imam melangkah ke keretanya. Tidak lama kemudian kereta milik imam yang jenisnya sama dengan yang dipakai oleh para eksekutif, meluncur pergi.
Kononnya imam itu terbabit dalam mengambil upah menikahkan lelaki yang mahu berpolitgami secara rahsia dan disembunyikan dari isteri yang sedia ada. Pernikahan itu pula siap dengan surat dan kad nikah sekali. Bayaran yang dikenakan tidak kurang dari seribu, malah ada yang mencecah sehingga lima ribu.
Kalau sempat tadi dia mahu tegur dan peringatkan imam bahawa perbuatannya itu sangat tidak selari dengan tuntutan Islam, Allah dan Rasul-Nya. Pun begitu gagal memberi teguran dan peringatan pada kali ini bukan bermakna imam itu akan terlepas dari akan ditegur dan diperingatkannya kerana demi tuntutan fardu kifayah.
Walaupun beliau ada ijazah dalam bidang syariah dari universiti di Timur Tengah, dia tidak boleh memberi kuliah bagi membetulkanapa yang dikuliahkan yang didapati tergeleceh dari hakikat hukum hakam semata-mata kerana dia tidak ada tauliah. Mahu tidak mahu dia kena jumpa secara berdepan dengan pengkuliah dan tokoh-tokoh yang disegani masyarakat terbanyak kerana imj alimnya dan behujah secara ilmiah.
Bila dipersoalkan siapa dirinya, budak mentah yang baru lepas belajar dan belum lagi ada kerja, dia akan jadikan si tempang yang memberi amaran dan peringatan kepada Umar Al-Khattab sebagai dalil bahawa orang yang dilihat marhain oleh sesama manusia pun boleh memberikan teguran dan peringatan. Si tempang itu juga tidak ada tauliah!
Wednesday, November 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment