Monday, November 16, 2009

MUNCUL KEMBALI (507)

Haji hanya wajib sekali untuk yang mampu

NAMPAKNYA
ekoran isu Menteri Besar Kelantan, Dato' Haji Nik Abdul Aziz dan keluarga ditaja RM65,000 bagi menunaikan Haji musim ini, pelbagai pihak yang ada kelayakan dalam bidang berkaitan membicara dan mengulas mengenainya.

Terbaru tiga tokoh turut mengambil bahagian membicara dan mengulasnya yakni Penasihat agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, Mufti Perak Tan Sri Harunsani Zakaria dan bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad.

Datuk Nooh menegaskan walaupun dibolehkan, beliau berharap semua pihak sedar bahawa langkah terbaik untuk mengerjakan haji ialah dengan menggunakan wang sendiri, bagi Tan Sri Harussani Zakaria, tiada masalah jika seseorang itu ingin menunaikan haji menerusi wang tajaan dengan syarat ia tidak mempunyai unsur-unsur rasuah manakala Datuk Dusuki berkata, persoalan sama ada boleh atau tidak seseorang itu menunaikan haji dengan wang tajaan adalah bergantung kepada niat kedua-dua belah pihak.

Melihat kepada pandangan dari ketiga-tiga tokoh, nampaknya tidak ada kesepakatan kata dalam hal yang berkaitan. Kerananya boleh membuatkan umum akan keliru sama ada boleh atau tidak boleh pergi ke Mekah kerana tajaan.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan yang terbabit dalam isu berkaitan telah pun membatalkan rancangan ke Mekah dibawah tajaan sebuah syarikat yang ada kepentingan berniagaan dengan kerajaan terajuan Dato' Haji Nik Aziz.

Bagi saya soal ini tidak patut menjadi isu kerana selain dari menunaikan haji diletakkan pada tangga ke lima dari susun letak Rukun Islam yang lima yang dimulakan dengan Mengucap Dua Kalimah Syahadat, Sembahyang Lima Waktu, Puasa Bulan Ramdhan, Bayar Zakat, Naik Haji bagi yang mampu.

Mampu yang dimaksudkan ini termasuklah dalam keadaan badan yang sihat, keupayaan untuk sampai ke Mekah sama ada dengan berjalan kaki atau berkenderaan dan dipastikan tanggungan yang ditinggakan semasa menuanikan haji tidak sampai menghadapi kesulitan.

Pun begitu seandainya yang tidak ada keupayaan dari sudut kesihatan misalanya tetapi ada yang membantu sama ada secara sukarela atau diupah oleh yang mampu untuk mengusung, yang tidak ada kenderaan tetapi ditumpangkan kenderaan sama dengan percuma atau dibayar oleh yang mampu tentulah dibolehkan.

Namun kalau seseorang itu dalam keadaan berkemampuan dari sudut kesihatannya, ada kenderaan dan kemampuan harta benda bagi pembiayaan ke Mekah dengan tanggungan yang ditinggalkan tidak terpaksa menangung kesulitan tetapi masih menagih tajaan, pada saya ianya adalah tidak wajar.

Lagi pun setiap umat Islam hanya wajib sekali sahaja menunaikan haji wajib walaupun tidak ditegah untuk membuat haji ulangan jika bekemampuan atau pun kerana diragui haji-haji yang telah ditunaikan sebelumnya tidak sah atas sebab-sebab yang individu yang melakukannya sendiri yang lbih tahu.

Agaknya atas faktor-faktor itulah, makaDato' Nik Aziz membatalkan jadual ke Mekah kerana tujuan tajaan tidak jelas. Seandainya si penaja bernazar seandainya beliau berjaya dalam perniagaan umpamanya, maka beliau akan taja Dato' Nik Aziz sekeluarga ke Mekah, maka Dato' Nik Aziz kenalah sempurnakan nazar si penaja.

Bagaimanapun bagi yang berkemampuan sama ada bernazar atau lebih bersifat sumbangan kebajikan, eloklah menaja ahli-ahli agama seperti guru pondok, guru agama, guru Quran, pendakwah, imam, bilal dan siak masjid yang berhajat mahu ke Mekah tetapi tidak ada kemampuan bagi memenuhi hajat mereka.

Memilih menaja individu atau keluarga kepada tokoh yang mampu untuk ke Mekah atau untuk apa-apa bentuk tajaan sekali pun seperti menaja tokoh yang ada kuasa dan kemampuan seperti Dato' Haji Nik Aziz patut dielakkan, apatah lagi bagi kalangan yang ada kepentingan perniagaan dengan kerajaan yang diterajui kerana ianya akan menimbulkan fitnah walaupun mungkin niat tajaan adalah ikhlas.

Bagi saya apa yang berlaku kepada isu penajaan Dato' Nik Aziz sekeluarga ke Mekah secara tidak langsung telah membuka suatu bentuk pebincangan tentang golongan yang patut dan tidak patut ke Mekah yang selama ini semacam terpinggir dari dibicarakan sedangkan menunaikan haji adalah antara Rukun Islam yang lima.

Kalau tokoh lain yang terkait dan dikaitkan dalam isu berkenaan, mungkin ianya tidak akan dibicara dan diulas sehebat bila mana Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas itu terpalit dengan isu berkenaan

1 comment:

Sugus said...

Kalau soal prinsip, keadilan dan ketelusan... Memang tidak patut pertimbangkan langsung tawaran untuk ke Mekah...

Kalau Orang BN yang buat agaknya tak boleh dan kalu orang PAS buat mestilah tak boleh juga... MB bukan seperti orang biasa yang berniaga kat pasar (kurang berpengaruh)