Monday, November 30, 2009

MUNCUL KEMBALI (535) - KEMASKINI DENGAN TAMBAHAN ITEM

Koleksi laporan mengenai Dato' Nik Aziz hari ini

1. Nik Aziz patut salahkan diri sendiri

KOTA BHARU 30 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya menyalahkan dirinya sendiri yang semakin menyimpang jauh apabila kepimpinannya mula dipertikaikan umum.

Sehubungan itu Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah menggesa agar Mursyidul Am Pas itu tidak terus mempertahankan jawatannya supaya maruah dan harga dirinya terus terpelihara.

''Nik Abdul Aziz perlu segera melepaskan jawatan agar tidak merugikan lagi agama, bangsa dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, biar pun dirinya mula menjadi sasaran cemuhan dan diperlekehkan, namun menjadi kewajipannya untuk bersama-sama membetulkan keadaan kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz makin menyimpang.

''Biarpun saya dianggap tidak mempunyai tauliah dan cetek tentang perkembangan semasa, saya tetap terdedah kepada perkhabaran yang sesetengahnya sudah cukup jelas dan nyata.

''Bayangkan selama ini beliau cuba menyamakan sifat Tuhan dengan manusia seperti Tuhan mencarut dan samseng. Tetapi yang lebih memilukan saya dia menolak perpaduan sesama Islam dalam saat getir.

''Pemimpin parti seperti Haji Hadi dan Nasaruddin dihina sedemikian rupa hanya kerana mereka ingin mencari kebaikan. Malah sudah kedengaran janji memberikan status seimbang antara Islam dan bukan Islam apabila Pas dapat memerintah,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajib bagi semua pihak menegakkan kebenaran dan membetulkan sebarang penyelewengan.

''Saya tidak punyai kepentingan lain selain mahu turut menghentikan segala penyimpangan yang berkait dengan nafsu politik," tegasnya.

Baru-baru ini Abdullah dilaporkan berkata Nik Abdul Aziz perlu bertanggungjawab dengan kekeliruan dan semaraknya perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan berhubung agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.

Katanya, sudah sampai masanya untuk beliau membuat teguran secara terbuka, biar pun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.

Susulan itu, lidah rasmi Pas melaporkan Pusat Pembangunan Pondok Bhd (PPPB) tidak bertanggungjawab di atas kenyataan Abdullah yang tidak mempunyai tauliah mengajar.

Pemegang Amanah PPPB, Mohamad Awang dilaporkan berkata, kenyataan guru pondok terbabit hanya bersifat peribadi yang tidak selayaknya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar ulama.

Guru pondok itu dikatakan sudah diketahui umum sebagai seorang yang berpendirian kontroversi dalam banyak isu agama kerana tidak mempunyai pendedahan mengenai perkembangan semasa.

Abdullah menjelaskan, beliau mengakui tidak diberikan tauliah sebelum ini, namun segala-galanya kerana sikapnya yang mempertahankan Pas sehingga kini.

''Saya belajar agama selama 37 tahun dan saya dapat membezakan tafsiran yang benar dan bukannya berteraskan nafsu serta menyimpang," katanya.

Beliau menarik perhatian mengenai kebimbangan tentang kemungkinan Pas tidak dapat mempertahankan keistimewaan orang Melayu Islam dan pemerintahan Islam dalam kerakusan untuk berkuasa.

''Hari ini apabila Pas menolak perpaduan kerana sanggahan keras Nik Abdul Aziz, beliau tidak mengutamakan kepentingan Melayu Islam dan pemerintahannya, maka seluruh orang Pas bersalah jika apa yang dibimbangi berlaku kelak," katanya. - UTUSAN



2. Nik Aziz Pertahan Isu Doanya, Tidak Salah Daripada Aspek Islam

KOTA BAHARU, 29 Nov (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan bahawa tidak salah daripada segi agama Islam jika mendoakan seseorang itu dilaknat Tuhan jika mereka mempunyai niat jahat terhadap seseorang lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau sanggup berhadapan dengan ulama yang membidas serta mengkritik kenyataannya itu dan mengingatkan beliau bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak betul.

Menteri Besar Kelantan itu turut menjelaskan kenyataannya itu."Doa yang dimaksudkan itu (kepada Perdana Menteri) hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Perdana Menteri,(Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu beri (royalti) gas dan petrol kepada Kelantan, kalu tak beri juga, bermakna beliau berniat tak baik."

Niat tak baik itulah yang saya minta dilaknatkan Tuhan tu...," katanya.Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria, dalam laporan media hari ini dipetik sebagai berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.-- BERNAMA

3. Biarlah Nik Aziz sedar sendiri

PORT OF SPAIN 30 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan meminta Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik kenyataan atau memohon maaf selepas mahu berdoa supaya Allah memusnahkan masa depan Perdana Menteri jika tidak memberi royalti minyak kepada negeri itu.

Perdana Menteri berharap Mursyidul Am Pas itu sedar sendiri dengan tindakannya itu kerana ramai umat Islam merasakan kenyataan tersebut adalah keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keislaman yang dituntut agama.

“Apa pun kita perlu berbincang untuk mencari penyelesaian dan bukan cari pergaduhan. Berbalah sesama sendiri terkutuk dalam Islam, malah untuk kita mengutuk orang lain pun tidak dibolehkan oleh Islam,” katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009) di sini hari ini.

Najib mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang dilaporkan berkata, beliau dan penyokongnya sudah mendoakan agar Perdana Menteri mengubah fikiran supaya memberikan royalti kepada negeri itu dan jika tidak akan berdoa supaya Allah memusnahkan masa depan Najib dan UMNO.
Tindakan Nik Abdul Aziz itu dianggap bercanggah dengan adab berdoa dalam Islam dan ada pihak menyifatkan Pas kini seolah-oleh sudah terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat sehingga menggunakan tektik menakut-nakutkan musuh politiknya dengan mempergunakan agama untuk mencapai maksud.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakari berkata, umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.

Najib berkata, Kerajaan Pusat memberi wang ihsan kepada rakyat Kelantan dan sama ada dipanggil royalti atau wang ihsan, jumlahnya tetap sama.

“Rakyat Kelantan yang akan terima, bukan kita akan guna untuk lain. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kita beri peruntukan lebih RM7 bilion untuk rakyat Kelantan walaupun diperintah pembangkang.

“Macam mana mereka hendak tuduh kita tidak adil dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

4.Nik Aziz jual agama demi politik - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup menjual agama demi kepentingan politik apabila berdoa supaya masa depan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO dimusnahkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Menteri Besar Kelantan itu langsung tidak mencerminkan perjuangannya untuk menegakkan Islam selama ini.

"Beliau dikatakan tokoh Pas, seorang Mursyidul Am parti itu, tetapi amalan yang ditunjukkan bukan saja tidak seperti apa yang disebut tetapi bertentangan dengan hukum.

"Ini satu kesalahan besar namun saya tidak boleh nasihatkan beliau sebab dia lebih tahu agama daripada saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2009 di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas hasrat Nik Abdul Aziz baru-baru ini mahu berdoa kepada Allah agar menurunkan bala kepada Perdana Menteri jika Kerajaan Pusat enggan memberikan royalti minyak kepada Kelantan.

Muhyiddin berkata, beliau sendiri tidak boleh membayangkan bagaimana seorang yang faham tentang agama seperti Nik Abdul Aziz boleh mempunyai hasrat sedemikian rupa.

"Mungkin dia lebih kepada seorang tokoh politik yang menggunakan agama untuk kepentingan politik. Tetapi ini memang lumrah Pas. Ini yang digunakannya," katanya.

Beliau berkata, rakyat harus sedar apabila ada parti politik yang sanggup memperalatkan agama demi kepentingan politik, maka ia sudah menyeleweng dan lari daripada apa yang sepatutnya diperjuangkan oleh pemimpin Islam. - UTUSAN

6. Doa Nik Aziz boleh kelirukan bukan Islam

KUALA LUMPUR 30 Nov.
– Tindakan serta kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Nik Mat kebelakangan ini memperlihatkan kelemahan beliau sebagai pemimpin parti yang mendakwa memperjuangkan Islam tetapi bertindak sebaliknya.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, malah kenyataan terbaru beliau mempertahankan doa memusnahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh mengelirukan orang bukan Islam yang akan menyangka bahawa Islam mengajar umatnya bermusuhan.

Katanya, orang bukan Islam juga akan membuat rumusan bahawa Islam mengajar umatnya supaya mendoakan supaya rakan seagama dimusnahkan semata-mata kerana tuntutan material yang tidak sepatutnya.

‘‘Sepatutnya kerajaan negeri mesti berterima kasih dan bukannya mendoakan kemusnahan Perdana Menteri yang dikaitkan dengan tuntutan pembayaran royalti minyak,’’ katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz mempertahankan tindakan meminta orang ramai berdoa bagi memperbetulkan pemikiran Najib supaya memberikan royalti minyak dan sekiranya tidak, doakan supaya Allah musnahkan masa depan Perdana Menteri, UMNO dan proksi-proksinya.

Mengulas lanjut Rosnah berkata, rakyat sepatutnya bijak membuat penilaian tentang kemelut kepimpinan Pas termasuk dakwaan bahawa parti itu memperjuangkan Islam kerana pendedahan demi pendedahan mutakhir ini menunjukkan ia tidak sedemikian.

Sambil menyifatkan doa seumpama itu sebagai bertentangan dengan ajaran Islam yang mahu umatnya saling berdoa untuk kesejahteraan, Ahli Parlimen Papar itu percaya rakyat semakin matang untuk menilai antara yang benar dan batil. -UTUSAN


7. Kementerian tak perlu siasat isu 'Kolonel Mat'

LANGKAWI 30 Nov. - Kementerian Pertahanan tidak perlu menyiasat isu 'Kolonel Mat' yang didakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai dalang yang bertanggungjawab merancang untuk menjatuhkan beliau dan kerajaan Pas negeri itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementerian berkenaan tidak sewajarnya dikaitkan dengan isu tersebut kerana 'Kolonel Mat' tidak wujud sebaliknya ia imaginasi pihak-pihak tertentu sahaja.

Sehubungan itu, katanya, sebarang gesaan termasuk daripada penulis blog supaya beliau menyiasat siapa 'Kolonel Mat', tidak akan dilayan.

"Mengikut blogger itu, Kolonel Mat sudah meninggal dunia, jadi saya ingat berunding dengan rohnya sahajalah.

"Kolonel Mat hanya wujud dalam minda orang itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Angkatan Udara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau blogger Kickdefella seperti disiarkan Mingguan Malaysia kelmarin yang mahu Ahmad Zahid menyiasat siapa Kolonel Mat kerana menyifatkan apa yang diperkatakan oleh Nik Abdul Aziz itu amat serius.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, seseorang ahli politik harus sedia menghadapi realiti politik dengan mengakui kelemahan diri sendiri atau dalam parti mereka dan bukannya menuduh ia perbuatan orang lain sebagai jalan keluar daripada kemelut yang berlaku.

Kata beliau, sekiranya ahli politik itu takut dengan bayang-bayang, maka nyawa politik mereka tidak akan bertahan lama.

"Jangan bila berlaku kelemahan pada diri sendiri atau organisasinya atau berlaku perpecahan sesama sendiri maka sebagai jalan keluar mereka menuduh orang lain tanpa mengakui sebenarnya bumi itu tidak rata, ia tingi rendah," katanya. - UTUSAN


8. Prestasi PMBK cetuskan tanda tanya
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 30 Nov. - Prestasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang dipertanggungjawabkan mengendalikan pelbagai aset utama negeri bagi menjana ekonomi dan memajukan rakyat menimbulkan tanda tanya.

Tahap kemajuan projek-projeknya dan manfaat yang boleh diraih oleh rakyat di samping untung rugi anak-anak syarikatnya tidak banyak diketahui.

Malah, kerajaan negeri juga dikatakan tidak pernah mendedahkan penyata kewangan perbadanan tersebut kepada umum seolah-olah ia menjadi 'rahsia besar'.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani berkata, jika prestasinya baik, tentunya PMBK menunaikan janjinya untuk memberikan sumbangan kepada kerajaan negeri sejak lima tahun lalu, walaupun ia dimasukkan dalam bajet tahunan.

Menurut Mat Yusoff, beliau telah membangkitkan masalah tersebut pada sidang DUN baru-baru ini tetapi kerajaan negeri tidak memberikan sebarang jawapan.

Beliau berkata, perkara itu harus dijelaskan kerana kerajaan negeri telah memberikan pelbagai kemudahan seperti tanah dan kawasan pertanian untuk dibangunkan tetapi sejauh mana hasilnya tidak dinyatakan.

Beliau mengulas kemelut yang melanda PMBK sehingga menyebabkan Pas Pusat menasihatkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perbadanan tersebut.

Abdul Ariffahmi bersetuju untuk melepaskan jawatannya selepas semua urusan mengenai cuti tahunnya selesai.

Kemelut yang melanda PMBK menyebabkan pelbagai isu lain muncul seperti Nik Abdul Aziz mengakui ditaja untuk menunaikan haji bersama keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi.

PMBK yang dipengerusikan oleh Nik Abdul Aziz mempunyai sembilan anak syarikat merangkumi semua bidang termasuk pembangunan bandar baru dan peladangan.

Syarikat tersebut adalah Kifalah Sdn. Bhd.; Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB); Darul Digital; Kelantan Utilities Mubaarakan; PMBK Sawit Sdn. Bhd.; Tunjong Development; Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd.; Kelantan Technology Park dan Kelantan Biotech Corporation.

Bagaimanapun sehingga kini tidak diketahui kedudukan syarikat terbabit sama ada mencatatkan keuntungan atau sebaliknya, bagaimanapun 'cakap-cakap' menunjukkan hanya PMBK Sawit menunjukkan prestasi yang baik.

Beliau berkata, sebagai contoh dalam bajet tahun ini dijelaskan bahawa PMBK akan menyumbang RM5 juta kepada kerajaan negeri, namun persoalannya adakah ia berbaloi dengan aset yang diberikan oleh kerajaan kepada perbadanan.

"Sejak saya berada dalam DUN bermula 2004, sumbangan daripada PMBK dimasukkan dalam bajet tetapi saya percaya ia tidak pernah berlaku,'' ujarnya.

Mat Yusoff berpendapat, masalah itu berlaku disebabkan Nik Abdul Aziz mengamalkan kronisme dalam pentadbiran perbadanan tersebut dan tiada sesiapa yang sanggup menegurnya.
"Saya tidak tahu sama ada PMBK rugi atau tidak tetapi sepatutnya ia tidak rugi sebab tidak perlu keluarkan modal sendiri, semuanya pemberian kerajaan seperti tanah dan balak.

"Terbaru, tapak bekas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu diserahkan kepada PMBK untuk dibangunkan sebagai Bazar Tok Guru, berapakah nilai tanah tersebut mungkin lebih berjuta ringgit," katanya.- UTUSAN


9. Zaman Nik Aziz sudah berlalu

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Zaman kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah berlalu dan beliau sepatutnya meletakkan jawatan bagi memberi ruang kepada muka baru untuk menerajui negeri itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, + berkata, ia diperkukuhkan lagi dengan perubahan keperibadian Mursyidul Am Pas itu daripada insan yang tawaduk kepada seorang yang pendendam.

Katanya, sekiranya Nik Abdul Aziz kekal memegang jawatannya, beliau tidak akan mampu untuk memberi sumbangan kepada politik Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

"Sebaliknya, tindakan beliau itu akan terus membawa perpecahan di kalangan umat Melayu. Terbaru, dengan mendoakan kebinasaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO, semua itu mendorong kepada perpecahan.

"Beliau menanam rasa benci yang keterlaluan kepada sesama umat Islam sedangkan Rasulullah sendiri menganjurkan umatnya menjadi pemaaf. Tindakan itu tidak langsung menggambarkan kepimpinan Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Nik Abdul Aziz Jumaat lalu yang meminta orang ramai berdoa bagi memperbetulkan pemikiran Najib supaya memberi royalti minyak dan sekiranya tidak, doakan supaya Allah musnahkan masa depan Perdana Menteri, UMNO dan proksinya.

Mohd. Puad menambah, Nik Abdul Aziz kini turut berdepan dengan kecelaruan dan tertekan dengan pelbagai isu yang timbul menyebabkannya terpaksa mereka cerita berunsur fitnah mengenai 'Kolonel Mat'.

Menurutnya, jika benar Nik Abdul Aziz menuruti ajaran Islam, beliau seharusnya berterus-terang tanpa menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli Pas sehingga Ketua Dewan Ulamanya turut tercari-cari siapa 'Kolonel Mat' yang dimaksudkan. - UTUSAN


10. Perlu letak jawatan

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Penganalisis politik menggesa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan berikutan tindak-tanduk politik beliau yang semakin menyeleweng daripada ideologi parti sehingga mencetuskan kegelisahan umat Islam.

Menurut mereka, jika Menteri Besar Kelantan itu tidak berundur, dikhuatiri parti itu semakin lemah dan bakal berkubur khasnya di Kelantan.

Kata mereka, Pas 'hilang maruah' apabila Nik Abdul Aziz sanggup membiarkan diri menjadi 'kuda tunggangan' orang bukan Islam khasnya pemimpin DAP demi kelangsungan hayat politiknya.

Prof. Datuk Zainal Kling berkata, Mursyidul Am Pas itu sudah mula memesongkan ahli Pas supaya turut mengikut telunjuk orang bukan Islam demi menjaga hati mereka.

Sambil memberi contoh beberapa isu berkaitan kepentingan orang Islam di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, Nik Abdul Aziz tidak membela Islam tetapi sebaliknya mencari helah mempertahan pemimpin DAP yang menghina Islam dengan alasan 'mereka tidak faham Islam'.

"Sudah wajar beliau (Nik Abdul Aziz) meletakkan jawatan dalam politik dan sebagai Menteri Besar kerana tindakannya semakin menggusarkan orang Islam.

"Beliau tidak lagi dapat mempertahankan prinsip-prinsip persaudaraan Islam dalam menghadapi serangan dan ejekan orang bukan Islam demi kepentingan politiknya.

"Beliau membiarkan orang bukan Islam meremehkan al-Quran dan menghina pemimpin Islam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Serentak dengan itu, beliau yang juga Penyandang Kursi Tun Ghafar Baba Universiti Sultan Idris (UPSI) meminta ahli Pas meneliti secara mendalam perkembangan kepimpinan parti tersebut yang sudah tersasar daripada perjuangan asal untuk memartabatkan Islam.

Pendapat itu disokong oleh Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mustafa Ishak yang menyatakan tempoh 18 tahun sudah terlalu lama untuk Nik Abdul Aziz berkuasa dan wajar bersara daripada politik.

"Beliau mengorbankan banyak prinsip perjuangan Islam demi keutuhan dirinya dan bukan parti. Sikap ini sungguh mengecewakan ahli Pas.

"Jika beliau tidak melepaskan jawatan, Pas akan semakin lemah kerana terlalu mengikut telunjuk DAP dan PKR,'' katanya.

Beliau berkata, makin lama Nik Abdul Aziz berkuasa, Pas akan semakin tidak dihormati dan boleh berkubur khususnya di Kelantan.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, tindakan Nik Abdul Aziz mendoakan orang lain ditimpa bala sudah membuktikan bahawa beliau bukan lagi ulama atau pemimpin Islam tulen.

"Beliau patut letak jawatan. Beliau sudah tidak layak menjadi pemimpin yang mendakwa parti Islam.

"Nik Abdul Aziz sudah terkeluar daripada ajaran agama Islam dan juga pemikirannya sudah gila,'' tegasnya.

Beliau berkata, tidak ada seseorang beragama Islam dan berfikiran waras mendoakan orang lain ditimpa bala.

"Terbukti beliau bukan lagi ulama. Tindak-tanduknya memalukan umat Islam Malaysia di seluruh dunia. Nik Abdul Aziz patut bertaubat dan meminta keampunan pada Allah atas perbuatan itu,'' ujarnya.

Pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzamuddin Sulaiman berkata, isu 'menantu dan penajaan haji' telah mencalarkan imej tok guru itu.

"Beliau sudah lama menjadi pemimpin Pas. Keadaan kesihatannya juga tidak menentu. Lama atau cepat pengganti Nik Abdul Aziz perlu dicari jika Pas mahu terus hidup,'' katanya.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, Terengganu, Asri Salleh berkata, Nik Abdul Aziz memperalatkan agama untuk kepentingan politik.

"Sudah patut sangat beliau mengundur diri kerana integriti sudah makin tercalar.
"Cara politik beliau yang memperalatkan agama juga sangat mendukacitakan umat Islam dan tidak sihat,'' katanya. - UTUSAN.

11. Tindakan Tok Guru Nik Aziz ikhlas dan jiwa besar.

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyanjung tinggi keputusan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz Nikmat yang telah meminta menantu beliau Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Abdul Hadi dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan tersebut sebagai tanda keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan Nik Aziz dan keluarga beliau yang bersedia menerima keputusan parti.Sikap yang diperlihatkan itu jelasnya sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak dihapuskan.

"Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan," jelasnya.

Perlantikan Ariffahmi sebagai CEO PMBK sebelum ini katanya dibuat secara ikhlas dan sepanjang 19 tahun mengetuai pemerintahan Kelantan juga katanya, Nik Aziz dan keluarga tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan.

"Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas," katanya lagi.

Apa yang menghairankan katanya, mereka yang ghairah menyerang Nik Aziz dilihat berdiam diri terhadap kesalahan dan ketidakadilan yang dilakukan pimpinan Umno BN terhadap rakyat.

"Kita mengharapkan agar mereka yang suka menyebarkan api kebencian agar segera bertaubat," katanya.

Beliau turut menyeru seluruh Ahli PAS bersama-sama teguh menyokong kepimpinan Nik Aziz apatah lagi berdepan ujian fitnah media dan musuh yang mahu menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan. - JOHN

SAMA-SAMALAH KITA HAYATI APA YANG TERSURAT DAN TERSIRAT DI SEBALIK LAPORAN-LAPORAN BERKENAAN!

5 comments:

john said...

Abe li tinggal satu..nanti ambo paste sini berito pasal nik aziz jugok!

Tindakan Tok Guru Nik Aziz ikhlas dan jiwa besar.

"Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyanjung tinggi keputusan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz Nikmat yang telah meminta menantu beliau Ir. Abdul Ariffahmi Abd Rahman meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Abdul Hadi dalam satu kenyataan menyifatkan keputusan tersebut sebagai tanda keikhlasan dan jiwa besar yang ditunjukkan Nik Aziz dan keluarga beliau yang bersedia menerima keputusan parti.

Sikap yang diperlihatkan itu jelasnya sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak dihapuskan.

"Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan," jelasnya.

Perlantikan Ariffahmi sebagai CEO PMBK sebelum ini katanya dibuat secara ikhlas dan sepanjang 19 tahun mengetuai pemerintahan Kelantan juga katanya, Nik Aziz dan keluarga tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan.

"Kita dapati Tok Guru selaku Pengerusi PMBK telah menjalankan pelantikan yang ikhlas," katanya lagi.

Apa yang menghairankan katanya, mereka yang ghairah menyerang Nik Aziz dilihat berdiam diri terhadap kesalahan dan ketidakadilan yang dilakukan pimpinan Umno BN terhadap rakyat.

"Kita mengharapkan agar mereka yang suka menyebarkan api kebencian agar segera bertaubat," katanya.

Beliau turut menyeru seluruh Ahli PAS bersama-sama teguh menyokong kepimpinan Nik Aziz apatah lagi berdepan ujian fitnah media dan musuh yang mahu menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.

jemaah rakyat kelate hok sokon AMENO said...

AYUH MARI KITA PERTAHANKAN......

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Susulan pendedahan berani Penyiasat Persendirian Bala tentang usaha sogokan oleh beberapa individu yang berkait rapat dengan pimpinan negara untuk menarik balik Akuan Bersumpah yang telah diikrarkan beliau mengenai hubungan Altantuya dengan PM Najib, Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat akan menyerahkan rakaman CD Bala kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok, Rabu, 2 Disember 2009, jam 2.30petang bertempat di Ibupejabat SPRM Putrajaya.

Di samping itu, satu laporan rasmi terhadap individu yang bernama Nazim Razak dan Deepak juga akan dibuat untuk mendesak SPRM melakukan siasatan segera. Justeru, AMK dan Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat menjemput semua ahli, penyokong dan rakyat Malaysia untuk turut bersama-sama ke ibupejabat SPRM esok.

Dijemput wakil-wakil media untuk turut hadir membuat liputan. Sila hubungi saudara Hasmuzair di talian 0148422155 atau Azizi di talian 0192818377 untuk sebarang pertanyaan.

Terima-kasih.

jemaah prihatin rakyat kelantan (ameno beer and) said...

Kes Pembunuhan Altantuya Dalam Drama Bersiri TVB Hong Kong?Tak sangka, ia akan pergi sehingga ke tahap ini jika ianya menjadi realiti! Ini secara langsung menunjukkan bahawa berita harian ini menjadi tumpuan oleh masyarakat negara yang lain selain turut diberi liputan luas di negara ini. Bahkan, ia juga menunjukkan bahawa isu semasa ini amat menarik untuk diperhalusi akan kebenarannya yang sebenar! Penangan dan liputan meluas mengenai pembunuhan model dan penterjemah dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh dan diletupkan dengan kejam menggunakan bom C4 sebelum ini, menyebabkan TVB Hong Kong merancang untuk menayangkan kes pembunuhan Altantuya dalam drama siri emas pada tahun 2010 nanti.

Altantuya Shaaribuu dijumpai mati pada Oktober 2006. Abdul Razak Baginda, kawan rapat kepada Najib dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh tetapi kemudian dibebaskan. Dua anggota polis Chief Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Korporal Sirul Azhar Umar,36, didapati bersalah dan dihukum mati.
Bekas wartawan Susan Loone mengatakan bahawa Hong Kong akan menghasilkan sebuah drama siri berdasarkan pemberitaan seorang wartawan Perancis, Arnaud Dubus tentang pembunuhan Altantuya dari akhbar La Liberation.

Drama bersiri tersebut akan dinamakan “Ulaanbaatar, Paris, Kuala Lumpur”. Watak Altantuya akan dimainkan oleh Sonija Kwok, Najib Tun Razak oleh pelakon veteran Kwok Fung, Razak Baginda oleh Bill Chan Sek Sau dan Rosmah Mansur oleh Rebecca Chan. Sama ada berita harian ini akan direalisasikan atau tidak , yang pentingnya kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu mempunyai cukup untuk semua elemen yang diperlukan oleh sebuah filem. Cerita ini menglibatkan politik, skandal perempuan, senjata api, pembunuhan, sesuai untuk perfileman.

bewok said...

BTN - BIRO T..... NEGARA

Akhir akhir ini ramai yang hentam BTN.

Mana tidaknya, kursus oleh kerajaan, guna duit rakyat, racun fikiran untuk menyokong 1 belah pihak.

Kalau kita nak boikot BTN pun nk buat apa, bukannya kita sertai kursus BTN setiap hari.

Jadi, apa kata kalau kursus BTN itu dilepaskan ke pasaran terbuka, dengan tiada siapa mewajibkan kakitangannya atau pelajarnya menghadiri kursus.

Kalau kursus BTN itu adalah berbayar seperti kursus motivasi swasta atau badan NGO yang lain, agak-agaknya ada tak pihak yang sanggup bayar untuk hadiri kursus itu?

Abuzar said...

UNMO bertanggungjawab & sokong sebahagian besar hak Rakyat Kelantan dinafikan dan di diskriminasikan dalam perbagai aspeks.

Dulu..
Agihan baja padi, buku teks, bantuan SAR, dll......

Sekarang ROYALTI MINYAK PETROLIUM ...

Kawasan perairan negara/negeri EEZ - Economic Exclusive Zone - 200 batu notika. Kawasan aktiviti ekonomi yang berada di kawasan EEZ seperti perlombongan/ perikanan/ pelancongan/ perdagangan/ dll.

Lagipun mengapa kerajaan pusat UBN & Petronas boleh bayar royalti minyak kepada Kerajaan Sarawak dan sabah walaupun jarak pelantar minyaknya lebih jauh dari pantai mereka berbanding Kelantan/ Terengganu?

Begitu jugak sejak tahun 70han, Terengganu terima royalti, tapi bila PAS perintah Terengganu pada 1999-2004, kerajaan pusat UBN & petronas terus tukar dari royalti kepada wang ehsan?

Rakyat ingin tahu, ingin ketelusan & keadilan bagaimana kerajaan urus harta negara & pulangan yang optimum kepada rakyat tanpa penyelewengan dan pembaziran.