Monday, December 7, 2009

CERPEN TERBARU 12/2009

RIUH RENDAH

LIMA puluh dua gocohan, lima puluh dua kali sepakan, lima puluh dua tamparan dan lima puluh dua kali sekehan ditinak pada dahi, punggung tonggek, pipi kiri dan kanan serta kepala bubus Mat Yeh, menjadikannya lembik lotek, macam kain buruk pengesat kaki, berjelepek.

Setiap kali dahinya kena gocoh, Mat Yeh merasakan macam dahinya berapi, bintang kama berkelip kelap pada matanya, jantungnya dirasakan semacam berhenti berdenyut.

Mat Jin Kopiah Temunjut pun turut terima habuan sama. Gocohan, sepakan, tamparan dan sekehan yang ditinak atas dahi, batang hidung, pipi, punggung tipusnya dan kepala botak yang rambutnya hanya ada beberapa urat juga berjumlah lima puluh dua kali setiap satu.

Macam juga Mat Yeh, Mat Jin Kopiah Temunjut pun berjelepek, lembik lotek macam kain buruk.

Beberapa orang lain yang cuba menghalang juga ada yang bengkak temunjut dahi, ada yang terpelanting gigi dan ada yang mengeram menahan sakit dan sengal seluruh tubuh.

Pertandingan suara belalang rusa sempena berlabuhnya tirai 2009 dan terselaknya tirai 2010 bertujuan untuk suka-suka bertukar dengan bala jetaka, kawasan belakang kedai kopi Semoh Janda anak tiga belas dekat Pekan Cabang Empat Pokwo Mejah jadi huru-hara, riuh rendah, masing-masing kuca-ganyuh dan saloh-aboh.

“Ada orang dengki” adu Rohim Rongak kepada dua anggota polis yang bergegas datang bila ada yang telefon memaklumkan ada orang kena timbuk tempat bertewas suara belalang rusa, sampai ada yang bengkak dan pecah muka.

Rohim Rongak atau juga digelar Rohim Wak Long atau Rohim Ngokngek memang kaki sibuk, bila bercakap payah nak berhenti. Hebatnya bila senjah satu urat yang dinamakannya urat kentut pada bahagian rusuk sebelah kanannya, dia boleh berkentut sampai berpuluh kali berturut-turut.

Sebelum pertandingan suara belalang rusa bermula tadi, dengan hanya diupah seringgit, Rohim mencipta rekod baru dengan berkentut sebanyak lima puluh dua kali.

Serentak dengan kentut kelima puluh dua kalinya, yang hadir untuk memeriahkan pertandingan suara belalang rusa bukan lagi bau kentut tapi ada bau tahi. Bila ditanya kenapa ada bau tahi, Rohim minta maaf kerana dia terkicit.

Satu lagi kerlebihan Rohim dia boleh makan dengan banyak. Dalam pertandingan makan nasi kerabu, dia muncul sebagai juara dengan menghabiskan dua belas bungkus nasi kerabu yang lazim menjadi sarapan pagi masyarakat sekampung.

Manakala dalam pertandingan makan telur ayam rebus, dia boleh habiskan lima puluh biji dan muncul sebagai juara. Hadiah utama bagi kedua-dua pertandingan itu adalah baldi plastik dan sodek batang nibong.

“Dengki? Dengki pasal apa?” soal anggota polis pada Rohim.
“Belalang dia tak pernah kalah”
“Belalang siapanya?”
“Belalang Mat Yeh. Malam ni belalangnya menang untuk kali kelima puluh dua”
“Hebat tu”
“Memang hebat”
“Apa hadiahnya?”
“Lampu suluh”
“Setiap kali bertanding hadiahnya lampu suluh?”
“Ha ah”
“Dah lima puluh dua kali menang, dapat lima puluh dua lampu suluhlah?”
“Hm”
“Yang seorang lagi tu?”
“Mat Jin?”
“Ya ‘lah agaknya. Pasal apa dia pun kena belasah?”
“Susah nak agak, encik”
“Belalangnya acap menang juga ke?. Dia pun ada orang dengki juga?”
“Dia tak ada belalang”
“Dia datang buat apa?”
“Dia Pengadil”
“Pengadil pun kena?”
“Rasanya patah batang erun. Tubik darah macam ayam kena sembelih”
“Batang erun?”
“Batang hidung”
“Ooo”
“Selak tepejun”
“Pengadil kena gocoh ni kira parak sikit”
“Memang parak. Boktan nak suka-sua, dua-dua masuk wad”
“Macam mana boleh sampai bergodam?”
“Hati mana boleh tahan kalau menang kerana menipu” Awang Panau Berkerak yang tadinya haya berdiam diri tiba-tiba bersuara. Dia paling banyak bawa belalang untuk dipertandingkan pada setiap kali diadakan pertandingan tetapi tidak pernah menang tempat pertama.
“Tipu?”
“Tak tipu macam mana belalang yang dah mampus pun boleh menang”
“Mana awak tau?” soal anggota polis.
“Saya tengok sendiri”
“Awak jangan main-main, jangan nak buat cerita”

Kerana mahu membuktikan dia tidak berbohong, Awang menjelaskan bahawa kerana pelik dengan kehebatan belalang Mat Yeh, dia bercadang menukarkan belalangnya dengan belalang Mat Yeh.

Ketika Mat Yeh ke kedai kopi berhampiran sebelum pertandingan dimulakan, Awang menjalankan rancangan jahatnya.

Kerana belang kena dipertandingkan dalam keadaan gelap dan kena diletak dalam gelap, mudahlah bagi Awang untuk melaksanakan rancanganya.

Alangkah terperanjatnya Awang bila mendapati belalang Mat Yeh yang dikeluarkan dari sarang tidak bergerak. Dengan menggunakan pemetik api, Awang menuyuluh belalang yang tidak bergerak.

Rupanya Mat Yeh pertandingkan belalang mampus. Kepala dan badan belalang pun di sambung dengan lidi nyior supaya yang sudah mampus keilahat macam hidup dengan kedudukannya digamkan.

Awang sedar rupanya dia dan peserta lain telah ditipu oleh Mat Yeh manakala Mat Jin sebagai pengadil pula bersubahat dalam penipuan Mat Yeh.

Cepat-cepat Awang masukan semula belalang mampus Mat Yeh ke dalam sarang asalnya. Darah Awang mula menggelegak. Dia geram dan marah.

Kepada kawan-kawan rapatnya Awang maklumkan tentang apa yang dilihatnya, malah kata sepakat telah dibuat, kalau Mat Yeh diumum menang lagi pada pertandingan kali ini, gocoh biar sampai muntah-kedarah.

Sebagaimana yang dirancang, bila Mat Yeh diumum menang, Mat Yeh dan Mat Jin terus menjadi sasaran serangan. Kedua-duanya disepak dan digocoh sampai lembek lotek macam kain buruk.

Pertandingan suara belalang rusa sempena berlabuhnya tirai 2009 dan terselaknya tirai 2010 bertujuan untuk suka-suka bertukar dengan bala jetaka, kawasan belakang kedai kopi Semoh Janda anak tiga belas jadi huru-hara, riuh rendah, masing-masing kuca-ganyuh dan saloh-aboh.

“Jadi awaklah yang gocoh Mat Yeh?” soal anggota polis.
“Mat Jin pun saya gocoh. Padan dengan muka, main ilat sangat. Menipu”
“Sah ke awak gocoh?”
“Tak sah macam mana, tangan pun masih rasa serban lagi ni”
“Kalau macam ni saya terpaksa pakaikan gelang besi ni”
“Gari?”
“Tau tak apa”
“Tapi……”
“Tapi awak tu bawa ke balai. Di sana awak boleh cerita panjang”
“Bukan saya sorang yang gocoh, encik”
“Mereka pun akan pakai gelang ni nanti”
“Esok tahun baru. Saya kena masuk lokap”
“Kerana awak dah sebabkan Mat Yeh dan Mat Jin terpaksa masuk wad”

Rohim Rongak cuba mahu memberikan pandangannya tetapi belum sempat dia buka mulut, Awang sudah pun dimuat ke dalam landrover polis.

Entah kerana protes, Rohim senjah urat kentut dan melepaskan lebih lima puluh das kentut, kebetulan dia hampir setiap hari makan ikan perkasam dalam tempoh seminggu menyebabkan semua yang ada berhampirannya menonye kerananya.

Riuh rendah, kuca-ganyuh dan saloh-aboh kerana kes Mat Yeh dengan Mat Jin kena gocoh serta Awang kena gari polis ditambah diriuh rendah, kalut ribut, kuca-ganyuh dan saloh abohkan oleh makahnya bau kentut Rohim Rongak atau juga digelar Rohim Wak Long atau Rohim Ngokngek.

No comments: