Sayyidina Ali saran rujuk al-Quran dan hadis elak tergelincir dari Islam
SAYYIDINA Ali Abi Talib yang merupakan sepupu dan menantu kepada Rasulullah s.a.w. yakni suami kepada puteri kesayangan baginda, Fatimah bte Muhammad Rasulullah s.a.w adalah seorang yang memilikki ilmu yang tinggi dalam bidang fekah.
Beliau adalah merupkan kanak-kanak pertama menerima seruan Rasulullah di samping, Zaid menjadi remaja pertama memenerima Islam, Siti Khadijah Bte Khuwailid menjadi wanita dewasa pertama memeluk Islam, Sayyuidina Abu Bakar As-Siddiq menjadi orang lelaki dewasa pertama memeluk Islam.
Banyak fatwa Sayyidina Ali menjadi pedoman bagi khalifah-khalifah dan para sahabat pada masa Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Uthman. Jarang masalah agama yang tidak ada pendapatnya yang dipegang orang atau kuatnya hujahnya di antara pendapat-pendapat yang terbaik.
Sejak permulaan dilantik sebagai seorang khalifah Ali telah menyatakan sesuatu yang amat bermanfaat buat kaum mukmin sebagai pedoman hidup.Kata-kata atau ucapan Ali sangat mengesankan sesiapa yang mendengar dan menghayatinya dengan mata hati yang jernih dalam mencari suluh hidup yang diredhai Allah.
Kata Ali kepada anaknya Hasan, kekayaan yang paling berharga ialah akal fikiran. Justeru, marilah kita sama-sama merenung apa yang diperkatakan oleh Saidina Ali berikut sebagai panduan hidup di dunia yang fana ini.
Ali bin Abi Talib adalah khalifah Ar Rasyidin yang terakhir yang dilantik selepas kewafatan Sayyidina Uthman. Banyak yang boleh dipelajari daripada baginda, terutama dalam bidang pendidikan. Di sini dipetik satu ucapan baginda yang dapat dijadikan pedoman buat kaum.
Selepas dilantik sebagai khalifah, antara lain ada baginda berkata; wahai manusia, kamu telah menerima aku sebagaimana yang telah kamu lakukan kepada khalifah-khalifah yang terdahulu daripadaku. Aku hanya boleh menolak sebelum jatuh pilihan. Apabila pilihan telah jatuh, menolak tidak boleh lagi. Imam harus teguh dan rakyat harus patuh menurut. Baiah terhadap diriku ini ialah baiah yang rata, yang umum. Barang siapa yang mungkir daripadanya terpisahlah dia daripada agama Islam.
Daripada ucapan Ali itu dapat dikesan beberapa pengajaran. Antaranya ialah apabila hendak melantik seseorang pemimpin adalah melalui baiah atau persetujuan yang diberikan oleh orang ramai. Kalau masa kini dinamakan amalan demokrasi.
Seterusnya seseorang itu boleh menolak usul pelantikan sebelum sesuatu pilihan tersebut diputuskan. Tetapi selepas keputusan telah dibuat bermakna seseorang yang dilantik itu wajar menerimanya dengan hati terbuka dan bersedia menerima tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.
Seseorang pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat mesti mengamalkan sikap tegas tetapi adil dalam pemerintahannya. Tegas mengendalikan urusan pentadbiran dan pemerintahan.Teguh dalam menjalankan undang-undang. Namun aspek keadilan tetap mesti dijunjung tinggi oleh pemimpin.
Sebaliknya, bagi pihak rakyat pula, mereka hendaklah menurut segala perintah pemimpin dan menumpahkan ketaatan yang tidak berbelah bahagi, selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Di samping itu pengajaran ucapan beliau itu dapat kita fahami bahawa pelantikan yang dibuat secara majoriti adalah diakui.
Sesiapa yang tidak bersetuju atau ingkar, ia dianggap tidak menurut hukum Islam. Hal ini bertepatan dengan pesanan Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dengarlah dan taatilah sekalipun yang diangkat ke atas kamu ialah seorang budak Habsyah yang kepalanya bagaikan kismis” - hadis riwayat Bukhari).
Rasulullah s.a.w. juga bersabda dalam satu lagi hadis baginda yang bermaksud: “Sesiapa taat kepadaku, bererti ia taat kepada Allah. Sesiapa menderhakai aku, bererti ia menderhakai Allah. Dan sesiapa taat kepada pemimpin, bererti ia telah taat kepadaku. Dan sesiapa menderhakai pemimpin bererti ia menderhakai aku” - hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Dalam ucapan baginda juga Ali menyatakan, wahai Kaum Muslimin yang hadir! sesungguhnya Allah telah menurunkan al-Quran yang di dalamnya ada petunjuk bagi kebaikan dan kejahatan. Maka ambillah kebaikan itu. Allah mengharamkan sesuatu dan menghalalkan sesuatu. Kerjakanlah yang halal dan tinggalkanlah yang haram. Sesuatu pekerjaan hendaklah dikerjakan dengan jujur. Orang Islam ialah orang yang selalu menjaga lidahnya dan anggotanya dari mencaci dan mengambil hak orang lain.
Berteras-tunjangkan ucapan Ali terkandung beberapa pengajaran lagi sebagai garis panduan hidup kita yang jujur mahu jadi orang Islam yang beriman dan bertakwa sama ada sebagai pemerintah atau komponennya mahu pun sebagai orang biasa.
Antaranya, al-Quran itu mengandungi segala petunjuk serba lengkap buat manusia bagi membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Maknanya rujukan utama adalah al-Quran dan Hadis, bukannya pada individu atau tokoh tertentu, apatah lagi jika apa yang dicakap, diisaran, dianjur dan dilakukan meragukan.
Melalui pembacaan, perenungan dan penghayatan terhadap isi makna dalam al-Quran, pasti seseorang seseorang muslim tidak akan tergelincir dari landasan Islam yang sebenar. Tetapi kalau malas merujuk al-Quran dan hadis dan hanya bulat-bulat mempercayai individu atau tokoh tertentu tidak mustahil kita akan gelincir dan digelincirkan dari lalandasan Islam sebenar.
Kita juga dipesankan supaya sentiasa melakukan kebaikan dan menolak segala unsur yang berbentuk keburukan atau kejahatan. Seruan melakukan kebaikan dan menolak segala unsur yang tidak baik itu termasuklah dalam bentuk ucapan lidah dan perbuatan.
Allah telah memimpin manusia dengan panduan al-Quran dan bimbingan Rasulullah s.a.w tentang perkara-perkara yang halal dan haram. Hakikatya manusia sudah tidak perlukan kitab dan buku panduan lain untuk mendapat hasanah di dunia dan di akhirat selain dari al-Quran dan Hadis.
Sesungguhnya Allah menyuruh kita umat manusia melakukan yang halal sahaja tetapi setiap gerak kerja halal yang dilakukan itu hendaklah berteraskan kepada hati yang jujur dan niat yang ikhlas kerana Allah.
Ali juga menekankan kepada kita sebagai inti pati kepada ucapan baginda agar sentiasa menjaga tutur kata semasa berkomunikasi sesama insan, dengan berkata yang benar ,jujur dan bermanfaat. Kita dinasihatkan agar menjauhi sifat suka mencaci maki seseorang insan yang lain serta jangan mengambil hak orang lain.
Inti pati ucapan Ali selepas beliau dilantik sebagai khalifah yang sangat bermakna kepada umat Islam. Isi ucapan jujur yang sejajar dengan kehendak agama Islam itu seharusnya kita, apatah lagi di kalangan para pemimpin hayati sepanjang masa agar kita menjadi seorang muslim yang sentiasa patuh dengan kehendak agama serta memiliki sahsiah peribadi yang luhur.
No comments:
Post a Comment