Monday, December 21, 2009

MUNCUL KEMBALI (584)

5 laporan terkini Pertububuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang menarik perhatian saya;

1. Lelaki hidup mewah hasil kegiatan menipu lebih RM300,000
21/12/2009 7:25pm

KOTA BHARU 21 Dis. — Selepas hidup mewah selama setahun dipercayai daripada hasil kegiatan menipu membabitkan RM346,500, akhirnya seorang lelaki ditahan polis.

Suspek berusia 55 tahun, memperdayakan mangsa kononnya dia mempunyai hubungan baik dengan pihak atasan untuk mendapatkan kontrak kawasan pembalakan, membeli kereta disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan pembelian konsesi kayu getah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Supt. Hamzah Alias berkata, lelaki itu terbabit dalam lima kes tipu iaitu tiga kes berlaku di daerah Pasir Puteh, satu kes di Kota Bharu dan satu kes di Rantau Panjang membabitkan kes penipuan tawaran kawasan pembalakan, penipuan tender pembelian kenderaan dan penipuan tawaran pembelian konsesi kayu getah.

"Pihak polis berjaya menahan suspek di Jalan Tengku Chik, dekat sini dan pihaknya turut merampas sebuah kereta mewah milik suspek, yang berasal dari Pasir Mas, pada 17 Dis. lalu bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - Bernama

2. Ada yang tak kena dorong Pemuda Pas desak Ariffahmi berundur

21/12/2009 6:23pm

KOTA BHARU 21 Dis. — Setiausaha Pemuda UMNO Kelantan, Bazlan Baharuddin berkata, terdapat “sesuatu yang tak kena” sehingga mendorong Dewan Pemuda Pas Kelantan mendesak menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, segera meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu tidak serius mustahil Pemuda Pas berbuat demikian kerana mereka amat menghormati Menteri Besar dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kalau orang dalaman sendiri mendesak Ariffahmi meletak jawatan, bermakna ada perkara serius di sebalik desakan itu,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas cadangan Dewan Pemuda Pas Kelantan untuk mengadakan mesyuarat bagi membincang dan mendesak Ariffahmi segera meletak jawatan. - Bernama

3. Empat cedera bumbung kaca terminal bas runtuh

21/12/2009 7:33pm

HULU TERENGGANU 21 Dis. — Tiga buruh rakyat Bangladesh dan seorang buruh tempatan cedera apabila penghadang cahaya kaca di terminal bas baru Kuala Berang yang sedang dalam pembinaan runtuh hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.05 petang itu, difahamkan terdapat 15 pekerja di kawasan berkenaan dengan dua daripadanya sedang memasang kaca sebagai bumbung penghadang cahaya.

Kejadian itu menyebabkan dua buruh yang berada di atas bumbung dan dua lagi yang berada di bawah cedera ringan di kaki dan tangan akibat terkena serpihan kaca itu.

Penyelia tapak pembinaaan berkenaan, Zahir Hariri berkata, kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dan dirawat sebagai pesakit luar.

"Ketika kejadian saya berada di pejabat tapak pembinaan dan saya terdengar bunyi kuat dari arah terminal itu. Apabila keluar, saya lihat kaca yang dijadikan bumbung penghadang cahaya jatuh dan pecah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian. - Bernama

4. Dua rakan karib ditahan curi barang kemas RM700,000

21/12/2009 8:18pm

KUALA LUMPUR 21 Dis. — Dua rakan karib yang menyamar sebagai anggota polis dan tukang membaiki tong gas diberkas polis kerana disyaki melarikan barang kemas milik seorang wanita warga emas dalam dua tangkapan di Cheras, Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt. Azri Abd. Rahman berkata, suspek pertama yang menyamar sebagai anggota polis ditahan di sebuah kedai serbaneka di Taman Connaught manakala rakannya ditahan di sebuah restoran di Taman Orkid, Cheras.

"Kedua-dua suspek yang berumur 32 dan 28 tahun itu telah menipu dan melarikan barang kemas milik wanita ini dalam satu kejadian pada 28 Nov. lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

5. 29 ditahan termasuk tujuh wanita `berpesta dadah'

21/12/2009 7:29pm

BENTONG 21 Dis. — Seramai 29 rakyat tempatan termasuk tujuh wanita ditahan kerana berpesta “dadah” di dua blok Pangsapuri Amber Court, Genting di sini dua hari lepas.

Dalam serbuan pertama di Tingkat 6, Blok A pangsapuri itu oleh cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, polis menahan sembilan lelaki dan seorang wanita berumur antara 19 dan 25 tahun pada kira-kira 2.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Rosli Abdul Rahman berkata, tiga daripada mereka adalah pelajar kolej swasta manakala tujuh lagi sudah bekerja termasuk tiga orang penjawat awam ditahan ketika dalam keadaan khayal.

"Ujian air kencing ke atas mereka, polis mendapati sembilan lelaki terbabit adalah positif ganja manakala wanita yang juga pelajar itu didapati negatif dadah dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Dis ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

2 comments:

Anonymous said...

"Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (Surah ar-Rum (30) : 41)

arrow said...

idup PETRONAS
Assalamualaikum wbt....

Arrow Tahniah kepada rakyat Mesia kerana mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Aku sebagai rakyat Mesia merasa TERLALU berbangga kerana mempunyai MENTERI KEWANGAN yang bijak menggunakan wang rakyat.

Arrow Untuk Mesia kami sanggup membeli gula tanpa subsidi, membayar yuran skola yg mahal, menbayar cukai GST, membeli bawang yang mahal, membayar tol yg setiap tahun semakin naik, membeli minyak petrol yang mahal walopun kita pengeluar minyak, membayar saman yang semakin kerap polis/JPJ membuat roadblock, membeli loteri (bagi ahli AMNO) untuk kerajaan mengutip cukai yang boleh dikatakan dalam seminggu hanya 1~2 hari jer tutup dimana 2 hari adalah cabutan loteri biasa dan selebihnya special lucky draw dan lain2 bayaran.

Arrow Aku sanggup bayar cukai, bayar kos2 selenggara dan beli barang yang mahal kerana dilupuskan subsidi demi menaikkan imej negara di mata dunia. Diharapkan Peltronas lebih banyak lagi sponsor sukan2 dan lain2 aktiviti antarabangsa seperti sponsor sukan musim dingin antarabangsa, sukan american football, orkestra di luar negara, pertandingan tarian ballad, perlumbaan Le Man, sukan rally merentas gurun, opera dan sebagainya. Jika Petronas sanggup sponsor sukan2 ini dan lain2 yang tak tersenarai aku amat YAKIN tanpa was2, waham atau syak Mesia akan terkenal di seluruh dunia.

Arrow Wallahualam....