Wednesday, December 23, 2009

MUNCUL KEMBALI (592)

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan kena 'tulah'?

SEPANJANG hari ini saya ke Kampung Mata Ayer (Pulai Chondong), Terbak (Tumpat) dan Tok Sangkut (Pasir Mas) bersama seorang rakan berbangsa Cina dari Pahang yang mahukan bekalan Kulat Tiram Kelabu pada jumlah sekurang-kurangnya 50 kilogram sehari.

Berdasarkan maklumat rambang, kesemua pengusaha kulat yang ingin ditemui berjaya ditemui. Ada gunanya pengalaman sebagai pengamal media selama lebih 30 tahun, seluruh kampung di Kelantan pernah saya sampai dan pada setiap Pekan di Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah (termasuk Langawi), Perlis dan Pulau Pinang pernah saya kunjungi dan ada kenalan.

Rakan saya semacam tidak percaya apabila kesemua tempat yang dicari dapat ditemui dengan mudah walaupun pada jajahan yang berbeza. Urusan yang dia jangka mengambil masa paling cepat tiga hari, boleh selesai dalam tempoh setengah hari sahaja.

Agak sedihnya saya atas nama Melayu kerana semua penanam kulat bukan orang Melayu. Di Mata Ayer pengusahanya adalah Cina Kampung manakala di Terbak pula wanita Siam, seorang guru dengan pada masa yang sama menjadi pengusaha penanaman kulat.

Demikian juga di Tok Sangkut, pengusahanya juga wanita berbangsa Siam. Masih muda dan anak dara lagi. Saya kurang pasti kenapa tidak ada orang Melayu menanam kulat sedangkan ianya memberikan pulangan yang lumayan, malah setiap penanam tidak dapat memenuhi permintaan pasaran kerana permintaan jauh mengatasi jumlah penghasilan.

Dalam tergesa-gesa, saya lupa bawa telefon genggam saya. Lepas Isyak malam ini baru saya ambil telefon yang dicharge dan ada satu mesej yang tulis dengan rangkai kata
please call me, back. Urgent. Sebagaimna yang dipinta, saya call bombor yang tertera.

"Kenapa baru call?" soal penerima pangilan yang enggan memberitahu namanya walaupun saya mendesak. Kononnya dia kenal saya walaupun saya tidak kenal dia. "Mu jangan nak lawan Pas, lawan Tok Guru. Dia orang keramat, dekat dengan Tuhan, banyak sembahyang malam, banyak baca al-Quran, banyak berzikir. Kerana itu dia ada keramatnya"

Kerana lebat sangat dia bercakap, saya hanya menjadi seorang pendengar. Bila saya ketawa, saya diherdik, kononnya bila bercakap tentang Tok Guru tak boleh ketawa, tak boleh main-main. Kononnya saya akan kena
tulah kerana sering tidak se arus dengan Tok Guru. Kononnya Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan Dr Rosli Allani Abd. Kader dah pun kena tulah, tak banyak hari selepas usik Tok Guru dan menantunya.

Tulah yang dimaksudkan adalah berdasarkan laporan berikut;

Dr. Rosli lepas semua jawatan Pas

DR. Rosli Allani Abd. Kader ketika hadir untuk mengadakan sidang akhbar mengenai peletakan semua jawatan dalam Pas di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 22 Dis. – Sehari selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah agar tidak tinggal bersama isteri keduanya, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Dr. Rosli Allani Abd. Kader meletakkan semua jawatan dalam parti itu berkuat kuasa serta- merta.

Keputusan itu diambil beliau selepas kes perkahwinannya dengan Ilyani Mohd. Noor, 30, mendapat liputan meluas media hari ini.

Menurut Dr. Rosli Allani, 35, surat peletakan jawatannya akan dihantar kepada Dewan Pemuda Pas Kelantan (DPPNK) dalam masa terdekat.

Beliau turut memohon maaf kepada pucuk pimpinan dan ahli-ahli Pas jika masalah peribadinya telah mencalar imej atau mendatangkan masalah kepada parti.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui menjadi mangsa sindiket perkahwinan diuruskan oleh seorang bekas imam muda yang memberikan sijil dan kad perkahwinan tidak didaftarkan.

Menurutnya, walaupun yakin berada di pihak yang benar, peletakan jawatannya itu adalah untuk menjaga nama baik, integriti dan persepsi masyarakat terhadap Pas.

“Saya meletakkan kesemua jawatan dalam Pas berkuat kuasa serta-merta. Saya juga telah meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri sebagai pegawai khas kepada ahli Exco pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Begitu pun saya masih kekal dan setia sebagai ahli Pas. Saya serahkan masa depan politik saya sepenuhnya kepada pertimbangan pucuk pimpinan dan ahli-ahli Pas untuk menentukannya,’’ katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini bagi menjelaskan isu perkahwinan keduanya selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu semalam memerintahkan dia dan isteri keduanya tinggal berasingan, sehingga keputusan dibuat.

Ia berikutan permohonan bapa mertuanya, Mohd. Noor Che Man, 58, seorang ahli perniagaan untuk membatalkan perkahwinan pasangan tersebut kerana percaya perkahwinan yang berlangsung di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor pada 26 Disember 2008, tidak sah.

Dr. Rosli Allani berkata, perkahwinan dengan isteri keduanya itu dilakukan dengan hati yang suci setelah menyedari wujudnya perasaan kasih antara mereka berdua.

“Saya dan isteri telah banyak kali cuba mendapatkan persetujuan bapa mertua, namun berdepan dengan kegagalan sekalipun isteri pertama saya telah memberi persetujuan untuk berpoligami.

‘‘Disebabkan halangan bapa mertua, saya menggunakan wali hakim, ini pun setelah saya diberi jaminan oleh rakan yang pernah memegang jawatan imam muda sebuah masjid negeri bahawa perkahwinan yang diuruskan tidak menyalahi undang-undang,” ujarnya.

Dr. Rosli Allani bagaimanapun menafikan peletakan jawatan itu disebabkan wujudnya tekanan ekoran kenyataannya agar Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Abd. Rahman melepaskan segera jawatannya demi kepentingan parti.

Ditanya sama ada Abdul Ariffahmi patut mengikut langkahnya dengan meletakkan segera jawatan demi kepentingan parti, beliau enggan mengulas.

Kononnya kerana gatal mulut nak sentuh perihal menantu Tok Guru yang pasti kalau tidak ada keistimewaannya tidak akan diterima menjadi menantunya, timbul hal-hal yang tidak musabah boleh berlaku kepada kepimpinan muda Pas itu.

Empat hari lepas Dr Rosli menjadi sumber kepada laporan berikut;

Segera letak jawatan
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 19 Dis. – Dewan Pemuda Pas Kelantan akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan cadangan mendesak Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) lebih awal tanpa menunggu Mac depan.

Ketua Penerangannya, Dr. Rosli Allani Abd. Kader berkata, dewan itu mungkin akan membincangkan isu itu lebih mendalam termasuk mengadakan undian di kalangan ahli jawatankuasanya untuk membuat desakan tersebut.

Sebelum itu jelasnya, pihaknya akan memanggil menantu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu untuk kali kedua dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung peletakan jawatannya itu.

Menurutnya, keputusan memanggil Abdul Ariffahmi yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas negeri itu dibuat pada mesyuarat harian dewan itu kelmarin walaupun sebelum ini beliau telah dipanggil.

Katanya, ia bagi memastikan isu tersebut tidak berlarutan kerana akan menjejaskan tumpuan parti dan kerajaan dalam membangunkan negeri ini.

“Isu ini perlu diselesaikan dengan cepat kerana ia menjejaskan parti. Apa yang kita buat ini adalah bersandarkan kepada konsep parti menguasai kerajaan bukannya kerajaan menguasai parti.

‘‘Lagi pun Abdul Ariffahmi ialah Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas negeri,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

PMBK sebelum ini mengumumkan Abdul Ariffahmi akan meletakkan jawatan pada Mac depan selepas diarahkan Nik Abdul Aziz yang dinasihatkan berbuat demikian oleh kepimpinan Pas Pusat.

Bagaimanapun Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan keputusan tersebut kerana tempoh tiga bulan itu terlalu lama dan memberi ruang yang banyak kepada musuh untuk menyerang.

Rosli Allani berkata, keputusan yang akan dibuat dalam mesyuarat penuh tersebut menunjukkan ketegasan dewan itu supaya isu berkenaan diselesaikan secepat mungkin.

Mengulas mengenai tulisan isteri Abdul Ariffahmi, Nik Amalina di dalam blognya Seri Suri, beliau berkata, tindakan anak perempuan Nik Abdul Aziz itu betul untuk mempertahankan suaminya yang dianggap tidak bersalah selagi mahkamah tidak menjatuhkan hukuman.

“Memang diakui tulisan yang meminta seorang Exco meletakkan jawatan sedikit sebanyak menjejaskan parti tetapi di sini ada dua isu yang berbeza terutama dalam mempertahankan institusi kekeluargaan.

“Sebagai kawan lama, saya melihat Nik Amalina ada hak untuk mempertahankan suaminya daripada terus dihukum oleh orang ramai tanpa diberikan peluang membuat penjelasan,”

Soalnya betulkah apa yang berlaku kepada Dr Rosli satu tulah dan apakah dari sudut kesannya kepada akidah kalau mempercayai tulah, apatah dengan kepercayaan tokoh-tokoh tertentu boleh memberi tulah?

2 comments:

Anonymous said...

BENDA KARUT MARUT BEGINILAH YANG MEROSAKKAN PAS.

wan ahmad kopiah hijau said...

melipariapapa..meli kapak jangak... wak ketuh ketih... hang suka sangat bantai pas...rileklah abe li... jange tunjuk... kito ni tok tahu apa nok berhujah.