Sunday, December 27, 2009

MUNCUL KEMBALI (603)

Kalau rasa satu bebanan, jangan pilih jadi wakil rakyat

HANYA 66 dari 138 ahli parlimen Barian Nasional (BN) hadir manakala lebih dari separuh yakni 72 lagi tidak hadir menjadikan Bajet 2010 hanya diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga unndi menerusi undi belah bahagian iaitu 66 menyokong dan 63 menolak, bagi saya adalah suatu sejarah hitam yang tidak patut berulang.

Walau apa pun alasan yang diberikan oleh ahl-ahli parlimen yang tidak hadir, namun masing-masing mesti menerima hakikat bahawa tindakan mereka itu bersifat petualang dan pencalar kepada amalan demokrasi negara, malah mereka telah mengecewa dan melukakan hati pemberi mandat melalui undi yakni rakyat kerana ahl-ahli parlimen menampakan sikap tidak bertanggungjawab dan boleh main-main dengan tanggungjawab yang dipikul.

Kalau pun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memaafkan ahli-ahli parlimen terbabit sama ada atas sifat peribadinya mahu kerana kepentingan keperluan politik dan pentadbiran negara, belum rakyat selaku pengundi boleh memaafkan wakil-wakil rakyat terbabit yang tidak menghormati dan menghargai mandat yang diberikan oleh rakyat.

Kesilapan oleh sikap sambil lewa dan tidak kebertangungjawabkan 72 ahli parlimen BN itu bukan kecil kerana selain dari membawa implikasi besar kepada negara jika bajet tidak diluluskan, 'Peristiwa 14 Disember' itu juga boleh menyebabkan Parlimen dibubarkan berdasarkan konvensyen atau amalan oleh beberapa negara Komanwel. Bayangkan jika itu yang terjadi, apa akan terjadi kepada negara.

Sehubungan dengan itu, tindakan paling keras perlu dilakukan, bagi pada pilihanraya umum akan datang, kalau pun keperluan terdesa untuk mereka terus bertanding, biarlah nama masing-masing tersenarai paling bawah. Semolek-moleknya jangan dicalunkan lagu kerana mereka telah melukaan hati dan perasaan pengundi masing-masing apabila mandat yang diberikan tidak dihormati dan dihargai.

Alasan persidangan terlalu panjang membawa ke tengah malam tidak patut diterima sebagai alasan yang menjadi sebab kenapa mereka tidak hadir kerana 66 rakan setugas mereka serta 63 lawan dari pembangkang boleh hadir. Malah, kalau terpaksa bersidang tanpa henti selama 24 jam, seminggu atau sebulan tanpa henti pun, setiap ahli parlimen kena hadapinya kerana itu memang kewajipan dan tanggungjawab mereka.

Kalau dirasakan persidangan parlmen adalah satu bebanan dan tugas yang membosankan, maka lebih baik awal-awal lagi jangan memilih untuk jadi wakil rakyat. Bersidang, berbahas dan menyelesaikan segala masalah rakyat dan negara di parlimen adalah tugas dan tanggungjawab ahli parlimen. Mereka tidak perlu berladang, berniaga atau ke lautan menangkap ikan dan sebagainya kerana taggungjawab itu telah dipikul oleh rakyat jelata.

Seandainya dirasakan menjadi peladang, penternak, nelayan, usahawan atau kakitangan di sektor awam dan swasta lebih sesuai dengan kecenderungan semula jadi, lebih seronok dan santai berbanding dengan jadi ahli parlimen, lebih baik jangan mencipta laluan untuk ke kersi ahli parlimen atau p[un bila ditawarkan berbanding, tolak dengan alasan tidak ada minat dan kudrat untuk jadi ahli parlimen supaya tanggungjawab itu boleh dipikul oleh orang lain yang jumlahnya berjuta-juta lagi.

Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN patut mengambil iktibar agar pada masa-masa akan datang hanya memilih calon untuk bertanding di kalangan yang benar-benar berminat serta sedar tentang betapa berat tugas dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul sebagai ahli parlimen. Jangan sekali memaksa atau memilih calon yang tidak ada kecenderungan untuk jadi ahli parlimen yang hebat yang bertanggungjawab.

No comments: