Wednesday, January 13, 2010

MUNCUL KEMBALI (623) - DIKEMASKINI SEMULA DENGAN PEMBETULAN EJAAN

Rakyat Malaysia kena bersedia untuk berhenti dari terus dibelai manja

KALAU dilihat selayang pandang banyak labanya jadi rakyat Malaysia, serba serbinya disubsidi. Untuk suatu ketika, bagi kerja-kerja panjat kelapa, beruk pun diberi subsidi.

Kerana terlalu dibelai dengan pelbagai subsidi, rakyat jadi terlalu manja dan mua, sekali gus, menjadi malas dan tidak pandai berdikari dan tidak bersedia untuk hadapi kesulitan.

Umpamanya, sudahlah tembikai dan sayur-sayuran yang ditanam diberi baja subsidi, kadang-kadang diberi percuma, untuk jual hasil tanaman masih bergantung kepada agensi kerajaan.

Kalau tembikai tidak dibeli oleh Lembaga Pemasaran Hasil Pertanian Persekutuan (FAMA), ianya akan terbuang dan akhirnya menjadi baja tanah.

Walhal kalau ada ikhtiar dan usaha yang lebih sedikit, bukan sahaja hanya buah tetapi pucuk dan pokok tembikai itu sendiri sebenarnya ada pasarannya.

Bayangkan usahawan keropok daun bayam di Tumpat Kelantan terpaksa dapatkan bekalan dari Cameron Highland, walhal bayam hanya perlu ditabur benihnya dan ia akan tumbuh dengan subur tanpa perlu pengawasan rapi pun.

Pada pemerhatian saya yang melawat kilang usahawan berkenaan, kawasan sekitar kilang banyak terdapat tanah kosong yang terbiar dan ditumbuhi semak samun milik penduduk sekitar.

Tidak ada siapa pun yang mengambil insiatif untuk menampung keperluan daun bayam milik kilang keropok berkenaan yang bukan hanya dibeli daunnya tetapi juga batangnya juga yang dilumatkan dan dijadikan keropok batang bayam.

Wabak dan sindrom terlalu manja dan mua gara-gara subsidi bukan hanya terhad kepada para pekebun dan kalangan yang kurang berpendidikan tetapi juga di kalangan yang berpendidikan tinggi dan mereka dari kelas atasan.

Umpamanya bila harga gula dinaikkan sekitar beberapa sen sahaja sekilo dan petrol dinaikkan beberapa sen sahaja selitter, semuanya bising, seolah-olah perbelanjaan bulanan akan menokok dengan banyaknya.

Walhal penggunaan gula untuk satu keluarga tidak sampai satu tan, malah sepikul kilo pun tidak sampai setiap sebulan. Penggunaan minyak sesebuah kereta juga tidak perlu pajak sebuah stesen minyak pun bagi menampung keperluan minyak sebulan.

Kalau dicampur nilai kenaikan harga gula, petrol dan pelbagai barangan keperluan dalam sebulan, pertambahan jumlah perbelanjaan tidaklah seberapa pun.

Tetapi kenapa bising? Jawabnya kerana suka hidup penuh lagak. Yang patut pakai motor sahaja, berlagak pakai kereta, yang hanya layak pakai basikal, berlagak pakai motosikal.

Rasanya tidak boleh dinafikan bahawa jumlah kos beli rokok dan nilai sisa makanan yang dibazirkan di kedai-kedai makan pun jauh lebih tinggi lagi pertambahan jumlah perbelanjaan gara-gara kenaikan harga gula, petrol dan barangan keperluan yang lain setiap bulan.

Pada sebelah pagi dan petang kita boleh nampak ramai yang berlari, ada yang bermain badminton, tenis dan macam-macam aktiviti lagi dengan memakai kasut dan pakaian sukan berjenama.

Selain dari untuk mengeluarkan peluh, jogging dan aktiviti sukan juga dilakukan bagi tujuan untuk mengisi masa lapang.

Kenapa masa terluang dan bagi maksud keluarkan peluh tidak diisi dengan memugar tanah dan menanam sayur-sayuran untuk menampung keperluan keluarga, sekali gus boleh mengurangkan perbelanjaan dapur.

Untuk berjogging atau aktiviti sukan, biarkan menjadi amalan para altet yang mencari sumber rezeki sebagai atlet dan juga kalangan yang sudah mewah hidupnya. Lupakan gaya hidup penuh lagak, hiduplah dengan berjejak di bumi nyata.

Kalau sekeliling rumah ada kawasan lapang lima depan persegi dan ditanam dengan kacang panjang atau bendi, terung, lada, bayam, kamhkong, tomato dan sebaainya, ianya bukan hanya boleh menampung keperluan sayur-sayuran sendiri tetapi juga boleh dijual.

Kalau tak percaya boleh cuba. Benih untuk tanaman pusingan pertama akan dibekal secara percuma oleh Jabatan Pertanian, malah baja pun diberikan.

Bagi yang pernah ke Indonesia, barangkali mereka boleh tengok bagaimana penduduknya tidak membiarkan tanah tinggal terbiar, malah di Kemboja nasi yang tidak habis dimakan akan dibasuh dan dijemur untuk diproses dijadikan makanan kering.

Kenapa mereka menjadi begitu kreatif? Jawabnya kerana mereka hidup dalam kesusahan dan tidak terlalu dimanjakan dan dimuakan dengan pelbagai subsidi.

Justeru itu rakyat Malaysia juga tidak perlu terus dimanja dan dimuakan dengan pelbagai subsidi kerana dengan subsidi akan menjadikan mereka malas dan tidak kreatif dalam usaha untuk membina kehidupan.

Bandingkan antara orang Melayu dengan Cina. Yang kaya adalah orang Cina walaupun mereka tidak ada kesitimewaan sebagaimana yang diberikan oleh orang Melayu.

Kenapa?

Jawabnya kerana datuk nenek orang Cina datang dari benua Cina ke Tanah Melayu membawa kesusahan dan kepayahan dan menjadikan mereka kreatif untuk mengeksploitasi segala peluang untuk membina kekayaan di negara ini.

Saya yakin, selagi Melayu dimanjakan dengan segala bentuk keistimewaan, mereka tidak akan mampu bersaing dengan bangsa lain, khususnya dengan bangsa Cina.

Juga selagi rakyat negara ini dimuakan dengan segala macam subsidi, mereka akan terus menjadi bangsa yang tidak pernah reti bersyukur, banyak masa akan ditumpukan kepada mengutuk pemerintah dari merancang dan berusaha untuk meraih hidup yang lebih baik.

Justeru, demi untuk kepentingan rakyat negara ini bagi jangka panjang, maka segala usaha perlu dibuat supaya rakyat Malaysia kena bersedia untuk berhenti dari terus dibelai manja oleh pelbagai subsidi.

2 comments:

Anonymous said...

Gempar – Skandal UMNO – Klik sini

Dulu Orang Bwah Dagu Meli, Lloni Berdikari said...

Kalau rakyat negara ini berfikiran macam MKJ, mudah kerajaan memerintah, brangkali jel pun kena jadi muzium, pasukan polis kena dikecilkan bilangan anggotanya.

Yang peliknya bila gula naik, minyak naik, bising bagai nak rak, harga getah naik sampai RM5.50 sekilo tidak pula diuar-uarkah, harga kambing yang dulunya cuma RM30 hingga EM50 tetapi sekarang meningkat sehingga RM300 hingga beribu ringt seekoe, harga ikan air tawar sampai RM100 (ikan ubi), pasal penggunaan elektrik berjumlah RM20 ke bawah dipercumakan, semuanya membisu.

Cuba pergi jumpa Pak Him Ongik di Kampung Kebakat dekat Wakag Bharu yang buat tapai ubi kayu dan dapat perolehan bersih RM7,000 sebulan hasil jualan tapainya, ada ke dia bising paal gula dan minyak naik.

Cuba jumpa para penoreh getah pawah, belum tuanpunya kebun lagi, ada ke mereka rasa terbeban dengan kenaikan minyak dan gula?

Kebanyakan yang bising adalah mereka yang hidup lebih lagak dari kemampuan dan keupyaan. Layak pakai pakaian bundle, tetapi dok kacan beli pakaian baru di supermarket, kemampuan hanya layak makan ikan aya, tapi berlagak beli ikan tenggiri, siakap, jemuduk dan ikan-ikan yang mampu dibeli oleh orang kaya.

Paling bising adalah orang politik kerana ada tujuan kepentingan politik. Rakyat dipergunakan. tamba-tambah di kalangan yang rasa terlebih cerdik tetapi hakikatnya tidak cerdik.