Saturday, August 28, 2010

CERPEN OSOS (5) - ROMBAK-KEMASKINI SEMULA

Cerpen berjudul:

Hujan air mata di pusara ayahnda di pagi raya
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk


RAYA kali ini, raya kali ke-1413 kalau berdasarkan kelendar hijrah dan raya kali ke-1426 jika diperkirakan dari tarikh termaktubnya kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. yang mula menjadi nabi dan rasul akhir zaman pada 17 Ramadan bersamaan dengan 6 Ogos 610 Masehi adalah tahun ketiga baginya bersimpuh di pusara Ayahndanya sambil membaca Surah Yaa-Sin serta berdoa agar Allah halalkan alam kubur dan halalkan alam akhirat untuk Ayahndanya, sebelum ke masjid menunaikan sembahyang sunat AidilFitri.

"Kita dari keturunan baik-baik. Tokyinmu antara ulamak tersohor nusantara. Ada waris kita terkenal dengan gelaran wali kerana mulut masinnya. Cuma aku Ayahndamu ni pada suatu ketika agak tersasar kerana dimanjakan sangat oleh tokcik dan mokwomu. Kerana itu aku tak pernah manjakan mu. Bukan tak saya tapi aku tak mau mu jadi macam aku, banyak buat dosa" kata-kata penuh kesal Ayahndanya sentiasa bermain dalam ingatannya selepas kematian Ayahndanya.

"Aku tau mu tidak senang dengan aku. Mu marah pada Ayahndamu ni. Aku memilih menyekolahmu di sekolah agama ketika sekolah-sekolah agama tidak diberi pengiktirafan. Sepatutnyamu boleh jadi D.O kalau mu bersekolah biasa. Aku tau otakmu bergeliga. Tapi apa gunanya mu berjaya dalam hal-hal keduniaan kalau mu gagal untuk mengalim dan mentakwakan dirimu" Ayahndanya menangis sungguh-sungguh, tangisan seorang yang dalam keadaan amat kesal dan rasa amat bersalah lagi berdosa.

"Aku minta maaf kerana menjadikan hidup mu susah walaupun dengan otakmu, jika mu diberi peluang, disediakan laluan dan lorong, mu boleh hidup senang, boleh jadi orang ternama, orang berdarjat, dihormati masyarakat berbanding dengan diri kau sekarang. Otak cergas tetapi kehidupanmu tak ada kelas"
"Ayahnda tak perlu minta maaf. Anaknda tak pernah anggap Ayahnda melakukan kesilapan dalam memberi didikan pada Anaknda, malah Anaknda bangga dan bersyukur kerana Anaknda jadi Anaknda. Cuma Anaknda bimbang pencapaian Anaknda tidak mencapai ke tahap yang Ayahnda harapkan sebagai seorang anak"
"Aku bangga dengan mu sebagai anak tunggalku. Tapi orang lain aku rasa memandang rendah padamu. Lagi pun mu tau aku dah mulai sakit-sakit. Dalam usia begini, bila sering sakit begini, maknanya saat kematian sudah dekat. Aku takut untuk mati dalam keadaan diri banyak dosa"
"Dosa apa yang telah Ayahnda lakukan?"

"Aku tau dosa apa yang telah aku lakukan. Tapi aku tak patut beritahu sesiapa"
"Seingat Anaknda, Ayahnda kuat sembahyang dan beribadah, sering berpuasa sunat"
"Itu setelah aku tua. Waktu mudaku, mu kau tak tau"
"Sebesar mana pun dosa kita sebagai hamba-Nya, pasti akan diampuni kalau kita memohon keampunan, kalau kita bertaubat nasuha"
"Aku telah, sedang dan akan terus memohon keampunan. Soalnya akan Allah ampunkah segala dosa-dosaku"
"Ayahnda kena yakin dengan Rahman dan Rahim-Nya"
"Aku mau kalau aku dalam keadaan nazak, ketika berdepan dengan sakaratul-maut, mu jangan berhenti bacakan aku Yaa-Sin dan pelbagai surah al-Quran. Aku tidak mau habis nafas dalam keadaan terpedaya oleh godaan syaitan dan iblis yang menyesatkan. Aku mau lancar bersyadat di hujung nafasku"
"Insyaallah dengan izin-Nya, Ayahnda. Insyaallah!"


Itulah antara ungkapan terakhir yang didengar dengan jelas yang diucapkan oleh Ayahndanya sebelum Ayahndanya diserang angin ahmar yang menjadi penyebab kepada kematiannya.

Ketika Ayahndanya habis nafas dia ada dan membacakan Yaa-Sin. Ayahndanya pergi dengan tenang pada saat bergemanya azan waktu Isyak pada malam 1 Syawal. Wajah Ayahnda yang sudah tidak bernafas tidak ubah seperti orang yang sedang nyenyak tidur.

Kini sudah tiga tahun Ayahndanya pergi menyahut seruan Illahi.

"Ya Allah, jadikanlah lubang kubur ayahndaku bagaikan antara taman-taman di syurgamu. Himpunkanlah roh ayahndaku bersama roh-roh para solehin " dia mengakhiri doanya di pusara Ayahnda dan doa itu tidak pernah dilupakan walaupun di mana dan dalam keadaan macam pun dia berdoa di samping tidak pernah dilupakan doa robbi-fighli-waliwa-lidayya sebelum mengaminkan Al-Fatihah sama ada di dalam atau di luar sembahyang, sama ada al-Fatihah dibaca oleh imam atau dibacanya sendiri.

Dari pusara Ayandanya, dia kena segera ke surau berdekatan untuk menunaikan sembahyang sunai Aidilfitri yang barangkali mungkin yang terakhir dalam hidupnya, sembahyang yang jarang yang ada berkesempatan menunaikannya sebanyak lima puluh kali sepanjang hayat sedangkan pahalanya sangat besar.

Kawasan perkuburan yang agak besar menandakan sudah ramai warga kampung yang disemadikan di tanah perkuburan itu mula sepi kerana anak cucu yang datang menziarahi pusara ibubapa dan datuk nenek masing-masing mula meninggalkan tanah perkuburan untuk nanti kalau panjang umur, barangkali akan diziarahi lagi pada raya akan datang. Pun ada juga pusara yang ada tanda-tanda tidak diziarahi. Mungkin anak cucu berada jauh di perantauan.

Kerananya, kerana ada pusara yang tidak diziarahi, dia agak terkedu, bila dipehatikan tidak ramai anak-anak muda, apatah lagi kanak-kanak yang menziarahi pusara, yang membaca surah Yaa-Sin dan mendoakan untuk ibubapa atau datuk nenek yang telah pergi menyahut seruan Ilahi, seperti di pusara Ayahndamya, hanya dia seorang yang datang menziarahi pada setiap kali raya, malah kalau ada kesempatan, akan diziarahi pada hari Jumaat dan dibacakan surah Yaa-Sin serta didoakan kesejahteraan untuk Ayahnda di alam barzakh.

Ada yang kata baca Yaa-Sin di pusara adalah perbuatan bida'ah, ada yang kata bukan bida'ah. Baginya bida'ah atau tidak bida'ah baca surah Yaa-Sin di pusara bergantung kepada niat.

Sebagai seorang anak, membaca surah Yaa-Sin di atas pusara sebagai hadiah untuk ibubapa tidak ada salahnnya kerana apa yang dilakukan oleh anak yang soleh, sahamnya akan sama-sama diterima oleh ibubapa yang masih hidup atau mati. Lagi pun setiap huruf ayat al-Quran yang dibaca diberi ganjaran sepuluh kebajikan.

Yang dilarang baca al-Quran adalah tempat-tempat kotor seperti dalam jamban. Apakah pusara, tanah perkuburan sama kotornya dengan jamban sehingga untuk membaca Yaa-Sin, membaca al-Quran tidak boleh?. Kerana pusara dan kawasan perkuburan baginya tidak sekotor jamban, maka tidak ada sebab untuk tidak boleh baca Yaa-Sin diperkuburan.

Dia sebak, air matanya mula berleceran di pipi bila terkenangkan walaupun pun dia anak tunggal kepada Ayahndanya, namun dia ada enam orang anak dan enam orang cucu pada waktu ini, tetapi tidak ada seorang pun di antara anak-anak dan cucunya berminat untuk menziahari pusara, apatah lagi untuk membaca Yaa-Sin sebagai sedekah kepada tokcik kepada anak-anaknya dan tokyen kepada cucucunya.

Semasa Ayanda sakit, bini dan anak cucunya tidak datang jenguk pun, kononnya masing-masing sibuk dengan urusan harian. Ada menantu 'pak tak ajarnya' kata Ayandanya hanya pura-pura sakit supaya dia dilayan macam budak-budak kecil dilayan. Menantu bertuah yang sanggup tipu bapa mertua dengan membiarkan mertua menanggung beban hutang yang sakan, barang kemas bini habis dijual, hidup diisi dengan masa banyak tidur dari bermata celik setiap hari. Mungkin itu ajaran makpaknya yang tidak cukup garam dalam memberi pendidikan kepada anak-anak.

Kerana itu nak harapkan menantu-menantunya yang semuanya lelaki jauh panggang dari api. Entah 'kan kenal huruf al-Quran atau tidak kerana dari apa yang dilihatnya, belum pernah dia nampak menantu yang tinggal serumah dengannya sembahyang. Sering kali pada hari Jumaat menantunya yang tidur sejak Subuh, dah dekat Maghrib baru bangkit. Mungkin kerana suami tidak sembahyang, maka anak perempuannya juga ikut sama tidak sembahyang, apatah lagi cucu-cucunya. Yang sering diajar ketika cucu baru belajar bertatih adalah berjoget ikut apa yang sedang tertayang di kaca tv.

Itu yang tinggal serumah. Yang tinggal berasingan, sukar untuk dipastikan sama ada sembahyang atau tidak, sama ada cukup puasa sebulan bulan Ramadan atau hanya berapa hari sahaja berpuasa. Kalau menantunya tidak sembahyang, tidak mustahil bapa dan ibu menantunya, besannya juga tidak sembahyang, tidak mesra masjid. Baginya kuih akan terbentuk mengikut acuannya.

Semua menantu-menantunya bukan dia yang pilih tetapi semuanya pilihan bininya. Sebagai bapa dia hanya diberitahu supaya memberi wali pernikahan pada anak-anak perempuannya pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan. Sama ada mengenai tarikh dan sebanyak mana jemputan majlis kenduri kahwin anak-anak, bininya tidak pernah ajaknya berbincang. Peluang untuk membuat firasat tentang baka menantu tidak pernah dibuka. Kerana itu dia hanya diam menghadapi kerenah menantu-menantunya.

Yang diminta pandangan oleh bininya adalah wakil rakyat yang dibanggakan oleh isterinya, yang cukup dihormati dan dinilai dengan penilaian yang tinggi. Isterinya tidak pernah hormatinya sebagai suami, cara bercakap isterinya dengannya juga tidak pernah sopan, kerana itulah cara didikan ibu dan bapa isterinya, mertuanya. Tidak mudah untuknya membentuk buluh yang sudah menjadi buluh tua setelah sewaktu rebung tidak dibentuk dengan sepatutnya.

Keluar rumah tidak pernah minta izin, tidak kira di depan siapa, dia sebagai suami sering diaibkan, seolah-olah bagi isterinya dia tersalah memilih suami, pada isterinya dia bukanlah suami yang layak dan sepadan untuk beristerikan isterinya itu. Di depan kawannya isterinya boleh kata, kononnya kalau diceraikan, belum habis edah lagi dah akan ada jantan akan melamarnya. Pernah ketika aktif dengan sebuah parti politik sekular, isterinya mengaku janda dan rakan-rakan separti mempercayainya.

Mujurlah hasil dakwah secara tidak langsungnya, yang tidak pernah menganggap pertemuan jodoh dengan isterinya bukan suatu beban atau bencana, sebaliknya sebagai suatu tanggungjawab dan amanah serta ujian dari Allah, akhirnya dia berjaya mempengaruhi isterinya supaya beralih aktif dalam parti yang menggunakan pendekatan Islamik.

Berjayalah dia mengubah cara berpakaian isterinya dari ala-ala artis kepada pakaian yang menutup aurat, yang ada ciri-ciri Islamik, sekaligus terdedah kepada kuliah dan ceramah agama. tetapi fe'el perangai tetap tidak berubah kerana resam hidupnya sudah sedemikian sedari asalnya. Sembahyang pun hanya cerlang cerlup. Bila ada urusan politik, kewajipan sembahyang diabaikan, urusan parti diutamakan. Suami dan anak-anak sanggup dibiarkan kelaparan kerana periuk tidak berisi, kononnya sibuk dan tidak sempat masak.

Kalau dengar ibubapa sendiri boleh diherdik, diseranah, apatah lagi dengan dia sebagai suami. Bila diberitahu tidak akan tercium bau syurga derhakakan suami, disergah dan ditanya apa di mana dia sebagai suami menyimpan kunci syurga. Apakah kealiman dan keilmuan dia sebagai suami setanding dengan kealiman dan keilmuan mursyid parti yang didukung dan disokngnya, mursyid yang mahu penyokongnya kena utamakan kepenting parti dari segalanya.

Dengan anak-anak tak payah cakap. Tidak ada bahasa seburuk kata, tidak ada gambar sehuduh lukisan untuk digambar kesanggupan menggunakan kata-kata kesat terhadap anak-anak, tidak padan dengan salah, sumpah seranahnya yang lebih. Kucing peliharaan anak bongsunya pun tidak berani masuk dekat.

Padahnya anak-anak pun sering membantah cakap-cakapnya, bila ditanya anak-anak kenapa balik lewat, anak-anak akan tanya balik mama sendiri bila pernah balik awal. Bila anak-anak ditanya kenapa pergi kemana-mana tidak diberitahu, anak-anak akan bertanya balik mama sendiri pernah beritahu ke mana mama pergi, ke mana mama pergi abah pun tidak pernah tahu kerana tidak pernah diberitahu.

"Mu sapa nak peduli ke mana aku pergi"
"Saya pula siapa yang mama nak peduli ke mana saya pergi?"
"Mu anak aku. Aku berhak tau. Takut kau buat perkara yang baik"
"Mama ibu saya. Sebagai anak saya berhak tau ke mana mama pergi"
"Abah kau tak pernah kongkong"
"Saya tau perangai abah. Saya kesiankan abah. Dia memendam rasa. Abah selalu menangis ketika berdoa lepas sembahyang. Saya ada baca tulisan abah dalam ruangan agama sebuah akhbar arus perdana tentang yang diharamkan berpuasa. Antaranya wanita yang berpuasa sunat tanpa izin suami. Mama banyak buat kerja haram kerana keluar rumah tanpa izin abah. Kalau puasa sunat yang merupakan ibadah pun haram bagi wanita tanpa keizinan suami, apatah lagi keluar rumah tanpa izin demi parti"


Ketika bininya dan anak lelakinya itu semakin tegang itulah, dia menghidupkan kereta dan menuju ke pusara Ayahndanya supaya nanti dia ada kesempatan sembahyang sunat raya. Pertengkaran antara bini dan anaknya berlaku kerana anak jantannya yang sudah dewasa dan bertatu pada bahu kirinya itu hanya balik selepas azan Subuh. Entah ke mana perginya dia tidak berkuasa untuk tanya.

"Maafkan Anaknda, Ayahnda. Anaknda gagal sebagai ketua keluarga. Anaknya gagal untuk memembentuk bini dan anak-anak supaya memiliki ciri-ciri warisan ulamak dan wali. Anaknda gagal untuk menjadikan anak bini sebagai hamba-Nya yang insaf dan bertaubat dari dosa-dosa masa lalu mereka" air matanya mula mengalir laju.

"Anaknda mungkin akan jadi hamba-Nya yang malang. Saat nazak Anaknda, saat berdepan dengan sakaratulmaut tidak akan disemarakkan dengan bacaan surah Yaa-Sin dan ayat-ayatt al-Quran nul-Karim yang lain seperti bapa-bapa yang lain. Mungkin anak bini tidak akan dekati pun mayat Anaknda kerana bimbang nanti Anaknda akan jadi hantu dan usik mereka"

Dia meninggalkan pusara Ayahnda untuk ke surau berdekatan bagi menunaikan sembahyang sunat hari raya dengan membawa titisan air mata yang belum sejat. Ketika mengangkat takbir sembahyang sunat raya dan sepanjang menunaikan sembahyang dia hujang air matanya yang dibawa dari pusara Ayahnda masih juga terus mengalir, air mata seorang bapa, suami dan mertua yang gagal!

3 comments:

ectvpro said...

Kuat kiah..2x5 jah kita ni..

dradve said...

Hai, macam kisah diri sendiri je ni? Tak sangkalah Melah demo berat gitu mor. Kalu dulu masa dalam Semangat 46 boleh fahamlah, lani dah jadi tok penghulu PAS pun gitu lagi? Pah demo buka kisah diri sendiri ni apahal?

Mamat Kuang Kopang said...

Ni cerpen gu. Cerpen adalah satu karya kreatif. Tak semestinya apa yang ditulis ada kaitan dengan diri penulisnya. Rasionallah sikit, jangan mudah berprasangka buruk.