Saturday, August 14, 2010

CERPEN/Ogos-1

Menghitung dosa
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk

"YANG lelaki berasal dari utara, yang perempuannya pula dari Malaysia Timur. Yang hebatnya walaupun sudah tua dan uzur, masing-masing masih gagah dan taat menunaikan kewajipan berpuasa"

Dalam isakan kejantanan dan sedu keperempuanan, warga emas yang dibuang anak sendiri rabak hati mendengar jawapan seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada soalan wakil media melikuninya..

Jawapannya sarat dengan pelbagai kiasan dan sindiran sepedas lada kawah, dimasukkan sebiji pun gulai sekawah akan pedas macam dimasukkan berkilo lada cengik kisar, tentang ketidak-wajaran anak dan anak-anak memperlakukan kepada ibu dan bapa masing-masing.

Banyak air mata pegawai wanita itu tumpah, matanya bengkak dan merah. Hidungnya juga merah. Ketahanan hati nuraninya tercedera oleh angkara anak kepada bapa terbuang dan ibu malang, angkara anak-anak yang hilang nilai sebagai seorang ‘orang’.

"Macam cerita Si Tenggang. Anak buang makbapak, tak mengaku emak bagi ibu kandung sendiri" getus seorang petugas media. Ada nada sedih dan geram terkulum dalam suara mersik wanitanya. Juga da bau longkang dari mulutnya, maklumlah berpuasa, mungkin waktu bersahur dibedal ulam petai cecah budu, makah bau mulutnya meloyakan.

"Macam Awang Buntal. Aku baca ceritanya yang dinovelkan oleh seorang penulis dengan judul Saudagar Awang" celah seorang petugas media yang lain. Dalam gementar suaranya, ada nada geram dan marah, meluat dan cuak. Getusannya suaranya ada iringi bau longkang daei mulutnya yang agak parak.

"Aku pun ada baca. Kisah seorang anak yang asalnya miskin, bila kaya dan menjadi menantu saudagar dan seterusnya menjadi saudagar budu kalau tak silap aku, Awang Buntal tak mengaku ibu sendiri sebagai ibu, malah dianggap ibunya sebagai orang tua gila" seorang lagi petugas media turut mencelah. Dari mulutnya ada bau longkang yang sangat parak, malah lebih mirip kepada bau telaga taik.

Kemudiannya dia menokok, kuih apam kegemaran Awang Buntal yang dibawa ibu dalam usaha untuk mengembirakan hati anaknya yang sudah sekian lama tidak ditemui, dihempas ke tanah dan dipijak sampai hancur lumat" seorang lagi petugas media turut sama mencelah. Dari mulutnya pun sama, ada bau longkang.

Kononnya hasil sumpahan ibu tua yang terkedus hatinya lumat selumat kuih apam yang dipijak, terhadap anaknya itu, jong dagang Awang Buntal dipukul ribu yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan Awang Buntal dan tiga daripada empat isterinya tenggelam.

"Tempat jong tenggelam itu dinamakan Lubok Jong sampai sekarang manakala tempat kuih apam yang Awang Buntal hempas dan pijak sampai hancur lumat itu dinamakan Kampung Apam, Lokasinya duduk di tengah-tengah antara Pasir Mas dengan Rantau Panjang di Kelantan" tokok petugas media itu lagi yang kelakiannya ada sedikit tempelan dan unsur-unsur kemak-nyahan.

"Itu dulu, zaman rata-rata orang tidak berilmu. Nampaknya sekarang, tak pelik kalau benda macam tu berlaku. Sekarang, pada era masjid dan madrasah ada di mana-mana, kuliah agama boleh diikuti melalui radio dan tv, adalah sesuatu yang pelik dan luar biasa apabila masih wujud Si Tanggang dan Awang Buntal, yang sanggup membuang ibu, membuang bapak" getus Pegawai Kebajikan Masyarakat. Jengkel.

"Serigala, harimau dan singa yang ganas dan berotak tetapi tidak berakal pun tidak memperlakukannya kepada makbapak masing-masing seperti apa yang dilakukan oleh anak kepada pakcik dan makcik tu" tambahnya. Nada suaranya masih mengulum geram dan marah.

Untuk beberapa ketika suasana sepi. Masing-masing menahan sendu dan meredakan kemarakkan api yang membakar hati dan perasaan. Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan petugas media mengesat air mata dan hinggus masing-masing.

Bapa terbuang dan ibu malang dapat merasakan betapa seisi alam menangisi nasib buruk mereka, menjadikan keduanya semakin kuat menangis bila timbul pertanyaan pada diri sendiri, kenapa dan mengapa serta kerana dan sebab apa maka anak masing-masing boleh buang mereka, perbuatan yang membuatkan sekalian makhluk di langit dan di bumi gagal menahan tangis kerananya.

"Kata dari Malaysia Timur?"
"Ya. Dari negeri Bumi Kenyalang"
"Macam mana boleh sampai ke sini?"
"Naik belong"
"Naik belong?"
"Kapalterbang"
"Ohhh!"
"Kami di sana panggil belong"
"Orang kayalah"
"Tak eh"
"Kalau tak kaya macam mana boleh naik kapalterbang"
"Gadai subang dan gelang pusaka. Cukuplah untuk tambang ke mari tetapi sudah tidak berwang untuk tambang pulang"
"Kerana mahu cari anak?"
"Hm?"
"Lelaki?"
"Perempuan"
"Jumpa?"
Angguk.
"Bertuahlah"
"Tak ada bertuahnya"
"Kenapa pula tak bertuah?. Anak yang dicari dijumpai"
"Kalau diri ni bertuah, tak kan 'lah pula saya ada di sini"
"Ha ah ya lah. Nak tanya juga tadi"
"Anak tunggal saya tak mengaku saya ni ibunya"
"Tak mengaku?"
"Tak percaya?"
"Kenapa tak percaya pula. Tentu ada sebabnya"
"Mungkin dia malu pada suaminya. Saya orang tua yang miskin, suaminya kaya"
"Hanya kerana itu?"
"Yang awak pula kenapa boleh berada di sini, ditempat penempatan orang merempat ni?"
"Saya tinggal dengan seorang daripada anak lelaki saya"
"Tak ada anak perempuan?"
"Tak ada"
"Apa yang terjadi seterusnya?"
"Masa dia belum kawin, saya dilayan dengan baik"
"Sekarang dia dah kawin?"
"Hm. Dengan anak gadis perempuan seorang datuk"
"Ooo"
"Sejak itu sikap anak saya mula berubah"
"Berubah?"
"Dia tak pedulikan saya lagi. Saya jarang disapa. Kami tidak makan semeja lagi. Sehinggalah pada suatu hari anak lelaki saya kata nak bawa saya ke suatu tempat. Dia berikan tiket bas dan hantar saya naik bas bersama beg pakaian. Saya ingat dia ikut sama. Rupanya tidak. Anak lelaki saya tu sering bertengkar dengan bininya"
"Bininya tak sukakan awak?"
"Hm. Muka saya pun tak mau dipandangnya"
"Kerana awak tua dan terpaksa bergerak dengan kerusi roda?"
"Gamaknyalah"
"Anak lelaki awak tu satu-satunya anak awak?"
"Tak. Saya ada tujuh anak. Semuanya berpangkat besar, orang ternama"
"Mereka tak cari awak?"
"Tak. Orang Pejabat Kebajikan cari mereka"
"Mereka tau 'lah awak ada di sini?"
Angguk.
"Mereka pasti akan datang ambil awak"
"Tak mungkin"
"Kenapa pula tak mungkin?"
"Bila orang Pejabat Kebajikan Masyarakat maklumkan tentang saya ada di sini setelah saya dipungut semasa tidur di kaki lima sebuah kedai, anak-anak saya kata moleklah saya di sini. Anak cucu tak akan bersusah kerana saya"
"Maknanya nasib kita serupa?"
"Yalah nampaknya"
"Apa salah kita?"
"Itu yang cuba saya hitung. Apa dosa saya"
"Saya pun sedang menghitung dosa saya. Saya jaga dan sayangi anak saya melebihi segalanya. Saya ketepikan rasa mengantuk bagi memastikan tidak ada semut dan nyamuk yang gigit anak kesayangan. Kerana miskin saya lebih banyak berlapar tetapi saya pastikan anak sentiasa kenyang. Bila besar pun anak tidur dalam kelabu, saya tidur luar kelambu"
"Begitulah sikap seorang ibu. Melimpah ruah dengan kasih sayang"
"Saya tidak pernah tunjuk kesusahan dan keperitan yang ditanggung supaya anak saya tidak turut merasakan tempiasnya. Segala kemahuan anak dipenuhi walaupun terpaksa bergolok bergadai, saya sanggup dimaki hamun oleh jiran-jiran kerana asyik berhutang tetapi hutang tidak dibayar. Bukan tak mau bayar tetapi tidak mampu bayar"
"Saya pun sama"
"Maksud awak?"
"Saya tau saya miskin. Tetapi saya tidak mahu anak-anak mewarisi kemiskinan saya. Isteri kesayangan saya juga berusaha keras, kami berpakat menyembunyikan kesusahan dan keperitan kami supaya anak-anak dapat membesar dengan penuh bangga kerana menjadi anak kami, supaya mereka dapat belajar tanpa sebarang rasa bimbang tentang biayanya. Tidak ada kerja yang menjadi pekerjaan orang susah yang tidak pernah saya kerjakan"
"Awak bapa yang bertanggungjawab"
"Bekas isteri saya juga. Seorang isteri dan ibu yang penyabar"
"Bekas isteri?"
"Dia sudah mati. Dia mengidap penyakit darah rendah"
"Kerana kurang rehat?"
"Bukan kurag rehat saja, tetapi tidak ada masa rehat"
"Makan pula kurang?"
"Hm. Anak-anak makan ayam, makan daging. Kami laki bini makan nasi dengan ikan kering kepala bengkok dan hampak. Kalau makan ayam dan daging pun hanya sisa anak-anak"
"Terlalu lebihkan anak-anak sangat"
"Kami mahu mereka jadi anak-anak yang berjaya, Impian kami tercapai. Kesemua anak kami belajar sampai universiti dan mendapat pekerjaan yang baik, menjadi orang berkedudukan"
"Bertuahnya awak"
"Itu kata awak dan kata orang lain jugak. Kononnya saya bertuah. Tetapi bertuahkah saya bila saya terpaksa ditempatkan sebagai penghuni di tempatan penempatan orang merempat ini?"

Kedua-duanya gagal menahan tangis dan sedu sedan.

Walaupun baru berjumpa tetapi keduanya berkongsi rasa yang sama.

Ketika Pegawai Kebajikan Masyarakat terus menjawab pertanyaan para petugas media, bapa terbuang dan ibu malang terus menghitung dosa masing-masing apabila dalam menghabiskan sisa usia yang berbakti, mereka terbuang dan dibuang di pusat penempatan orang merempat.

Apakah memberikan segala kasih sayang kepada anak-anak itu satu dosa sehingga mereka dibalas dengan akhirnya terbuang dan dibuat di pusat orang merempat?

serba rasa kecewa, terkilan, jauh jati dan linangan air mata, doa tetap dipanjatkan agar anak-anak yang membuang bapa, anak yang tidak mengaku emak yang melahirannya sebagai ibu akan diampuni dosa oleh-Nya.

Semuga Allah halalkan dunia ini, alam kubur dan alam akhirat nanti untuk mereka dan tidak dimasukkan mereka dalam senarai anak-anak derhaka.

Mungkin sebagai bapa, juga sebagai ibu, tanpa disedari mereka telah berdosa kepada anak-anak dan sebagai balasan, masa usia emas begini, terpaksa dihabiskan di tempat penempatan orang merempat.

Walaupun menjadi bapa terbuang dan ibu malang, keduanya tetap bangga kerana memiliki anak-anak dan anak walaupun pada anak-anak, mereka tidak ada sebarang harga.

Biar apa pun perlakuan anak-anak, kebahagiaan anak-anak tetap didoakan dan selagi hayat masih ada, akan dihitung apa dosanya sehingga menjadi bapa dan ibu terbuang dan dibuang pada usia emas mereka, terutama ketika beriktikaf di masjid penempatan orang terbuang sepanjang Ramadan!

No comments: