Tidak ada istilah bapak borek anak rintik dalam Islam
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk
DALAM masyarakat kita rangkai kata bapak borek anak rintik, guru kencing berdiri murid kencing berjalan, bagaimana acuan begitulah rupa kuihnya serta beberapa rangkai kata lagi bagi menunjukkan bahawa pembentukkan sikap seseorang bergantung kepada siapa ibubapa, siapa kawan dan juga pengaruh kawasan persekitaran.
Bapak borek anak rintik barangkali boleh diguna-pakai kepada bentuk wajah/fizikal. Jika bapa atau ibunya hitam, maka akan hitamlah anaknya, kalau ibubapanya pendek, maka akan pendeklah seseorang itu, kalau ibubapanya Melayu, maka anak yang lahir akan berwajah Melayu. Tetapi sikap, kelakuan dan tahap pencapaian iman dan takwa bergantung kepada pembentukkan asas, usaha tanpa jemu untuk meningkatkan kualiti iman dan takwa serta bergantung kepada hidayah.
Kalau anak tok lebai, maka lebailah seseorang itu, jika anak kepada seorang samseng, maka samsenglah seseorang itu kurang tepat kerana bukan sedikit anak-anak tok guru, anak imam, anak ustaz, anak tok lebai anak ahli jawatankuasa masjid yang terlibat dengan penyalah-gunaan dadah dan perlakuan-perlakuan mungkar yang lain.
Masing-masing ada ilmu agama, hidup dalam suasana masjid dan sekolah pondok, lancar membaca al-Quran, tahu halal haram, tetapi terlibat dengan kemungkaran. Kenapa? Jawabnya kerana tidak ada hidayah. Justeru jangan merasakan bila seseorang itu datang dari keluarga yang baik-baik, maka baiklah orangnya dan bila seseorang itu datang dari keturunan yang jahat, maka jahatlah orangnya.
Memang dalam memilih pasangan hidup umpamanya, Rasulullah s.a.w. mengesyorkan pilihan agamanya, keturunannya, kecantikkannya dan harta bendanya. Tetapi pilihan yang terbaik dan terunggul adalah agamanya. Kalau seseorang itu beriman dan bertakwa, walaupun bapanya barangkali taiko pusat perjudian, maka kahwinilah, setidak-tidaknya ianya akan selamat dari kehidupan dikelilingi dan dibeliti kemungkaran.
Sejarah mencatatkan bahawa dalam jahat dan 'hamla'nya Abu Lahab, yang Allah sendiri melaknatinya melalui surah Al-Lahab yang membawa maksud 'gejolak api' mengandungi 5 ayat, termasuk bilangan ke 111 dalam penyusunan surah-surah al-Quran, diturunkan di Mekkah dan merupakan sebahagian dari surah-surah Makiyyah, terdapat anakanya yang memilih jalan iman dan takwa.
Durrah binti Abu Lahab adalah seorang anak yang baik walaupun ibubapa sudah disenaraikan sebagai ahli neraka ketika kedua-duanya masih hidup lagi. Abu Lahab adalah bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w., ertinya Durrah adalah sepupu baginda. Nama sebenar Abul Lahab ialah Abdu al-Izzi bin Abdul Muthalib. Dia adalah antara yang didoakan oleh Rasulullah s.a.w. supaya Allah bukan pintu hatinya agar menerima Islam bagi memudahkan kerja kerasulan baginda.
Seorang lagi yang didoakan adalah Umar Al-Khattab. Yang peluk Islam adalah Umar manakala Abu Lahab @ Abdu al-Izzi bin Muthalib memilih untuk terus menentang Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan anak saudaranya sendiri dan beliau mati dalam kafir dan ianya dikutuk dan akan terus dikutuk hingga kiamat bila setiap kali surah Al-Lahab dibaca.
Abu Lahab sangat benci terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Abu Lahab adalah musuh Islam yang utama. Ibu Durrah bernama Arwa binti Harb. Ibunya juga tidak suka kepada ajaran Islam. Ibunya juga tidak suka dan sangat bencikan Nabi Muhammad s.a.w. Pernah berlaku satu peristiwa Arwa sengaja meletakkan duri-duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Nabi Muhammad. Walaupun begitu Nabi Muhammad s.a.w. tetap sabar dengan tindakan Arwa yang merupakan isteri kepada bapa saudara baginda itu.
Arwa sememangnya wanita yang ingkar terhadap Islam. Dia sanggup menghabiskan harta bendanya demi menghapuskan Nabi Muhammad s..a.w. sehingga dia dipanggil oleh Allah dengan nama Hammalat al-Hathab yang bermakna pembawa kayu bakar.
Durrah membesar dengan pelbagai rintangan dan cabaran. Dia sering melihat kekejaman yang dilakukan oleh bapanya terhadap orang Islam. Sikap angkuh kedua ibu bapanya menyaksikan bahawa keluarganya benar-benar mahu menghapuskan Islam.
Sikap angkuhnya Abu Lahad terbukti apabila Nabi Muhammad mengajak Abu Labah beriman kepada Allah, maka Abu Lahab dengan sombong berkataberkata: "Sekiranya kata-kata Muhammad itu benar dan tidak salah, maka pada hari kiamat nanti aku akan tebus seluruh harta dan anak aku bagi menyelamatkan diri aku daripada seksaan api neraka".
Jangkaan Abu Lahab dan harapan bagi menyelamatkan dirinya daripada seksaan api neraka semuanya meleset dan tidak akan menjadi kenyataan. Ini adalah kerana Allah sudah pun berfirman dalam surah Asyura ayat 88 dan 89 yang bermaksud: "....Iaitu di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih".
Ketika Durrah semakin membesar Allah memberi petunjuk kepada dirinya. Durrah juga sering mendengar kehebatan ajaran agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kepada dirinya sendiri dia kata dia percaya segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah benar. Islam adalah agama yang patut dianuti oleh orang yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Walaupun harta kekayaan bapanya melimpah ruah, Durrah tidak termakan dengan kata-kata penghinaan bapanya terhadap Islam. Harta benda bapanya itu tidak dapat menghalang tekadnya untuk memeluk agama Islam. Akhirnya Durrah memeluk agama Islam semasa dia berada di kota Mekah. Selepas memeluk Islam, dia berhijrah ke Madinah.
Meninjau kepada kehidupan rumahtangganya, dia berkahwin dengan Naufal bin al-Haris. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan tiga anak iaitu Uqbh, al-Walid dan Abu Muslim.
Suaminya terbunuh semasa perang Badar dan tidak sempat memeluk Islam. Selepas kematian suaminya itu, Durrah berkahwin pula dengan Dihyah al-Kalbi. Semasa di Madinah, Durrah mendapat tentangan daripada sekumpulan wanita yang sama-sama berhijrah ke Madinah.
Seorang wanita daripada Bani Zuraiq berkata kepada Durrah: "Engkau anak Abu Lahab yang kejam itu?" Mengapa engkau ikut kami berhijrah? Tidak ada faedahnya engkau ikut kami berhijrah. Malah hijrah engkau tidak mendatangkan manfaat bagi diri engkau".
Dengan penuh keiman dan ketakwaan Lalu Durrah menjawab: "Aku berhijrah bagi mendekatkan diri saya kepada Allah. Engkau tidak patut berkata begitu terhadapku. Memang benar bapa aku jahat dan kejam terhadap orang Islam, tetapi aku tidak seperti bapaku".
Durrah agak sedih kerana ada yang tidak senang dengan penyertaannya dalam penghijrahan. Dengan sebak dan sayu dia meninggalkan wanita Bani Zuraiq itu. Kemudian dia berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w. Dia menceritakan segala apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w. Apakah salah baginya sebagai anak Abu Lahab untuk masuk Islam sedangkan dia bukan minta dilahirkan sebagai anak Abu Lahab.
Mendengar cerita dan keluhan Durrah, Rasulullah s.a.w. meminta Durrah bertenang. Selepas Nabi Muhammad selesai mengerjakan sembahyang, baginda berkata kepada orang Islam yang berada di tempat itu: "Dengar sini semua. Aku tidak akan membenarkan keluarga aku diseksa atau disakiti oleh sesiapa. Kaum keluargaku akan dapat syafaat daripada aku pada hari kiamat kelak"
Mendengar kata-kata Nabi Muhammad, wanita Bani Zuraiq itu menjadi insaf dan sedar atas kesilapannya menyinggung perasaan Durrah. Wanita Bani Zuraiq itu pun berjumpa dengan Durrah dan berkata: "Wahai Durrah aku minta maaf di atas segala kekasaran bahasa yang aku ucapkan kepada engkau tempoh hari. Aku sebenarnya tidak menyangka bahawa engkau adalah seorang wanita yang berhati mulia. Engkau tidak seperti Abu Lahab yang kejam itu. Maafkan aku".
Durrah menerima permohonan maaf wanita dan sanggup menjalin persahabatan yang diharapkannya akan kekal dan diberkati Allah".
Sejarah Islam mencatatkan bahawa Durrah merupakan srikandi yang berbakat besar. Dia adalah seorang penyair daripada kalangan wanita Quraisy. Sepanjang hayatnya dia melaporkan sebanyak tiga buah hadis daripada Nabi Muhammad. Selain itu, dia merupakan wanita yang pandai menghasilkan karya sastera. Durrah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 20 Hijrah.
Berdasarkan kepada kisah Durrah, terbukti bahawa tidak semestinya bapa borek anak akan rintik dalam soal pembinaan iman dan takwa walaupun dalam bentuk fizikal dan rupa paras mungkin betul.
Oleh itu anak-anak yang dilahirkan hasil perkahwinan yang tidak beriman dan bertakwa, apatah lagi bagi yang tidak tahu pun siapa ibu dan bapa masing-masing jangan berwalang hati, apatah lagi merasakan diri tidak layak ke syurga.
Segala-galanya bergantung kepada ada kemahuan atau tidak untuk membentuk diri menjadi orang beriman dan bertakwa. Sama ada kita dilahirkan oleh hasil perkahwinan antara mursyid dengan mursiyidah, antara ustaz dengan ustazah atau antara penyangat dengan wanita jahil atau pun kita dilahirkan kerana perlakuan zina, kita tetap suci semasa dilahirkan.
Terpulang kepada sejauh mana kita mahu membina keimanan dan ketakwaan serta mendapatkan hidayah yang akan diperolehi jika diusahakan dengan sungguh-sungguh, ikhlas dan tawadhu'.
Jangan sekali-kali merasa rendah diri untuk dekatkan diri dengan Allah kerana keturunan kita. Percayalah penilaian Allah terhadap kita tidak sama dengan penilaian manusia yang daya nilainya sangat terbatas sedangkan penilaian dan pengiktiraan Allah tidak terbatas.
Sesungguhnya syurga itu hak seluruh hamba-Nya dan memang dicipta untuk hamba-Nya, malah telah ditunjukkan dengan jelas jalan untuk ke syurga sebagaimana dengan jelas juga dijelaskan jalan ke syurga.
Untuk kita yang sudah terpisah jauh 1402 tahun dari hayat Rasulullah s.a.w., kita boleh dapatkan penjelas tentang jalan ke syurga atau neraka melalui al-Quran dan Hadis yang releven hingga kiamat. - Penulis adalah bekas pelajar Madrasah Al-Balaghulmubin, Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan dan pengamal media sejak tahun 1973.
Nama & alamat penuh penulis;
RAMLI BIN ABDUL HALIM (K/P:561020-03-5201)
2584, Lot 146, Jalan Sultanah Zainab,
15000 Kota Bharu,
Kelantan.
Tel:017-9871322
Monday, August 23, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment