Monday, August 23, 2010

MUNCUL KEMBALI (796)

Lontar najis ke kedutaan dan pijak bendera: kenapa rakayat Indonesia sengaja mahu cari pasal?

SUKAR untuk dipastikan sejauh mana rasa berterima kasihnya rakyat Indonesia kerana rakyat negara berkenaan diberi layan bagaikan oleh kaum Ansar kepada kaum Muhajirin sewaktu ketibaan Rasulullah s.a.w. bersama rombongan dari Kota Mekah ke Madinah dalam misi penghijrahan baginda.


Orang Indonesia yang dianggap serumpun bangsa dan kebanyakannya seanutan agama boleh hidup bebas macam kampung halaman sendiri, kecuali bagi yang datang secara haram.

Tetapi melihat kepada apa yang sering berlaku di Indonesia bila ada sesuatu kes yang membabitkan Malaysia, rakyat negara berkenaan tidak sama keadaan dan semangat persaudarannya sebagaimana yang menjadi tradisi rakyat Malaysia.

Sukar untuk diramalkan bagaimanalah agaknya nasib rakyat Malaysia kalau terpaksa terhegeh-hegeh ke Indonesia untuk mencari penghidupan dengan bilangan berjuta-juta orang. Di Malaysia ladang-ladang kelapa sawit, ladang getah dan kerja-kerja pembinaan kebanyakannya dimonopoli oleh pekerja dari Indonesia.

Seorang rakyat Indonesia pekerja kepada ladang sawit di Racangan Tanah Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh, Kelantan misalnya mampu membina dua buah baglo di negara asal dan kini menjadi seorang saudagar besar hasil dari gaji yang diterima selama lima tahun bekerja di Felcra berkenaan yang kononnya kalau tidak datang mencari rezeki di Malaysia, beliau tidak mungkin mengecapi kejayaan sebagaimana yang diraihnya sekarang.

Dari berjuta-juta warga asing mencari rezeki di negara ini, bilangan terbesar adalah dari Indonesia yang tidak pun dianggap rakyat asing oleh penduduk tempatan kerana keserumpunan bangsa dan seanutan agama. Kenapa bila berlaku sedikit kes, rakyat Indonesia sanggup tunjuk biadab, seolah-olah kalau boleh mahu berperang dengan Malaysia, seolah-olah rakyat Malaysia tidak ada keserumpunan bangsa dengan bangsa Indonesia.

Hanya kerana kes lagu Bengawan Solo, rakyat Malaysia di Indonesia pada suatu ketika terdedah kepada ancaman maut radakan boleh runcing. Kali ini anggota dari Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) menunjukkan kebiadaban mereka kerana pihak berkuasa Malaysia menangkap anggota penguatkuasa negara berkenaan yang sedang menahan rakyat Malaysia yang meneroboh perairan Indonesia dekat Pulau Bintan.

Kes itu sudah pun diselesaikan diplomasi oleh kedua-dua negara dan semua tahanan dibebaskan tetapi penyelesaian secara diplomasi itu bagaimanapun dianggap segelintir rakyat Indonesia, termasuk pertubuhan bukan kerajaan sebagai sikap yang terlalu lembut dengan Malaysia dan kerajaan Indonesia tidak tegas mempertahankan kedaulatan negara berkenaan.

Maknanya yang mengadakan tunjuk perasaan dengan melontar najis ke kedutaan Indonesia dan memijak bendera Malaysia kerana tidak berpuashati dengan keputusan kerajaan sendiri, seolah-olah marahkan kucing, tikus yang cuba dijadikan sasaran melepas geram dan marah. Nampak sangat yang berdemonstrasi itu berada jauh di luar lingkaran rasional.

Jika polis negara itu gagal membebaskan penunjuk perasaan yang ditangkap, para penunjuk perasaan akan melancarkan gerakan mengusir rakyat Malaysia. Sekali lagi nampak jelas penunjuk perasaan berada jauh di luar lingkaran rasional kerana gara-gara polis negara sendiri menjalankan tugas keselamatan, Malaysia yang mahu dijadikan sasaran tindak balas.

Berapa kerat rakyat Malaysia yang bergantung hidup dan mencari rezeki di Indonesia berbanding dengan rakyat Indonesia yang sedang mencari rezeki di Malaysia. Bukankah antara ladang sawit yang terdapat di Indonesia pun kebanyakan adalah diusahakan oleh pelabur dari Malaysia yang telah membantu menjana ekonomi Indonesia, sekali gus memberi peluang kepada rakyat tempatan mencari rezeki.

Kalau rakyat Malaysia dihalau dari Indonesia, rakyat Indonesia di Malaysia juga boleh dihalau keluar. Persoalannya kenapa akyat Indonesia membanjiri Malaysia sama ada sebagai pekerja ladang, buruh binaan atau amah. Bersediakah mereka ini untuk balik sebagai penganggur di Indonesia jika di luar lingkaran rasional, rakyat Malaysia juga bertindak balas terhadap penghalauan rakyat Malaysia dari Indonesia.

Pun begitu saya yakin barisan kepimpinan kedua-dua negara sentiasa berada dalam lingkaran rasional dan tidak akan terikut-ikut dengan kebiadaban segelintir rakyat yang tidak faham tentang erti dan nilai persahabatan keserumpunan bangsa dan seanutan agama serta semangat senusantara.

Barisan pemimpin kedua-dua negara mempunyai keupayaan, kemampuan dan keprofesionalan yang ampuh untuk menangangi segala masalah yang berbangkit ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak akan rosak, Kes-kes yang berlaku umpama ribut dalam cawan sahaja yang pasti cawan tidak akan pecah kerananya.

No comments: