Pemimpin Islam: apakah Islam ikut cara kita atau ikut cara Islam tulen?
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
SEMUA orang mahu masuk syurga, malah kalau boleh mahu memimpin manusia pada hayatnya, ke syurga. Tidak kira apa pun agama yang dianuti, masing-masing menaruh harapan untuk ke syurga. Bagaimanapun hakikatnya hanya umat Islam yang beriman dan bertakwa sahaja akan layak dan berhak masuk syurga.
Ramai, termasuk di kalangan tokoh-tokoh agama yang berebut-rebut mahu jadi pemimpin dengan menggunakan pelbagai cara, malah ada yang sanggup membeli peluang dan kerusi kepimpinan melalui sogokan, rasuah dan sebagainya atas keyakinan bahawa diri lebih layak dan lebih berkemampuan sebagai pemimpin.
Ada yang menggunakan Islam sebagai pendekatan bagi mendapatkan peluang menjadi pemimpin, malah sanggup menganggap pihak yang tidak sealiran dengan aliran yang dibawa tidak ada kelayakkan masuk syurga. Tentulah tokoh-tokoh agama yang memilih menjadi pemimpin itu yakin mampu mensyurgakan yang dipimpin di samping diri sendiri dan seisi keluarga.
Kalau tidak yakin diri sendiri sebagai pemimpin layak masuk syurga dan juga mampu memimpin yang dipimpin ke syurga, pasti mereka tidak akan berebut-rebut untuk menjadi pemimpin atau mendapatkan jawatan untuk memberi khidmat kepada orang ramai kerana jika tidak kena gayanya, di akhirat nanti ianya adalah suatu kehinaan dan penyesalan. yang amat sangat.
Ini terbukti berdasarkan penegas Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar yang meminta agar beliau dilantik ke sesuatu jawatan, lantas Rasulullah s.a.w menegaskan: "Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia di hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul" - hadis riwayat Imam Bukhari.
Apakah para pemimpin kita merasakan diri masing-masing tidak ada ciri-ciri Abu Zar dalam keghairahan mendapatkan kerusi kepimpinan atau pun dalam mendapatkan sesuatu jawatan sehingga dalam pertandingan merebut jawatan dalam pilihanraya, malah perebutan jawatan parti juga parti, sanggup berkempen secara menfitnah dan mengaibkan lawan?
Apakah pemimpin kita benar-benar menteladani kepimpinan khalifah-khalifah ar-Rasyidin. Apakah pemimpin kita menjadikan moral Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan sahabat-sabat Rasulullah s.a.w. yang lain sebagai teladan dalam membentuk identiti sebagai pemimpin.
Ibnu Saad menceritakan daripada Hamid bin Hilal, katanya apabila Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, para sahabat Rasulullah s.a.w. meminta beliau tentukan sara hidup yang mencukupi, antaranya diuntukkan dua pasang persalinan, bila buruk akan diganti dua persalinan yang baru, satu kenderaan untuk masa musafir dan sejumlah keperluan keluarga yang menyamai dengan keperluan Abu Bakar sebelum beliau menjadi khalifah. Abu Bakar mempertujuinya.
Diriwayatkan bahawa sewaktu Abu Bakar mula memeluk Islam, beliau memiliki harta sebanyak 50,000 dirham. Harta itu habis dibelanjakan untuk gerakan dakwah Islamiah dan membebaskan hamba abdi yang memeluk Islam dari kongkongan tuan kepada hamba-hmaba berkenaan yang terdiri dari kalangan kaum musyrikin sehinggakan Rasulullah s.a.w. bersabda; "Orang yang paling amanah (setia) dalam persahabatan ialah Abu Bakar. Kiranya aku memilih seseorang sebagai sahabat, maka aku jadikan Abu Bakar sebagai sahabat tetapi persahabatan dalam Islam".
Abu Bakar juga menyerahkan seluruh harta bendanya untuk pembiayaan perang Mu'tah sehingga Rasulullah s.a.w bertanya: "Apakah lagi yang engkau tinggal untuk keluarga engkau wahai Abu Bakar?". Jawab beliau: "Aku tinggalkan Allah dan Rasul-Nya untuk mereka".
Ketika mula dilantik sebagai khalifah, Abu Bakar tidak mengambil apa-apa perbelanjaan untuk keluarganya dari wang kerajaan, malah beliau terus ke pasar setiap hari menguruskan perniagaan seperti orang lain sehinggalah para sahabat mencadangkan sejumlah sara hidup untuknya dan keluarga yang tidak melebihi sara hidup rakyat biasa. Semasa matinya, Abu Bakar tidak meninggalkan sebarang pusaka, tanpa dirham, tanpa dinar.
Ketika Umar Al-Khattan r.a. dilantik sebagai khalifah, beberapa orang para sahabat menimbulkan dalam satu majlis semacam dialog tentang kadar sara hidup yang dihalalkan dari Baitulmal dan beliau berkata; "Kadar sara hidup yang halal untukku ialah dua pasang pakaian yakni sepasang pakaian musim sejuk dan sepasang lagi pakaian musim panas, satu kenderaan untuk digunakan bagi menunaikan haji dan umrah, keperluan keluarga yang menyamai dengan rakyat biasa, tidak terlalu kaya dan tidak terelalu miskin".
Selepas kejayaan membuka kota Al-Qadisiah dan kota Damsyik, Umar sebagai khalifah menghimpun orang ramai dan berkata; "Aku seorang ahli perniagaan, kamu telah menyebabkan aku sibuk dengan tigas sebagai khalifah. Apa pendapat kamu sekalian tentang sara hidup yang halal untukku daripada harta ini?".
Orang ramai memberikan pendapat masing-masing, hanya Ali bin Abu Talib Karromallahuwajhah sahaja yang membisu. Kepada Ali yang merupakan sepupu dan menantu Rasulullah s.a.w., Umar bertanya pendapatnya dan Ali menjawab yang halal untuk khalifah sekadar untuk keperluan diri khalifah dan keluarga tanpa jumlahnya melebihi umat Islam yang lain, mana yang selebihnya bukan hak khalifah.
Umar lantas berkata bahawa pendapat Ali adalah pendapat yang sangat benar. Mengenai sara hidupnya sebagai khalifah, Umar bekata dianggapnya harta Allah sebagai harta anak-anak yatim dan beliau tidak akan mengambilnya apabila tidak perlu dan apabila perlu akan digunakan sekadar yang perlu sahaja.
Dalam Perang Tabuk, Umar telah membelanjakan separuh dari hartanya untuk penyediaan kelengkapan perang. Setelah dilantik menjadi khalifah, beliau hanya mengambil sekadar perlu untuk menyara anak isteri. Ketika matinya, Umar hanya meninggalkan sedikit sahaja harta pusaka untuk anak-anaknya sedangkan beliau mewarisi kekayaan kerajaan Rom dan Parsi.
Khalifah Usman Affan r.a. serta sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang lain termasuk Abdul Rahman bin Auf yang kaya raya sebelum Islam tetapi miskin selepas memeluk Islam dari sudut harta benda kerana membelanjakan kekayaan mereka untuk perjuangan Islam. Ahli korporat wanita terkemuka Mekkah, Siti Khadijah bin Khuwailid yang juga isteri pertama Rasulullah s.a.w. telah mewakafkan seluruh kekayaannya untuk Islam.
Umar bin Abdul Aziz dari keturunan Umar Al-Khattab yang semasa sebelum menjadi khalifah menjalani hidup penuh bergaya dengan pakaian dan bau-bauan yang dipakai dari jenis yang mahal dan mewah telah menetapkan perbelanjaan hariannya sebagai khalifah cuma sekadar dua dirham.
Setiap hari ditimbang untuknya daging, roto dan sayur pada kadar dua dirham tidak kira sama ada pada hari berkenaan murah atau mahal harganya. Sepanjang menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz dikatakan hanya mempunyai sehelai jubah. Beliau pernah lewat untuk berkhutbah dan mengimamkan sembahyang Jumaat kerana jubah yang dibasuh oleh isterinya lambat kering.
Sehubungan dengan itu, dalam keghairahan kita pada zaman ini untuk jadi pemimpin dan menjawat sesuatu jawatan, apakah kita menjadi lebih miskin daripada sebelum menjadi ketua cawangan, ketua bahagian, ketua perhubungan, perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri, menteri besar, timbalan menteri besar, exco, ketua jabatan dan sebagainya atau pun sebaliknya?
Apakah kita hitung setiap sen wang yang masuk sebagai punca pendapatan kita akan menjadi komponen jambatan ke syurga atau akan menjadi sebahagian dari kayu api neraka sama ada hasil dari elaun kita sebagai pemimpin, gaji kita sebagai penjawat awam atau apa-apa juga punca pendapatan kita?.
Apakah sebagai pemimpin politik mahu pun kerajaan, kita boleh terima seandainya anak kita yang pukul anak orang dari kelas marhaen dipukul depan kita sebagaimana Amru bin Al-As menyaksikan anaknya bernama Muhammad yang memukul seorang pemuda Mesir dipukul kembali oleh pemuda berkenaan atas perintah Khalifah Umar Al-Khattab. Kalau anak kita ditahan polis kerana melakukan jenayah, apakah kita reda atau kita menggunakan kuasa dan pengaruh kita untuk ringankan hukuman atau pun gugur segala tuduhan?
Apakah dalam perlantikkan ke sesuatu jawatan berdaarkan kuasa yang kita ada dalam membuat pemilihan calon pilihanraya dan perlantikkan ke sesuatu jawatan, para pemimpin kita merujuk kepada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang melantik menjalankan urusan umat Islam, maka ia melantik seseorang tertentu sedangkan ia dapati ada yang lebih baik daripadanya, maka sesungguhnya ia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya" - Riwayat Imam Al-Hakam.
Rasulullah s.a.w. juga bersabda: "Apabila amanah itu disia-siakan, maka tunggulah akibatnya". Apabila ditanya bagaimana ia disia-sikan. Rasulullah menjawab: "Bila sesuatu urusan pekerjaan ditugaskan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah masanya" - riwayat Imam Bukhari.
Para pemimpin parti atau kerajaan juga kena merujuk kepada kata Umar Al-Ktatab: "Sesiapa yang melantik bagi sesuatu urusan kaum Muslim akan seseorang kerana ada hubungan persahabatan atau hubungan keluarga dengannya, maka ialah telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang-orang Islam seluruhnya".
Sambil menunggu masuknya waktu berbuka puasa, setiap pemimpin dan penjawat awam kena merenung dan memuhasabah diri, apakah masing-masing berada dalam keadaan halal atau haram pada kedudukan dan jawatan masing-masing, yakni apakah jawatan dan kedudukan yang disandang berdasarkan apa yang dianjurkan oleh Islam, Allah dan Rasul-Nya atau pun beradasrkan apa yang diharamkan.
Akhirnya, renungilah sabda Rasulullah s.a.w yang antara lain bermaksud: "Sesungguhnya kami demi Allah! tidak akan serah jawatan ini kepada orang yang memohon atau orang yang berhasrat untuk mendapatkannya". Tidak ada orang yang lebih tahu tentang cara jawatan dan kedudukan yang kita miliki sama ada halal atau haram, kecuali kita sendiri dan apa yang kita kena buat jika ianya haram kalau kita mahu masuk syurga dan memimpin orang yang dipimpin masuk syurga.
Adalah diyakini kalau berdasarkan hukum hakam tulen, tidak akan berlaku pertandingan dalam perebutan jawatan parti, apatah lagi sampai membina pasukan atau team khusus (apatah lagi dengan menggunakan wang kerajaan) untuk menang dan kalahkan lawan sehingga sanggup memburuk-buruk dan mengaibkan lawan walaupun sama-sama dalam satu jamaah.
Malah sebagai pemimpin Islam tulen, kita pasti akan bertanya apakah sebagai pemimpin kita menjadi semakin miskin sebagaimana khalifah-khalifah kerajaan Islam, khususnya khalifah Ar-Rasyidin atau pun kita menjadi sejuta kali lebih kaya dari semasa sebelum jadi pemimpin. Apakah kita makan lebih sedap dan hidup lebih bergaya serta lebih mewah dari rakyat biasa atau bagaimana? - Penulis adalah bekas pelajar Madrasah Al-Balaghulmubin Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan dan merupakan pengamal media sejak tahun 1973
Nama & Alamat Penuh Penulis:
RAMLI ABDUL HALIM (K/P:561020-03-5201)
No. A/C Maybank -153059023187
854, Lot 146, Jalan Sultanah Zainab.
15000 Kota Bharu,
Kelantan.
Tel:017-9871322
Sunday, August 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Pemimpin Islam: apakah Islam ikut cara kita atau ikut cara Islam tulen?
UJIAN KHAS "SIJIL SPR"
Berikut adalah soalan khas untuk anda semua, sila jawab satu atau lebih....
SIAPAKAH PEMIMPIN MELAYU ISLAM YANG PALING SESUAI MASAKINI BERDASARKAN CIRI2 PEMIMPIN ISLAM TULIN EN. MELI DIATAS UNTUK PIMPIN UMAT ISLAM MALAYSIA SEKARANG?
A) MOHAMMAD NAJIB BIN ABDUL RAZAK
B) MUHYIDIN BIN YASSIN
C) TENGKU RAZALIEGH BIN TENGKU HAMZAH
D) NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
E) ABDUL HADI BIN AWANG
F) ANWAR BIN IBRAHIM
G) IBRAHIM BIN ALI
Selamat menjawab. Jawapan anda adalah bebas, demokratik dan tidak rahsia.
Sijil dikeluarkan oleh Majlis Syura Rakyat Malaysia.
Post a Comment