Saturday, August 21, 2010

Ihya' Ramahan 1413 - (16)

Selarikan 1Malaysia dengan al-Quran adalah langkah terbaik
oleh
RAMLI ABDUL HALIM

JIKA diselarikan gagasan 1Malaysia dengan al-Quran dan Hadis, maka tidak ada sebab untuk ianya ditentang, termasuk oleh kalangan bukan Islam kerana Islam yang rujukan mutlaknya adalah al-Quran dan Hadis bukan sahaja untuk kesejahteraan makhluk bernama manusia tetapi juga untuk memberi rahmat kepada semua makhluk di langit dan di bumi.

Islam bukan agama paksaan, sesiapa pun boleh memilih Islam atau menolaknya tetapi Allah dan Rasul-Nya telah nyatakan dengan jelas bahawa mereka yang Islam, beriman dan takwa sahaja akan masuk syurga manakala yang menolak Islam akan dicampak ke neraka.

Sikap tamak umat Islam yang hanya mementingkan keislman sendiri tanpa ada usaha yang benar telus dan tulus untuk menerangkan apa itu Islam kepada bukan Islam menjadikan bukan Islam fobia dan gabra dengan Islam.

Apatah lagi apabila ada umat Islam boleh menentukan syurga-nerakanya sesama Islam hanya berdasarkan fahaman politik yang didukung dan disokong, menyebabkan kalangan bukan Islam keliru dan melihat bahawa Islam berpuak-puak sifatnya walhalnya Allad Rasul-Nya umat Islam adalah bersaudara tanpa mengira warna kulit dan batas sempadan negara.

Kalau sesama Islam pun boleh bertelagah, boleh tidak bersatu untuk meningkatkan kualiti perpaduan di samping meningkatkan kualiti keislaman, keimanan dan ketakwaan, macam mana kalangan boleh terima dengan dada dan minda yang terbuka teori perpaduan, termasuk gasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh seorang pemimpin dan tokoh beragama Islam tetapi dari parti yang didakwa oleh parti dukungan tokoh Islam yang lain bahawa penyokong parti penggagas 1Malaysia itu tidak boleh masuk syurga.

Sehubungan dengan itu perang anti tohmahan berbau politik bersenjatakan Islam yang disalahgunakan patut dilancarkan atas nama Allah dan Rasul-Nya serta demi kesucian al-Quran dan Hadis supaya akhirnya umat Islam benar-benar bersatu untuk melayakkanya menganjurkan jalinan perpaduan dan toleran luar-dalam dengan kalangan bukan Islam.

Agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan agensi-agensi yang seumpamnya, termasuk jabatan-jabatan Mufti serta badan-badan dakwah patut menyertai perang bersenjatakan hujah dan dalil al-Quran dan Hadis.

Harus diingat kalau sesama Islam berpecah belah, secara tidak langsung tidak ada asas untuk mengajak kalangan bukan Islam bersatu.

Itu yang patut diterapkan-teraskan dalam 1Malaysia, mempersatu dan mempersefahamankan antara sesama Islam dahulu, sesuai dengan status negara ini yang beragama-resmikan agama Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan negara, barulah menganjurkan formula kebersatuan dan kesefahaman dengan kalangan bukan Islam supaya keamanan yang dinikmati di negara itu terus terpelira.

Sepatutnya ilmu-ilmu al-Quran dan Hadis bukan sahaja diajar kepada kalangan yang sudah Islam pun Islam tetapi juga kepada kalangan bukan Islam jika ada kalangan bukan Islam mahu mempelajarinya tetapi hendaklahlah berteraskan bukan atas nama paksaan.

Rasanya tidak salah kalau kalangan bukan Islam dipilih-sertakan mengikuti kelas-kelas al-Quran dan Hadis atau pun diadakan program khusus untuk penghafalan, terjemahan dan pentafsiran al-Quran dan Hadis kepada kalangan bukan Islam yang berminat.

Sekurang-kuragnya bila faham apa yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis, mereka akan faham betapa hormatnya Islam kepada kalangan bukan Islam selagi mereka tidak menjahati Islam dalam secara mental dan fizikal.

Paling penting, dalam konteks Malaysia kena dikikis samasekali tanggapan dan kepercayaan tradisi bahawa Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu kerana hakikatnya Islam bukan hakmilik orang Melayu tetapi Islam adalah untuk semua makhluk di langit dan dibumi.

Saya bersetuju, malah manusia Islam Malaysia yang telus dan tulus kena bersetuju dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang pada suatu ketika dulu berkata bahawa pemahaman yang jelas mengenai inti pati al-Quran amat penting dalam usaha kerajaan membina sebuah negara bangsa yang utuh dan disegani melalui gagasan 1Malaysia, yang mana pemahaman yang betul akan dapat memacu peradaban dan memartabatkan tamadun bangsa, seterusnya membersihkan persepsi negatif kalangan bukan Islam terhadap agama dan umat Islam.

Tidak boleh dinafikan bahawa al-Quran diturunkan di antaranya bertujuan untuk memperbaiki keadaan manusia dan juga sebagai petunjuk ke jalan lurus yang diredai-Nya.

Melalui pemahaman yang betul, al-Quran mampu memperkasakan sesebuah bangsa dan negara termasuk masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Teori perpaduan yang sejagat sifatnya sudahpun sedia tergaris dalam al-Quran dan Hadis, kita sebenarnya tidak perlu pun sakitkan kepala mencari, memikir dan membina perpaduan kerana yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis releven hingga kiamat.

Petikan Surah Sad, ayat 29 yang antara lain bermaksud: "(Al-Quran) ini sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar" adalah sangat tepat jika mahu direalitikan agar gagasan 1Malaysia diselarikan dengan al-Quran dan juga Hadis, malah selarikan 1Malaysia dengan al-Quran dan Hadis adalah suatu langkah yang tersangat dan teramat baik, usaha untuk merealisasikan menjadikannya sebagai suatu kenyataan kena disegerakan. -
Penulis adalah pengamal media sejak tahun 1973,

Nama & Alamat Penuh Penulis;
RAMLI ABDUL HALIM (K/P:561020-03-5201)
2584, Lot 146,
Jalan Sultanah Zainab,
15000 Kota Bharu,
Kelantan.
Tel:017-9871322

No comments: