Sunday, August 1, 2010

MUNCUL KEMBALI (775)

Pastikan MBE tidak cacatkan identiti Melayu Kampung Baru

SEBAGAIMANA kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razah bahawa kita tidak rela melihat Kampung Baru 'berkarat ' di bawah bayangan menara berkembar tertinggi di dunia, maka bagi saya itulah juga yang menjadi harapan, hasrat dan impian bangsa Melayu, lebih-lebih lagi bagi Melayu warga Kampung Baru.

Oleh kerana kedududukan Kampung Baru itu sendiri berada pada pusat kota metropolitan, maka sebarang keberkaratan kampung berkenaan dari sudut pembagunannya mahu tidak mahu akan menggambarkan betapa jauh terkebelakangnya orang Melayu di ibu kota,

Sesuai dengan kedudukannya juga, Kampung Baru bukannya tidak boleh dihutan-batukan tetapi imej dan realiti sebagai kampung bermajoritikan orang Melayu perlu dipertahankan. Kalau pun terbangunnya bangunan 200 tingkat sekali pun, biarlah ianya bukan sahaja milik Melayu dari bawah sampai ke atas tetapi juga para peniaga bagi gedung-gedung perniagaan dan penghuni bagi rumah-rumah kediaman biarlah terdiri dari orang Melayu.

Dengan kata lain, apa pun perancangan dibuat bagi menyerikan Kampung Baru supaya setanding dengan kawasan-kawasan lain di kota metropolitan, kepentingan Melayu kena paling terjulang dan menduduki tangga teratas, sekali gus akan menjadi lambang kehebatan Melayu.

Mudah-mudahan antara projek besar yang akan dilaksanakan di bawah kerangka Model Baru Ekonomi (MBE) adalah pembangunan Kampung Baru, nantinya tidak sampai menterpaksakan Melayu tidak lagi akan menjadi warga majoriti Kampung Baru seperti sekarang.

Walaupun pada banyak tempat di muka bumi negara ini Melayu tidak mampu mempertahankan hak pemastautinan sebagai bayaran kepada keperluan pembangunan, kemajuan dan pemodenan, biarlah di Kampung Melayu hal yang sama tidak akan berlaku, malah kena dielakkan dengan apa jua cara.

Kalau MBE membuktikan Kampung Baru mampu digemerlapankan dengan pada masa yang sama Melayu sebagai warganya turut dicermerlang, digemilang dan diterbilangkan, maka MBE akan menjadi tugu keramat di hati Melayu yang mana tugu keramat itu tidak mungkin akan lebur untuk tempoh sejuta tahun.

Tetapi jika Melayu terpaksa kehilangan Kampung Baru sebagai suatu keterpaksaan untuk berkorban demi memaju dan membangunkannya, lantas menyebabkan Melayu terpaksa meratapi kehilangan kampung halaman dan identiti, maka MBE akan diseranah sebagai pengkhianat Melayu oleh sejuta lapis keturunan Melayu akan datang.

Seandainya MBE berfungsi menggerlapankan Kampung Baru dengan pada masa yang sama warganya turut berjaya dicemerlang, digemilang dan diterbilangkan, maka biul benarlah bagi mana-mana wargannya yang tidak menyokong MBE dan memberi kerjasama kepada perealisasian kerangka peserian wajah kampung berkenaan.

Tetapi kalau wajah Kampung Baru saja berseri apabila kerangka peseriannnya direalisasikan sedangkan para penghuninya kalau pun menjadi usahawan hanya sekadar menjual nasi lemak di kaki-kaki lima bangunan pencakar langit milik orang lain atau terpaksa menjadi sasaran maki hamun taukeh gedung-gedung perniagaan atas nama kuli batak, ada baiknya kalau situasi sekarang dikekalkan.

Hendaknya walaupun kerana kehebatannya, maka suatu ketika nanti Kampung Baru memiliki bangunan setinggi sejuta tingkat, namun nama Kampung Melayu kena dikekalkan, bila masuk waktu biarlah suara bilal melaungkan azan terus bergema lantang dan masjid serta surau dalam kawasannya akan terus penuh dengan jamaah.

Seandianya di kampung-kampung Melayu tidak lagi kedengaran azan, kalau dari masjid dan surau kehilangan jamaah, kalau majlis tahlil dan sebagainya sudah tidak lagi mentradisi Melayu, maka dengan sendirinya identiti dan semangat Melayu akan lebur dan musnah.

Adalah menjadi harapan Melayu pastinya walaupun di mana mereka berada ialah agar sebagai sebuah penempatan Melayu, walaupun sehebat mana pun kemajuan, kemodenan dan pembangunan kerangka Kampung Baru, namun segala ciri keidentitian Melayu perlu di masukan ke dalam rangka dan kerangkan untuk mempertahankannnya di samping hak sebagai warga majoriti mesti dipertahankan.

2 comments:

Orang Melayu Kampung Baru said...

Setuju dengan entry ni. Berjelira sampai ke tulang hitam.

Anonymous said...

Ucapan PM itu menunjukkan pandangan jijik UMNO kepada Melayu di Kampong Baru..... demi fulus.. biar tanah Melayu tergadai......