Sunday, August 8, 2010

MUNCUL KEMBALI (779)

Kempen kesedaran perlu diseiringkan dengan tindakan tegas terhadap penganjur skim cepat kaya

CADANGAN tindakan yang lebih berat terhadap penganjur perniagaan jualan langsung (MLM) dalam bentuk skim piramid dan pemasaran pelbagai peringkat yang melakukan penipuan dibawah Akta Jualan Langsung dan Antipiramid berkuatkuasa bermula akhir tahun ini, patut dialu-alukan oleh semua pihak.


Mudah-mudahan dengan itu jumlah penipu yang memanipulasi MLM dan juga pelbagai bentuk penipuan dapat dikurangkan manakala negara akan 'sifar' rakyatnya dari terpedaya dan dari menjadi mangsa penipuan.

Bagaimanapun dalam usaha proaktif pihak berwajib membanteras penganjur penipuan, orang ramai juga perlu diberi kesedaran melalui pelbagai kempen dan siri penerangan kepada orang awam supaya mereka tidak tertipu dan ditipu.

Antaranyanya kena elak dari perasaan tamak bersarang dalam kepala dan dada setiap orang kerana lazimnya orang tamak selalu rugi. Ini terbukti apabila yang menjadi mangsa skim cepat kaya bukan terhad kepada golongan 'tamada' tetapi melibatkan mereka yang terpelajar dan golongan berada.

Yang kerap berlaku, golongan terpelajar dan kaya yang dijajah oleh perasaan tamak haloba menanggung kerugian yang lebih besar jumlahnya gara-gara menjadi mangsa skim cepat kaya kerana yang menganjurkannya juga terdiri dari kalangan terpelajar dan memiliki kemampuan kewangan yang meyakinkan bakal mangsa.

Kemunculan penganjur skim cepat kaya yang berkesinambungan walaupun berdepan dengan hukuman denda RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 kesalahan kedua dan seterusnya pada waktu ini adalah kerana sambutan yang memberangsangkan dari para mangsa, dengan kata lain kerana atas permintaan bagi pasaran penipuan skim cepat kaya.

Justeru itu kalau jumlah denda mencecah RM1 bilion untuk kesalahan pertama dan RM5 bilion untuk kesalahan kedua dan seterusnya sekali pun, skim cepat kaya akan terus wujud selagi orang awam tidak diberi kesedaran tentang bahaya dan bahana serta risiko yang terpaksa ditanggung kalau mereka terpedaya oleh pelbagai skim cepat kaya.

Hanya apabila orang awam diberi kesedaran bahawa tidak ada skim cepat kaya yang tidak menipu kecuali menipu belaka, barulah kemunculan skim cepat kaya dapat disekat kewujudannya apabila tidak ada langganan.

Oleh itu kempen kesedaran perlu diseiringkan dengan tindakan tegas terhadap penganjur skim cepat kaya kalau kewujudkan skim itu mahu 'disifarkan' di negara ini. Selagi ada permintaan dari bakal mangsa, maka selama itulah skim cepat kaya akan terus wujud dan diwujudkan.

1 comment:

Toke Budu Bachok said...

Pada dok mmain skim cepat kaya, baik minta kawasan, buat proposal kata nak tanam sawit, getat klon, debu, ubi kayu dan macam-macam lagi atau minta kawasan kononnya untuk lombong bijih bei, emas dan sebagainya, lepas baham balak, biar kawasan tinggal dalam keadaan botak. Pitih buleh,ddoli apo nak jadi pada kawasan.
Mu masuk hutan sokmo, tak 'kan tok leh kelih, Meli. Bakpomu tak tulis. Mu pun bersubahatan tankedaroh harta rakyat?