Sunday, August 22, 2010

MUNCUL KEMBALI (792)

Kali pertama bersetentang dengan Ariffhami

NAMANYA sudah lama dikenali. Sejak di Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ramai penjenguk membalunnya melalui ruangan komen blog saya yang asal dan dimusnahkan oleh penyangat IT seminggu sebelum pilihanraya umum ke-12. Tetapi saya tidak bertemu muka dengannya.

Ekoran timbul pertikaian dengan blogger Kickdefella, namanya turut muncul dalam blog saya. Pun begitu saya tidak pernah berkesempatan berjumpa dengannya. Sifat saya kalau dengan orang atas-atas saya tidak berapa minat masuk rapat. Beliau adalah Ariffahami Abdul Rahman, bekas CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Hanya lewat tengah malam tadi, di sebuah restoran yang agak terkenal tidak jauh dari rumah saya, kali pertama saya berpeluang bertemu muka dengan dan bergenggaman tangan dengannya apabila penulis dan blogger tersohor Saudara Haji Mohd. Sayuti Omar (MSO) calling ajak makan di restoran berkenaan, waktu sudah pukul 12.00 malam lebih. Hadir sama rakan MSO datang bersama dari KL.

Sebagaimana kalau saya ke KL, maka beliaulah yang akan saya susahkan untuk apa-apa urusan saya, maka bila MSO balik ke KB, seboleh mungkin saya cuba meluangkan masa untuk memenuhi keperluannya yang memerlukan keterlibatan saya walaupun dalam soal pendirian dan rentak menulis atau berblog kami sering tidak seragam. Pun begitu hubungan persahabatan tetap utuh.

Dari awal lagi saya dah cam bersebelahan MSO adalah Ariffahmi. Alhamdulillah daya pengecaman saya agak bagus, walaupun hanya dengan tengok gambar seseorang, saya mudah cam seseorang bila berjumpa muka. Ariffahmi sendiri mengambil masa yang agak lama untuk cam saya.

Saya tidak tanya pun apa macam mana Ariffahami dan MSO bersama seorang lagi rakan dari KL boleh ada semeja. Itu memang sifat semula jadi saya, tidak berminat untuk apa tahu apa yang saya rasa tidak perlu tahu, apatah lagi mencampuri urusan orang lain, terutama yang kalau urusan bersifat peribadi. Kalau yang berkepentingan awam, saya akan mengambil peduli walaupun barangkali kepedulian saya tidak diperlukan.

Tengok pada orangnya, nampak baik dan ada potensi untuk menyumbangkan kepada melaksanakan segala tanggungjawab yang diserahkan kepadanya. Kalaulah beliau bukan menantu Tok Guru Menteri Besar Kelantan, saya yakin beliau tidak akan menerima lanyakkan sebagaimana yang diterimanya.

Tetapi kerana beliau menantu Tok Guru dan usianya masih terlalu muda, maka beliau menerima nasib yang sepatutnya beliau terima. Berdasarkan kepada isterinya, Puan Nik Amalina, saya yakin Ariffahami dari sudut usia pangkat anak dengan saya yang kini memiliki enam cucu kerana ketika saya masih di Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan dulu, isterinya masih belajar di Maahad Muhammadi Perempuan dan masih budak.

Melihat pada wajahnya, saya nampak beliau seorang yang tenang dan serba selamba, agaknya berkat sokongan padu dari isteri yang tidak goyah membela suami ketika menghadapi saat-saat genting diserang dan diganyang. Kalau beliau mampu bertahan dengan situasi yang saya lihat lewat malam tadi, saya yakin beliau mampu jadi hebat.

Saya harap ada masanya lagi untuk saya bertemu dengan beliau lagi supaya saya dapat membuat penilaian dengan lebih adil dan saksama. Selama ini saya dipengaruhi oleh cerita-cerita negatif mengenainya, barangkali saya perlu memohon maaf kerana tepengaruh dengan cerita-cerita negatif sebelum ini.

No comments: