Letupan bukannya antara rukun pelengkap kegembiraan
SUKAR untuk dibuat kesimpulan jawapan kepada pertanyaan untuk diri sendiri yang pastinya menjadi pertanyaan juga kepada masarakat terbanyak, kenapa pada malam pertama berpuasa lagi, sudah ada bunyi letupan mercun sana sini di negara ini, seolah-olah bahan letupan sudah sedia ada untuk diletupkan, hanya tunggu masa dan ketikanya sahaja.
Dengan berlakunya kes letupan d rumah yang dijadikan setor simpanan bunga api di Kampung Seberang Baruh Cabang Tiga, Kuala Terengganu mengakibatkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut setelah tercampak dan melambung ke atas pokok setinggi kira-kira 15 meter (45 kaki?) di samping dua orang pemuda berusia 19 dan 20 tahun cedera parah, pasti lebih banyak pertanyaan kenapa dan mengapa ianya boleh berlaku akan timbul dan ditimbulkan oleh pelbagai pihak.
Bayangkan betapa dahsyatnya apabila mayat budak berkenaan yang dilaporkan dengan sebahagian kepalanya berkecai tersangkut pada dahan pokok manakala kaki seorang daripada yang cedera parah itu hancur. Siapa dan pihak mana yang kena bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Macam mana bunga api yang mampu menghasilkan letupan maut sebegitu boleh disetorkan dengan begitu banyak jumlahnya.
Apakah dengan kes sedahsyat itu, maka seluruh negara yang semakin dekat dengan raya akan '0' dari pelbagai bunyi letupan selepas ini? Apakah mereka yang berterawih, yang beriktikaf dan berqiamullail di masjid-masjid, surau dan madrasah tidak akan lagi diganggu oleh pelbagai bunyi letupan sama ada dari enis meletup di bawah atau di atas udara dengan dentuman yang menyakitkan telinga?.
Jawabnya tentu tidak. Semakin bertambah hari berpuasa dan kian hampir dengan menjelangnya Syawal, dentuman mercun pasti semakin kuat dan kerap, sekali gus laporan-laporan demi laporan akan dapat dibaca, ditonton dan didengar sana sini tentang kecederaan akibat bermain mercun dan bunga api. Laporan kecederaan akibat berain bahan letupan menjelang musim perayaan menjadi laporan yang streotype.
Sepanjang pengamalan saya sebagai pengamal media, sejak tahun 1990-an ke mari, seingat saya, belum ada lagi Hari Raya Aidilfitri di sambut dengan '0' mangsa mercun, termasuk mercun buatan sendiri. Asal saja tiba musim raya, pasti ada kes kecederaan akibat mercun yang membabitkan mangsa pelbagai peringkat usia, paling ramai adalah remaja dan kanak-kanan.
Kudung tangan, buta mata dan kecederaan kekal pada bahagian-bahagian anggota tertentu, malah ada yang membawa maut semacam senonim dengan musim perayaan umat Islam di negara ini. Semakin dekat dengan raya semakin ramai yang cedera. Perkara yang sama tidak pun berlaku pada perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Krimas dan perayaan-perayaan bukan Islam yang lain. Walhal pembakaran mercun adalah amalan budaya bagi hari-hari kebesaran masyarakat Cina, terutama ketika menyambut tahun baru.
Adalah diaykini apa yang dilaporkan oleh media hanyalah sebahagian dari kes yang berlaku, selebihnya ada yang tidak dilaporkan, termasuk apabila menyebabkan kecederaan yang lebih serius, apatah lagi yang membawa kepada kematian. Untuk mengelak dari masalah perundangan, maka diubah sebab-sebab kecederaan atau kematian ketika laporan polis dibuat atau ketika memberi maklumat yang minta oleh pihak berkuasa.
Nampaknya walaupun penjualan mercun dilarang dan mereka yang terbabit dalam pembekalannya boleh ditangkap, didakwa dan dihukum, namun dentuman letupan bergema sana sini. Maknanya dalam keadaan terdedah kepada kemungkinan ditangkap, didakwa dan dihukum, masih ada manusia yang sanggup melakukan penyeludupan, pengedaran, pembekalan dan peruncitan mercun semata-mata kerana wang.
Di samping itu ibubapa tidak cuba memotivasi anak masing-masing tentang bahaya bermain mercun, apatah lagi menggunakan daya kreativiti mencipta bahan letupan sendiri di kalangan anak-anak yang seolah-olah mengangap dentuman mercun dan bahan letupan adalah antara sebahagian dari faktor kemeriahan raya, tanpa bunyi letupan seolah-olah raya akan hilang seri.
Walhal memeriahkan raya dengan dentuman mercun, meriam buluh serta mercun ciptaan sendiri bukannya budaya Islam dan bukannya antara rukun pelengkap kegembiraan. Yang dituntut pada hari raya dalam Islam ialah bertakbir dan bertasbih, saling kunjung mengunjungi dan bermaaf-maafan, manakala dalam bulan puasa kita digalakkan berterawih dan beriktikaf di masjid, yakni berasa di masjid sambil membaca al-Quran, berzikir atau setidak-tidaknya dduk sambil menghitung sejauh mana kita telah bersedia untuk mati dan sebanyak mana bekal yang kita ada untuk hidup di akhirat nanti.
Masyarakat Cina tidak lagi menggunakan bahan letupan dalam perayaan mereka setelah pembakaran mercun dilarang walaupun pembakaran mercun merupakan antara tradisi mereka tetapi masyarakat Melayu pula yang meneruskannya pada musim perayaan. Adalah sesuatu yang pelik dan janggal apabila tradisi yang dibuang oleh pemilik asal tradisi itu menjadi semacam warisan kepada orang Melayu beragama Islam untuk memeriahkan raya.
Bagi saya mendentam-dentumkan sambutan raya adalah merupakan suatu penyalahgunaan kemeriahan perayaan yang patut diberhentikan segera untuk nanti negara akan '0' mangsa mercun, terutama mercun buat sendiri manakala hukuman yang lebih berat patut dikenakan keatas pihak-pihak yang melanggar larangan memperdagangkan mercun dan bunga api.
Anggota masyarakat juga seharusnya mengambil tanggungjawab membanteras penjualan mercun dengan tidak cuba berkompromi dengan pembekal dan peruncit mercun walaupoun yang terbabit itu barangkali ada pertalian darah atau jiran tetangga, sebaliknya kalau ada maklumat, kena segera laporkan kepada berkuasa, masing-masing kena ada hasrat agar raya disambut dalam keadaan '0' mangsa bahan letupan.
Sunday, August 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment