Hospital patut sediakan pegawai agama pada setiap wad
DUA tahun lepas, dalam tempoh tiga bulan lamanya masa saya banyak dihabiskan di wad sebuah hospital kerana memberi sokongan moral kepada anak saya yang waktu itu bekerja di Hotel Legend di Kuala Lumpur, terjatuh bangunan dari tingkat tiga dan mengalami kecederaan yang agak parah.
Walaupun pinggangnya patah dan kedua-dua telapak kakinya remuk, dengan izin-Nya anak saya kembali sembuh. Terima kasih tidak terhingga saya kepada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sultanah Zainab II (HSZ-II) kerana boleh bersabar dengan kerenah anak saya semasa menerima rawatan.
Mulai Hari Raya Aidilfitri ketiga lepas ke mari pula, sekali lagi saya sering berada di hospital kerana memberi semangat kepada ibu saya yang menerima rawatan gara-gara ibu jari kakinya tercucuk duri pokok salak menyebabkan kakinya membengkak kronik. Kebetulan beliau pengidap kencing manis.
Nampaknya di hospital keadaan dua tahun lepas dengan sekarang tidak berubah. Rata-rata para pesakit beragama Islam yang dirawat masih juga berada di katil masing-masinh walaupun azan menandakan masuk waktu sembahyang berkumandang di masjid berhampiran. Ibu saya kata sejak di hospital dia tidak sembahyang dan beliau merasa amat berdosa.
Kecuali ketika datang bulan bagi perempuan, sembahyang adalah tuntutan wajib kepada setiap yang mukalaf dan ianya dituntut supaya dikerjakan dalam keadaan yang macam mana sekali pun selagi seseorang itu waras walaupun dalam keadaan sakit. Kalau tidak mampu sembahyang dalam keadaan berdiri, kena sembahyang dalam keadaan duduk, kalau tidak mampu dalam keadaan duduk kena dilakukan dalam keadaan mengiring.
Kalau tak boleh sembayang dalam keadaan mengiring mengadap kiblat, sembahyang boleh dilakukan dalam keadaan terlentang yang mana kalau tidak mampu gerakkan anggota badan, ianya kena dibuat dalam keadaan isyarat menggunakan mata, Maknanya sembahyang wajib dikerjakan, apatah lagi dalam keadaan sakit kerana bila seseorang itu sakit ianya terdedah kepada dua kemungkinan, kembali sembuh atau akan mati kerana setiap hidup akan mati.
Seandainya sembuh barangkali sembahyang boleh diqada' tetapi bagaimana kalau sakit membawa kepada kematian. Macam mana boleh mati dalam keadaan melakukan dosa tidak sembahyang yang mana selain dari sembahyang adalah merupakan Rukun Islam yang lima, ianya menduduki senarai kedua rukun yakni selepas Mengucap Dua Kalimah Syahadah di samping Puasa Bulan Ramadan pada takah ketiga, disusuli denganZakat dan Menunaikan Haji jika mampu.
Tidak ramai di kalangan pesakit sedar tentang tuntutan kewajipan sembahyang atau mungkin mereka tidak biasa melakukan sembahyang dalam keadaan sakit, maka bila sakit, amalan sembahyang tidak dilakukan. Barangkali tidak ada mana-mana pihak pula yang mengingatkan.
Para petugas hospital pula sibuk dengan tugas dalam bentuk pengubatan kalau pun barangkali mereka lulusan sekolah agama, mereka tidak cukup masa untuk mengingatkan pesakit tentang tuntutan kewajipan sembahyang lima waktu kepada para pesakit.
Justeru itu, sesuai dengan negara ini yang beragama-resmikan agama Islam, maka pada pendapat saya sudah sampai masanua pihak hospital menyediakan pegawai agama pada setiap wad atau pun membenarkan pegawai agama dari jabatan agama ditempatkan di wad untuk memperingatkan pesakit supaya sembahyang pada setiap kali masuk waktu serta menunjuk ajar cara sembayang secara duduk, mengiring, menelentang atau pun menggunakan isyarat mata.
Pegawai-pegawai agama juga yang sepatutnya kena ada 24 jam di setiap wad patut mengajar zikir-zikir tertentu supaya dizikirkan oleh pesakit yang mana secara tidak langsung dengan berzikir akan meringankan rasa sakit yang dialami.
Sebenarnya ujian sakit adalah antara anugerah Allah kepada hamba-Nya supaya mengingati Allah. Amat paling tudak kena kalau ketika sakit, Allah dilupakan sehinggakan perintah kewajipan sembahyang diabaikan.
Mungkin ada pesakit yang tidak boleh berwudhu' menggunakan air. Maka debu-debu bertayamun patut disediakan dan pegawai agama yang ditempatkan di wad-wadlah patut mengajar pesakit bagaimana cara bertayamun yang mungkin agak kekok untuk dilakukan oleh kita di Malaysia yang jarang bertayamun kerana jumlah air yang ada melebihi keperluan.
Kerja memperingatkan pesakit supaya tidak abaikan sembahyang bukan kerja kecil atau dianggap kurang perlu. Ianya barangkali fardu kifayah kalau pun bukan fadu ain. Jika tidak tidak mana-mana pihak yang melakukannya, maka seluruh umat Islam, terutama pemerintah, paling khusus pihak hospital akan berdosa.
Tuesday, September 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment