Tuesday, October 12, 2010

KEMUNCULAN KHAS (I)

Mari bina kesatuan ummah tanpa bias politik

MEMPERSATUKAN Ummah adalah fardu kifayah. Untuk maksud itu kena guna pelbagai kaedah dan pendekatan. Saluran politik gagal memenuhi tuntutan itu apabila ianya lebih terdorong kepada permusuhan sesama sendiri dan lebih kepada memutuskan silatur-rahim dan sikap berpuak-puak.

Saya dijemput khas oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Prihatin Malaysia (PERKEMIN MALAYSIA), Encik Bekeri Mohamad atau bergelar Paduka Ayanda Pakcu Keri bagi kerabat PERKEMIN yang sifatnya seakan PERKEDA. Encik Bekeri adalah bekas orang kuat dan bekas orang hebat PERKEDA.

Saya diminta menerajui biro ekonomi dan publisitinya. Saya dalam proses memikirkan tentang buruk dan baiknya serta keberkesanan peranan dan sumbangan saya kepada PERKEMIN sebelum menerima pelawaan itu yang bagi saya satu penghormatan dan tanggungjawab yang bukan kecil kerana kena merancang ke arah mencapai matlamat PERKEMIN berdikari.

Kalau dirasakan saya tidak mampu menyumbang tenaga dan buah fikiran bagi mencapai matlamat PERKEMIN dan harapan presidennya, mungkin saya akan hanya menjadi ahli biasa, yakni ahli paling rendah dari susunan struktur keahlian. Saya kena ukur baju pada badan sendiri. Jawatan dan status tidak penting, keberkesanan sumbangan khidmat yang kena diutamakan.

Ahli pertubuhan itu ada di seluruh negara dan ianya mempunyai keanggotaan yang ramai dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan. Nombor pendaftarannya adalah 1152-10-10-KEL dengan matlamat kewujudannya adalah untuk membantu anggota masyarakat yang memerlukan pertolongan dan perlindungan, termasuk dalam bentuk keselamatan diri, keluarga, harta benda, maruah diri, agama, bangsa dan negara.

Antara aktiviti kebajikan terbaru PERKEMIN adalah mengadakan Majlis Minum Teh bagi mengumpul derma untuk membantu Muhd. Baharum Ismail yang ditimpa kemalangan rumahnya terbakar di Kampung Bandar, Pulai Chondong Kelantan. Baharum adalah anggota PERKEMIN yanng perlu dibantu.

Majlis Minum Teh Pungut Derma itu akan diadakan di kediaman Paduka Ayahnda Pakcu Keri, Kampong Gong Jering, Selising, Pasir Puteh, Kelantan pada 30 Oktober 2010, bermula jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang. Semua ahli PERKEMIN dan seluruh anggota masyarakat yang mahu mendapat pahala menderma, dijemput hadir.

Bagi mereka di luar Kelantan yang tidak dapat hadir, mereka bolehlah menghantar derma masing-masing menggunakan cek atau wang pos atas nama PAKCU KERI PEKEMIN ENTERPRISE dan diposkan ke alamat Presiden PERKEMIN MALAYSIA, Kg. Gong Jering, Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Sempena Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Galas, PERKEMIN MALAYSIA akan ikut sama memantau bagi memastikan pilihanraya itu berjalan dalam keadaan terkawal, terutama dari sudut keselamatannya. Penggunaan walkie talkie berkuasa tinggi oleh setiap ahli akan memudahkan dan mempercepatkan ahli PERKEMIN untuk sampai ke sesuatu lokasi jika berlaku kecemasan.

Dengan berpegang kepada al-QURAN dan HADIS adalah rujukan mutlak, PERKEMIN MALAYSIA yang turut dianggotai oleh tok-tok guru pondok yang menjadi tempat rujuk hukum hakam, pada saya PERRKEMIN patut menjadi pilihan untuk disertai oleh setiap lapisan masyarakat bagi mempersatukan ummah.

Sesungguhnya bulat air kerana pembentung, kuat manusia kerana muafakat. Bila ada ruang dan peluang untuk bermuafakat kenapa kita tidak memanipulasikannya dengan beramai-ramai menyertainya. Paling penting buatlah pahala dengan membantu meringankan beban Muhd. Baharum Ismail dengan berlumba-lumba untuk menghulur derma paling banyak.

No comments: