Saturday, October 9, 2010

MUNCUL KEMBALI (818)

Banyak sijil tidak penting, nilainya yang perlu

TUJUAN belajar adalah untuk dapatkan ilmu, malah mencari ilmu dari buaian hingga ke liang lahad adalah dituntut oleh agama malah disarankan oleh Rasulullah s.a.w. yang merupakan ibusawat kepada pelbagai ilmu untuk keperluan dunia dan akhirat.


Tinggi atau rendahnya mertabat seseorang manusia juga bergantung kepada jumlah ilmu yang dimiliki. Ilmu itu pula berhak untuk dimiliki oleh semua orang yang sanggup berusaha memilikinya yang kadang-kadang konsep pemilikan ilmu itu disalah-ertikan dengan didasarkan kepada kepetingan kertas yang diapnggil sijil, diploma atau ijazah.

Saya yakin kalangan yang mengukur pemilikan ilmu berdasarkan sijil, diploma dan ijazah, akan menentang keras langkah Kementerian Pelajaran untuk tidak meneruskan Peperiksaan Penilaian Sekolah Menenah Rendah (PMR) dan diubah dengan format baru pada tahun 2016.

Tetapi kepada yang melihat ilmu tanpa diukur kepada sijil, diploma dan ijazah pasti akan lebih rasional dalam menghadapi dan menerima isu pemansuhan PMR. Sijil, diploma dan ijazah sebenarnya boleh diraih tanpa ilmu kerana bukan sedikit yang mendapatkan diploma dan ijazah misalnya mengupah pihak lain menyiapkan tesis.

Padahnya apabila sampai ke lapangan pekerjaan berdasarkan kepada pengkhususan bidang dalam mendapatkan sijil, diploma dan ijazah, pemilik sijil, diploma dan ijazah tanpa ilmu dan berusaha mengilmukan diri secara jujur akan menampakan kejahilan diri masing-masing.

Mereka dari kalangan inilah apabila melakukan kerja-kerja yang membabitkan penilaian umum akan mudah dikesan kejahilan mereka yang mana padahnya umum akan hilang keyakinan dan rasa hormat. Umpamanya ada imam yang ditangkap berkhalwat, ada pencegah maksiat ditangkap kerana menagih habuan seks dari gadis yang ditangkap berkhalwat untuk mengelak dari tindakan.

Puncanya kerana imam atau pencegah maksiat yang sanggup melanggar peraturan perkhidmatan itu diambil bekerja kerana ilmu yang tercatat pada sijil, diploma dan ijazah, bukannya kerana benar-benar berilmu sehinggakan gagal membezakan apa yang haram dan yang halal.

Saya yakin matlamat Kementerian Pelajaran memasuhkan PMR dan digantikan dengan format baru adalah untuk melahirkan warganegara yang benar-benar berilmu, bukannya warga yang hanya berilmu dalam ukuran pemilikan sijil, diploma dan ijazah tetapi bukan dalam bentuk hakikat dan natijahnya.

Lagi pun lambakan sijil, diploma dan ijazah tidak penting kalau tidak ada nilai. Yang menjadi keperluan kepada setiap orang adalah sijil, diploma dan diploma yang ada nilai kerana pemiliknya benar-benar ada ilmu dan berusaha mendapatkan ilmu secara jujur, bukannya menggunakan sebarang muslihat, termasuk mengupah orang lain dalam menyediakan tesis hanya kerana mahu dianggap dan disijilkan, didiploma dan diijazahkan sebagai orang berilmu.

No comments: