SELAIN ada masalah yang membuat fikiran dan perasaan saya agak terganggu seminggu dua ini, saya mula sedar bahawa saya ada mengidap darah tinggi dan kencing manis apabila menjalani pemeriksaan kesihatan setelah anak dan menantu saya bawa ke klinik apabila saya tiba-tiba diserang sakit pada bahagian rusuk sebelah kanan yang agak teruk.
Kesakitan itu sebenarnya berpunca dari batu karang. Semasa pemeriksaan air kencing dibuat oleh doktor, mesin pengesan bukan sahaja memberi result mengenai batu karang tetapi juga tentang darah dan kencing manis.
Bila saya kata saya tidak banyak makan benda-benda manis, macam mana boleh kena kencing manis: doktor kata mungkin saya makan nasi banyak. Makan nasi banyak kononnya boleh menyumbang kepada serangan kencing manis.
Itu betul. Saya memang makan nasi banyak. Sebagai seorang yang hidup dalam serba payah, makanan utama saya adalah nasi. Kerap kali hanya digaul dengan budu dan ketit lada cengik, terutama semasa di kampung dulu.
Memakan ulam-ulaman dan celur pucuk ubi menjadi sesuatu yang membukakan selera saya terbuka dan kemaruk hingga kini. Tidak berlauk pun tak apa. Yang wajib ada budu, ulam-ulaman dan celuran pucuk ubi, terung, kacang miyong, pucuk paku, jantung pisang dan sebagainya. Masakan moden dan ada unsur-unsur bandar tidak membuka selera saya.
Atas nasihat doktor saya kurangkan makan nasi. Padahnya berat badan agak turun dan perut pun kurang buncit sekarang. Kenalan saya ingat berat badan dan perut saya agak kempis serta saya nampak kurus kerana kerunsingan oleh masalah yang tidak manis untuk saya catatkan.
Saya yakin ramai orang Pas tahu dan mereka sedang bergembira dan meraikan kemenangan, malah akan ada yang akan kata padan dengan muka saya dengan apa yang sedang saya tanggung. Mungkin saya kena tulah.
Sesungguhnya apa yang sedang melanda hidup saya dan sesekali menyebabkan air mata lelaki babil dan degil saya tumpah pasti akan dilihat sebagaimana kejatuhan saya sebagaimana kejatuhan Saddam Hussein di mata musuh-musuh dalamannya, apatah lagi di mata Amerika Syarikat dan sekutunya.
Bagaimanapun saya bersyukur kepada Allah kerana saya masih kuat iman dan masih mengutamakan iman, al-Quran dan Hadis dalam menghadapi kemelut yang melanda. Saya masih mampu jadi waras, malah menjadi lebih waras dari sebelumnya. Saya yakin ada hikmah di sebalik kemelut yang sedang melanda saya.
Apa yang berlaku bagi saya adalah merupakan ujian Allah. Bila Allah uji bermakna Allah sayangkan saya, bermakna apa yang saya buat dan yang menjadi prinsip saya selama ini adalah benar. Saya akan terus mempertahankan kebenaran itu walaupun saya akan kehilangan setiap apa yang saya sayang dan yang menjadi keperluan hidup saya.
Ketawalah seluruh makhluk di bumi dan di langit kerana melihat aliran airmata lelaki saya tercurah dengan murah di bumi serba sementara ini. Memang yang selalu saya doakan, kalau saya perlu menangis, perlu menanggung segala derita dan sengsara, biarlah di dunia ini untuk saya akan berpeluang ketawa dan bahagia di akhirat nanti.
Kerana itu bila ada 'gu' yang minta saya kurangkan menulis isu-isu yang dilihat menjadi punca kepada kemelut yang saya sedang tanggung, malah ada yang cadang supaya saya berhenti menulis terus, jawapan saya adalah TIDAK. Saya tidak akan berhenti menulis atau mufarakah dari prinsip hidup saya.
Saya akan tetap terus jadi saya kerana Allah yang mencipta saya lebih Tahu apa yang terang dan tersembunyi tentang saya yang sesama manusia labelkan macam-macam, ego, dayus, tidak bermaruah, bahlol, tolol, saiko dan sebagainya. Bersabar dan reda dengan pelbagai pelabelan, tohmah dan prasangka akan mendatangkan pahala buat saya.
Pada kesempatan ini saya merakamkan ucapan takziah kepada rakan saya Saudara Muhammad Abdullah @ Mat Pauh di atas kematian isterinya, Wan Noraini Wan Abu Bakar awal pagi tadi. Allahyarhamah adalah guru fizik di Sekolah Menengah Chung Hwa dan merupakan pengidap lukimia. Semuga rohnya terkumpul dalam bilangan para penghuni syurga dan lubang kuburnya menjadi antara taman-taman di syurga-Nya.
Mudah-mudahan saudaraku Mat Pauh boleh bersabar dengan ujian-Nya. Sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan mati. Kita yang masih diberi peluang bernafas mesti terus hidup sementara menunggu datangnya Malikil-Maut untuk menjalankan tugasnya mencabut nyawa pada saat dan dalam keadaan yang telah sedia tersurat yang tidak akan dipercepat atau diperlambatkan walaupun hanya sedetik cuma!
5 comments:
Astghfirullah!
meliiiiii,
mengapa begitu sekali buruk sangka demo kepada orang Islam lain.
Kawe yakin penyakit demo akan sembuh, jika demo buang buruk sangka yang menguasai diri demo ke Gunung Stong atau ke laut cina selatan....
"Saya yakin ramai orang Pas tahu dan mereka sedang bergembira dan meraikan kemenangan, malah akan ada yang akan kata padan dengan muka saya dengan apa yang sedang saya tanggung. Mungkin saya kena tulah".
meli, ada ore tua kapong kawe kato makan lada pahit. molek utk penyakit kencing manis. cari dale rok byk di kapong2.
bab dunia byk kawe x setuju dengan demo, tapi x soh bawa ke akhirat lah. x laku sesen kurap.
bila dengar demo sakit, kawe tulong royat itu pun kalu demo nak dengar
"Saya yakin ramai orang Pas tahu dan mereka sedang bergembira dan meraikan kemenangan, malah akan ada yang akan kata padan dengan muka saya dengan apa yang sedang saya tanggung. Mungkin saya kena tulah".
..???????????!!!!
Bersabar menempuh liku-liku hidup di dalam kesakitan adalah menjadi tanggugjawab bagi orang beriman. Tiada orang hendak sakit tapi sudah menjadi ketentuan Allah yang kita tidak boleh elak semua itu.
Kesakitan yang diberi oleh Allah adalah untuk menguji hambanya. Bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya kita tahu kita sakit.
Tapi yang paling malang, ada orang yang tidak tahu yang dia sakit...tahu-tahu dia mati sedangkan matinya adakah mati sebagai orang beriman ataupun tidak....
minta jauh dari semua itu....
biarlah kita mati dalam ISLAM walaupun tidak mati dalam PAS...
Sdra Kakiku!
Bukan buruk sangka tetapi hakikat. Yang berlaku saya yang tanggung, mana mungkin Sdra lebiuh tahu dari apa yang saya tahu.
Mungkin kerana anda sentiasa bermain dengan buruk sangka, maka Sdra membuat andaian saya pemburuk sangka walaupun anda tidak tahu duduk perkara.
Sdra Anonymous October 12, 2010 11:23 PM!
Saya kenal lada pahit dan sering gunakan bagi mengubat mereka yang mengidap kencing manis dan darah tinggi. Saya akan gunakannya. Sebelum ini saya tidak tahu saya pun ada penyakit. Dalam usia 54 tahun sekarang, saya belum pernah sakit teruk, belum pernah terpaksa masuk ward dan badan saya bebas dari sebarang suntikkan.
Saya hormati sdra yang tidak bersetuju dengan saya. Maknanya anda seorang yang menggunakan kepala, bukannya kepala lutut. Macam mana hakikat dan natijahnya apa yang dilakukan di dunia kena ada hubungan dengan akhirat, tidak boleh dipisahkan.
Sdra John!
????????????????????
Tapi ada yang tahu apa yang saya kata tak manis untuk saya catatan. Ada hamba-Nya, pendukung dan penyokong Pas sedang menanggung dan mengumpul dosa besar kerana salah ditarbiyah dan didakwa. Jika keadaan ini berteruskan seluruh pimpinan, pendukung dan penyokokng Pas Kelantan khususnya akan berdosa. Membetulkan keadaan adalah merupakan tuntutan fardu kifayah. Saya secara peribadi sedang berusaha bagi tujuan sekadar yang termampu.
Kukjariku!
Terima kasih atas nasihat anda. Insyallah saya akan bersabar dan reda dengan segala ujian-Nya. Kalau sampai ajal saya, saya tidak mahu mati atas nama ahli Pas atau Umno atau apa-apa parti politik sekali pun. Saya mahu mati sebagai seorang Islam, seorang yang beriman dan bertakwa, malah kalau boleh biarlah semua yang telah mati, yang sedang hidup dan akan lahir, semuanya mati dalam Islam, dalam iman dan takwa.
Post a Comment