Tuesday, November 23, 2010

CERPEN TERBARU/1(11)/10

Tebus talaq
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk

ANTARA tiga puluh satu juta dengan tiga puluh satu sen, yang mana satu lebih patut dipilih?

Kalau tidak dituntut bermakna dia menolak tawaran dan peluang yang dibuka oleh hukum hakam.

"Bila bini minta cerai dan laki tak bersedia untuk bercerai, laki dibolehkah minta tebus talaq" isi kuliah pengkuliah yang memberi Kuliah Maghrib di masjid tempat dia rutin sembahyang berjemaah tertayang pada layar benaknya dan terngiang-ngiang di telinganya.

Kebetulan pengkuliah memberi kuliah tentang pengurusan rumahtangga dan hak-hak sebagai laki dan bini.

Secara kebetulan pula dia sedang menghadapi masalah rumahtangga, ikatan perkahwinan yang sudah mencecah usia tiga puluh satu tahun mungkin terurai, terlerai dan berkecai.

Bininya hilangkan diri, sudah hampir dua bulan lamanya tidak ada khabar berita. Tidak pulang ke rumah dua tiga hari atau seminggu sudah biasa kerana kesibukkan tugas parti politik yang dianuti, yang kononnya boleh menjamin syurga kepada pendukung dan penyokong. Tapi bila sudah berbulan-bulan tidak nampak muka, tidak jenguk laki dan anak cucu, ianya sudah jadi agak luar biasa.

Apabila menerima surat dari mahkamah syariah yang memintanya hadir bagi perbicaraan permohonan cerai dari bininya beberapa hari lepas, barulah dia tahu duduk perkara kenapa bininya tidak pulang ke rumah dalam tempoh masa yang begitu lama.

Sah bininya memilih politik yang dianuti berbanding dengannya sebagai laki serta anak cucu. Barangkali kerana dia tidak pernah janjikan syurga untuk bininya seperti yang dijanjikan oleh pimpinan parti politik yang dianutinya.

Dia tidak halau, malah tidak ada sebarang pertengkaran berlaku, tiba-tiba isterinya hilangkan diri.

Kerana itu sepanjang kehilangan bininya dia tidak cuba mencari dan mengesannya. Pergi tidak dihalau, pulang tidak dihalang, pandai pergi pandailah kembali adalah prinsip yang menjadi pegangannya.

Dia tegar berpegang perinsip hidup walau pun nilainya kepada bininya, juga kepada jamaah parti yang dianuti bininya, dirinya sebagai laki dan sebagai seorang manusia lebih rendah dari anjing kurap buruk kepala, gara-gara tidak berfungsi melabakan pendukung dan penyokong parti yang dianuti.

Cuma yang dilakukannya adalah berdoa supaya dosa bininya diampuni Allah kerana tinggalkan rumah, kerana abaikan laki dan anak-anak, yang mana kalau bininya nampak kelih, serta merta dia akan jadi lembik siku lutut, tetapi kerana dosa itu adalah antara barang ghaib yang wajib dipercayai tetapi tidak nampak kelih dengan mata kasar, barangkali kerana bisikan dan godaan syaitan dan iblis, kebanyakan berwajah manusia yang pakai purdah pakai jubah, bininya tidak rasa gerun pun, malah tidak rasa bersalah dengan apa yang dilakukannya, sebaliknya merasa gah kerana meletakkan lakinya dalam keadaan tidak mampu berbuat apa-apa dengan tindakannya.

Ada yang kata, yang hantar pesanan ringkas, kononnya bininya yang aktif sebagai muslimat dalam sebuah parti politik yang kononnya perjuangannya berteraskan Islam, berpasak-paksikan rujukan al-Quran dan Hadis sedang mabuk asmara dengan seorang muslimin dari parti yang sama.

Muslimat yang sudah bersuami dan muslimin yang sudah beristeri boleh mabuk asmara?
Tak mungkin.
Mustahil.
Karut!


Kalau benar berlaku maka, kelas muslimat bininya dan muslimin yang ikut sambar apa yang melintas di hadapan, membujur lalu melintang patah hanyalah bersifat bermake-upkan status mislimat dan muslimin, malah ada unsur-unsur menipu Allah menggunaan nama perjuangan Islam walhal hakikat sebenarnya mereka adalah syaitan dan iblis yang maha celaka lagi laknat. Muslimat dan muslimin yang demikian perilakunya layak mati dipanah petir.

Itu kata hatinya.

Kalau ada di kalangan pendukung dan penyokong politik yang kononnya perjuangannya dan pendekatan berpolitik berasaskan sekularisme barangkali tidak mustahil boleh belaku kes sebegitu tetapi untuk pendukung dan penyokong parti politik yang konon perjuangannya kerana Allah dan Rasul-Nya, kekejian itu tidak mungkin berlaku.

Kesucian, prestasi dan reputasi parti kena dipelihara oleh setiap jamaah. Susu sekawah boleh rosak oleh setitik nila.

Justeru dia tidak percaya dan tidak ambil kisah dengan pesanan-pesanan ringkas yang dihantar oleh pengirim yang menyembunyikan identiti yang baginya pengecut dan dayus lagi bacul dan bahlol serta bangang walaupun dia dituduh bacul, bahlol dan bangang kerana masih belum ceraikan bini yang sudah rosak kualiti kebinian.

Lagi pun bininya sudah masuk dalam bilangan warga emas, tidak mungkin ada jantan yang pecah lior, kecuali jantan yang ada kerosakkan mental, yang boleh bertukar antara warna hijau dengan biru, antara rambut dengan bulu.

Padanya pesanan-pesanan ringkas yang diterima adalah fitnah ciptaan kalangan yang dengki dan irihati dengan pencapaian bininya, yang mahu meleburkan prestasi dan reputasi bininya yang tidak pernah memberi nilai kepada keringat dan air mata yang tumpah untuk parti, yang sentiasa diiringi dengan doa dan restunya sebagai laki.

"Bini yang mufarakah dari mentaati laki, yang keluar rumah tanpa izin laki hidup dalam keadaan celaka dan laknat" tambah pengkuliah, seorang pensyarah dari sebuah pusat pengajian tinggi tempatan membuatkan dia tersentak dari lamunannya.

"Titisan airmata dukacuta dan kecewa seorang laki adalah bara-bara api neraka buat seorang bini. Sebaliknya titisan airmata gembira dan terharu seorang laki adalah merupakan wangian semerbak kasturi ditaman-taman syurga bagi seorang bini" tokok pengkuliah.

"Besar dan agungnya kuasa sebagai laki, walaupun ibu bini sedang sakit tenat sekali pun, berdosa besar bagi bini yang pergi menziarahi ibunya tanpa terlebih dahulu meminta dan mendapat izin laki. Syurga anak-anak di bawah telapak kaki ibu, syurga bini pula di bawah telapak kaki laki" tokok pengkuliah itu lagi.

"Subhanallah, astaghfirullahal-azim" ucapnya untuk dirinya sendiri.

Alangkah rendahnya nilai dan kualiti keisterian bininya selama ini.

Keluar rumah tak pernah minta izin, apatah mendapatkan izinnya.

Seringkali ketika larut malam didapati bininya tidak ada di rumah dan ditanya pada anak-anak ke mana ibu mereka pergi, jawab klisenya ialah ibu mereka pergi mesyuarat parti.

Terpaksalah dia yang menggunakan kepakaran yang dimiliki ala kadar memasak apa yang patut untuk anak-anak yang kelaparan kerana belum makan.

Malah bukannya ketika ibu bininya, mertuanya sakit bininya ziarah tanpa meminta dan mendapat izinnya tetapi pernah ketika dia sakit, bininya boleh tinggalkan rumah kerana urusan parti dan dia terpaksa telefon adik iparnya datang membantu membawanya ke klinik.

Berminggu lamanya bininya tidak balik ke rumah kerana menyertai aktiviti parti walaupun ketika itu dia sedang sakit. Setelah dia pulih, baru bininya balik.

Ketika ibu bininya, mertuanya sakit pun kalau pada waktu yang sama kebetulan bertembung dengan aktiviti parti, bininya akan memilih aktiviti parti dari menziarahi dan menjaga ibunya yang sakit.

Pimpinan parti bagi bininya lebih menjaminkannya syurga berbanding dengan lakinya.
Apa sangatlah seorang laki yang hanya sekadar belajar setakat empat thanawi tahu tentang hukum hakam, apatah lagi untuk menjamin akan membimbingnya ke syurga, berbanding dengan pimpinan parti yang nilai serbannya sahaja sudah jauh lebih tinggi dari nilai lakinya.


Justeru bininya lebih rela menderhakai, memperlekeh, mengabai dan membelakangi laki dari pimpinan parti kerana syurga bagi bininya tidak mungkin terletak di bawah telapak kaki seorang lelaki yang jahil walaupun ianya seorang suami, tetapi tidak mustahil syurga berada di bawah telapak kaki, dalam jubah, dalam serban, dalam janggut, dalam genggaman kalangan yang alim seperti pimpinan parti yang didukung dan disokong.

Segala ayat, segala hadis yang menunjukkan tentang kelebihan laki, laba dan jaminan mudah syurga kerana bini mentaati laki tidak diambil peduli, yang penting bagi bininya aktiviti jamaah jangan sangkut, kena sentiasa licin dan lancar, segala arahan dan fatwa pimpinan parti kena dianggap dan mesti diterima sebagai suci yang tidak boleh diingkari.

"Walaupun perceraian sangat dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, jika bercerai adalah lebih baik kepada laki atau bini, maka ceraikanlah. Pun begitu kena cerai dalam keadaan halal. Jangan dalam keadaan marah. Pastikan bini dalam keadaan suci. Semolek-moleknya jangan cerai. Ambil kira hati dan perasaan anak-anak. Jangan ikut rasa nak bergalak, seksok kena tohok dalam neraka" sekali lagi dia tersentak dari lamunan oleh kuliah pengkuliah yang menag anak Kelantan jati yang tidak dapat mengelak dari menggunakan loghat negerinya.

"Bila bini minta cerai, sedangkan laki tidak berhajat bercerai, hak laki adalah minta tebus talaq"
Dalam mahu mendapatkan hak tebus talaq itulah yang menjadikannya keliru. Pengkuliah tidak memberi garis panduan tentang jumlahnya.


Sebanyak mana nilai tebusannya?

"Berapa tahun mu dengan binimu jadi laki bini?" tanya rakan akrabnya ketika dia meminta pandangan bagi selesaikan kemelut yang meruntun jiwa dan fikirannya.
"Tiga puluh satu tahun. Ada enam anak dan cucu pun dah nak masuk tujuh"
"Kalau nilainya sejuta setahun, mu minta tiga puluh satu jutalah"
"Gilamu"
"Aku tak gila. Binimu gilanya. Tua-tua kerepot nak erai berai"
"Mana dia ada duit sebanyak tu?. Aku rasa kalau bukan kawin dengan aku, sekarang ni dia masuk bandar pun mungkin akan macam rusa masuk kampung. Mungkin sekarang ini dia akan jadi penoreh getah. Dia tak akan jadi glamour macam sekarang"
"Kalau dia tak ada duit sebanyak tu, tak 'kan dia sanggup minta cerai. Bini dilarang minta cerai. Mungkin dia rasa dia mampu nak bayar harga dosanya kerana derhakakan laki. Tiga puluh satu juta bukannya besar kalau nak dikira nilai dosa yang kena ditanggung dengan dia meminta cerai tu"
"Gila...gila..gila"
"Orang parti politik yang binimu dok sokong, yang binimu dok sumbang bakti matia-matian tu pun sama-sama gila. Mungkin melalui ceramah dan rapat umum dengan ditadah uncang berlambang parti dan kopiah, sebagai jamaah mereka akan dapat mengumpul sejumlah wang bagi membayar denda untuk binimu tidak dinerakakan kerana dosa derhakakan laki"
"Dosa mana boleh dibayar dengan denda, mana boleh dibayar dengan pitih-mas dan harta benda?"
"Ikut hukum hakam tak boleh, tapi ikut pimpinan parti yang binimu sokong, yang binimu kerja mati-matian untuk kepetingan jamaah kononnya, mungkin boleh. Kerana itu binimu sanggup derhaka, sanggup abaikan tanggungjawab sebagai bini dan ibu demi parti"
"Pasal ni aku mengaku jahil. Yang aku tau, di akhirat segala harta benda sudah tidak ada nilai"
"Memang betul pun begitu. Bagi yang nakkan syurga, bini yang matinya harapkan syurga jangankan nak minta cerai, sakitkan hati laki pun akan dielakkan. Bukankah di tempat tidur, bini nak paling belakang kerana tidak tahan lenguh pun kena minta izin dan kena terima izin laki dulu"
"Begitulah yang ustaz aku ajar dulu"
"Kerana itu aku kata binimu kaya dan dia rasakan boleh bayar untuk tebus segala dosanya di akhirat nanti. Kalau tidak dia tidak akan berani buat apa yang telah dia buat. Oleh itu tuntutan tebus talak tiga puluh satu juta bagi aku tak mahal, satu jumlah yang mampu binimu bayar kerana kekayaan yang dimilikinya"
"Kau macam menyindir bini aku"
"Lu fikirlah sendiri. Gua cau dulu" rakannya berlalu pergi, meninggalkan dia yang secara kebetulan terpaksa menjawab panggilan apabila ada getaran telefon genggamnya menandakan ada panggilan masuk.


"Saya dah fikirkan" suara lemak merdu yang memang sangat diarifi milik siapa itu menimbulkan rasa segar baginya sebagai seorang jantan yang walaupun ada dakyah tersebar kononnya bininya lari kerana dia mengalami masalah lemah tenaga batin kronik, namun dia yakin tenaga kejantannya tetap matanp dan unggul.

"Saya rasa apa yang saya fikirkan adalah yang terbaik" tokok pemilik suara itu yang telah menawarkan kesediaannya untuk menggantikan tempat bininya, untuk menjadi ibu sejati walaupun bertaraf ibu tiri kepada anah-anaknya atas alasan dia mandul dan tidak mungkin akan dapat beranak.

"Apa yang awak fikirkan. Saya belum cerai. Kita tak boleh tetapkan tarikh perkahwinan kita lagi. Terima kasih atas simpati awak tetapi perkahwinan tidak boleh dibina atas rasa simpati. Saya ada anak, saya kena dapatkan persetujuan mereka. Saya tidak mahu anak-anak musuhi saya. Anak-anak adalah harta bagi saya"
"Saya bukan nak paksa awak kawini saya. Segila dan sesimpati mana pun saya pada awak, kalau awak tak nak kawin dengan saya yang macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong ni, saya tak akan dapat jadi bini awak. Saya bukan nak cakap pasal tarikh kawinlah"
"Habis?"
"Pasal tebus talaq"
"Awak pun cadang suruh bini saya bayar tiga puluh satu juta?"
"Tiga puluh satu juta?"
"Bini saya tak ada duit sebanyak tu. Tiga puluh satu ribu pun tak ada. Kalau tiga puluh satu ringgit mungkin ada"
"Sapa kata saya cadang tebus talak sampai puluh-puluh juta"
"Habis berapa?"
"Saya cadang tiga puluh satu sen"
"???????????????"
"Satu sen setahun untuk tempoh tiga puluh satu tahun perkawinan awak dengannya. Adil 'kan. Tak 'kan bini awak tak boleh bayar"
"Itu menghina namanya tu"
"Hakikatnya bini yang minta cerai dari laki mana ada mulianya?"
Diam.
"Bini yang izinkan laki amal poligami lagi mulia, dijanjikan Payung Siti Fatimah di akhirat nanti. Tidak ada apa yang dijanjikan keistimewaan kepada bini yang minta cerai selain dari kecelakaan dan kelaknatan"
Terus diam.
"Bagi saya nilai bini awak tu tidak lebh dari tiga puluh satu sen kerana sikap dan perbuatannya tu"


Dia terus termanggu.
Dia keliru berapa nilai tebus talaq yang patut dituntut.
Tiga puluh satu juta atau tiga puluh satu sen?


Dalam mencari lojik dan tidak lojiknya dua nilaianya yang berbeza, masa silam bininya tertayang kembali pada layar ingatannya.

Demi kerana rasa kesian, demi kerana simpati, dia memilih menikahi bininya dan terpaksa memutuskan pertunangan dengan seorang gadis yang amat mencintainya.

Kekayaan tunangnya menjadikan dia rasa tunangnya akan mudah dapat penggantinya walaupun ikatan pertunangan diputuskan, di samping tunangnya mempunyai pegangan agama yang kukuh kerana dia anak gadis seorang pak imam.

Bila dijelaskan tujuannya kenapa kena memilih bininya sekarang, bini yang sekarang lari meninggalkannya, tunangnnya itu dengan penuh rela menerima pertunangan diputuskan, malah sanggup mendoakan kesejahteraan dia dan gadis miskin yang dibesarkan dibawah asuhan bapa tiri menjadi bininya manakala antara dia dengan tunangnya akan tersimpul kemas tali persaudaraan.

"Satu perkara yang perlu dijadikan ingatan, sikap terlalu baik abang nanti akan memakan diri apabila keluhuran hati budi abang gagal dinilai oleh pandangan mata berkacamatakan syaritan, bagi hati yang berajakan syaitan, bersultankan iblis dan bagi akal yang dikuasai syaitan dan iblis" ungkapan keramat yang diucapkan tunangnya kira-kira tiga puluh satu tahun yang lampau kini menjadi kenyataan.

Kini bininya sudah menunjukkan belang sebenar walaupun asalnya bini yang menjadi ibu kepada enam anaknya dan menjadi nenek kepada enam cucu dan bekal menerima kelahiran cucu ketujuh, ibarat seketul batu yang terendam dalam air limbah, diambil, dibasuh dan digilap. Bila sudah ada nilai, sudah hilang bau limbah yang memualkan dan ramai yang terpesona dengan gemilau cahayanya, tangan yang menggilapnya selama ini pula cuba dilumur tahi.

Pun begitu dia tidak akan berhenti jadi baik kerananya. Prinsip tidak boleh mengaku wali tetapi kena berusaha untuk mewalikan diri akan terus dipegang kejap. Dia bersedia untuk air mata lelakinya tumpah membasahi bumi kerana berkecil hati dengan penghinaan yang diterima oleh angkara bininya tetapi dia tidak sanggup ketawa dan riang ria di dunia tetapi akan menangis, meratap dan sengsara di akhirat.

Kalau gara-gara angkara bininya memudahkan dia ke syurga, dia akan bersyukur dengan penghinaan terhadapnya oleh bininya.

Demi sayangnya yang tidak pernah luak pada bininya, dia tidak akan lupa berdoa hingga ke hujung nyawa, semuga Allah ampuni segala dosa besar dan dosa kecil serta mensyurgakan bininya kerana kalau pun bininya merasa tidak layak untuk ke syurga bersamanya kerana darjat dan mertabat bininya lebih tinggi darinya dari mendapat jaminan syurga dari pimpinan parti yang dianuti, biarlah bininya akan masuk syurga bersama anak-anak cucunya!

2 comments:

Anonymous said...

Amat mengesankan dan menyentuh perasaan. Moga muslimat parti berkaitan mohon taubat dari Allah dan menyegerakan doa keampunan kalau dia orang Islam. Melainkan dia orang kuat parti dan meletakkan parti lebih kehadapan berbanding dengan Islam. Moga gurunya dipanjangkan umur untuk bertaubat.

Anonymous said...

ujian di hujung usia ni berat. tetapi pejuang sebenar akan terus tabah. kesabaran menjanjikan kehidupan suami begini akan lebih baik pada masa depan. ingat. Buat baik berpada-pada.