Wednesday, November 10, 2010

MUNCUL KEMBALI (848)

Air: 17 tahun atau 170 baru selesai?

SEBAGAIMANA sukar untuk percaya masih ada lagi keluarga di Kampung Pauh Dalam, Pengkalan Chepa, Kelantan, yakni keluarga Yusuf Wahab tinggal di dalam reban ayam dan untuk masuk ke dalam rumah kena melalui proses merangkak (lihat laporan muka 15, Utusan Malaysia 5 Julai), barangkali sukar kepada mereka yang tidak pernah mengalami sendiri pengalaman betapa rakyat Kelantan menghadapi masalah air kronik, untuk mempercayai hakikat dan hakiki apa yang telah, sedang dan akan berlaku.


Pasti tudingan dihalakan ke arah Umno atau apa yang dilabelkan sebagai pengkhianat serta musuh Kerajaan berslogankan Membangun Bersama Islam, kononnya sengaja mereka-cipta cerita bagi memburukkan kerajaan berkat terajuan pemimpin keramat tanpa takutkan laknat.

Penulis atau media yang melaporkannya akan dianggap sebagai alat dan diperalatkan Umno.

Setelah kira-kira 20 tahun memerintah dan pengurusan air telah bertukar tangan daripada Kelantan Water Sdn Bhd (KWSB) yang mengaut laba mudah berpuluh juta ringgit kepada Air Kelantan (AKSB) yang telah menerima bantuan sebanyak RM500 juta dari pusat lama dulu, masalah air masih terus kronik dan adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila masalah itu dikatakan hanya akan selesai dalam tempoh 17 tahun akan datang.

Tempoh masa itu dijelaskan dalam persidangan dewan undangan negeri oleh exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal penyediaan dan pengendalian kemudahan asas kepada rakyat.

Kalau 17 tahun lagi bermakna akan mengambil masa tiga kali pilihanraya umum, baru masalah air akan diatasi.

Soalnya untuk tempoh selama itu, apakah kerajaan yang ada sekarang akan masih memerintah Kelantan.

Kalau melihat kepada rekod masa lalu, saya secara peribadi tidak yakin masalah air di Kelantan akan mampu di atasi dalam tempoh 17 tahun, malah kalau 170 tahun lagi pun belum tentu akan dapat diselesaikan, termasuk masalah air berkarat dan muncung paip hanya keluar angin tetapi bil tetap kena dibayar setiap bulan.

Sebelum ini pihak AKSB pernah menegaskan bahawa masalah bekalan air akan dapat diatas pada tahun 2004 tetapi tahun 2004 telah pun tujuh tahun berlalu pergi tetapi bukan sahaja masalah air bersih gagal di atasi, banyak kawasan yang masih kekal dengan masalah kepala paip hanya keluar angin atau pun hanya keluar air macam jantan kencing dedas.

Mereka yang berkemampuan bertindak membina telaga tiup yang kualiti airnya tidak dapat dipastikan bersih atau tidak.

Pun begitu airnya lebih jernih jika dibandingkan dengan air bekalan AKSB yang berkarat, sehinggakan kalau membasuh pakaian berwarna putih ianya akan bertukar warna menjadi kekuning-kuningan, tidak putih bersih sebagaimana sepatutnya.

Pada hakikatnya bukan semua rakyat Kelantan menerima kemudahan bekalan air paip di Kelantan, sebaliknya hanya 70 peratus sahaja daripada kira-kira 1.5 juta penduduk yang menerima kemudahan itu.

Kebanyakannya pula hanya menerima bekalan dalam bentuk pemasangan batang paip tetapi belum tentu muncung paip pacut keluar air, kalau ada pun bukannya sepanjang masa, cuma kadang-kadang dengan airnya pula berkarat.

Peratus penduduk penerima bekalan air itu dinyatakan sendiri oleh exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal penyediaan dan pengendalian bekalan air pada pihak media pada 4 Julai lalu.

Yang pasti masalah air tidak ada sepanjang masa ini bukannya masalah kepada pengguna yang jaraknya jauh dari punca pembekalan, tetapi dalam jarak yang sangat dekat, termasuk Masjid Telipot dan Masjid Kampung Sireh.

Di rumah saya sendiri yang jaraknya tidak sampai lima minit berjalan kaki dari punca air di Kampung Putih, banyak masa paip tidak berair dari berair.

Paling teruk di kawasan Panji, terutama di kawasan perumahan kastam Desa Kujid di samping anyak lagi kawasan yang mengalami masalah yang serupa pada setiap jajahan, daerah, mukim dan kampung.

Sepatutnya exco terbabit turun sendiri ke lapangan dan kumpulkan maklumat tanpa terlalu percayakan laporan serba molek penuh bodek dari AKSB.

Merujuk kepada keadaan di sekutar rumah saya, bila ASKB suruh tukar batang paip daripada besi yang kononnya berkarat kepada PVC misalnya, batang paip rumah saya dah pun ditukar dari batang besi kepada pvc kerana ikut cadangan AKSB tetapi bekalan air tetap tidak semnpurna, malah airnya masih jugak berkeladak.

Bekalan air di Masjid Telipot dan Masjid Kampung Sireh misalnya, bergantung kepada air yang di'BORING'. Kalau harapkan bekalan air kerajaan, setiap waktu ahli jemaah terpaksa bertayamun kerana tidak ada air untuk berwuduk, terutama pada hari Jumaat.

Soalnya kenapa setelah urusan pembekalan air bertukar tangan dari KWSB kepada AKSB yang berbangga dengan telaga-telaga binaannya, masalah bekalan air masih juga berlaku?
Apakah tidak dikhuatiri nanti apa yang berlaku akan dilihat sebagai sebahagian dari kegagalan kerajaan.


Juga apakah AKSB tidak bimbang kegagalannya akan menjadi antara punca kepada kejatuhan Kerajaan berslogan Membangun Bersama Islam pada pilihanraya umum ke-13 nanti?

1 comment:

boysepang said...

17 tahun terlalu lama, itu menunjukkan ketidakupayaan yang serius... ini bkn komen politik tp itulah hakikatnya...