Basahkan sejadah dengan air mata keinsafan sempena Maal Hijrah
KINI kita berada pada awal bulan Muharam yang merupakan bulan pertama dalam kelendar Hijrah yang sudah mencecah angka 1432.
Syukurlan kerana sekali lagi kita berpeluang menyambut tahun baru Hijrah. Mungkin ini adalah bulan Muharam dan tahun Hijrah terakhir bagi kita kerana kita akan berdepan dengan penyakit wajib yang tidak boleh diubati, yakni penyakit mati.
Kalau pada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Puasa kita dituntut bergembira setelah merdeka dari tuntutan wajib berlapar dan dahaga selama sebulan bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji pula kita dituntut supaya berkorban, maka kedatangan tahun baru Hijrah ini adalah untuk kita sedar dan insaf bahawa masa untuk kita ke liang lahad semakin dekat.
Mengingati mati adalah suatu ibadah dan meningkatkan kualiti iman dan takwa juga adalah ibadah yang sangat dituntut, malah ilmu untuk menjadi lebih beriman dan bertakwa itulah yang diminta dituntut dari buaian hingga ke liang lahad.
Tanpa ingatkan mati, kita akan dilanda pelbagai penyakit haloba, tidak akan rasa takut berbuat dosa, tidak akan takut menderhakai keddua ibubapa atas sifat kita sebagai anak, tidak takut menderhakai suami bagi kita sebagai isteri, kita tidak takut memberi dan menerima rasuah serta pelbagai kemungkaran lagi.
Tahun Hijrah adalah didasarkan tarikh penghijrahan Rasulullah s.a.w. dari Kota Mekah setelah 13 tahun lamanya mengembangkan syiar Islam dengan serba payah di Kota kelahiran baginda ke Madinah atau nama asalnya Yasrib yang terbukti telah memudahkan tugas-tugas kenabian dan kerasulan baginda. Madinah tempat penghijarah baginda jugalah menjadi tanah kubur baginda.
Hijrah bagi Rasulullah s.a.w. adalah kejayaan. Apa yang Rasulullah s.a.w. buat termasuk berhijrah adalah yang terbaik dan tersempurna untuk diteladani. Kalau kita gagal dalam sesuatu usaha, kita kena menteladani Rasulullah s.a.w. dengan berhijrah dari kegagalan untuk membina kejayaan, termasuk barangkali kena berhijrah dari tempat pemastautinan kita sekarang ke tempat baru.
Kalau kita jahil, kita kena berhijrah dari kejahilan dengan mencari guru untuk belajar jadi alim, kalau kita bergelumang dengan dosa besar atau kecil kita kena berhijrah kepada kehidupan yang mendatangkan pahala termasuklah kena pastikan dari amalan sembahyang sendirian di rumah kepada sembahyang berjemaah di masjid.
Kedatangan tahun baru Hijrah itu sendiri bukan bertujuan untuk menggalakkan kita berseronok dengan pesta-pestaan menyambut kedatangannya serta penganugerahan Tokoh Maal Hijrah tetapi ianya ada unsur-unsur falsafahnya yang memerlukan ilmu dan maklumat untuk memahami dan menyelaminya.
Semuga kedatangan tahun baru Hijrah kali ini yang meupakan tahun 1432 yang sekali gus menandakan sudah 1445 tahun Islam diturunkan kepada manusia jika didasarkan kepada tarikh kerasulan baginda Rasulullah s.a.w. pada 17 Ramadhan bersamaan dengan 6 Ogos 610 Masehi akan menjadikan kita semakin faham dengan konsep dan falsafah tahun baru Hijrah itu sendiri.
Barangkali kita kena tanya apakah kita hidup di dunia ini dalam keadaan dihalalkan oleh pemunya-Nya pada tahun-thaun Hijrah yang telah lepas dan apakah persediaan kita untuk berhijrah dari kemungkinan hidup dalam keadaan tidak halal kepada halal pada tahun baru Hijrah kali ini yang kita masih diberi peluang berada di atas muka bumi milik Allah ini.
Yang paling penting dan paling utama kita kena pastikan sempena kedatangan tahun baru Hijrah kali ini tahap keimanan dan ketakwaan kita yang tidak berkualiti dan segala dosa yang telah kita lakukan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja pada tahun-tahun Hijrah sebelum ini telah diampuni-Nya ekoran dari usaha kita bertaubat nasuha tanpa henti dengan sering membasahkan sejadah dengan air mata keinsafan.
Jika dengan kedatangan tahun baru Hijrah yang sekali gus angka usia kita bertambah, tetapi kualiti iman dan takwa kita kekal pada tahap lama juga atau akhlak, moral dan darjah kekemarukkan serta keketagihan kita beribadah dan mengabdikan diri kepada-Nya makin merosot, maka kita adalah merupakan antara hamba-Nya yang sangat malang.
Tuesday, December 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Marilah kita sama-sama berhijrah dari PR yang rosak lagi merosakkan itu kepada BN yang mulai melakukkan perubahan sepertimana tuntutan rakyat.Mereka cakap berbelit-belit. Kalau dulu peribahasa ada menyebut " cakap berbelit bagaikan ular" tapi sekarang pepatah melayu menyebut
"cakap berbelit-belit macam nik Aziz". Selamat berhijrah.
Post a Comment