Thursday, February 10, 2011

CERPEN 1(1)/2011

Pusara Tanpa Nesan
oleh
RAMLI ABDUL HALIM
meli_industry@yahoo.co.uk

DEMI pengorbanan yang sangat dituntut dalam perjuangan, Norhakimin Habibullah telah melakukannya dan tetap reda hingga ke hujung nyawa dengan apa yang dilakukannya walaupun dia sendiri akhirnya terkorban dan dikorbankan.

Biar pun seisi alam kemurungan dan bermuram durja lagi durjana dan meratapi keterkorbanannya, namun dia tetap selamba, tetap ceria dan reda, tetap rela dan bersahaja.
Baginya seorang pejuang mesti berjiwa besar, perlu tegar berdepan dengan ujian, dengan hakikat keperluan berkorban demi perjuangan. Para anbia' adalah golongan yang paling banyak berdepan dengan ujian, yang paling banyak melakukan pengorbanan.


Nabi Allah Ibrahim a.s. sanggup, reda dan tidak membantah atau terkilan apabila menerima perintah berkorban dengan menyembelih anak lelaki baginda, Nabi Ismail a.s, malah Nabi Ismail a.s. sendiri reda dikorbankan.

Para sahabat Rasulullah s.a.w. yang kaya raya sanggup papa kedana kerana harta benda dikorbankan untuk perjuangan menyibarkan syiar Islam. Jelas lagi jilah pengorbanan adalah sangat dituntut dan sangat mulia dan dimuliakan.

"Kepada orang lain mungkin tindakan aku dianggap satu kemelampauan kalau pun bukan dianggap satu kegilaan, kedayusan, kesewelan, kebahlolan dan kebangangan" akui Norhakimin jujur, telus dan tulus, mengiyakan pandangan sahabat akrabnya, Munir.

Dia adalah antara pengkagum para nasionalis yang telah berkorban demi kepentingan agama, bangsa dan negara sehingga mereka dilabel sebagai anasir subversif dan terpaksa menjadi penghuni bumi asing walaupun negara sudah merdeka, malah untuk masuk ke negara tumpah darah yang dipertaruhkan darah dan nyawa untuk kemerdekaan, para nasionalis yang dilabel sebagai anasir subversif kena guna pasport atau pas sempadan.

"Aku setuju"
"Apanya yang kau setuju?"
"Bahawa perjuangan memerlukan pengorbanan"
"Bukan perjuangan namanya tanpa pengorbanan"


Munir melepaskan keluhan berat. Airmata lelakinya gagal dibendung dari terus mengalir.

"Kerana itu aku telah berkorban bagi memenuhi keperluan dan tuntutan mutlak dalam perjuangan"
"Dengan mewakafkan isterimu?"
"Antaranyalah. Mewakafkannya untuk kerja-kerja parti, bukannya diwakafkan supaya isteri aku dikerjakan"


Munir membisu dan cuba menahan tangis.

"Sebelumnya sudah banyak juga harta benda, masa dan tenagaku yang telah aku korbankan"
"Kau sanggup masak sendiri untuk makan minum kau dan anak-anak"
"Kebetulan aku minat masak"
"Kau sanggup basuh kencing-berak anak kecil kau"
"Aku sukakan budak-budak"
"Kau sanggup biarkan isteri kau keluar rumah tanpa tentu masa dan kau tidur tergolek seorang diri"
"Kebetulan aku bukan lelaki yang kemaruk dan ketagih aksi ranjang. Tanpa isteri di sisi, aku tetap mampu tidur lena, tak perlu letak tangan atas berus sabut macam sesetengah lelaki"
"Jarang ada lelaki macam kau"
"Aku tak pernah jadi orang lain. Aku hanya mau jadi aku"
"Kau boleh redakan isterimu utamakan kepentingan parti politik dari kepentingan rumahtangga"
"Aku reda dan rela sekali gus"
"Kau tak patut wakafkan isterimu untuk aktiviti-aktiviti parti dan mengkategorikannya sebagai pengorbanan yang menjadi keperluan dalam perjuangan"
"Apa lagi milikku yang aku sayangi yang aku ada dan boleh dikorbankan bagi memenuhi keperluan tuntutan perjuangan?"
"Kau patut berpada-pada dalam berkorban"
"Bukankah mengorbankan apa yang paling kita sayangi untuk perjuangan, ianya akan lebih bermakna, lebih afdal sebagaimana afdalnya kita bersedekah barang yang paling kita sayang, yang paling berharga di antara yang berharga"


Munir termanggu, terkedu dan terharu dengan pengorbanan Nurhakimin kepada parti yang disokong dan didukung, pengorbanan yang tidak sanggup dilakukannya yang jauh lebih banyak menikmati faedah dan tuah walaupun pengorbanannya tidak sebanyak mana, apatah lagi sampai mewakafkan isteri untuk aktiviti parti.

Paling memilukan, Nurhakimin kini kehilangan isteri, sekali gus menjadi sasaran kebencian anak-anak, sasaran kutukan cucu-cucunya kerana memberi talaq kepada isterinya, kepada ibu bagi anak-anaknya, nenek kepada cucu-cucunya.

Kini Nurhakimin menjadi duda tua yang terpaksa menjadi bapa dan ibu kepada anak bongsunya yang masih kecil. Pun begitu Nurhakimin masih bersedia untuk terus berkorban demi memenuhi keperluan perjuangan.

Yang minta cerai, yang membuat permohonan cerai melalui mahkamah syariah, lengkap dengan sebab dan hujah yang bagi Nurhakimin sebagai sangat munasabah adalah isterinya. Dia hanya memenuhi tuntutan isteri yang baginya adalah juga antara pengorbanan yang dituntut dalam perjuangan.

Nurhakimin sanggup korbankan perasaan, harga dan maruah diri atas nama berkorban untuk perjuangan kerana ada lelaki lain yang merasa lebih layak menjadi suami kepada seorang pejuang, petugas parti yang gigih lagi ketagih serta kemaruk dalam mendukung perjuangan, lelaki sebagai suami yang boleh menjadikan isterinya, kini bekas isterinya, akan mudah masuk syurga.

Selain dari mengalami kejutan budaya, isterinya sendiri memperakukan dengan bangga kepadanya, ada lelaki lain yang lebih berbudi kepadanya, kepada anak-anak dan kepada cucu-cucunya berbanding dengannya yang berkongsi hidup selama tiga puluh satu tahun tanpa sebarang budi dan bakti.

Dia tidak pernah, malah tidak mungkin akan memberi kemewahan yang dinamakan budi oleh bekas isterinya kepada isteri, anak-anak dan cucu-cucunya kerana dia tidak pernah ada kemampuan untuk itu. Bekas isterinya memerlukan kehidupan yang mewah sejajar dengan kehebatannya sebagai pejuang dan petugas parti terbilang, berbanding dengannya yang serba terbuang.

"Dakwaan bekas isteriku betul, Munir. Aku tak pernah berbudi kepadanya, kepada anak-anak dan cucu-cucu kami. Aku menjadi suami, bapa dan datuk yang menyusahkan isteri, anak-anak dan cucu-cucuku. Aku menjadi suami, bapa dan datuk yang menyusahkan tanggunganku, menjadi punca kepada rendahnya mertabat keturunan bekas isteriku. Aku berasa amat bersalah dan berdosa. Memilih mengahwini bekas isteriku adalah satu bencana kepada bekas isteriku. Aku amat kesal dan malu pada sekalian makhluk di bumi dan di langit"
"Kau......"
"Aku bersedia untuk hembuskan nafas terakhirku tanpa anak cucu di sisi. Aku bersedia untuk tidak akan ada yang merasa kehilangan dengan kematianku"
"Nurhakimin....."
"Kerana itu aku rasa tidak berat hati untuk lafazkan cerai bila bekas isteriku minta dia diceraikan"
"Kau suami yang paling malang, Nukhakimin, suami yang sentiasa memberi bunga kepada seorang isteri tetapi dibalas dengan tahi"
"Belum tentu pandangan kau benar, Munir"
"Kau masih mau memuliakan bekas isterimu dan menghina-dinakan diri sendiri"
"Isteriku, maksud aku bekas isteriku, dia bukan bodoh"
"Dia bukan bodoh tetapi mungkin jahil"
"Dia dikelilingi mua'alim dan mu'alimah parti politik yang disokong dan didukung"
"Bukankah minta cerai itu dilarang. Boleh bergegar tiang arasy"
"Setakat yang aku mengaji begitulah"
"Macam mana seorang isteri yang dikelilingi mu'alim dan mu'alimah boleh minta cerai sedangkan kau bukan munafik, apatah lagi murtad"
"Demi kepentingan perjuangan, mungkin segalanya boleh, yang haram boleh jadi halal"
"Bagi aku isteri kau...."
"Bekas isteri, bukannya isteri lagi"
"Ya bekas isteri kau. Dia silap menerima dan diberi tarbiyah"
"Mu'alim dan mu'alimah parti tidak pernah buat silap, setidak-tidaknya pada penilaian bekas isteriku"
"Mereka juga manusia"
"Mereka? Maksudmu?"
"Mu'alim dan mu'alimah parti"
"Ooooo"
"Mereka bukan nabi dan rasul. Mereka bukan maksum"
"Jadinya?"
"Tidak mustahil mereka nampak alim tetapi jahil"
"Lantas?"
"Mereka silap melakukan tarbiyah tetapi mereka tidak sedar kerana mereka sebenarnya jahil tetapi merasa dan menganggap diri alim"
"Akibatnya?"
"Padahnya akan terbentuklah pejuang-pejuang seperti bekas isterimu, isteri yang tidak menerima hakikat bahawa syurga bagi seorang isteri adalah di bawah telapak kaki suami sebagaimana syurga bagi seorang anak adalah di bawah telapak kaki ibu"
"Tak apalah, Munir. Segalanya dah selesai. Sama ada tuntutan cerai bekas isteriku halal atau haram, aku dah berikan dia talaq"
"Tapi kau berdepan dengan kemarahan anak-anakmu"
"Mereka salahkan aku kerana biarkan ibu mereka pentingkan perjuangan, lebih utamakan kerja parti politik dari tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu dan nenek"
"Dan kau pula menerima kemarahan anak-anak dan cucu-cucumu sebagai suatu bentuk pengorbanan?"
"Ya"
"Soalnya bolehkah anak-anak dan cucu-cucumu faham dengan erti perjuangan?"
"Mereka akan faham nanti. Aku harap mereka akan faham"
"Kalau mereka tak faham?"
"Aku dah kata, aku bersedia hembuskan nafas terakhir tanpa anak cucu di sisi, aku bersedia untuk tidak akan ada yang merasakan kehilangan dengan kematianku"


Munir terkedu dan lelehan airmmata lelakinya masih juga gagal dibendung. Kesedihan, keterharuan dan kesebakkan meruntuni hatinya.

"Kalau boleh aku tidak mahu pusaraku dibubuh batu nesan, tidak direkodkan butir-butir peribadiku. Biarlah aku tidak akan menjadi punca rasa malu dan punca rasa menyesal titih bekas isteriku kerana dalam tubuh mereka mengalir darahku, darah lelaki seorang suami dan seorang bapa serta seorang datuk yang tidak pernah ada budi dan bakti kepada isteri, anak-anak dan cucu-cucunya"
"Ianya juga pastinya suatu bentuk pengorbanan bagimu"
"Maaf, aku keliru"
"Larangan supaya pusaramu jangan dibatu-nisankan juga suatu bentuk pengorbanan tentunya"
"Supaya badi dan sial sebagai manusia yang tidak pernah berbudi dan berbakti bernama aku akan lupus, pupus dan terhakis dari keturunan bekas isteriku"
"Subhanallah!"
"Aku sudah terlanjur"
"Telanjur?"
"Hm"
"Apanya keterlanjuranmu?"
"Terlanjur berkahwin. Kerananya aku ada anak, ada cucu dan ada keturunan"
"Perkahwinan satu sunnah"
"Sunnah untuk lahirkan keturunan baik-baik. Tapi keturunanku tidak baik dan tidak mulia kerana aku bukan baik dan mulia. Aku manusia hina dan keturunanku juga pasti akan hina, dihina dan terhina"
"Hina-mulia ukuran manusia tidak sesaksama ukuran mulia-hina di sisi Allah Maha Pencipta"
"Justeru aku tidak ralat, tidak dukacita atau kecewa kerana hina dan diperhinakan di dunia. Aku harap aku dan keturunanku akan mulia dan dimuliakan di akhirat"


Munir memerhati dengan pandangan berkaca langkah Nurhakimin yang mula menjauh meninggalkannya. Nurhakimin memilih kawasan Hutan Simpan Sokor untuk menyendirikan dirinya, menghabiskan baki usianya bertemankan pokok-pokok yang menghijau, bertemankan kesepian dan kenyamanan.

Dipegang kejap amanat dan wasiat Nurhakimin supaya bila tiba sahabat akrbanya itu mati nanti, jangan sekali-kali kuburnya dibatu-nisankan dan jangan dicatatkan riwayatnya. Munir cuba mencari makna di sebalik amanat dan wasiat rakan akrabnya itu yang sepanjang ingatannya banyak berkorban tetapi tidak mengharapkan balasan dan imbalan sebagai ganjaran kepada pengorbannya!.

No comments: