Monday, February 28, 2011

SPECIAL KED (2)

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Pusat

1 Mac 2011

Dewan Pemuda PAS Kawasan Bakal Menentukan Kepimpinan Baru Dewan Pemuda PAS Pusat

Mesyuarat Agong Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) yang akan bersidang bermula daripada 7 Mac 2011 sehinggalah 18 April 2011 yang akan datang ini bakal melaksanakan beberapa peruntukan yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan PAS pindaan 2009 kerana buat pertama kalinya DPPK diberikan hak untuk mencalonkan dan memilih barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bagi sesi 2011/2013.

Pindaan perlembagaan ini telah pun dipraktikkan semasa muktamar DPPP pada tahun yang lalu namun ia tidak melibatkan proses pencalonan dan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Pemuda PAS. Tahun lalu, buat pertama kalinya muktamar DPPP termasuklah Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) dan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menerima kehadiran perwakilan daripada peringkat kawasan. Sebelum daripada itu, perwakilan hadir daripada perwakilan yang dipilih daripada muktamar Dewan-dewan di peringkat negeri.

Memandangkan ini adalah julung-julung kalinya pencalonan akan dilakukan oleh DPPK maka ada beberapa informasi yang perlu disampaikan kepada semua DPPK yang akan bermuktamar sehari selepas proses pengundian di PRK Merlimau dan PRK Kerdau.

1. Kelayakan Pencalonan

Merujuk kepada Fasal ke 51 Perlembagaan PAS (pindaan 2009) menyatakan bahawa Pemuda-pemuda ahli PAS yang berumur empat puluh tahun ke bawah dengan sendirinya menjadi ahli bagi Dewan Pemuda PAS.

Kelayakan seseorang itu untuk dicalonkan dan seterusnya bertanding mana-mana jawatan di dalam Dewan Pemuda adalah mereka yang berusia di bawah 40 tahun pada 1 Januari 1971. Bermakna, mana-mana ahli Pemuda yang lahir pada 2 Januari 1971 dan seterusnya masih lagi layak untuk dicalonkan bagi mengisi mana-mana jawatan di peringkat DPPP atau DPPN. Namun, peruntukan ini tidak melibatkan jawatan Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua Pemuda DPPP.

2. Pencalonan Jawatankuasa Kerja DPPP dan DPPN

Setiap DPPK berhak untuk mencalonkan Jawatankuasa Kerja DPPP dan DPPN mengikut peruntukan Perlembagaan PAS. Bagi Jawatakuasa DPPN, DPPK perlu mencalonkan jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan dua orang Pemeriksa Kira-kira peringkat Dewan Pemuda PAS Negeri, mencalonkan Jawatankuasa-jawatankuasa Kerja PAS Dewan Pemuda PAS Negeri sesi 2011-2013 iaitu seorang Ketua Pemuda, seorang Timbalan Ketua Pemuda, seorang Naib Ketua Pemuda dan sepuluh (10) orang Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Negeri sesi 2011-2013 seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) Fasal 57 (2).

Bagi jawatankuasa DPPP, DPPK perlu mencalonkan Jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan dua orang Pemeriksa Kira-kira, Seorang Ketua Pemuda, Seorang Timbalan Ketua Pemuda, Seorang Naib Ketua Pemuda dan dua belas (12) orang Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2011-2013 seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) Fasal 53 (2).

3. Perwakilan

DPPK perlu memilih tiga (3) orang wakil ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) Fasal 52 (d) dan (e). Bagi Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri, seramai tujuh (7) orang perwakilan dipilih sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) Fasal 56 (d).

4. Usul Muktamar

Usul-usul yang telah diluluskan diperingkat Mesyuarat Agong Tahunan DPPK perlu diserahkan kepada panatia Muktamar DPPN ataupun DPPP dan ia bergantung kepada keperluan usul tersebut untuk dibahaskan. Sekiranya ia adalah berkaitan dengan hal ehwal di dalam negeri maka ia perlulah disalurkan kepada DPPN masing-masing. Manakala, sekiranya ia adalah merupakan usul yang melibatkan hal ehwal negara ataupun antarabangsa mana usul tersebut perlu dihantar kepada panatia Muktamar DPPP.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali yang ke 52 ini akan dilaksanakan pada 1 dan 2 Jun 2011. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan menjadi Tuan Rumah dan akan dibantu oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat

019-7701830

No comments: