Thursday, May 19, 2011

COME-BACK (22/2011)

Jangan pandang remeh hujah tepi jalan


JARANG orang yang betul kepala otaknya terlanggar pokok balak atau tersepak katan-katan balak, termasuk yang diagih kepada seseorang bersalutkan selut kronisme dan nepotisme. Kalau berlaku juga maknanya ada sesuatu yang tidak betul pada otak pelanggar, antaranya mungkin kerana tengah mabuk tuak masam cicah ayam rebus atau ayam bakar yang dimampuskan dengan pulas tengkuk di kampung Siam.

Tetapi ramai yang tersepak tunggul atau berdarah telapak kaki kerana terpijak tunggul kayu, tunggul resam atau sulur lalang yang mana walaupun kecil tetapi tetap menyakitkan. Kalau yang menyepak atau yang memijaknya adalah pengidap kencing manis, tidak mustahil luka kesan dari tersepak atau terpijak itu boleh menyebabkan kaki terpaksa dipotong.

Demikian juga dalam berhujah. Jangan pandang remeh hujah tepi jalan atau hujah dari seorang yang dinilai tidak sampai samas kerana banyak bari/sirah yang menunjukkan apa yang dianggap lekeh sebenarnya tidak lekeh manakala yang dianggap hebat sebenarnya tidak hebat. Hujah dan pandangan, apatah lagi undi tetap penting walaupun datangnya dari Orang Asli.

Hanya manusia yang angkuh dan buta teladan sahaja akan anggap hujah tepi jalan tidak penting serta akan hanya kagumi imam tetapi memperlekeh dan menganggap makmum, apatah lagi tok siak tak penting dan umpama sampah sarap. Sesungguhnya ada yang buat kebajikan yang sangat dan teramat lekeh masuk syurga tetapi yang banyak beribadah dan bergelar alim pula masuk neraka.

Seorang yang telah membunuh 100 termasuk seorang tok guru, seorang pelacur dan seorang penjahat lagi samseng matinya masuk syurga. Kenapa? Jawabnya kerana si pembunuh buat kerja lekeh mencari orang yang boleh memberitahunya sama ada dia masih boleh bertaubat atau sebaliknya. Si pelacur yang kehausan mendahulukan memberi anjing yang juga kehausan minum sebelum dia sendiri minum manakala penjahat yang sangat samseng tadi membiarkan batu yang diatur tempat beraknya kekal dalam keadaan begitu supaya orang lain dapat menggunakannya nanti. Tempat itu akhirnya jadi tandas awam.

Sama ada pembunuh yang membunuh 100 orang, pelacur mahu pun penjahat/samseng berkenaan melakukan kerja-kerja lekeh yang mereka tidak disedari, apatah lagi mengharapkan ianya adalah suatu bentuk kebajikan tetapi kerana ketulusan mereka melakukannya, maka mereka telah terpilih sebagai ahli syurga.

Ada orang alim yang matinya masuk neraka. Antaranya yang mendoakan supaya Nabi Musa a.s. sesat di padang pasir, orang alim pada zaman Nabi Musa a.s. juga tersenarai sebagai ahli neraka kerana dia beribadat dengan mngharapkan balasan syurga. Dia hanya terpilih masuk syurga apabila dia tetap reda kerana tersenarai sebagai ahli neraka kerana menssyurga-nerakakan hamba-Nya adalah hak mutlak Allah.

Syaitan dan iblis asalnya adalah puak-puak alim belaka dan merupakan penghuni syurga tetapi kerana enggan tunduk kepada Adam a.s. sebagaimana yang diperintah oeh Allah s.w.t, maka ianya dikeluarkan dari syurga dan telah digezet sebagai ahli neraka. Kenapa? Jawabnya kerana angkuh dengan kealiman dan bukan dari kalangan orang lekeh, sebaliknya suka memperlekehkan orang lain.

Justeru itu supaya kita tidak akan dimasukkan ke neraka sedangkan kita kuat beribadat sampai tak sempat masuk waktu pun kita dah bang dan qamat untuk memenuhi tuntutan kena segerakan sembahyang waktu, maka jangan sekali-kali kita memperlekeh orang lain yang barangkali dari bentuk sijil, diploma dan ijazah ianya zero tetapi dari sudut pemikiran dan keilmuan ianya agak luarbiasa kerana anugerah Allah di samping ilmu diperolehi melalui usaha yang pelbagai, tidak mustahil ianya lebih berilmu dan berpandangan lebih luas dari kalangan yang bersijil, berdiploma dan berijazah walaupun yang tidak ada sijil, diploma dan ijazah itu hanya seorang Orang Asli.

Lebih-lebih lagi dalam berparti politik. Setiap orang sangat penting kepada parti, termasuk di kalangan Orang Asli atau kalangan yang buta huruf kerana di tangan mereka ada undi. Parti yang memperlekeh pengundi, termasuk menganggap Orang Asli tidak berapa penting untuk membantu kemenangan, bermakna orang parti politik berkenaan angkuh dan sengaja menahan leher untuk disembelih.

Hakikat dan hakiki serta natijahnya, hanya orang yang sombong, bongkak, angkuh, takbur dan riak sahaja yang akan memperlekeh orang lain dan menganggap diri sendiri hebat. Sikap sombong, bongkak, angkuh, takbur dan riak adalah penyakit hati yang amat dibenci oleh Allah, malah akan membinasakan seseorang. Orang yang ada nilai tidak akan mengaku nilai dirinya, orang yang alim dan tidak akan mengaku kealimannya, orang yang wali tidak akan mengaku kewaliannya dan orang yang benar-benar berilmu tidak akan mengaku sebagai seorang berilmu.

Namun setiap orang kena berusaha dan berhak untuk memastikan diri ada nilai, alim, wali dan berilmu tetapi sentiasa merendah diri sebagaimana resam padi semakin menunduk semakin berisi serta resam ubi, diam-diam berisi, bukannya ibarat tong: bunyi kuat saja tetapi isinya tiada. Orang alim sengoti tidak akan dengan angkuh, sombong bongkak dan riak mendabik dada bahawa apa yang dia buat sahaja betul, parti yang dia anuti saja Islamik dan para penyokong partinhya saja masuk syurga, menentang partinya masuk neraka.

Tidak mustahil dia yang terawal akan dicampak songsang ke neraka kerana menafikan keislaman orang lain di samping dosa kerana menganjurkan pemutusan hubungan silatur-rahim sesama umat Islam semata-mata kerana tidak sehaluan dalam berparti politik yang kononnya partinya adalah parti Islam walhal yang meluluskan pendaftaran parti berkenaan adalah pegawai beragama Hindu atas persetujuan penjajah kerana penjajah melihat parti yang kononnya Islamik itu berpotensi besar memporak-purandakan umat Islam di negara ini.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum ore kelate:

ambo setuju benar dgn post abe meli ni....ambo dok napok,banyok benar doh ore2 kito sesat jale kerana berpolitik...tapi nyo buat pakat tok napok kerano nafsu kuasa politik ni....dan ambo raso kalu benar kito ore2 kelate nok beragamo...mako kenalah cari jale utk kenal diri sediri dulu...barulah kito kena sapo tuhe...bukenyo dgn caro sombong riak...ore kato...alim taik kucing....mace abe meli kato...bunyi kuat mace tong...dale kosong tak dok isi...ambo minta maaf la kalu bunyinyo kasar...tapi inilah hakikatnyo kito di kelate ari ni...

ambo yakin....hanyo tuhe tu jah hok tau apo hok kito tok tau....buke PAS atau UMNO...

PAS tetap parti POLITIK
ISLAM itu tetap ISLAM...

JaliKapakRonggak said...

yes! inilah khutbah terbaik yang dihasilkan oleh kawan lama saya meli, bahkan khutbah ini mengalahkan khutbah yang dibaca as-Sudaisi imam Masjid Haram ketika melawat Malaysia.
Kalau saya dilantik pengarah JAKIM, sudah tentu saya akan menjadikan khutbah yang ditulis meli ini, sebagai teks khutbah yang wajib di baca diseluruh masjid di negara kita.