Sunday, May 18, 2008

Muncul Kembali-3

Penyangat perbekalan beras patut dikenakan ISA

HAKIKAT yang kena diperakukan jika kenaikan harga beras gagal ditangani sehingga ke tahap majoriti rakyat boleh berpuashati dengan penanganan itu, mahu tidak mahu ianya boleh menyumbang kepada keruntuhan dan kehancuran sebuah kerajaan.
Oleh itu, apa pun usaha, langkah dan tindakan yang diambil serta peraturan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan harga siling beras memuashati hati majoriti rakyat kenalah benar-benar serius dan meyakinkan majoriti rakyat.
Sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang oleh pengilang, pengimport, pemborong dan peruncit beras bukan sahaja akan dilhat sebagai suatu kelonggaran, ketidak-sempurnaan dan ketidak-berkesanan peraturan dan undang-undang, malah ianya akan dilihat sebagai kegagalan sebuah kerajaan.
Justeru, dalam isu pengawalan harga beras dan tindakan perundangan terhadap penyangat perbekalan beras, kerajaan kena proaktif, kena serius dan kena mampu meyakinkan majoriti rakyat bahawa peraturan dan undang-undang yang dibuat akan sentisa berpihak kepada majoriti rakyat dalam apa keadaan sekalipun.
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah suatu bentuk hukuman yang paling patut digunakan terhadap pengilang, pengimport, pemborong dan peruncit beras yang didapati mengambil kesempatan mengaut laba berganda dalam keadaan negara dan dunia sedang menghadapi krisis beras sekarang.
Oleh kerana beras adalah merupakan makanan utama majoriti rakyat negara ini, maka apa juga tindakan yang menyebabkan majoriti rakyat sukar untuk mendapatkannya, malah kalau diperolehi pun pada kadar harga yang melampau, maka ianya tidak ada apa bezanya dengan ancaman komunis dan gerakan militan terhadap keselamatan negara.
Kecuali mereka yang ada kepentingan dalam urusniaga beras, saya yakin majoriti rakyat negara ini akan bersetuju, malah akan merasakan bahawa kerajaan amat adil dan bertindak tepat lagi sangat wajar jika penyangat perbekalan beras negara dikenakan ISA atau dijatuhkan hukuman mati sama seperti hukuman ke atas pengedar dadah.
Dalam pada itu kempen 'jadikan segenggam padi menjadi secupak' perlu dilancarkan yang mana setiap keluarga patut dibekalkan dengan sengenggam benih padi untuk ditanaman pada tanah-tanah lapang termasuk di sekeliling rumah sebagai permulaan.
Hdari benih segenggam itu kena dikembang menjadi secupak dan seterusnya segantang sehinggalah ianya mampu menampung keperluan keluarga. Tidak salah digunakan konsep sebagaimana benih pokok getah dibawa masuk ke negara kita dari Brazil.
Adalah amat bijak kalau pasu-pasu bunga (bagi penghuni rumah flet dan kondominium) serta halaman yang terbiar dan selama ini hanya ditumbuhi lalang atau rumput liar di kediaman setiap keluarga di negara ikita ditukar dengan tanaman padi di samping turut ditanam sayur-sayuran.
Dengan menamakan kempen 'Penuhkan Tanah Kosong Dengan Tanaman Padi' dan mewujudkan program tanaman padi untuk keperluan keluarga, secara tidak langsung masalah tanah sawah terbiar tidak akan berlaku lagi.
Bagi mereka yang tidak ada sistem pengaliran, bekalkanlah mereka dengan benih padi huma yang akan tumbuh subur tanpa memerlukan air. Walaupun tempoh perolehan hasilnya agak panjang sedikit.
Jika cadangan ini dipraktikkan, negara bukan sahaja akan selamat dari krisis beras tetapi kita akhir akan menjadi pengeskport beras kerana bumi negara kita pada keseluruhanya adalah merupakan bumi yang subur, campak benih apa pun akan tumbuh dengan segar. - RH/kj

No comments: