Saturday, August 16, 2008

MUNCUL KEMBALI (62)


Bertindak ganas: kenapa petugas media jadi sasaran

SEBAGAI pengamal media selama lebih 30 tahun, tragedi yang menimpa jurugambar Mohamed Sairen Mohamed Nablis dari The New Straits Times (Malaysia) dan Halim Berbar dari HBL Press News (Peranchis) sangat menyentuh perasaan.
Macam mana pun secara peribadi saya angkat tabik kepada petugas media sekarang yang cukup tabah, tahan diuji dan profesional dalam menjalankan tugas mereka.
Walaupun mereka dilayan dengan meletakkan mereka pada tahap bagaikan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, liputan terhadap pihak yang melayan mereka sedemikian itu masih juga diberikan dengan meluas.
Kalau pada era saya dan rakan-rakan di Kelantan dulu menjalankan tugas liputan, jangankan sampai kena belasah, kalau pegawai kepada menteri atau menteri besar tunjuk sombong pun akan dipulau.
Bertahun lamanya kami wartawan di Kelantan tidak menjadikan polis sebagai sumber dalam penyiaran berita tentang kemlangan dan kes jenayah apabila ketua polis negeri ketika itu tunjuk lagak.
Hubungan wartawan Kelantan dengan polis Kelantan hanya kembali pulih setelah ketua polis yang menjadi faktor kami memulau polis itu diganti dengan ketua polis baru.
Malah kerana sedikit hal yang melibatkan seorang rakan setugas, kami para wartawan dan jurugambar dari semua media meninggalkan majlis yang dihadiri oleh seorang menteri.
Walaupun pegawai akhbar kepada menteri berkenaan datang ke pejabat setiap akhbar untuk meminta maaf dan merayu agar ucapan meneri berkenaan silaporkan, namun tidak ada mana-mana akhbar pun yang buat liputan kerana patuh kepada keputusan pemulauan yang dibuat secara sepakat.
Kerana itu kami wartawan pada waktu itu dilayan macam menarik rambut dalam tepung, malah kami menjadi sesuatu yang diperlukan oleh sumber, bukannya kami yang perlukan sumber.
Kami pada waktu itu berpegang pada prinsip mata pena lebih tajam dari mata pedang. Kami juga berpegang kepada hakikat bahawa sebuah majalah bulanan kekuatannya sama dengan satu briged tentera, sebuah akhbar mingguan kekuatannya sama dengan satu devision askar dan sebuah akhbar harian kekuatannya sama dengan kekuatan pasukan tentera sebuah negara.
Sebenarnya mana-mana pihak yang bermusuhan dengan media adalah suatu bentuk kebodohan, malah secara tidak langsung bermakna sengaja menempah kebinasaan dan kemusnahan. Hitler lebih takutkan wartawan dan media dari askar di medan perang.
Pada saya, para wartawan muda perlu diberi kesedaran tentang kekuatan yang mereka miliki supaya mereka tidak akan menjadi sasaran lepas geram oleh kalangan mereka yang tidak bertamaddun.
Bukankah dalam peraturan, selain dari pasukan perubatan, wartawan adalah antara yang tidak boleh ditembak dalam perang. Yang lazimnya tembak wartawan dengan sengaja hanyalah tentera zionis.
Tindakan yang dilakukan oleh penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan dilakukan oleh mana-mana pihak yang tarafnya tidak sama dengan terntera zionais. Oleh itu para wartawan kena bersatu, kena lupakan soal 'scoop' dalam berdepan dengan kes-kes yang menimpa Mohamed Sairen dan Halim Berbar.
Wartawan perlu tunjuk taring dan kuasa sebenar termasuk memulaukan penyiaran laporan mengenai PKR misalnya untuk suatu tempoh yang panjang, biarkan mereka hanya bergantung kepada akhbar lidah resmi mereka yang pastinya jumlah edarannya tidak akan seberapa.

1 comment:

Anonymous said...

Para petugas media patut tunjuk taring macam Meli katakan dalam menghadapi sikap tidak tamadun dan jakun penyokong PKR.

Kalau begitu rupanya sikap penyokong PKR, maka sikap pemimpinnya tidak jauh berbeza kerana kueh akan terbentuk ikut acuannya.

Cuba pulau dari membuat liputan aktiviti PKR pada pilihanraya kecil Permatang Pauh dan serahkan kepada Suara Keadilan, Harakah, Siasah dan Minmgguan Wasilah sahaja yang buat laporan, kita tengok sejauh mana PKR boleh mempengaruhi pengundi.

Sepatutnya Mingguan Wasilah yang mengetuai pemulauan/pemboikotan kerana Mingguan Wasilah terbitan syarikat milik Meli.