Friday, September 12, 2008

MUNCUL KEMBALI (72) - DISEMAK SEMULA DAN DIBETULKAN EJAAN

Suara mahu tumbangkan kerajaan dan nyahkan PM bukan majoriti


".....Saya rasakan kalau rakyat begitu tinggi semangat dan keazamannya hendak tenguk BN jatuh, apatah lagi dengan ahli-ahli Parlimen. Mereka tentu lebih bersemangat lagi untuk melihat realiti itu...." itu antara catatan rakan saya yang sehingga kini terus menjadi rakan akrab, Haji Mohd. Sayuti Omar (MSO) ketika mengulas laporan blog saya bahawa ada MP dari Kelantan akan lompat masuk Umno/BN.
Ada yang call saya dan bertanya: "demo dengan Sayuti ada balah ke lloni...nampak tak sehaluan benar". Saya hanya ketawa dengan panggilan itu. Sebenarnya pada malam hari MSO posting catatannya itu dia ada pulang ke Kota Bharu dan kami makan 'ccolek' Jalan Bayam bersama dua orang lagi rakan yakni taukeh kopi tambah tenaga dan seorang guru.
Seperti lazimlah sama ada saya ke KL atau dia ke KB, yang lunaskan makan minum adalah MSO. Dari segi keupyaan membayar makan minum, malah dari segi segala kemampuan, terutama soal-soal yang berkaitan dengan kewangan, koceknya lebih berisi daripada saya. Saya bangga dengan pencapaiannya dan saya sedang berusaha untuk turut jadi insan yang berkocek sentiasa berisi tetapi nampaknya belum ada rezeki lagi.
Dalam kes tulis menulis memang kami jarang sekepala tetapi jalinan persahabatan kami tetap akrab, malah dari ratusan sahabat yang tersenarai rapat, tinggal beliau sahaja lagi yang masih benar-benar rapat, malah saling bertanya khabar.
Munngkin juga kerana kami adalah antara segelintir sahabat yang masih belum berhenti menulis. Tambah-tambah beliau penerbit akhbar Mingguan Siasah, saya pula penerbit Mingguan Wasilah, Konsep dan beberapa majalah bulanan, terbaru akan tebit Wasilatul-Ummah, majalah dua kali sebulan.
Justeru itu walaupun macam mana wajah bentuk rupa tulisan-tulisan kami, antara kami saling mengerti siapa kami, malah kerana ketidak-sealiran pemikiran serta gaya menulis itulah menjadikan kami kekal rapat, malah adakalanya bersaing untuk memastikan pandangan, firasat dan andaian masing-masing yang paling betul. Adakalanya dia betul dan adakalanya saya betul kerana itulah hakikatnya kita sebagai manusia, tidak semua apa yang kita mahukan akan jadi kenyataan.
Walaupun MSO lebih muda kira-kira 10 tahun dari saya dari segi usia, namun bagi saya dari segi ilmu dan kematangan dalam menulis, beliau lebih matang kerana beliau terdedah kepada dunia yang lebih luas dan global sedangkan saya berada dalam dunia yang sempit kerana hanya Kota Bharu dan Kelantan sahaja dunia saya. Berada di Kuala Lumpur sehari pun bagi saya dah umpama setahun, saya tidak cenderung dengan corak hidup metroppolitan yang serba serbinya kena laju.
Dalam keterbatasan ilmu dan pendedahan, saya tidak bersetuju dengan catatan MSO yang saya jadikan mukaddimah tulisan ini. Bagi saya rakyat yang begitu tinggi semangat dan keazamannya hendak tenguk BN jatuh, bukan menyluruh dan tidak layak bagi mewakili keseluruhan rakyat negara ini.
Malah saya yakin di kalangan wakil-wakil rakyat pembangkang sendiri pun tidak majoriti jumlahnya yang mahukan kerajaan yang ada tumbang dan Pak Lah selaku Perdana Perdana Menteri diganti dengan Anwar Ibrahim.
Ini adalah kerana dari segi kualiti ketokohannya, belum tentu Anwar lebih berkualiti dari Pak Lah. Lagi pun Pak Lah mengaji peringkat tinggi dalam bidang pengajian Islam. Anwar mengaji dalam bidang apa?
Pak Lah tidak menagih jawatan PM tetapi beliau dipilih oleh bekas PM. Anwar pula bukan sahaja mahukan jawatan PM tetapi juga penasihat PKR itu nampak pelahap dan kemaruk benar mahu jadi PM sedangkan kalau diikutkan cara Rasulullah s.a.w. dalam membuat pemilihan dan perlantikan pemimpin dan kakitangan awam, Anwar adalah calon yang melanggar prasyarat untuk jadi pemimpin.
Gara-gara kepelahapan dan kekemarukkannya untu jadi PMlah, maka beliau ditimpa musibah sehinggakan namanya tertinta dalam sejarah negara dengan menjadi TPM pertama yang bukan sahaja dilucutkan jawatannya serta dipecat dari parti tetapi juga dipenjarakan walaupun beliau telah cukup diistimewakan oleh bossnya ketika itu untuk mengambil-alih jawatan PM. Pak Lah menerima tuah menggolek dari musibah yang menimpa Anwar. Kauas siapa yang mengatur segalanya?
Pak Lah juga umpama tongkat kepada si buta dalam memulihara Umno/BN yang dalam keadaan retak menunggu belah ekoran tindakan Dr Mahathir yang dianggap kejam dan ada unsur Maha Firaunsme terhadap Anwar tanpa mencari sebab-sebab yang munasabah kenapa Dr Mahathir boleh bertindak sedemikian terhadap anak didiknya sendiri kerana apa yang berlaku dalam gelup pemerintahan negara tidak semuanya boleh didedahkan kepada umum.
Walaupun tujuan Dr Mahathir berbuat demikian yang pastinya dalam keadaan sangat terpaksa demi kepentingan semasa negara, oleh kerana Dr Mahathir juga pernah berkadah-keting dengan Ku Li, maka umum cepat melihat kejahatan dan keganasan Dr Mahathir tanpa mengambil kira tentang faktor-faktor yang boleh menyebabkan Dr Mahathir bertindak sedemikian. Padahnya Umno/BN goyah, malah kalaulah pada Pilihanraya Umum Kesembilan Dr Mahathir terus jadi PM, tidak mustahil Umno/BN boleh tumbang.
Penyerahan tugas jawatan PM kepada Pak Lah menjadikan Umno/BN kembali pulih, malah semakin kuat dan mantap, malah pencapaian Umno/BN dalam pilihanraya umum menjadikan banyak pihak terlopong dengan mulut tergohong. Tindakan Pak Lah membebaskan Anwar dan pendakwaan baki kes yang ada dimasuhkan menjadi beliau mula menerima tentangan dari Dr Mahathir yang pasti khuatir kalau-kalau Anwar diterima masuk Umno semula dan berpeluang ke jawatan PM, Anwar akan membalas dendam terhadap apa yang dilakukan ke atasnya.
Tindakan Pak Lah membebaskan tahanan-tahanan ISA, termasuk anak kepada Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Adli menjadikan beliau umpama melepas anjing tersepit kerana gerakan penentangan secara terbuka yang dibuat oleh Dr Mahathir terhadapnya telah mewabaki dan mensindoromi sesetengah tokoh dalam Umno khususnya dan BN amnya yang memamg inginkan kerusi PM.
Khairy Jamaluddin menantunya dijadikan faktor penyebab untuk beliau diserang walhal soal jodoh bukan dia yang tentukan. Kerana memang sudah takdir anak perempuannya bersuami Khairy apa daya Pak nak tolak. Penglibatan Khairy dalam politik juga memang telah tersedia suratan hidupnya begitu. Kenapa pula Pak lah yang kena tanggung padahnya.
Hanya kerana Umno/BN gagal dapat kemenangan 2/3 ekoran sabotaj-sabotaj dari dalam Umno/BN sendiri, maka Pak Lah dilihat sebagai PM, Presiden Umno dan Pengerusi BN yang gagal, termasuk oleh orang Umno sendiri tanpa membuat kajian terperinci apakah dalam pilihanraya umum ke-12, Umno kalah teruk atau ianya tetap kukuh, yang kalah sebenarnya adalah sesetengah parti komponen BN yang mana-mana parti-parti komponen yang kalah itulah yang kena berikan jawapannya kenapa boleh kalah.
Dalam menerima serangan dari dalam pun.... Umno/BN masih menang dan masih boleh bentuk kerajaan, apakah itu lemah namanya bagi seorang tokoh bernama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sekaligus apakah ianya tanda bukti bahawa rakyat begitu tinggi semangat dan keazamannya hendak tenguk BN jatuh. Bukankah dalam amalan demokrasi walaupun hanya bermojiriti satu undi pun tetap menang berbanding dengan pihak yang kekurangan satu kerusi. Kerajaan Pas Kelantan pernah memerintah dengan majoroti satu kerusi dengan satu kerusi itu pula majoritinya cuma dua undi.
Kerajaan Umno/BN yang diterajui Pak Lah bukannya bermajoritikan satu kerusi dan satu kerusi itu pula bukannya hanya majoriti dua undi, kenapa pula dianggap lemah dan gagal serta beliau kena berundur dari menjadi PM sedangkan ikut amalan demokrasinya majoriti rakyat mahukan kerajaan pimpinan beliau terus kekal, kalau tidak sudah tentu rakyat tidak akan memberi majoroiti undi kepada Umno/BN pada pilihanraya umum ke-12 yang lepas.
Kalau pun ada rakyat begitu tinggi semangat dan keazamannya hendak tenguk BN jatuh, ianya bukan majoriti dan tidak boleh mewakili keseluruhan rakyat negara ini. Mereka yang mahukan kerajaan Umno/BN tumbang adalah yang terpengaruh dengan bunyi guruh, sudah pun dicurah air di tempayan, mereka lupa bahawa dalam bentuk paktikalnya tidak semestinya terbentuk sebagaimanya yang diteorikan, apa yang terkota tidak semestinya sama dengan apa yang dikata.
Oleh itu saya yakin dalam keadaan adanya segelintir rakyat yang mahu kerajaan yang ada diganti dengan kerajaan baru, yang mahu PM yang sedia ada diganti dengan PM baru, hakikatnya ada rakyat yang mahukan agar kerajaan dan PM yang sedia ada terus kekal, malah yang mahukan sedemikian adalah merupakan jumlah majoriti.
Atas alasan itulah, maka bila ada yang menelefon saya kata ada MP dari Kelantan nak lompat parti dan masuk Umno bagi menyelamat dan memantapkan kerajaan yang telah sedia ada, bagi saya bukan seperkara yang mustahil dan bukannya provokasi murahan sebagaimana isu 16 September yang sifatnya adalah mimpi yang tidak mungkin jadi realiti yang sengaja dijulang-julang walaupun ianya adalah terang-terang berupa pembohongan.
Macam mana pun kena tunggu 1 Oktober untuk memastikan sama pemanggil yang memaklumkan tentang perkara itu berbohong, bergurau, berpovokasi atau sebaliknya. Seingat saya semasa panggilan dibuat, pemanggil berada di Masjid Kampung Sireh. Tak 'kanlah orang berada masjid pun belawok/pelawok.
Kita diberi akal untuk berfikir!


3 comments:

Anonymous said...

Salam Sdr Ramli..ambo pon anak klate tapi terpaksa mencari rezeki di ibukota..maka spt sdr Ramli jugak saya tidak sedikit pun terpengaruh dengan kehidupan metropolitan KL. Jadi ambo berulang balik setiap minggu tanpa jemu untuk berada di Kelate selama 2 hari seminggu. Udara Klate 2 hari seminggu menyegarkan saya dari udara KL selama 5 hari seminggu.Jadilah ambo penumpang setia Transnasional saban minggu berulang alik dari KB-KL-KB.
Ambo sangat tertarik dengan ulasan sdr tentang kejatuhan kerajaan BN samada pada 916 atau pada bila2 sekalipun. Bagi ambo yg berkawan sikit2 dgn org politik baik PAS atau UMNO..realiti kejatuhan BN adalah mimpi yg tak akan menjadi realiti.Hatta dari percakapan MP PAS pun..mereka hanya ketawa berdekah2 bila saya ajukan persoalan ini semasa makan nasi pagi di kedai pokok "cheri" di jln Datuk Lundang...mereka mengatakan ini mimpi mereka yg buta politik.. Cuma yg menjadi hangat akhir2 ini kerana kebebasan akhbar dan laman blog tanpa ada sekatan serius oleh kerajaan menjadikan mereka2 yg mengejar mimpi ini menjadi tersangat yakin akan berlaku perubahan kerajaan pd tanggal 916. Meeka ini tidak membuat "homework" berasaskan fakta..Memanglah kalau dilihat dari komen dalam laman blog pro PKR etc..seolah2 sekarang pun DS Anwar Ibrahim dah jadi perdana Menteri Malaysia..Tetapi kalau dikaji dari komen laman blog pro PKR etc ini..bagi saya tak sampai pun 2% dari penduduk Malaysia..jadi bagaimana 98% yg lain???
Malam 12/9 saya bertemu dengan seorang tentera berpangkat Mejar dalam bas transnasional semasa pulang ke kota bharu..sempat juga saya bertanya perihal 916..katanya jangan bimbang sedara..perisikan tentera ..tiada apa pun yg akan berlaku..jd saya tanya balik(sementara nak sampai ke merapoh utk bersahur)..jd kenapa diuar2kan sgt tarikh 916..Sepatah jawabnya..mungkin CIA dah bagi dateline kat DS Anwar...kalau nak jd PM sehingga 916..selepas tu pandai2 lah Anwar bawa diri di Malaysia..
Tapi silap BN mungkin Pak Lah terlalu nak memperkenalkan diri sbg Mr Nice Guy dan memberi kebebasan mutlak kepada akhbar menyebabkan ada yg tersilap buat perkiraan bahawa mereka ini berada diatas "undang2"...

Wallahuallam...
Rosli Hj Hamid
Kota Bharu

Anonymous said...

Dalam situasi sekarang, Pak Lah kena ketepikan pembinan Mr Nice Guy image. Kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat yang hidup tanpa curiga walaupun bermasyarakat majmuk kena diutamakan.
Kalau ISA boleh selamatkan keadaan, maka jangan teragak-agak guna ISA. Kalau penjara atau melucutkan taraf kewarganegaraan bagi pengancam keselamatan negara adalah cara terbaik, maka lakukanlah.
Saya tertarik dengan apa yang Meli catatkan dalam tulisannya, bagi mendapatkan madu, ibu lebah kena disuakan karak, untuk selamatkan nyawa penyakit kencing manis, bahagian anggota yang boleh menyebabkan merebaknya penyakit perlu dipotog, kalau mahukan daging lembu, maka lembu kena disembelih dan dilapah.
Menyuakan karak ke ibu lebah (ada yang mati terbakar), memotong buang bahagian anggota badan (lazim kaki) untuk cegah slamatkan nyawa pengidap kencing manis dan menyembelih serta melapah lembu bagi mendapatkan dagingnya bukan satu perbuatan kejam.
Saya cukup seronok dengan falsafah Meli walaupun beliau sering katategorikan kata-kata falsafahnya sebagai FALSAMPAH. Ertinya penggunaan ISA, penjara, lucut taraf kewraganegaraan waimma ditembak mati pun bukan sesuatu yang kejam demi kepentingan rakyat dan negara, apatah lagi bagi kepetingan agama.
Saya yakin isu 916 akan reda, malah tidak akan berulang jika akhbar yang memberi banyak ruang, pengendali blog yang memberi laluan dan individu serta kumpulan yang memperagakannya yang pastinya dengan niat mahu menjatuhkan kerajaan yang ada dan diganti dengan kerajaan yang belum tentu wajahnya dikenakan tindakan keras, jika kerajaan segera bertindak sebelum terlajak.
Soal keselamatan negara dan kesejanhteraan rakyat bukan boleh dijadikan bahan untuk seronok-seronok.

Anonymous said...

Apakah kita mahu jadi macam Iraq, macam Afghanistan, macam Palestin yang ada presiden, ada perdana menteri tetapi dalam bentuk boneka semata-mata.
Serendah mana pun kualiti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau tidak dibonekakan oleh mana-mana kuasa asing. Bagi saya kualitu Datuk Seri Abdullah sebagai PM sangat tinggi.
Anwar yang babuk nak jadi PM sering mendapat pembelaan orang besar-besar USA. Kalau tak ada apa-apa, tak 'kan lah pula orang besar-besar USA bela dia pula. Ini yang kena difikir.
Kalau ada orang Pas tolak Datuk Seri Abdullah, bermakna mereka telah menolak pemakbulan doa dan pengharapan yang sekian lama dibuat.
Mereka mahu seorang PM yang berpendidikan/berlatarbelakangkan Islam. Allah telah mengaturkan segala-galanya. Ditakdirkan Anwar yang dijangka jadi PM ditimpa musibah dan Datuk Seri Abdullah yang jadi PM.
Rupa-rupanya selain dari anak dan cucu kepada antara pengasas Pas, Pak Lah berijazah dalam bidang pengajian Islam dan merupakan PM Malaysia pertama berpendidikan demikian.
Maknanya doa orang Pas dimakbulkan-Nya. Pelik dan songsanglah bagi orang Pas yang tentang Datuk Seri Abdullah, apatah lagi yang mengambil bahagian dalam usaha untuk jatuhkannya.
Orang Pas yang sedar dan sentiasa memerhatikan tentang perkembangan Pas sejak ditubuhkan hingga kini pasti tidak akan khianati Datuk Seri Abdullah, sebaliknya mereka akan pertahankannya dan mempermudahkan urusannya sebagai PM.
Cuba selidiki Anwar yang nak diangkat jadi PM. Dia dari baka ulamak mana dan mengaji sekolah agama mana.
Pengendali-pengendali blog, petugas-petugas media yang tukang bantu Anwar mahu jatuhkan Datuk Seri Abdullah pula titih ulamak mana dan mengaji sekolah agama mana.
Ada semangat Islam sahaja tidak cukup kalau tidak ada ilmu di dada, malah semangat tanpa ilmu boleh menyumbangkan kepada kesongsangan.
Saya lebih melihat kerasionalan Meli kerana dia adalah titih ulamak besar yang tersohor dengan Tok Padang Jelapang. Meli sendiri lepasan sekolah agama.
Sejahil-jahil orang yang belajar di sekolah agama, ianya tetap akan berilmu dari mereka yang nak baca jawi pun tak reti yang pastinya baca al-Quran pun tidak akan tepat dari sudut tebal nipisnya.
Walaupun Meli dalam tulisan-tulisan lazim mengaku ilmunya tipis setipis kulit bawang dan kalau diisi dalam kulit etak, sekulit etak pun tak penuh ilmunya, namun saya yakin melihat kepada tulisan-tulisannya, dia bukannya seorang yang tidak berilmu.
Lazimnya orang begini ada ilmu dan keistimewaannya. Nampak sangat Meli berusaha untuk tidak riak dengan apa yang dimilikinya, tidak macam sesetengah orang yang saya jumpa, serba bukan main besar, janggut bukan main panjang dan jubah bukan main labuh, bila bercakap tentang agama, nampak sangat kejahilannya, malah sanggup pula didoakan kemusnahan orang lain, supaya orang lain ditimpa bala yang merupakan nabi doakan sedemikian rupa.
Yang nabi suruh yang belum Islam didoakan masuk Islam, yang mungkar jadi berilmu, yang berbuat mungkar insaf dari kemungkarannya, yang sudah beriman dan bertaqwa ditambahkan lagi kualiti iman dan taqwanya.
Dalam apa pun keadaan, termasuk berhubung isu 916, al-Quran dan Hadis kena dijadikan rujukan mutlak.