Tuesday, September 2, 2008

UNTUK BACAAN PADA BULAN RAMADHAN (2)



Puasa bukan untuk pesta juadah

SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadhan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur. Tidak hairanlah kalau pasar Ramadhan tumbuh macam cendewan selepas hujan sepanjang Ramadhan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.
Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa, sekaligus bulan Ramadhan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah.
Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka dan bersahur serta juadah yang kononnya mesti kena ada bila berbuka di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.
Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran dengan 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca.
Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahynag sunat atau masih kekal macam bulan Ramadhan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbadai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah berterawih.
Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengupat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighafar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang Subuh supaya cepat Khatam.
Yang kena diperakukan bahawa Ramadhan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan mega sale dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai kepada menyumbang kepada pembaziran.
Sebaliknya Ramadhan adalah bulan Allah s.w.t. melelong, membuat mega sale dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan dari mubaraknya Ramdahan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan gajaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.
Selain dari para penjual mendapat laba dari kelarisan jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadhan kalau kekalkan tabiat menjadikan bulan Ramadhan sebagai pesta juadah sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan hanya kekal pada tahap biasa, apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha.
Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah dan jika dibaca keseluruh ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.
Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighafar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredhai-Nya akan diganjarkan juga dengan pahala yang berganda. Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadhan.

No comments: