Sunday, October 12, 2008

MUNCUL KEMBALI (100) - ULANG POSTING DENGAN KEMASKINI DAN PEMBETULAN EJAAN

Pencalonan pimpinan tertinggi Umno: jangan pula menang sorak kampung tergadai

PANDANGAN penulis, apatah lagi atas sifat sebagai seorang yang tidak berada dalam gelanggang secara langsung, barangkali bercanggah dan menyongsang arus dari keperluan dan kepentingan berparti politik dan berpolitik di kalangan ahli politik dan aktivis parti-parti politik.
Berpandukan kepada penelitian terhadap 131 hadis yakni hadis nombor 1897 hingga 2028 dalam kitab Terjemahan Hadis Sahih Bukhari Jilid I,II, III dan IV dan sebanyak 33 hadis yakni hadis bilangan 1787 hingga 1880 dalam kitab Terjemahan Hadis Sahih Muslim Jilid I,II, III dan IV penulis mendapati tindak tanduk para pemimpin parti politik sama ada di kalangan parti pembangkang atau pun parti pemerintah yang beragama Islam rata-rata membelakangi ciri-ciri kepimpinan yang menjadi pilihan Rasulullah s.a.w. dalam perlantikkan seseorang untuk sesuatu jawatan.
Sikap membelakangi ciri-ciri kepimpinan yang menjadi pilihan Rasulullah s.a.w. juga nampak turut ketara dalam pencalonan untuk calon-calon jawatan penting dalam Umno yang mana mesyuarat agung bahagian-bahagian sedang berlangsung sekarang.
Calon-calon yang menawarkan diri dan dapat meyakinkan tentang ahli parti mengenai jasa, bakti dan faktor-faktor yang menyebabkan mereka patut dipilih, menjadi pilihan utama untuk dicalonkan bertanding.
Dari kacamata Islam seandainya dirujuk kepada 131 hadis (hadis nombor 1897 hingga 2028) dalam kitab Terjemahan Hadis Sahih Bukhari Jilid I,II, III dan IV dan 33 hadis (hadis nombor 1787 hingga 1880) dalam kitab Terjemahan Hadis Sahih Muslim Jilid I,II, III dan IV, seandainya calon-calon yang dipilih kerana berjaya meyakinkan ahli parti tentang jasa, bakti dan faktor-faktor yang menyebabkan mereka patut dipilih akan membawa kemusnahan dan keporak-porandaan.
Perhatikan hadis nombor 1898 dari kitab Terjemahan Hadis Sahih Bukhari Jilid I,II, III dan IV yang bermaksud;
Dari Abu Musa r.a. katanya: aku bersama dua orang kaumku datang kepada Nabi s.a.w.. Yang seorang berkata angkatlah kami untuk jabatan pemerintahan ya Rasulullah dan seorang lagi mengucapkan perkataan yang serupa. Rasulllah bersabda: "Sesungguhnya kami tidak mengangkat untuk itu orang yang memintanya dan tidak pula orang yang sangat mengharapkannya".
Melalui hadis nombor 1897 kitab Terjemahan Hadis Sahih Bukhari Jilid I,II, III dan IV pula cuba kita perhatikan maksudnya;
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda: "Sesungguhnya kamu sangat mengaharapkan jabatan pemerintahan, tetapi di hari kiamat hal itu menjadi penyesalan. Amat baik perempuan yang menyusukan anaknya dan amat buruk perempuan yang berhenti menyusukannya".
Meminta-minta, kemaruk, ketagih dan gilakan jawatan adalah sesuatu yang terlarang dan ini terbukti melalui hadis nombor 1791 dari kitab Terjemahan Hadis Sahih Muslim Jilid I,II, III dan IV yang bermaksud;
Dari 'Abdurrahman bin Samurah r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya; " Hai Abdurrahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara. Kerana jika jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan ditolong orang dalam tugasmu".
Sepotong hadis lagi dalam kitab yang sama yakni hadis nombor 1792 bermaksud;
Dari Abu Musa r.a. katanya, aku datang menemui Nabi s.a. w. bersama dua anak lelaki bapa saudaraku. Yang seorang berkata ya Rasulullah! Angkatlah aku jadi amir (pembesar) di salah satu daerah yang telah dikuasakan Allah kepada engkau. Yang seorang lagi pula turut berkata begitu. Rasulullah s.a.w. bersabda: " Demi Allah! Aku tidak akan mengangkat seseorang memangku sesuatu jabatan orang yang meminta-minta dia diangkat, bahkan tidak pula orang yang mengharap-harapkan (kemarukkan) untuk itu".
Kepada mereka yang beriman dan bertaqwa, mereka tidak akan kemaruk, ketagih dan gigih menggunakan pelbagai taktik dan teknik untuk medapatkan sesuatu jawatan tetapi seandainya ia terpilih, maka tugasnya akan dilaksanakan dengan sempurna beriringkan rasa takut kalau-kalau akan banyak dosa dari pahala yang dilakukan dalam menjalankan tugas.
Kegagalan menyempurnahkan tugas akan menyebabkan seseorang pemimpin atau penjawat sesuatu jawatan yang membabitkan rakyat jelata, bukan sahaja tidak akan boleh masuk syurga tetapi tidak akan dapat menghidu bau syurga.
Sebagai bukti, mari kita perhatikan dua potong hadis dari kitab Terjemahan Hadis Sahih Bukhari Jilid I,II, III dan IV yakni hadis nombor 1899 dan 1900 dan kita mulakan dengan dengan hadis nombor 1899 yang bermaksud;
Dari Ma'qil r.a. katanya, aku akan menceritakan kepada engkau hadis yang aku dengar dari Rasulullah s.a.w. dan aku mendenngar baginda bersabda: "Seseorang yang telah ditugaskan Tuhan memertintahi rakyat, kalau dia tidak memimpin rakyat itu dengan jujur, nescaya dia tidak akan memperolehi bau syurga"
Hadis nombor 1900 pula bermasud:
Dari Ma'qil r.a. katanya, aku akan menceritakan kepada engkau hadis yang aku dengar dari Rasulullah s.a.w. dan aku mendenngar baginda bersabda: "Seorang pembesar yang memerintahi rakyat kaum muslimin, apabila pembesar itu mati sedangkan dia tidak jujur terhadap rakyat, nescaya dia dilarang oleh Allah masuk syurga".
Berdasarkan hadis-hadis yang di atas, maka dalam memilih peneraju kerajaan atau pemilihan kepimpinan parti politik untuk diberi mandat membentuk kerajaan, maka ada baiknya jika pencalonan dibuat terhadap tokoh-tokoh yang enggan dicalonkan, bukannya calon yang kemaruk dan ketagihkan sesuatu jawatan.
Manakala calon-calon yang dicalonkan pula hendaklah sedar dan insaf bahawa kalaupun mahu menerima sesuatu jawatan dalam parti atau kerajaan hendaklah dipastikan bahawa semasa memikul tugas itu nanti akan banyak pahala yang akan dibuat dan mengelak dari kemungkinan menimbun dosa pelbagai kemungkaran.
Seandainya dosa pahala menjadi perkiraan utama, maka tidak akan timbul penyakit, sindrom dan wabak kemaruk, ketagih dan gila untuk menjadi pemimpin atau menawarkan diri untuk bertanding semata-mata kerana merasakan dirilah yang lebih layak berbanding dengan tokoh-tokoh yang lain.
Oleh kerana negara kita beragama-rasmikan agama Islam dan parti yang menunggak penerajuan kerajaan adalah parti kepunyaan umat Islam, perkiraan tentang halal haram, dosa pahala serta sama ada selari dengan apa yang digariskan dalam al-Quran dan hadis atau sebaliknya kena menjadi kena diutamakan.
Hal yang sama patut turut menjadi perkiraan dalam pemilihan kepimpinan Umno bahagian yang sedang berlangsung sekarang dan pencalonan bagi kepimpinan peringkat tertinggi parti yang dibuat oleh bahagian perlu mengambil kira tentang halal haramnya supaya tidak akan berlaku kes-kes menang sorak kampung tergadai.
Hakikatnya Malaysia masih memerlukan Umno untuk terus menunggaki penerajuan negara kerana rekod cemerlang yang telah ditunjukkan selama ini dan bagi menjamin kecemerlangan pencapaian kemajuan negara kekal berkeseinambungan, Umno juga perlu dipimpin oleh barisan pemimpin yang cemerlang, gemilang dan terbilang!

No comments: