Saturday, April 25, 2009

MUNCUL KEMBALI (155)

Gagasan kerajaan perpaduan kena diteruskan


STATIK dengan haram halal tetap halal, yang haram tetap haram, yang boleh tetap boleh dan yang tak boleh tetap tak boleh walaupun dalam keadaan, suasana dan keperluan macam mana sekalipun adalah wajah sebenar Islam tulen.
Demikian halanya dengan pejuang Islam tulen, ianya akan statik dengan apa yang telah ditetapkan oleh Islam dan tidak akan goyah pendirian, pandangan, pendekatan dan keputusan walaupun boleh membawa kepada kemerosotan dan kemuruduman populariti serta peluang untuk terus di tampuk pemerintahan tergugat.
Sesungguhnya bekerjasama, berbaik sangka, menjalin ukhwah dan mengelak dari buruk sangka, apatah lagi memutuskan silatul-rahim dan sikap permusuhan tanpa terhad kepada yang dihalalkan oleh Allah merupakan antara ajaran Islam dan patut menjadi pendekatan dan matlamat hidup umat Islam tulen.
Pada saya cadangan pembentukkan kerajaan perpaduan antara parti Pas dengan Umno dan Barisan basional (BN) yang digagaskan oleh Presiden Pas, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang adalah selaras dengan apa yang patut dirintis dan diaktifkan oleh parti politik yang diwarnakan dengan imej Islamisme.
Ianya wajar dialu-alukan oleh setiap orang tanpa mengira fahaman politik dan warna kulit kera setiap apa yang dianjurkan, yang diperintah oleh Islam adalah untuk kebaikan sejagat, bukan terhad kepada manusia Islam sahaja tetapi berfaedah untuk semua manusia, malah untuk sekalian makhluk.
Walaupun pun peringkat awal, gagasan itu mungkin akan ditentang oleh sesetengah manusia yang tidak mungkin faham, malah tidak berusaha untuk cuba faham tentang pemikiran dan gagasan besar lagi sejagat, terutama di kalangan pemain politik.
Paling menonjol penentangan 'on the spot' terhadap sesuatu pemikiran gagasan lazimnya berlaku di kalangan mereka yang berpolitik secara jumud, berfikiran sempit dan kementot.
Tambah parah lagi di kalangan mereka yang taksub membabi buta kerana tidak banyak menggunakan otak berakal membuat pertimbangan, apatah lagi merujuk al-Quran dan Hadis sebagai rujukan sebelum menimbangkan sokongan atau bantahan terhadap sesuatu gagasan.
Golongan ini lazimnya akan menilai kecenderungan politik seseorang berdasarkan kepada kopiah atau songkok, jubah atau kot yang dipakai serta warna yang diminati sama ada biru atau hijau. Golongan jenis ini pada pemerhatian saya banyak terdapat dalam Pas. Sebagai presiden parti yang diterajuinya, Dato' Seri Haji Hadi tahu tahap pemikiran pendukung dan penyokong parti itu.
Justeru tidak hairanlah apabila beliau yang menggagaskan keajaan perpaduan telah memilih menarik balik/membatalkan gagasannya itu ketika edah muktamar agung pemilihan parti yang dipimpinya kerana dikatakan popularitinya agak menurun kerana gagasanya itu, malah kalau ada pencabarnya, beliau mungkin akan kecundang.
Walaupun pembatalan dibuat kononnya kerana pertukaran pucuk pimpinan negara, namun bukan semua rakyat negara ini boleh terkelentong atau boleh dialih tumpuan merela terhadap apa yang sedang berlaku dalam Pas dengan dipindah arah kepada isu-isu yang sengaja dicipta.
Kepada saya pembatalan ke atas gagasan itu tidak mampu mengekang kemerosotan popularitinya, malah umum, termasuk pendukung dan penyokong Pas akan melihat beliau sebagai seorang yang tidak statik dalam soal apa yang diboleh dan tidak dibolehkan dari sudut hukum hakam dalam berpolitik.
Pernah pada suatu ketika bekerjasama dengan bukan Islam dikatakan tidak boleh, malah kerana Umno berkomponen dengan parti-parti milik bukan orang Islam dalam BN, maka Pas menentang Umno.
Tetapi akhirnya Pas boleh bekerjasama dengan DAP yang terang-terang menentang hasrat Pas menubuhkan negara Islam sedangkan part-parti yang berkomponen dengan Umno dalam BN tidak bersikap sebagaimana DAP.
Pada saya kemerosotan populariti Dato' Seri Haji Hadi bukan kerana gagasan kerajaan perpaduan tetapi kerana sikap dan sifatnya sendiri yang jarang istiqamah dan sering berubah-ubah sedangkan pendirian dan pendekatannya apabila mendapati apa yang dikata, pendekatan dan pemikiran boleh menyebabkan beliau menghadapi kemerosotan populariti.
Walhal bentuk kerjasama atau pembentukkan kerajaan perpaduan itu sendiri pelbagai sifat, natijah dan realitinya. Tidak semestinya Pas kena masuk Barisan Nasional (BN) dan sama-sama menjadi kerajaan bagi tujuan kerjasama dan pembentukkan kerajaan perpaduan.
Sebaliknya Pas boleh terus kekal sebagai pembangkang kerana tugas, tanggungjawab dan kewajipan berbakti pada agama, bangsa dan negara terpikul turut terpikul sama di atas bahu pembangkang yang mana tugas kepembangkangan menjadi sesuatu yang amat penting dalam amalan demokrasi.
Pembangkang pada hakikatnya sama pentingnya dengan peranan kerajaan kepada sesebuah negara. Kerajaan akan mampu jadi hebat kalau pembangkangnya kuat dan hebat. Kerajaan yang sering ditegur dan dikritik akan sentiasa berada dalam keadaan sentiasa merasa perlu mengatasi dan membaiki segala kelemahan.
Kerajaan akan lemah dan tidak bermaya kalau kerajaan saja kuat tetapi pembangkang lemah. Kerajaan akan leka dalam kelemahan jika terbuai oleh bodek dan ampu. Sebaliknya kerajaan yang lemah boleh jadi kuat kalau pembangkang kuat dan kualiti bangkangan oleh pembangkang sentiasa dalam bentuk yang membina sifatnya, telus dan telus.
Bagi saya kalau kerjasama atau kerajaan perpaduan yang dimaksudkan menterpaksakan Pas menjadi sebahagian dari BN saya tidak bersetuju dan ianya tidak melabakan agama, bangsa dan negara serta amalan demokrasi.
Pas kena menjadi sebagaian komponen BN, jika itu menjadi formula kerjasama/keajaan perpaduan, ianya akan merugikan negara dari sudut kepentingan politik, malah jika itulah yang menjadi syaratnya, kerajaan yang ada akan lebih cepat tumbang kerana suara kepembangkangan yang dimiliki Pas yang memang ada keupayaan jitu untuk memikul tugas kepembangkangan demi kepentingan agama, bangsa dam negara itu akan terkunci
.

No comments: