Saturday, April 25, 2009

MUNCUL KEMBALI (156)

Zahid perlu kekentalan kerjasama kukuhkan Umno Pulau Pinang

BERBANDING dengan ketua-ketua badan perhubungan Umno di negeri-negeri lain, tugas Menteri Pertahanan Dato' Seri Zahid Hamidi lebih berat, bukan sahaja kerana negeri berkenaan dikuasai pembangkang tetapi beliau menggantikan tempat bekas perdana menteri di samping di negeri berkenaan adalah negeri kepada tokoh besar pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun bekas Pengeusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri kelima yakin dengan keupayaan Zahid, namun tugas yang dipikul Zahid amat berat.
Beliau memerlukan kekentalan kerjasama semua lapisan pimpinan dan ahli Umno negeri berkenaan bagi memudahkan beliau menyusun strategi untuk memperkuatkan Umno dan sekaligus akan menjadikan Barisan Nasional (BN) akan ikut kuat dan mantap sama.
Maknanya selain dari memerlukan kesepakatan yang padu dan jitu dari orang Umno untuk sama-sama menjinjing, menggalas dan memikul tugas bagi mengembalikan kekuatan, Zahid turut memerlukannya dari parti-parti komponen BN seperti Gerakan, MCA, MIC dan lain-lain.
Seandainya BN menang dalam pilihanraya kecil penanti yang dikosongkan oleh wakil rakyatnya yang bertegas akan meletak jawatan sebagai ADUN selepas beliau juga meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I, maka ianya akan mencari gambaran awal tentang apa yang bakal berlaku pada pilihanraya umum ke-13 nanti.
Pada saya Zahid akan menggunakan kebijaksanaannya untuk tidak mempedulikan apa yang sedang berlaku antara DAP-PKR di Pulau Pinang yang kocahnya tidak mustahil akan menjadi gelombang dan tsunami, sebaliknya akan diberi tumpuan tentang faedah besar yang akan rakyat nikmati jika Pulau Pinang dibawah pemerintahan BN.
Gelombang dan kocah dalam Pakatan Rakyat (PR) yang menimbulkan ketegangan antara DAP-PKR lebih bersifat masalah dalaman PR dan bukti kerapuhan ikatan dan simpulan kerjasama parti-parti yang berkonsortium tidak resmai bawah PR dan Umno/BN tidak perlu membuang masa untuk mencampurinya.
Zahid pada saya akan membiarkan PR, terutama DAP+PKR terjun dengan labu-labunya dalam menghadapi krisis dalaman dengan beliau pula memberi tumpuan kepada meyakinkan rakyat jelata tentang kelebihan dan keistimewaan Umno/BN sebagai parti yang berpengalaman menjadi kerajaan pusat lebih 50 tahun.
Sistem memaksa atau membeli sokongan dengan kebendaan dan janji-janji materialisme diharap tidak akan menjadi pendekatan Zahid, sebaliknya beliau kena menggunakan sistem jualan yakni memastikan barang jualan adalah yang terbaik dari jualan saingan.
Pendekatan pijak bakul tapai orang lain supaya pembeli hanya ada satu pilihan adalah sistem dan pendekatan yang sudah tidak sesuai dengan keadaan sekarang. Maksudnya sistem dan pendekatan memakin hamun dan memburuk-burukkan saingan sudah tidak sesuai.
Yang perlu digunakan ialah sistem dan pendekatan menerangkan tentang apa lebihnya Umno/BN berbanding dengan saingan dengan tidak menafi dan menidakkan kebaikan dan kelebihan saingan yang mahu tidak mahu kena diperakukan masalah yang kena dihadapi apabila bukan menjadi kerajaan di pusat.

No comments: