Thursday, April 30, 2009
MUNCUL KEMBALI (162)
Retak menunggu belah
WALAUPUN Pas pusat tolak hasrat Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang yang mahu meletakan calon dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Penanti yang mana Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah pun calonnya untuk bertanding di kawasan berkenaan, namun retak yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) mustahil dapat dikawal dari menjadi semakin kritikal.
Penerimaan pengundi pada sesuatu kawasan pilihanraya bukannya bersandar kepada keputusan pucuk pimpinan parti atau bergantung kepada kehebatan dan ketokohan penceramah-penceramah yang didatangkan khas dari luar negeri dan kawasan sesuatu pilihanraya diadakan berkempen.
Ianya banyak bergantung kepada kocak dan ombak di kawasan dan negeri terbabit. Bantuan dari luar, termasuk dalam bentuk kempen, rangka, kerangka, pelan, strategi dan gerak saraf adalah sebagai pelengkap dan tokok-tambah sahaja, itu pun kalau kalau pendekatan, teknik dan taktik yang digunakan selari serta senada dengan kocak dan ombak masyarakat setempat.
Pada hemat saya, Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, apatah lagi Pas di kawasan Penanti tidak akan memberikan kerjasama kepada PKR dalam pilihanraya kecil nanti apabila Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang berhasrat mahukan Pas bertanding di kawasan berkenaan.
Tidak mustahil kes Penanti boleh menyumbang kepada 'retak membawa belah' bagi PR, terutama kepada pakatan rapuh kerjasama Pas-PKR-DAP di Pulau Pinang dan terusnya akan menular ke seluruh negara.
Juga tidak mustahil akan timbul rasa kurang senang Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang terhadap Pas usat yang 'tidak ikut angin' mereka sedangkan sebagai anak tempatan mereka lebih tahu dengan apa kehendak pengundi di Penanti berbanding dengan Pas pusat.
Hakikatnya Pas-DAP memang tidak boleh tidur sebantal, makan setalam dan minum segelup kerana DAP tidak pernah setuju dengan dasar dan pendekatan Pas dalam berparti politik dan berpolitik. Bila Pas-PKR pula tidak 'ngam' lagi, mahu tidak mahu PR akan cacat dan punah.
Para pengalisa politik yang benar-benar profesional, tulus dan telus dalam penganalisaannya pasti sukar untuk mengukir dan menita alasan macam mana parti-parti dalam PR boleh bertahan lama dalam kesepakatannya yang tidak diikat oleh ikatan rasmi.
Parti-parti komponen PR yang bergantung kepada pakatan itu ibarat hanya bergayut pada dahan yang mumut dan rapuh kerana keriga-tiganya tidak ada kesehaluanan dan kesejaluranan matlamat serta tujuan bersepakat dalam PR.
Ini adalah kerana PR itu kewujudannya tidak pernah rasmi sebagaimana rasminya penubuhan Barisan Nasional (BN) yang menjadi konsortium kepada pakatan parti yang semua kaum dan pelbagai penganut agama.
Mahu tidak mahu dan lambat atau bangat, PR akan lebur dan parti-parti yang berada dalam ikatan PR itu sendiri akan bercakaran sesama sendiri. Pada hemat saya PAS-PKR-DAP akan berantakan dan bercakaran sesama sendiri sebelum penggal pilihanraya umum ke-12 berakhir.
Kes yang berlaku di Penanti membuktikan betapa PR sedang dalam keadaan 'retak menunggu belah'. Sebarang penafian terhadap hakikat bahawa PAS-PKR-DAP sentiasa dalam keadaan tidak pernah ada kesehaluanan dan kesejaluranan hakiki dari matlamat serta tujuan samalah seperti cuba menyembunyikan ribuan ekor gajah di sebalik sehelai daun lalang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment