Pas semakin kehilangan identiti
ENTAH kerana Pas mula dibanjiri oleh golongan profesional, terutama pada barisan kepimpinannya atau pun kerana pimpinan dan ahli parti buta sejarah dan matlamat serta tujuan penubuhannya, maka akhir-akhir ini timbul pertikaian: ada yang mahu Pas terus diketuai kepimpinan ulamak dan ada yang sebaliknya.
Kepada saya, tanpa diterajui oleh kepimpinan ulamak, Pas telah dan akan tergelincir dari matlamat serta tujuan penubuhannya, malah tanpa dikepalai oleh kepimpinan ulamak, Pas tidak akan ada apa-apa perbezaannya dengan parti-parti lain yang ada di negara ini, termasuk dengan Umno dan memang layaklah kalau keduanya merancang menubuhkan keajaan perpaduan.
Sayugia diketahui bahawa Pas itu sendiri adalah merupakan parti politik serpihan Umno. Usaha mewujudkan Pas dirintis oleh sekumpulan ahli Umno di kalangan mereka yang berpendidikan dan mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap Islam yang mahukan parti politik yang menggunakan pendekatan Islam dalam perjuangannya.
Penubuhan Pas itu bertunas, bercambah dan merimbun ekoran dari berlangsungnya persidangan ulamak yang diadakan pada 24 November 1951 di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah Butterworth, Pulau Pinang.
Mudir sekolah bekenaan, Haji Ahmad Badawi Abdullah Pahim (ayahnda kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas perdana menteri ke-5) bertindak sebagai tuan rumah persidangan berkenaan.
Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah adalah antara sekolah agama rakyat terkemuka pada waktu itu yang banyak melahirkan para ilmuan Islam, bukan sahaja di negara ini tetapi juga pada peringkat nusantara.
Selepas ditubuhkan Pas, hampir keseluruhan sekolah-sekolah agama rakyat di Perak, Seberang Pari, Kedah, Selangor, Kelantan dan Terengganu telah menjadi pendukung utama gerakan politik berteraskan pendekatan Islam bagi memperjuangkan kemerdekaan tanahair.
Madrasah-madrasah al- Khairiyah (Pokok Sena), Madrasah Taufiqiayah (Yan), Madrasah an-Nahdah (Bukit Besar), Madrasah al-Akhlak (Gua Chempedak), Madrasah Yahyawiah (Padang Rengas), Madrasah al-Akhlak (Masjid Tinggi), Madrasah ad-Diniah (Bagan Serai), Madrasah al-Ulum as-Syari'yyah (Bagan Datoh), Madrasarh Ahmadiyah (Kota Bharu) dan Madrasah az-Zaininiayh (Dungun) adalah yang menjadi sekolah agama rakyat terawal mendukung perjuangan Pas.
Sebelum tahun 1990, sekolah-sekolah agama rakyat bukan sahaja menjadi pusat gerakan Pas tetapi turut menjadi penyokong utama dan kilang melahirkan pimpinan Pas yang mana sebahagian besar dari pimpinan parti berkenaan yang kelulusan pendaftarannya amerupakan seorang pegawai beragama Hindu adalah guru-guru lepasan sekolah agama rakyat.
Manakala gerakan dewan pemuda selaku sayap penting bagi menguatkan lagi perjuangan Pas bermula di Kedah apabila sekumpulan pelajar Maktab Mahmud yang diketuai Jamaluddin Amini Marzuki menubuhkan Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KEPAK) yang disertai oleh para pelajar sekolah agama rakyat seluruh Kedah pada tahun 1954.
KEPAK kemudiannya dikembangkan menjadi Kesatuan Pelajar Agama Islam SeMalaya (KPAS) yang telah mendapat sokongan guru-guru dan para pelajar sekolah-sekolah agama rakyat seluruh negara. KPAS menjadi gerakan pelajar Islam peringkat kebangsaan pertama ditubuhkan yang berfungsi melahirkan kader-kader parti.
Pada tahun 1956 wujud cawangan pertama bagi KPAS yakni Kesatuan Pelajar Islam Perak (KEPIP). KPAS telah menerima tekanan daripada kerajaan Perikatan (kini Barisan Nasional) selepas merdeka dan ianya berkubur pada tahun 1960.
Bagi mengisi kekosongan itu, pada tahun 1961 bekas-bekas ahli KPAS yang menyertai institusi pengajian tinggi sama ada di Kolej Islam Malaya, Institusi Bahasa, Universiti Malaya, Kolej Pertanian Serdang dan Maktab Teknik Kuala Lumpur telah mengasaskan Persatuan Kebangsaan Islam Tanah Melayu (PKPITTM).
Jika dilihat kepada perjalanan Pas dari tahun 1951 hingga 1990, Pas dibayangi, ditulang-belakangi, dipasaki, ditunjangi dan ditiang-serikan oleh mereka yang berpenddikan agama yang masing-masing saling tolak menolak untuk diberikan sesuatu jawatan. Masing-masing enggan menjadi pemimpin tetapi lebih suka menjadi yang dipimpin.
Hanya bermula pada tahun 1990, apabila Pas bersepakat dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) barulah parti itu mula dibanjiri oleh golongan yang dikategorikan sebagai golongan profesional dan mula berlaku perebutan jawatan, lebih ramai yang lrasa diri sendiri layak menjadi pemimpin sehingga berlaku pertandingan merebut jawatan.
Usrah dilupakan, upacara-upacara rasmi parti bukan lagi diadakan di ladang-ladang getah, di tengah sawah atau pelbagai tempat yang serba tidak selesa, sebaliknya diadakan di hotel-hotel mewah, adakalanya siap dengan acara hiburan yang melibatkan artis.
Pada saya Pas sedang kehilangan identiti dan tidak hairanlah kalau timbul cadangan supaya Pas tidak semestinya diterajui oleh kepimpinan ulamak, malah semakin hari semakin jelas menampakkan pendekatan Pas berparti politik dan berpolitik hampir menyamai Umno/BN.
Saturday, May 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment