Sunday, May 3, 2009

TAKZIAH (1)/4/2009

Jasamu tetap dikenang bagi mereka yang mahu mengerti tentang nilai perjuangan dan pengorbanan

HIDUP berkonsep dan berprinsipkan sentiasa tulus dan telus, berkecuali tanpa berpihak dan tanpa prejudis (atas gemanat gemulah tokcik supaya jangan melihat komunis Melayu sebagai petualang kerana mereka adalah pejuang. Kalau boleh, jumpa mereka untuk dapat cerita sebenar), mendorong saya menemui Haji Abdullah CD suami isteri, Haji Rashid Maidin suami isteri, Haji Abu Samah Mohd. Kassim (tanpa pernah bertemu muka dengan isterinya) serta bekas anggota Rejimen Ke-10 PKM (atau Rejimen Ke-10 Tentera Rakyat Malaya).
Saya berkesempatan beberapa kali berkunjung ke Chulabhorn Patana 12 (Kampung Perdamaian Sukhirin) T. Shukhirin, A.Sukhirin, C. Narathiwat yang menempatkan anggota Rejimen Ke-10 yang turut menempatkan Pengerusi PKM, Haji Abdullah CD.
Saya juga berkesempatan beberapa kali ke Perkampungan Malaysia di Yala, sebuah lagi tempat penempatan anggota Rejimen Ke-10 yang turut menjadi tempat pemastautinan Haji Rashid Maidin yang merupakan orang Melayu pertama menyertai PKM.

(Keterangan gambar: Allayharham Haji Abu Samah, isteri, bekas anggota Rejimen Ke-10 pada majlis tahlil dan rumah Allahyarham Bapak Abu Samah).

Saya berkesempatan bercakap secara terus dengan Haji Abdullah CD mahu pun Haji Rashid Maidin dan jua Haji Abu Samah tentang apa itu Rejimen Ke-10 serta PKM, malah sempat bertanya mereka tentang apakah benar mereka menganut fahaman TIDAK BERTUHAN.
Hasil pertemuan itu dan melihat di perkampungan mereka ada masjid, maka saya mula menolak warna KEPETUALANGAN mereka yang disumbat masuk ke dalam kepala setiap warga negara ketika di bangku sekolah melalui matapelajaran sejarah beteraskan versi penjajah.
Bagi saya mereka adalah PEJUANG yang TERBUANG di mata warganegara yang buta sejarah, yang hanya merdeka dalam bentuk fizikal tetapi pemikiran dan penilaian terhadap sejarah pejuang kemerdekaan masih dijajah oleh penjajah yang tidak akan padam dendamnya terhadap pejuang bangsa bermaruah.
Saya menangis menerima khabar kematian Haji Rashid Maidin. Sedih saya memikirkan betapa malangnya nasib seorang pejuang kemerdekaan yang terpaksa menghembuskan nafas terakhirnya di bumi asing dan juga disemadikan di bumi asing walaupun pada para pejuang itu sendiri barangkali Selatan Thai adalah sebahagian dari bumi warisan nenek moyang.
Pagi ini secara tidak sengaja saya terbaca blog milik Prajurit Mat Amin yang dibanggai oleh Haji Abdullah CD serta Haji Rashid, tentang kematian Bapak Haji Abu Samah Mohd. Kashim, seorang anggota kerja pusat PKM dan merupakan antara panglima perang Rejimen Ke-10 yang saya sendiri pernah dengar rakaman kekagumannya terhadap Mat Amin.
Sayangnya sepanjang kunjungan saya ke Kampung Perdamaian, saya tidak berpeluang bersua muka dengan Mat Amin sebagaimana saya tidak berpeluang bersua muka dengan isteri Bapak Abu Samah, Ibu Siti Norkiah Mahmood Baginda atau Tun Minah yang merupakan antara pejuangnita kemerdekaan negara walaupun saya singgah di rumah ketika kunjungan ke Kampung Perdamaian.
Sekali lagi saya menangis bila mengenang sikap kebapaan Bapak Abu Samah yang mana menampakkan kegembiraan yang amat sangat bila dikunjungi, apabila mengetahui tentang kematiannya. Beliau adalah bekas anggota tentera yang pernah bertugas di Kem Pengkalan Chepa Kelantan, juga merupakan antara orang kuat Umno Temerloh sebelum menyertai perjuangan bersenjata bagi kemerdekaan negara.
Selain dari gagah berani dan berkemahiran dalam berperang, Bapak Abu Samah juga merupakan seorang yang mempunyai daya pidato yang menarik dan memukau. Selepas termentarainya perdamaian dan PKM menghentikan perjuangan bersenjata, beliau menghasilkan beberapa buah buku.
Berikut asalah adalah petikan lapuran blog Mat Amin (beliau kini sudah berusia 60 tahun):
Setelah meninggalkan rumah kira-kira sebulan lebih lalu, kini Ibu Siti Norkiah Mahmood Baginda (lebih dikenali dengan panggilan Tun Minah oleh rakan seperjuangannya disini), kini telah pulang ke rumahnya di Kampung Chulabhorn Patana 12, (Kampung Perdamaian Sukhirin) T. Sukhirin, A. Sukhirin, C. Narathiwat.
Tun Minah adalah bekas Ketua Awas Pahang dan kader Rejimen Ke-10 Tentera Rakyat Malaya.
Beliau meninggalkan rumah kerana menjaga suaminya Allahyarham Abu Samah yang sakit berat di Hospital Sungai Golok.
Allahyarham Abu Samah mengidap sakit paru-paru, sakit jantung, sakit buah pinggang dan sakit kencing manis.
Kerana itu Allahyarham beberapa kali dimasukkan ke bilik ICU.Semasa di hospital beliau sentiasa menerima kunjungan rakan-rakan seperjuangan dan sanak saudara baik di Thailand mahupun di Malaysia.
Hidup mati manusia sudah ditakhdir oleh Allah (S.W.T.) Pada 6 April, keadaan sakit Allahyarham Abu Samah menunjukkan tanda-tanda positif, tekanan darah dan keadaan jantung kembali normal.
Pihak doktor telah mengeluarkan beliau dari bilik ICU.
Akan tetapi pada keesokannya, kira-kira pukul 5 am, Allahyarham kembali ke rahmatullah dengan tenang di Hospital Sungai Golok.
Allahyarham disemadikan di Perkuburan Besar Sungai Golok. Ibu Siti Norkiah berkabung untuk Allahyarham suaminya di rumah saudaranya di Sungai Golok.Pada 20 April, Bapa Abdullah C.D. dan Ibu Suriani telah menghantar kereta khas untuk menjemput Ibu Siti Norkiah pulang ke kampung.
Di rumah, rakan-rakan seperjuangan berdahulu kemudian datang menyampaikan takziah dan memberikan semangat kepada beliau supaya tabah menghadapi dugaan Allah dan untuk terus meniti hidup di penghujung usia.
Pada sebelah malam pula, rakan-rakan seperjuangan mengadakan majlis tahlil dan berdoa di rumah beliau.
Semoga Allah Subhanahuwataala meletakkan roh Allahyarham Abu Samah di kalangan orang-orang yang dikasihi Allah. Amin

NOTA: 1) Pada kesempatan yang ada saya tetap akan kunjungi bekas anggota Rejimen Ke-10, malah saya harap dapat bertemu Mat Amin dan juga Tun Minah kerana ada banyak lagi maklumat saya perlu bagi melengkapkan buku saya mengenai Rejimen Ke-10 dan tokoh PKM Melayu.
2) Haji Abdullah CD laki bini, Allahyarham Rashid Maidin laki bini dan Allahyarham Abu Samah laki bini menunaikan fardhu haji atas pembiayaan Kerajaan Malaysia.

No comments: