Wednesday, May 6, 2009

MUNCUL KEMBALI (168)

Meli dendami Pas?

MELI dulu jauh berbeza dengan Meli sekarang. Dulu banyak tulisan Meli sama ada dalam bentuk makalah mahu pun buku-buku yang diterbitkan condong kepada Pas belaka tetapi sekarang adalah sebaliknya.
Meli dendami Pas kerana dikeluarkan dari Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Pas Kelantan? Itu pertanyaan yang di SMSkan kepada saya oleh seorang penyilau-kelih blog saya ini yang kurang berpuashati dengan rencana khas menjelang muktamar agung Pas yang saya posting semalam.
Berhujahkan KERANA KONTRAK SAYA TIDAK DISAMBUNG DI URUSETIA PENERANGAN KERAJAAN PAS KELANTAN dikaitkan dengan perubahan persepsi saya terhadap Pas kononnya kerana dendam dan kecewa. Hujah dan kaitan itu terlalu streotaip dan klise sebenarnya.
Perlu saya hujah dan tegsakan bahawa bukan kerana kontrak saya tidak disambung di Urusetia Penerangan Kerajaan Pas Kelantan, tetapi KERANA SAYA DITAKDIRKAN BERTUGAS SELAMA KIRA-KIRA LAPAN TAHUN DI URUSUSETIA PERNERANGAN KEAJAAN PAS KELANTANlah menyebabkan persepsi saya berubah terhadap Pas.
Mereka yang bertanggungjawab dan berjaya menarik saya masuk ke Urusetia Penerangan Kerajaan Pas Kelantan yang pastinya bangga dengan kejayaannya itu, barangkali kini dilanda kekesalan yang amat sangat kerana ianya bersifat kejayaan yang bukan membawa laba tetapi membawa bala.
Saya masuk ke Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKn) bukan atas nama orang parti 'politik' tetapi atas nama profesionalisme sebagai pengamal media.
Saya bukan bawa mata, hati, perasan, apatah lagi ketaksuban parti politik ke dalam UPKn tetapi saya membawa mata, hati dan perasaan seorang pengamal media yang berprinsipkan REDAS DAN REDAH TANPA KOMPROMI.
Saya akui kecenderungan awal saya terhadap politik memang kepada Pas kerana guru secara tidak langsung dalam ilmu politik dan penulisan saya adalah Allahyarham Dato' Haji Muhammad bin Nasir (Dato' Biji Sura) yang ada ladangnya (Ladang Puar) di kampung kelahiran saya, Rong Chenak.
Selepas berhenti sekolah kerana memberi laluan kepada adik-adik seibu bersekolah, saya bekerja di ladangnya sebagai pengendali kereta bajak KUBOTA. Kebetulan saya tidak dilahirkan dalam keluarga tidak berada, di samping berdepan dengan masalah perceraian ibu dan ayah.
Sebagai seorang yang meminati bahan bacaan, bila bercakap tentang politik dan isu-isu semasa, kebetulan apa yang Allahyarham tahu saya pun tahu, malah kadang-kadang maklumat saya lebih advance darinya tentang sesuatu isu.
Kerana itulah Allahyarham tidak mahu saya terus bekeja di ladangnya, sebaliknya beliau mahu saya menyambung pelajarannya, apatah lagi apabila dia mendapat tahu saya ada kecenderungan dalam bidang karang mengarang apabila tulisan-tulisan awal saya tersiar di akhbar dan majalah tempatan.
Barangkali kerana mahu membimbing saya tentang teknik mengarang yang betul (ketika itu beliau adalah timbalan menteri besar) hampir setiap minggu beliau ke ladangnya dan di sebuah rumah khas yang dibina untuk jalankan kerja karang mengarang (Allahyarham adalah penulis yang menghasilkan buku USUL LIMA, MANUSIA KE BULAN dan lain-lain), beliau meminta saya mencatat apa yang disebutkannya sambil baring di 'keusi malas'.
Yang disuruh catat itu rupanya novelnya yang berjudul 'PECAH HATI' yang memaparkan kisah benarnya ketika menjadi volunteer menentang Jepun. Dalam satu pertempuran, semua rakan-rakan seperjuangannya mati, cuma beliau seorang sahaja yang hidup.
Beliau terselamat kerana mayat rakannya diletak ke atas badannya yang bepura-pura mati. Askar Jepun yang kejam sifatnya semasa membuat pemeriksaan ke atas mayat-mayat lawannya akan membenamkan benet senapang ke setiap mayat bagi memastikan semua yang nampak mati benar-benar mati.
Oleh kerana mayat rakan yang diletakkan ke atas badannya agar besar, maka apabila mata benet dibenam, hujungnya tidak sampai menembusi badan Allahyarham dibawah yang mendakwa tidak pernah berhenti membaca Qulhuallah sepanjang berlangsungnya pertempuran.
Bila saya mencelah kata 'Ayah Mat' (panggilan mesra orang kampung saya terhadapnya) menipu askar Jepun dengan perbuatannya itu, Allahyarham berkata perbuatannya itu bukan menipu namanya tetapi ianya merupakan suatu bentuk politik bagi menyelamatkan diri.
Apa yang dicakapkan dan disuruh catat itu saya catat menggunakan tulisan jawi dan amalan itu kekal hingga kini dalam membuat catatan. Saya tidak tahu ke mana peginya novelnya itu tetapi saya yakin ianya belum diterbitkan kerana selepas itu beliau agak sibuk dengan kerja politik dan saya pula jarang bertemu dengannya.
Ini adalah kerana atas saranannya saya sambung belajar di Maktab Adabi Pasir di samping semakin giat menulis di akhbar dan majalah bagi menampung perbelanjaan. Adakalanya saya mencungkil sisa-sisa getah yang lekat pada penadah susuh getah untuk dijual dan dapat pebelanjaan sekolah.
Saya bertemu kembali dengannya pada majlis penyerahan mesin rumput dan alat siaraya untuk Madrasah Al-Balaghulmubin oleh Kumpulan Akhbar Watan (KJ) Sdn Bhd yang menerbitkan Harian Watan.
Sebagai ketua biro kepada akhbar berkenaan di Kelantan, sebelum menyerahkan sumbangan itu, saya diminta memberi ucapan. Saya adalah murid tua madrasah berkenaan dan Allahyarham pula adalah penaung seumur hidup madrasah yang diasaskannya.
Selesai menyampaikan ucapan dan saya kembali duduk di sampingnya, saya melihat airmatanya mengalir di pipi. "Jadi orang juga mu. Orang Rong Chenak patut bangga, mu jadi ketua biro, pangkat besar, gaji besar tapi tak lupa kampung halaman" ngomelnya yang pernah menyatakan bahawa antara politik dan wartawan/penulisan, saya diminta memilih bidang kewartwanan/penulisan yang katanya akan berpeluang menegur banyak pihak, termasuk orang politik dan kerajaan.
Allahyarham melahirkan kebanggaannya kerana saya memilih bidang kewartawanan dan bukan 'dok bergila dengan poltik' yang sering diucapkannnya bahawa mata pena wartawan/penulis lebih tajam dan lebih berbisa dari mata pedang.
Katanya, berbanding dengan pencapaiannya dalam bidang politik sehingga mencapai tahap menjadi timbalan menteri besar, menteri dan menteri besar, namun beliau lebih berbangga dengan kejayaannya menghasilkan buku-buku USUL LIMA, MANUSIA KE BULAN dan lain-lain. Antara buku-bukunya itu diterjemahkan ke bahasa Arab dan Inggeris dan turut dipasarkan di eropah dan negara-negara Arab.
Saya nukilkan ini adalah bagi menegaskan bahawa saya bukan baru kenal Pas, malah sejarah penubuhan Pas dan pegawai pertubuhan yang meluluskan pendaftaran Pas pun ada dalam kepala saya. Saya akui matlamat penubuhan Pas itu sangat baik, sama seperti amat baiknya tujuan penubuhan Umno, malah Barisan Nasional (BN) itu sendiri atau asalnya dinamakan PERIKATAN yang berlambangkan kapal layar sebelum ditukar kepada lambang dacing.
Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) memang cukup faham dengan matlamat sebenar penubuhan Pas, malah seringkali diucapkan bahawa Umno ditentang bukan kerana namanya Umno tetapi kerana dasarnya. Jika Umno dasarnya yang memilih pendekatan politik Islam, maka beliaulah pimpinan Pas pertama yang akan masuk Umno, malah Pas kena dibubarkan kerana haram untuk terus ujud.
Selagi Umno kekal dengan dasarnya yang ada, maka Pas terpaksa terus menentang (membangkang) kerana mewujudkan pemerintahan Islam di negara majoriti rakyat beragama Islam adalah suatu tuntutan. Beliau dengan bangga berkata Kerajaan Membangun Bersama Islam tidak ada TOL, tidak ada amalan UNDER-TABLE, maknanya tidak ada unsur-unsur yang tidak baik.
Melihat kepada ilmu amalnya, maka saya yakin Tok Guru benar. Kerana itu pada awal pemerintahannya saya banyak menulis menyokong Pas, malah banyak menghabiskan wang simpanan (sehingga sekarang kering kontang) mengeluarkan berjudul-judul buku. Mungkin kerana itu bila mendapat maklum saya tidak lagi bertugas dengan Harian Watan, maka ada utusan dari Kerajaan Pas Negeri Kelantan mengajak, malah memujuk saya menyertai kerajaan di UPKn.
Tak kenal maka tak cinta, kalau tak masuk dalam kandang kambing atau kerbau masakan kita boleh tahu feel perangai kambing atau kerbau dengan erti kata sebenar.
Bila dah masuk ke UPKn, apatah lagi tanpa berbekalkan 'TAKSUB' terhadap parti, maka banyak lompang-lompang yang ditemui. Tok Guru memang tulus dan beliau menganggap semua orang Pas dan orang dalam kerajaan terutama pegawai-pegawai perlantikan politik tulus belaka.
Demi prinsip sebagai pengamal media, saya tidak boleh berbohong pada hati dan perasaan saya sendiri bahawa Kerajaan Pas Kelantan betul-betul suci, sekurang-sekurangnya sebagaimana yang diharap, malah dan dimaklumat serta ditaklimatkan kepada Tok Guru sebagai menteri besar. Tetapi keadaan sebenarnya hanya Allah sahaja yang tahu. Kerana itulah saya tidak lagi cenderung kepada Pas sebagaima cenderungnya mereka yang tidak pernah masuk ke dalam Kerajaan Pas atau pun orang yang masuk bersama 'TAKSUB'. Pada saya Tok Guru sedang dianiaya kerana sebagai ketua kerajaan, di akhirat nanti beliau akan disoal semuanya.
Saya hormati dan kagumi Tok Guru hingga hujung nyawa dan kerana itulah saya sentiasa membuat teguran dan kritikan pedas terhadap kerajaan pimpinnnya sehingga ramai orang Pas, termasuk dari kalangan yang masih hingusan berparti politik dan berpolitik, memandang negatif terhadap saya.
Saya bersedia dimarah, dibenci dan dipandang negatif oleh semua orang, termasuk oleh Tok Guru sendiri asalkan saya tidak dimarahi Allah kerana tidak menggunakan bakat kepengarangan untuk membuat teguran dan peringatan. Soal ikhlas atau ada udang di sebalik mee Kuala Sepetang menyaluti teguran saya, biarlah Allah yang menilainya.
Sesungguhnya orang yang sayangkan ayahnya yang mengidap penyakit kencing manis tidak akan memberikan macam-macam makanan dan minuman yang manis, kecuali madu, kepadanya ayahnya. Sebaliknya akan dipastikan si ayah berpantang makan minumnya di samping akan diberikan ubat yang pahit-pahit belaka.
Saya kagum dengan langkah berani Ustaz Nik Abduh yang memaparkan tentang kerenah mereka di sekeliling ayahndanya. Bagi saya Tok Guru kena berhenti menganggap orang Pas berperibadi macam beliau belaka kerana sikap dan perlakuan orang di sekeliling boleh menjejaskan prestasi dan reputasi beliau. Pas memerlukan lebih ramai pemberani macam Ustaz Nik Abduh.
Berbanding dengan saya dan sekalian makhluk di dunia ini, Ustaz Nik Abduh lebih tahu tentang Tok Guru sebagai ayahndanya. Justeru itu apa yang Ustaz Nik Abduh suara dan harapkan tidak boleh ditolak mentah-mentah dan diprejudis.
Kalau boleh unsur-unsur semacam memBERHALAkan sesama manusia oleh kalanangan yang taksub dalam Pas kena dihapuskan, termasuk oleh tokoh berani seperti Ustaz Nik Abduh.
Saya yakin walaupun apa yang dimisikan dalam perjuangannya diharap mendapat sokongan padu, tetapi Tok Guru tidak mengharapkan ketaksuban terhadap dirinya sehingga mencapai ketahap semacam memBERHALAkan sesama manusia.
Yang penting adalah kedaulatan Islam. Untuk itu jika didapati Tok Guru ada lakukan kesilapan kecil atau besar, maka kena ada keberanian menegur sebagaimana beraninya si tempang bersenjatakan pedang terhunus memberi amaran kepada Umar Ibnu al-Khattab pada hari pelantikan Umar sebagai khalifah ar-rasyidin yang kedua, jika Umar tidak laksanakan pemerintahan berteraskan al-Quran dan sunnah, pedang yang sedang dihunus itulah yang akan memenggal leher Umar.
Berapa orang ada manusia macam si tempang itu ada dalam Pas? Yang ramai adalah kaki bodek dan kaki angguk, sehingga masing-masing (termasuk pimpinan) telupa dan terleka untuk rasa bimbang kalau-kalau apa yang dikerjakan dan dianggap pekerjaan ahli syurga, rupanya pekejaan ahli neraka.
Ianya berlaku kerana budaya tegur mengegur dan ingat memperingati sebagaimana yang terkandung dalam surah Al-Asyr dianggap banyak 'songeh' di samping kalangan yang berani membuat teguran dan peringatan dianggap sebagai pengkhianat perjuangan, sebagai pi dalam sekam, gunting dalam lipatan dan sebagainya, yang bijak bodek dan ampu dapat macam-macam keistimewaan, termasuk peluang mendapat kawasan balak dan sebagainya.

1 comment:

abu muhammad walid ilias said...

assalamualaikum
really rasa nak menangis bila baca tulisan saudara
mmg ada tmpt tak suka bila abg li kritik pas, tapi kena kritik bila tak kena.
bukan kritik kerana benci, tetapi kerana sayang sebenarnya.
teruskan saudara...
walaupun ada yang saya tak setuju dgn saudara, namun teruskanlah