PKR parti tidak ada hala tuju?
ARIFF seorang lelaki yang nampak 'moyok' dan sering saya temui di kedai kopi tempat saya bersarapan pagi setiap hari. Orangnya tidak banyak bercakap tetapi bila bercakap hujahnya cukup bermaklumat.Pada pemerhatian saya, dia banyak membaca.
Ada yang beritahu saya dia orang Umno manakala yang lain pula kata dia tidak berparti politik: bila bercakap politik dia akan bedal kiri kanan, jarang benar boleh didengar pujian darinya tentang politik.
"Pada saya orang bodoh ni, hujah bodoh, hujah orang tidak bersekolah tinggi dan tidak bijak berpolitik" itu mukkadimahnya bila berbual dengan saya.
Dia tidak bercakap dengan pelanggan lain di kedai kopi tempat dia bersarapan pagi kecuali dengan saya. Malah dia jarang menjampuk atau mencelah percakapan pelanggan kedai kopi berkenaan.
Kerana pengakuan bahawa dia orang bodoh, hujahnya bodoh, hujah orang tidak bersekolah menyebabkan saya tidak akan lepaskan peluang untuk memulakan perbualan dengannya.
Bagi saya orang yang mengaku bodoh adalah seorang yang cerdik dan merendah diri sifatnya. Kerana itu apabila saya memulakan perbualan atau dia yang memulakan perbulanan, saya sering memberikannya banyak peluang becakap dan saya lebih banyak mendengar.
Lagi pula lebih banyak mendengar dari bercakap itu pula menjadi antara sifat semula jadi saya, mungkin kerana saya tidak berilmu, setidak-tidaknya apa yang didengar akan menambahkan ilmu pengetahuan dan maklumat saya.
Saya juga ingin tahu siapa sebenarnya Ariff kalau tak silapnya nama penuhnya Ariff Abdul Rahman. Sama ada Ariff itu sama dengan Ariff yang turut cergas dalam Persatuan Penulis-Penulis Kelantan (PPK) sezaman dengan Norhisham Mustaffa, Wadi Leta S.A., A. Salam Noor, Hajah Zanariah Wang Abdul Rahman, A. Sani Hassan, Bayu Timur dan sebagainya, saya tak pasti.
Baru semalam, ketika bercakap tentang apa yang berlaku pada persisangan DUN Perak, barulah saya tahu bahawa beliau bersama seorang lagi rakannya yang saya panggilnya Abang Man, apabila dia pecahkan sebahagian dari rahsia siapa sebenarnya dia.
Rupanya dia dan Abang Man banyak membantu tokoh-tokoh Pas termasuk Datuk Seri Hadi Awang ketika Pas belum mencapai tahap kegemilangannya pada tahun 1990, yakni ketika Pas tidak begitu diminati selepas gagal mempertahankan kerajaan pada tahun 1978.
"Saya dan Man yang bawa Haji Hadi, banyak bantu Tok Guru Nik Aziz dan juga Dato' Haji Husam supaya orang ramai di kawasan di Kota Bharu kenali mereka, terutama dalam kawasan yang sekarang ini dikenali dengan DUN Kota Lama dan DUN Bunut Payung" tegasnya.
"Saya amat tidak bersetuju dengan apa yang Tok Guru Nik Aziz kata bahawa beliau serik dengan apa yang Umno lakukan terhadapnya. Apa yang Umno buat terhadapnya?" hujahnya.
Saya hanya diamkan diri.
"Tok Guru Nik Aziz tidak ada pengalaman berorganisasi. Beliau tidak pernah jadi ketua cawangan, dulu dipanggil ranting Pas. Dari seorang guru sekolah buta Kemas, dia jadi ahli Parlimen Pas Kota Bharu Hilir (kini Pengkalan Chepa) ekoran kematian Ahmad Prai sebagai ahloi parlimen kawasan berkenaan.
Sebelum jadi Ahli Parlimen, Tok Guru Nik Aziz tak ada pendirian politik pun. Guru sekolah buta Kemas tu bawah Umno. Maknanya dia pernah kerja dengan Umno. Dia tak akan dapat selami kepayahan pimpinan akar umbi kerana beliau terus berada di tempat tinggi, bukannya naik dari bawah" tegas Ariff.
Apa yang dinyatakannya itu diyakan oleh Abang Man yang mana saya juga mendapat maklum bahawa kononnya beliau adalah orang Umno kerana sikapnya yang tidak pernah memuji Pas, malah Umno juga tidak dipuji pun.
Malah Abang Man pernah terkejut besar bila saya bawa seorang kawan untuk dapatkan cop Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) kerana saya mendapat maklum bahawa beliau adalah PPM.
Rupanya beliau tidak pernah pun jadi PPM atau pun menjadi penghulu kerana orang Umno anggap beliau dan Ariff orang Pas manakala orang Pas pula anggap mereka bedua orang Umno.
"Saya barangkali orang politik tetapi bukan orang parti politik. Cuba tanya Tok Guru, Tok Guru Haji Hadi dan Dato' Haji Husam. Dia ingat ke tidak saya dan Ariff. Dulu kami panggil Tok Guru Nik Aziz dengan 'ustaz', bukannya 'Tok Guru'. Sebenarnya panggilan 'Tok Guru' bagi Dato' Nik Aziz baru saja. Kalau tak silap bermula pada tahun 1990" tegas Abang Man.
"Barangkali tidak ramai orang Pas kenal siapa Ketua Dewan Muslimat Pas Kota Bharu, apatah lagi suaminya yang mewakafkan keretanya untuk kegunaan orang Pas bergerak ke sana ke mari. Masa tu orang Pas sesak belaka, kereta tak ada. Anak pasangan itu (Tengku Amran Shah) dipecat dari jawatan sebagai seorang pegawai PTN tetapi Pas tak pernah bela.
Tidak hairanlah kalau orang macam saya, macam Man dianggap macam-macam, dilupakan, malah dituduh macam-macam kerana ibarat kasut, bila sudah buruk untuk dipakai, akan dicampak buang di mana-mana" celah Ariff.
Beliau menyalahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan raja-raja Melayu dan kedudukan perjawatan dalam kepimpinan beberapa kerajaan negeri tidak bermajoritikan Melayu, malah apa yang berlaku di DUN Perak pun adalah angkara PKR.
Baginya hanya dua parti politik sahaja yang patut menjadi pilihan orang Melayu di negara ini iaitu Umno atau Pas. Kononnya kalau mahukan kemajuan, maka kena jadi orang Umno kerana antara matlamat induk Umno adalah untuk itu dan Umno berjaya mewajahkan negara seperti sekarang.
Kalau mahukan parti yang mirip Islamik, maka kena pilih Pas kerana matlamat induk Pas adalah berpolitik menggunakan pendekatan Islam. Tapi apa matlamat induk PKR? Lama dia berhenti bercakap. Pun begitu saya tidak menjamput atau mencelah. Kemudian dia berkata:
"Matlamat utama PKR adalah untuk memastikan Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Apa cara, termasuk menolak kepentingan Melayu sekali pun akan dilakukan untuk tujuan itu. Padahnya tengoklah apa yang sedang berlaku kepada negara ekoran kewujudan PKR" soal Ariff.
Baginya PKR tidak ada hala tuju selain dari semata-mata untuk melihat Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Hakikatnya parti yang diwujudkan untuk kepentingan peribadi tokoh-tokoh tertentu tidak akan bertahan lama sebagaimana yang telah berlaku kepada S46.
Justeru katanya, orang Melayu yang bijak berpolitik (dicelah dengan perakuan 'pada pendapat bodoh saya'), mereka hanya kena pilih dua parti sahaja yakni Umno atau Pas.
Kalau masih ada yang 'bergila dengan PKR', mahu tidak mahu amalan demokrasi dan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan di negara ini akan porak-poranda.
Baginya gara-gara PKRlah, maka nama baik dan amalan demokrasi negara yang dikagumi dunia selama ini rosak prestasi dan reputasinya di mata dunia gara-gara apa yang berlaku sempena persidangan DUN Perak.
Saturday, May 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment