Thursday, May 7, 2009

MUNCUL KEMBALI (170)

kecoh sempena sidang DUN Perak
PELAKUNYA TUNJUK 'HERO' ATAU 'HEROK'?

MEMALU dan mengAIBkan, itu yang menjeruk rasa bila membaca halaman akhbar harian hari ini yang memuatkan apa yang berlaku sempena persidangan DUN Perak.
Mudah-mudahan generasi sepuluh atau dua puluh tahun akan datang tidak akan ketawa sampai terkentut (tambah-tambah bagi penggemar ikan perkasam), melihat slot 'Hari Ini Dalam Sejarah' di kaca tv tentang seorang speaker diusung keluar dewan bersama kerusinya, kes pertama berlaku dalam sejarah persidangan dewan dan amalan demokrasi dunia.
Kalaulah dewan undangan negeri terletak di Kuala Kangsar dan pengusung-pengusungnya gagal mengawal rasa geram kerana terpaksa buang tenaga mengusung 'suatu kedegilan', maka kerusi dan orangnya di campak ke sungai, tidak ke niaya jadinya.
Bila ditanya orang press, kenapa dilakukan perbuatan yang mungkin akan ditentang dan diprotes oleh badan-badan yang memperjuangkan hak asasi manusia, pasti akan dijawab: bukan kerusi dan orangnya yang dicampak ke sungai, sebaliknya yang dicampak itu adalah suatu 'kedegilan' dan sikap yang 'mencemarkan amalan demokrasi'.
Samalah seperti alasan apabila anak dipukul: kononnya bukan anak yang dipukul, tapi yang dipukul adalah syaitan dan iblis yang menjadikan anak degil dan tidak dengar kata.
Saya hairan, juga pelik binti dan bin ajaib apabila 69 orang ditahan. Antaranya adalah pimpinan pembangkang, ada sesetengahnya wakil rakyat yang bukan mewakili mana-mana kawasan di Perak.
Untuk tujuan apa mereka datang selain dari untuk menganjurkan keecohan dan mengaibkan orang Perak. Saya yakin majoriti rakyat Perak amat dan sangat bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa menahan mereka.
Kehadiran mereka menjadikan seolah-olah pihak yang enggan akur dengan hakikat amalan demokrasi apabila kerusi yang dimiliki lebih rendah dari pihak lawan, masih menerima sokongan mantap dan padu.
Persoalannya, benarkah majoriti rakyat Perak bersetuju dengan tragedi memalu dan mengaibkan dirancang, direncana, dirangka dan dikerangkakan di negeri mereka itu atau ianya dianggap sebagai angkara yang sangat dan amat tidak patut oleh segelintir kaki 'babuk' dan yang tidak menggunakan kepala tetapi menggunakan kepala lutut dalam melakukan sesuatu angkara dan kerenah?
Apakah rakyat Perak lebih sukakan huru hara dari kehidupan aman damai dan harmonis serta dilihat sebagai manusia yang sopan dan bertatasusila?
Apakah sosal kesopanan dan ketatasusilaan dijadikan pertimbangan oleh mereka yang menanam saham mengaibkan dan memalukan rakyat Perak sebelum melakukan perbuatan yang melanggar kesopanan dan kesusilaan itu?
Dalam keadaan teknologi komunikasi yang canggih sekarang ini, apa yang berlaku di Perak itu boleh tersebar dengan cepat ke seluruh pelosok dunia. Untuk menyekat maklumatnya sampai ke setiap pelosok dunia dan menjadikannya hanya umpama ribut dalam cawan adalah amat mustahil.
Selain dari rakyat Perak sendiri, apakah majoriti manusia di setiap pelosok dunia boleh menerima menganggap apa yang berlaku itu suatu kewajaran sebagaimana yang ditaksubi oleh pihak yang terlibat dalam tragedi yang memalu dan mengaibkan itu yang pada saya lebih didorong oleh 'syok' sendiri serta kerana 'lapar', 'pelahap' dan 'kemaruk'kan kehuru-haraan?.
Mungkin yang datang khusus untuk menyokong dan mencipta kekalut-ributan di dalam dan di luar dewan itu mahukan mereka dilhat, dianggap, dinobat dan dan ditintakan sebagai 'HERO' tetapi akan dilihat sebagai 'HEROK' oleh setiap manusia yang menggunakan kewarasan akal, yang menggunakan kepala, bukannya kepala lutut.
Semasa bersarapan pagi di kedai kopi mamak tadi, saya tersentuh apabila ada pelanggan kedai kopi berkenaan yang sedang memegang senaskah akhbar harian bersuara dengan agak lantang: 'WAKIL RAKYAT SEKARANG DAH BANYAK YANG NGO DAN GON DARI PAK HAD CETON TEMBUS', merujuk apa yang berlaku di Perak.
Suaranya dikuatkan tentulah untuk didengar oleh lebih ramai orang.
NGO bahasa loghat Kelantan kalau dibahasa persuratankan ialah sasau atau separuh gila manakala GON pula bermaksud tidak berapa betul kepala, tidak berapa cerdik.
PAK HAD CETON TEMBUS pula adalah dikaitkan dengan seseorang tang rosak etak dan sering mencedok air dan menadah duit yang diminta sedekah dari orang ramai sudah berlubang dan tidak ada patatnya lagi.
Kalau itulah pentarafan rakyat kepada wakil rakyat, tentulah mahu tidak mahu amalan demokrasi akan semakin tidak diyakini, malah wakil-wakil rakyat yang dipilih melalui proses tidak akan dihormati.
Pengundi memberi undi adalah untuk mewakili mereka membina kesejahteraan, bukannya untuk mencipta huru-hara dan ketidak-tenteraman.
Belum tentu mereka yang datang khusus untuk membuat kecoh tunjuk hero akan ditaraf dan distatuskan sebagai 'HERO' sebagaimana yang yang diharapkan, sebaliknya mereka akan dilihat sebagai 'HEROK' otak dan kewarasan oleh majoriti rakyat, terutama rakyat Perak Darul-Ridzuan!.

No comments: